Friday, December 3, 2021

Harga Barang Naik, ‘Oksigen’ Tak Cukup

Minggu lalu, saya sempat pekena roti canai telur dan teh tarik di sebuah kedai untuk sarapan pagi. Sambil makan, saya terdengar perbualan rancak geng pak cik di meja sebelah tentang kenaikan harga barang. Di tangan salah seorangnya ada akhbar Utusan Malaysia.

Salah seorang berkata, “duit gaji anak saya habis begitu sahaja untuk makan, minum dan pengangkutan. Tak boleh nak menyimpan untuk masa depan.”

Rakannya menambah, “semua benda nak naik, macam mana nak hidup? Anak saya pun tengah bulan dah minta ‘oksigen’ untuk ulang alik kerja.”

Seorang lagi mengiakan perkara itu sambil berkata, “kalau begini, gaji RM5,000 pun tak cukup untuk hidup. Kerajaan pula umum gaji minimum RM1,200, nak makan apa budak-budak ini?”

Saya yang mendengar juga setuju dengan luahan mereka yang memikirkan masa depan anak masing-masing ataupun mungkin sebenarnya tidak sanggup lagi nak jadi ‘bank bergerak’ berikutan pendapatan yang diterima lebur sebelum akhir bulan.

Makin seronok pula saya pasang telinga mendengar perbualan geng pakcik tadi yang menikmati sarapan pagi selepas menunaikan solat Subuh di surau berdekatan.

Rasanya sudah lama mereka melepak di kedai itu kerana banyak cawan, pinggan di atas meja.

“Ini punca Barisan Nasional (BN), harga naik. BN dah pegang negara semua benda nak naik.”

“Tidak juga, mungkin peniaga yang sengaja naikkan harga untuk tampung kerugian semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).”

“Ini faktor cuaca. Musim hujan nelayan tak boleh turun ke laut sementara petani juga tidak dapat turun ke ladang atau kebun.”

“Tapi harga roti Gardenia pun naik. Bukan ke mereka catat untung masa PKP?” – Saya tergelak dengar salah seorang pakcik bergurau.

Inilah realiti yang perlu dihadapi oleh rakyat. Bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia turut mengalami kenaikan harga barangan.

Pun begitu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan perlu segera bertindak untuk mengawal harga barangan agar rakyat tidak terus terbeban.

Saya sendiri mengucap panjang ketika membaca artikel rakan sekerja berkaitan kenaikan harga barang yang dijangka antara 30 hingga 200 peratus menjelang 2022 ekoran fenomena global dan spekulasi peniaga. Bukan apa, saya sendiri risau jika tidak mampu survive menjelang gaji akan datang. Sedangkan sekarang ini pun cukup-cukup makan dan ‘semput’ menunggu gaji.

Isu membabitkan harga barangan keperluan mahal merupakan satu bebanan dan tamparan tatkala rakyat masih lagi bertarung memulihkan kembali ekonomi. Hal ini juga merisaukan peniaga apabila mereka terhimpit dan khuatir jika tiada kuasa membeli dalam kalangan rakyat. Ia akan menyebabkan penawaran melebihi permintaan.

JANGAN CAKAP NORMAL

Pengarah Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan, Universiti Putra Malaysia, Profesor Datin Dr. Fatimah Mohamed Arshad dalam artikelnya mengatakan, turun naik harga makanan adalah norma pasaran. Malah pasaran perlukan harga turun dan naik untuk membolehkan masalah lebihan atau kurangan produk diatasi. Apabila berlaku lambakan, hanya melalui harga yang rendah, stok berlebih boleh dijual dan sebaliknya. Ini adalah fungsi asas harga dan ia perlu diterima oleh rakyat.

Jangan cakap ia normal jika kerajaan boleh mewujudkan satu mekanisme dalam mengawal harga makanan selain turun padang memantau agar penjual atau pembekal tidak sewenang-wenangnya mengambil kesempatan memanipulasi harga di saat rakyat sedang tertekan. Kenaikan harga tanpa kawalan akan menjejaskan kehidupan isi rumah yang berpendapatan kecil dan keluarga yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Ada beberapa pandangan yang dibaca di media sosial berkaitan gaya hidup anak muda yang mewah, sanggup berhabis duit untuk menikmati kopi mahal. Namun, masih mempersoalkan gaji yang sedikit. Mereka kata, “minum Starbucks tapi bising gaji tak cukup.”

Setiap orang itu berbeza dari segi perbelanjaan, komitmen, gaya hidup dan sebagainya. Tidak bermakna dia kerap minum Starbucks, dia banyak duit. Ada masanya seseorang beli minuman mahal itu sekali sebulan selepas dapat gaji untuk reward diri sendiri selepas penat bekerja. Atau mungkin juga dia tiada komitmen lain, justeru gaya hidupnya nampak mewah.

Ini baru bercakap soal makan, belum lagi bercerita tentang petrol, yuran sekolah, utiliti dan komitmen lain yang perlu ditanggung seperti bayaran bulanan kenderaan dan kediaman. Itu semua membabitkan duit.

TIADA PILIHAN
Buat masa ini (sehingga kerajaan mencari penyelesaian menyeluruh), mahu tidak mahu rakyat perlu terima kenaikan harga barang di pasaran dengan mengubah gaya hidup ke arah lebih sederhana dan berbelanja hanya jika perlu.

Selain itu, rakyat juga disaran menyimpan wang untuk masa kecemasan. Jika berminat main saham, bolehlah melabur ke arah itu atau mungkin boleh beli emas atau menyimpan di Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) dan Tabung Haji. Pun begitu, pastikan anda mendapat tunjuk ajar yang baik dan memilih pelaburan yang dibenarkan kerajaan. Jangan sampai tertipu hanya kerana mahu menjadi kaya dalam masa singkat.

Janganlah berbelanja tanpa mengukur kemampuan sendiri. Jangan terikut-ikut rentak atau gaya hidup selebriti atau rakan kerana jumlah pendapatan dan komitmen kita tidak sama dengan mereka. Orang kata, ukurlah baju di badan sendiri agar tidak menyesal di kemudian hari.

Begitu juga, jangan biasakan diri berhutang dan menggunakan kad kredit. Ia ‘pembunuh’ dalam senyap. Ini hanya akan menyebabkan anda menanggung faedah yang tinggi apabila tidak mampu membayar kembali tepat pada masanya.

Anda juga perlu bijak merancang perbelanjaan agar dapat mengawal daripada membeli barangan yang bukan keperluan. Selain itu perlu membuat perbandingan agar dapat membeli sesuatu barang pada harga paling minimum.

Sekiranya anda ditipu atau menyedari kenaikan harga sesuatu barangan tidak masuk akal, terus buat aduan kepada KPDNHEP atau melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pengguna. NGO boleh memainkan peranan penting dalam mengatasi masalah ini kerana suara mereka didengari oleh kerajaan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment