Monday, December 20, 2021

Perokok Kembali ‘Bebas’

BEKAS Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad meninggalkan gagasan besar dalam membanteras tabiat merokok di negara ini. Sebelum itu kerajaan tidak pernah memperlihatkan kesungguhan, jauh sekali keberanian seperti yang ditunjukkan oleh Dzulkefly.

Beliau amat faham, kempen yang menjurus pada mengurangkan ruang kebebasan perokok bukan satu tindakan popular. Ini boleh memberi kesan pada sokongan politik. Ini membuatkan banyak yang sanggup mengambil risiko untuk bertegas dalam isu rokok.

Sesetengah pemimpin politik kita hanya sembang deras bekerja untuk rakyat. Tetapi tiba bab risiko kehilangan sokongan, mulalah berdolak-dalik untuk menjaga kepentingan politik.

Tidak hairanlah hak golongan yang menolak pencemaran rokok kerap dikorbankan oleh tuntutan perokok. Ketika menguatkuasakan peraturan perokok mesti berada sekurang-kurang jarak tiga meter dari premis makanan pada 1 Januari 2019, Dzulkefly berdepan tentangan yang bukan kecil. Pendek kata kalau dibuat undian, beliau akan mendapat kedudukan tercorot.

Tetapi beliau tidak peduli dengan tentangan. Malah ada yang mengambil tindakan undang-undang kerana mendakwa hak mereka sebagai perokok dinafikan oleh peraturan baharu itu. Akhirnya golongan perokok terpaksa mengalah, hendak merokok perlu menjauhkan diri tiga meter dari premis makanan.

Ketika itu kelompok yang menolak pencemaran rokok menikmati hak yang diambil oleh perokok selama ini. Mereka boleh menikmati juadah dalam keadaan aman dan bebas pencemaran asap rokok yang sangat memudaratkan itu.

Perokok selalu mendakwa mereka mempunyai hak untuk merokok. Peliknya tidak pula memikirkan hak yang menolak pencemaran asap rokok. Semua orang mempunyai hak untuk melindungi kesihatan masing-masing termasuk disebabkan asap rokok.

Bagaimanapun, itu hanya kisah lama. Kisah silam yang sudah tidak diendahkan lagi ketika ini. Sekali air pasang, sekali pasir di pantai akan berubah. Sekali bertukar Menteri Kesihatan, sekali bertukar dasar mengenai rokok.

Selepas Menteri Kesihatan bertukar tangan, peraturan ‘tiga meter’ pun sudah dilupakan. Keadaan kembali seperti sedia kala. Asap rokok kembali berkepul-kepul dalam premis makanan. Perokok mendapat kembali ‘kebebasan’ yang kononnya dinafikan dengan peraturan ‘tiga meter’ itu.

Bayi dan kanak-kanak pun terpaksa menyedut asap rokok dari meja sebelah. Kita tidak tahu apakah ketegasan membanteras tabiat merokok itu merupakan dasar kerajaan, dasar kementerian atau dasar seseorang menteri? Kalau menjadi dasar kerajaan, 10 bertukar Menteri Kesihatan sekalipun, dasar tetap sama. Tetapi yang berlaku adalah sebaliknya.

Sebenarnya sejak lama dahulu kerajaan tidak berani bertegas dengan perokok kerana dua perkara. Pertama, setiap tahun cukai import rokok menyumbang RM6 bilion pada pendapatan negara. Sekali lagi, RM6 bilion.

Setiap tahun dalam pembentangan belanjawan, cukai rokok dinaikkan.

Alasan tersurat untuk mengurangan penggunaan bahan tembakau.

Bagaimanapun, yang tersirat ialah kesihatan rakyat terpaksa dikompromi kerana pendapatan cukai rokok yang besar. Daripada pengalaman lampau, setinggi mana seka­lipun cukai dinaikkan yang membuatkan harga rokok ber­tambah mahal, tidak ada yang merajuk dan berhenti mero­kok. Perokok terus membeli biar pun mulut membebel serta memaki hamun.

Kedua ialah faktor politik. Cuba selak-selak balik semua manifesto pilihan raya umum sebelum ini kalau ada yang menjanjikan kepada rakyat untuk membebaskan negara ini daripada pencemaran rokok. Tidak ada yang berani memasukkan rokok dalam manifesto.

KEMAHUAN POLITIK
Bagaimanapun kalau ada kemahuan politik dan mengutamakan rakyat, kerajaan boleh sahaja bersungguh-sungguh membanteras tabiat merokok.

Tetapi hakikatnya jalan yang sudah dirintis seperti peraturan ‘tiga meter’ itu pun tidak diteruskan. Tidak usahlah bercakap langkah baharu.

Kerajaan kelihatan agak hipokrit dalam bab rokok. Di Parlimen pun Yang Berhormat (YB) tidak boleh memberi teladan baik kepada rakyat. Larangan merokok di kafe Parlimen pun dibantah oleh YB sendiri. Bagaimana hendak menjadi pemimpin kepada rakyat sedangkan diri sendiri tidak terpimpin? Semuanya kerana rokok.

Segala kempen antimerokok yang menelan belanja berjuta-juta ringgit tidak lebih sebagai ritual, kononnya kerajaan beriltizam menghapus rokok. Semua itu sandiwara, sama seperti menaikkan cukai rokok. Tujuannya bukan mengurangkan perokok, tetapi menambahkan pendapatan negara.

Sejak negara mencapai kemerdekaan lebih enam dekad dahulu, kempen antimerokok tidak pernah mencapai kejayaan. Sebabnya tujuan berkempen itu tidak lebih sebagai ritual. Sama seperti ritual ulang tahun kemerdekaan yang disambut dengan pemikiran yang tidak merdeka.

Sudah begitu banyak wang rakyat digunakan untuk kempen antimerokok, tetapi angka perokok bertambah 30,000 setiap tahun. Bukan berkurang. Secara kasar seorang perokok tegar membakar duit tidak kurang RM300 sebulan atau RM10 sehari.

Ironinya, mereka inilah juga yang terkinja-kinja dan terloncat-loncat memprotes apabila harga petrol naik beberapa sen. Menindas rakyat, kata mereka. Padahal yang merokok ini juga menindas rakyat (pembayar cukai) apabila kerajaan terpaksa menanggung belanja RM3.8 bilion setahun untuk rawatan penyakit jantung dan barah paru-paru akibat rokok.

Statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan 10,000 orang mati setiap tahun kerana penyakit yang disebabkan rokok. Kalau pesakit ini bukan perokok, kemungkinan besar mereka adalah orang yang terdedah pada asap rokok atau environmental tobacco smoke (ETS). Inilah yang dikatakan hidup menyusahkan orang lain.

Merokok bagi sesetengah orang adalah gaya, keunggulan dan kemodenan. Kerana itu tidak hairanlah kalau jumlah perokok kita meningkat 49 peratus atau 4.7 juta orang daripada 3.1 juta pada 2007. Ini mengatasi kadar peningkatan di negara maju seperti Britain (38 peratus), Amerika Syarikat (35 peratus) dan Sweden (30 peratus).

Akhir kata, hebat juga Malaysia kita ini. Kalahkan negara maju dalam bab rokok. Teruslah merokok demi negara.

Oleh: Ku Seman Ku Hussain

No comments:

Post a Comment