Wednesday, December 1, 2021

Taraf Bumiputera Untuk Semua?

CADANGAN oleh wakil Cina di Parlimen agar semua rakyat yang dilahirkan selepas 31 Ogos 1957 dianggap sebagai bumiputera, justeru tiada lagi perbezaan taraf kerakyatan mengikut etnisiti bukan sahaja baik untuk perpaduan negara, ia juga penting bagi nasionalisme Malaysia. Ini kerana ia dapat mempertingkat proses pembentukan negara bangsa ke tahap optimum dengan terbentuknya komuniti nasional yang utuh bersatu dan teguh terikat kepada negara.

Namun, semua ini ibarat jauh api dari panggang, iaitu mustahil untuk berlaku. Ini bukan sangat kerana kelompok bumiputera tidak mahu menerima cadangan begitu, ia lebih kepada bikinan kelompok bukan bumiputera sendiri yang selama ini bukan sahaja langsung tidak memperlihat kesanggupan ikhlas untuk berintegrasi ke dalam struktur sosial kelompok yang mereka datangi di negara ini.

Tetapi pula bertindak dengan agresif sekali pada kebanyakan waktu apabila perlu menerima unsur watan dalam konteks kenegaraan waima berdasarkan perjanjian etnik yang dipersetujui bersama untuk mengangkat lambang dan proses sosiobudaya Melayu sebagai identiti negara. Cadangan itu tidak bersifat membabi buta yakni tidak difikirkan terlebih dahulu, ia sesungguhnya sikap rakus etnik Cina yang tidak sedar diri untuk mengajukan hajat sekeji itu.

Ini kerana dengan kelakuan antiwatan pada banyak perkara kenegaraan, mereka memang tiada hak biarpun sekelumit untuk membawa usul kesamarataan taraf dengan anak watan negara ini. Untuk menjadi watan di tempat yang didatangi, mereka sepatutnya dari mula lagi bukan sahaja bersedia untuk berintegrasi seperti yang dikehendaki, malah lebih daripada itu untuk berasmiliasi sendiri dengan kelompok watan seperti yang dilakukan puak Cina luar bandar Kelantan.

SIVIK
Ini kerana apabila memilih untuk bermastautin di Tanah Melayu ini, sudah merupakan kemestian untuk etnik Cina menjalani kehidupan seharian khususnya pada tahap masyarakat setempat mengikut keperluan Melayu. Antara yang terpenting ialah ikut mengamalkan budaya Melayu khususnya mengetahui bahasa Melayu, iaitu dengan baik pula.

Malangnya setelah sekian lama kita menubuhkan negara dan membentuk negara bangsa, masih terdapat etnik Cina yang boleh digolongkan sebagai langsung tidak mengetahui bahasa Melayu yang merupakan bahasa negara ini. Ini sepatutnya tidak berlaku kerana implikasinya besar lagi serius kepada kerakyatan yang mereka pegang itu.

Namun, ia disembunyikan walaupun salah kerana bertentangan dengan fitrah bernegara di nusa yang sudah bertuan. Selain ini, sebagai warganegara, mereka wajib mempunyai pengetahuan baik tentang bahasa negara ini.

Tidak keterlaluan jika dikatakan cadangan ini mahu mengalih nasionalisme Malaysia daripada yang bersifat etnik kepada yang sivik. Selama ini, rakyat Malaysia dianjurkan sebagai komuniti nasional yang berkongsi warisan watan yang sama, khususnya dalam konteks bahasa dan budaya kebangsaan.

Dengan ini, kerakyatan mereka sehubungan bahasa dan budaya watan ini perlu diperoleh melalui tabiat hidup bermasyarakat dan bernegara yang berbahasa Melayu dan mengamalkan warisan Melayu untuk identiti negara dan budaya rakyat. Dalam pada ini, bahasa dan budaya lain tidak sesekali dihalang penggunaannya dalam sebarang bentuk kecuali pada hanya sesetengah urusan negara tertentu.

LIBERAL
Inilah sifat keterangkuman pada nasionalisme etnik yang berjaya diamalkan di Malaysia. Oleh itu, tidak perlu ada percubaan untuk mengalihkan nasionalisme etnik ini kepada nasionalisme sivik, yakni yang semata-mata mahu mengasaskan kerakyatan kepada sebilangan nilai liberal tertentu sahaja.

Antaranya kebebasan, kesamarataan, hak individu dan kepelbagaian budaya. Melaluinya, setiap rakyat akan dijamin akses sama kepada kerakyatan Malaysia tanpa boleh sesekali disekat oleh apa-apa jua perkara, khususnya etnisiti.

Dengan kata lain, ia menganjurkan kerakyatan berasaskan ideologi yang mengangkat kebebasan dan kesamarataan yang melampaui segala macam nilai lain. Jadi, ia mementingkan kesamaan politik dalam kalangan semua etnisiti, justeru tiada lagi pembahagian bumiputera-bukan bumiputera walaupun yang positif sifatnya seperti pada tindakan afirmatif negara.

Keadaan kesamaan dalam kalangan semua etnisiti adalah tahap unggul dalam proses pembentukan negara bangsa kita yang boleh dicapai setelah berlakunya asimilasi.

Inilah sifat keterangkuman pada nasionalisme etnik, iaitu pengidentifikasian dengan kelompok watan secara psikologi seperti yang terjadi kepada puak Cina luar bandar Kelantan dan tidak hanya secara sosial, misalnya pada puak Cina bandar Kelantan.

Sekiranya taraf watan boleh diberikan kepada etnik bukan Melayu, komuniti Peranakan paling layak menerimanya. Ini kerana mereka sudah begitu lama mengamalkan cara hidup Melayu yang dijadikan identiti etnik bukan Melayu mereka, misalnya oleh puak Cina luar bandar Kelantan.

Meskipun dalam keadaan sudah berasimilasi ini, mereka tidak pernah meminta taraf itu walaupun sangat mengingininya untuk hanya menebus maruah mereka setelah diherdik puak Cina bandar Kelantan sebagai orang Cina bukan Cina. Dengan adanya cadangan di Parlimen itu, bukan sahaja etnik Cina terus kelihatan sangat rakus, mereka juga selalu didapati licik sekali untuk terus mengakali anak watan yang dianggap lemah malah tidak pintar pun dan boleh dimanipulasi pada bila-bila sahaja.

Pada kali ini, anak watan cuba dihelahkan melalui konsep Keluarga Malaysia dan Dasar Perpaduan Negara yang baharu.

Oleh: Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong
Felow Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Profesor Negara.

No comments:

Post a Comment