MALAYSIA berduka baru-baru ini akibat banjir besar yang julung kalinya merempuh tembok keakuan manusia moden.
Manusia fikirkan di balik tembok konkrit dan gagahnya batu bata, mereka dapat bersembunyi daripada arus banjir yang marah. Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang bersedih.
Tidak disangka, Lembah Klang sebagai kawasan yang paling teruk terjejas hampir lumpuh dipukul banjir kali ini. Kita Malaysia berkongsi dukacita terdalam.
Sebanyak 7.2 juta rakyat berdiam di selingkar Lembah Klang yang membawakan semangat kosmopolitan ibu negara dengan kepelbagaian kaum dari negeri berlainan.
Lembah Klang, jantung Malaysia tersakiti dipukul banjir. Arus keras merempuh bangunan batu bata dan merempuh sekali hati-hati manusia yang masih bernyawa.
Sayu melihat mereka yang tersimbah musibah ini. Lembah Klang serta bumi tanah air yang tersakiti oleh tangan-tangan penjarah dalam kalangan manusia sendiri atau kapitalis perosak yang mengganggu keseimbangan alam sekitar.
Banyak analisis dibentangkan oleh pakar berautoriti, mengapa fenomena kali ini luar daripada biasa? Salah satu daripada banyaknya punca banjir di kota raya kata mereka ialah permukaan tanah semakin berkurang untuk bertugas menyerap, menakung dan menyimpan limpahan air.
Banyak tanah diturap dan dikonkritkan untuk ditegakkan bangunan. Faktor berlakunya banjir kilat pula ialah masalah pembuangan sampah yang dihumban ke dalam longkang. Oleh siapa?
Tanpa menyebut kategori sosial mereka, ia tidak ditentukan oleh latar belakang pendidikan dan status, cuma boleh dikelompokkan mereka muncul daripada kategori sosial yang berminda singkat.
Analisis yang dibentangkan oleh Profesor Datuk Dr. Azizan Abu Samah dari Universiti Malaya menarik dimajukan. Curahan hujan kali ini empat kali ganda lebih banyak daripada biasa akibat tekanan rendah di tengah Semenanjung.
Tekanan rendah ini yang menjana hujan secara besar-besaran berbanding ribut petir biasa. Hujan lebat bukan turun di Lembah Klang. Hujan besar-besaran turun di Banjaran Titiwangsa.
Air hujan di Banjaran Titiwangsa inilah masuk ke sungai-sungai utama di Selangor. Kesannya, sebahagian besar sungai di paras bahaya. Lebih buruk, kawasan Klang berdepan air pasang besar.
Tidaklah tinggi daripada yang pernah direkodkan, namun memberi implikasi air dari darat tidak dapat keluar lancar seperti biasa.
Intensiti curahan air hujan dengan rekod taburannya dalam tempoh sebulan turun dalam masa 24 jam turut dijelaskan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Dr. Zaini Ujang.
“Taburan hujan 24 jam di Sentul sebanyak 363 milimeter (mm), di tempat lain seperti di kilometer 11 daerah Gombak sebanyak 247 mm, di Jinjang 258 mm dan di Jalan Tun Razak 273 mm. Berbanding keseluruhan taburan hujan di kawasan terbabit kira-kira 2,400 mm setahun,” jelasnya.
Kesudahannya, kita dapat menyaksikan foto dan video kesan yang menyebabkan kerugian daripada rakan dan kenalan melintas di dinding media sosial membawa kita kehilangan kata-kata.
Betapa dahsyat banjir kali ini. Betapa berkuasanya Allah SWT dan lemahnya manusia. Tiada yang dimiliki kekal hatta diri sendiri. Apakah puncanya?
Alam adalah ‘teknologi’ paling stabil, paling tertib dan tersistem. Apabila alam dipaksakan berubah menurut selera para pemodal, ramai masyarakat menerima kesannya.
Oleh: MUHAMAD HANAPI JAMALUDIN
Ketua Penerangan Gerakan Belia 4B Malaysia.
No comments:
Post a Comment