Wednesday, December 15, 2021

Seolah Jadi 'Gerakan Pemisah' Semarakkan Isu Perkauman

SUHAKAM jangan jadi api dalam sekam!
BANGI – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) perlu dikembalikan ‘ke jalan lurus’ selaras dengan semangat dan konsep asal penubuhannya di bawah Akta Hak Asasi Manusia Malaysia (Akta 597).

Setiausaha Agung BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim berkata, Akta 597 dengan jelas menyebut dalam Bahagian I bahawa hak asasi manusia adalah seperti termaktub dalam Bahagian II Perlembagaan Persekutuan.

Malangnya, kewujudan dan fungsi SUHAKAM dilihat semakin ‘tergelincir’ daripada landasan sebenar penubuhannya, bahkan seolah-olah seperti ‘gerakan pemisah’ negara, dakwanya.

“SUHAKAM kini memperjuangkan hak asasi manusia mengikut definisi Barat, ekstremis liberal dan juga para pembenci Perlembagaan dan agama rasmi Perlembagaan itu sendiri.

“SUHAKAM kini menjadi batu api yang menyemarakkan isu perkauman, memburukkan imej negara di mata dunia dan paling menyedihkan menghina agama Islam secara amat konsisten,” dakwanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Justeru, beliau menggesa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya melihat semua pelantikan anggota SUHAKAM.

“Seluruh rakyat Malaysia mengharapkan transformasi total dapat dilakukan ke atas SUHAKAM bagi mengembalikan badan ini ke landasan yang sebenar.

“SUHAKAM jangan jadi api dalam sekam!,” katanya.

Peranan dan fungsi SUHAKAM sering dipertikai selepas suruhanjaya itu dilihat terlalu lantang memperjuangkan golongan minoriti dan berhaluan kiri, termasuklah hak murtad, lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), hak pekerja seks serta pengiktirafan gender ketiga.

Malah sebelum ini, terdapat beberapa perkara dalam Laporan Separuh Penggal mengenai Kitaran Ketiga Penilaian Berkala Sejagat (UPR) yang dikemukakan SUHAKAM kelihatan bercanggah dengan Perlembagaan dan bertentangan apa yang diperjuangkan gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam.

Ia termasuk memperjuangkan hak kebebasan agama bagi umat Islam, selain laporannya menggunakan istilah yang merujuk kepada jantina ketiga iaitu ‘non binary’. - ismaweb.net

No comments:

Post a Comment