Tuesday, December 14, 2021

Kerinchi Bukan Bangsar

KEKESALAN beberapa pihak tentang penggunaan nama dalam bahasa Inggeris dan bukannya bahasa Melayu selaku bahasa negara untuk tempat dan lain-lain yang kian menjadi-jadi kini, sebenarnya kebimbangan berasas yang harus diberi perhatian serius. Ini kerana isu ini bukan sahaja soal jati diri etnik Melayu selaku kelompok majoriti lagi dominan di negara ini, lebih penting lagi ia mempunyai kaitan langsung dengan identiti nasional dan identiti budaya rakyat Malaysia.

Nama dalam bahasa Inggeris ataupun mana-mana bahasa lain termasuklah bahasa Melayu itu sendiri bukan sahaja persoalan linguistik semata-mata, walaupun tidak dapat dinafikan hubungan antara nama dengan bahasa erat sekali. Lebih daripada itu, nama pada sesuatu ikut mencakupi pelbagai persoalan lain. Antaranya sejarah, geografi, psikologi, antropologi dan sosiologi.

Oleh itu, nama khususnya untuk tempat selain mendukung pelbagai peranan, ia juga menunjang banyak makna. Antara peranan penting ialah identiti. Ini kerana nama tempat adalah kuasa untuk membentuk identiti. Ini bermakna identiti sesebuah tempat itu terbina melalui nama diberikan kepadanya bersekali bahasa digunakan.

Sehubungan ini, nama dalam bahasa sendiri sudah tentu dapat membangkitkan perasaan keterikatan tulen lagi istimewa dengan tempat berkenaan. Ini kerana nama dalam bahasa Melayu, Kerinchi dan bukan Bangsar South misalnya, dapat mengekalkan kenangan masyarakat setempat khususnya.

Ini kerana nama asal Kerinchi ternyata lebih mampu melestarikan kedudukan tempat itu dalam sosiosejarah tempatan dan negara. Selain ini, Kerinchi juga adalah perasaan keterikatan sejati sebab nama itulah yang sebenar-benarnya memiliki ciri dan sifat tempat tersebut. Ini disebabkan tempat itu pertama-tamanya dan juga selama-lamanya Kerinchi dan bukan Bangsar.

Untuk makna khusus pula, nama sesebuah tempat itu mempunyai kaitan rapat dengan kedudukannya dalam sejarah, khususnya yang lampau dan lebih penting lagi akan datang. Dengan menggunakan nama Kerinchi, masyarakat setempat khasnya dan rakyat jelata amnya untuk masa mendatang akan terus mempunyai ikatan erat lagi penuh emosi serta pengalaman dan persekitaran yang hanya boleh ditawarkan nama Kerinchi itu. Ini kerana nama Kerinchi adalah sumber sebenar identiti tempat itu.

Sebaliknya nama Bangsar di tempat Kerinchi bukan sahaja tidak dapat mendukung ciri dan sifat Kerinchi pada masa lampau dan akan datang, ia juga tidak dapat sesekali membangkitkan rasa keterikatan pada nama Bangsar yang tiada apa-apa kaitan dengan tempat Kerinchi.

Semua ini iaitu tempat, identiti, nama dan nilai sosial untuk membangkitkan rasa keterikatan adalah amat penting dalam isu penamaan tempat, lebih-lebih lagi apabila mahu digantikan dengan nama lain atau mengambil nama baharu.

MUMBAI
Sehubungan ini, nama tempat adalah isyarat sosial tentang keterikatan sesebuah komuniti dengan sesebuah tempat. Dengan kata lain, isyarat sosial ini bukan sahaja nilai sosial penting yang didukung, ia juga perpaduan utuh yang wujud dalam sesebuah komuniti di sesebuah tempat itu.

Oleh itu, nama tempat tidak boleh ditukar sewenang-wenangnya walaupun dalam bahasa sama, apatah lagi dalam bahasa lain. Ini kerana nama tempat adalah unsur penting bukan sahaja dalam konteks geografi. Sama penting juga ia unsur utama dalam budaya.

Sehubungan kepentingannya ini, nama tempat adalah kedua-dua entiti geografi dan nilai budaya tertentu lagi istimewa yang tidak boleh ditukar dengan sekehendak hati atas apa-apa jua alasan enteng, apatah lagi yang komersial sifatnya untuk tujuan kebendaan semata-mata.

Sesungguhnya, Kerinchi misalnya adalah juga entiti sejarah dan psikologi selain entiti geografi serta antropologi dan sosiologi. Oleh itu, Kerinchi dan lain-lain harus dipertahan nama asalnya. Ini penting kerana nama asal ini adalah juga warisan budaya material kita seperti landskap, bangunan dan seumpamanya yang wajib dilindungi habis-habisan walaupun dalam zaman yang ditekan kuat oleh langkah pengantarabangsaan yang menggasak dan dasar liberalisasi kuasa pasaran memikat.

Sebenarnya, nama sama ada pada tempat atau apa-apa yang lain termasuklah barangan seperti kereta nasional kita adalah penilaian, yakni titik rujukan kepada bahasa dan jati diri kita. Oleh itu, nama sebagai ciri dan peri pemikiran manusia hendaklah selalu bersifat konsisten dan kekal.

Sehubungan ini, nama Kerinchi yang ditukarkan kepada Bangsar South hendaklah bukan sahaja dikembalikan tetapi diraikan warisan budaya materialnya khususnya dalam konteks perlindungan nama, iaitu pengenalpastian geografi yang mengekhaskan sesebuah tempat sebagai usul tempat itu. Dengan ini, Bangsar, sama ada South mahupun Selatan tidak boleh sesekali menggantikan Kerinchi.

Selain perlindungan nama, kita hendaklah menghindarkan diri daripada penggunaan eksonim, iaitu nama tempat yang menggunakan bahasa dan cara asing seperti Ainsdale dan Southville City. Eksonim lazimnya digunakan penjajah seperti pada Georgetown di Pulau Pinang untuk menggantikan Tanjung dan sebutan Bombay untuk Mumbai di India.

Sebaliknya kita harus menggunakan endonim yakni nama dan cara daripada bahasa kita sendiri, lebih-lebih lagi apabila kita sendiri yang memerintah negara ini. Oleh itu, kita telah menukarkan ejaan pada nama Alor Setar dan Terengganu daripada Alor Star dan Trengganu dan menggantikan Jesselton dengan Kota Kinabalu di Sabah.

Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong
Felow Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Profesor Negara.

No comments:

Post a Comment