Sunday, December 12, 2021

Jangan Sorok Akaun Tabung Masjid

PENDEDAHAN Suruhanjaya Pen­cegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai kekerapan menerima aduan orang ramai berkaitan penyelewengan kutipan dana dan tabung masjid sejak akhir-akhir ini yang disifatkan semakin serius amat menggusarkan.

Manakan tidak, sampai ke tahap hal berkaitan sumbangan dana tabung masjid pun nak diselewengkan. Sesuatu yang tak dijangka oleh akal manusia yang waras tetapi tidak mustahil berlaku.

Kata Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Razim Mohd. Noor, ada sesetengah kes pihaknya membuka kertas siasatan, namun keba­nyakannya rungutan tanpa laporan lengkap.

“Bagi saya, perkara ini serius, saya harap orang ramai sama ada ahli jawatankuasa (AJK) masjid atau ahli kariah dapat datang terus ke SPRM dan berbincang dengan pegawai kami, barulah boleh tentukan hala tuju siasatan.

“Ini sekadar rungutan sahaja. Kami terima ketika pegawai berada di lapangan. Walaupun ia rungutan, kami tetap ambil perhatian serius.Kami masih memerlukan kerjasama orang ramai,” katanya kepada Utusan Malaysia di Seremban, kelmarin.

Masyarakat menaruh harapan yang tinggi kepada AJK masjid apabila menghulurkan dana atau sumbangan. Matlamatnya mahu melihat setiap ringgit yang disalurkan itu dibelanja untuk mengimarahkan masjid baik dari segi program keagamaan atau pun untuk pembangunan dan infrastruktur.

Justeru, janganlah hendaknya harapan itu dimusnahkan oleh tindakan pecah amanah oleh mana-mana orang yang dipertanggungjawab menguruskan rumah Allah. Tidak kira berapa pun nilainya waima 10 sen sekali pun, setiap wang masjid mesti dicatat masuk atau keluarnya oleh bendahari.

Sebab itulah sebahagian besar jabatan agama Islam negeri antaranya Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengadakan kursus-kursus pengurusan kewangan kepada bendahari dan penolong bendahari masjid dan surau di negeri itu.

Kursus secara berkala itu diadakan untuk memberi ilmu dan kefahaman kepada AJK masjid tentang prosedur kewangan yang sepatutnya diamalkan dalam menguruskan masjid. Wang masjid tidak boleh digunakan sesuka hati.

Bagi mengelakkan penyelewengan, setiap transaksi wang masuk atau keluar mesti disertakan bil atau baucar pembayaran. Sebab itulah untuk mengira kutipan wang Jumaat pun mesti dilakukan secara berjemaah. Jangan hanya seorang atau berdua yang mengira duit.

Selain mengurangkan kemungkinan penyelewengan, ia juga lebih telus dan dapat mengelak berlakunya fitnah. Lebih-lebih lagi bagi masjid yang jumlah kutipan Jumaatnya mencecah puluhan ribu ringgit seminggu.

Syaitan itu tidak pernah leka dan lalai menjalankan misinya. Barangkali semasa kita dalam kesempitan wang terutama akibat kesan Covid-19, adakala kita boleh termakan dengan pujuk rayu syaitan. Akhirnya gelap mata dan menggelapkan wang masjid.

Ia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Iblis menjawab, kerana Engkau telah menghukum saya tersesat, saya benar-benar akan (menghalang) mereka dari jalan Engkau yang lurus, kemudian saya akan mendatangi mereka dari muka dan belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat).” (al-A’raf: 16-17)

SEMAK DAN IMBANG

Sedarlah bahawa menjaga dan melaksanakan amanah adalah tanda kesempurnaan iman. Tidak sempurna iman bagi seorang yang tidak amanah. Ia sebagaimana ditegaskan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud: “Tidak sempurna iman bagi orang yang tidak amanah dan tiada agama bagi orang yang tidak berpegang dengan janji.” (Riwayat Ahmad)

Dalam masa sama, AJK masjid disaran mempamerkan penyata kewangan kepada umum supaya lebih telus. Yang terbaik dipamerkan setiap bulan atau dua bulan sekali.

Yang lebih utama, setiap keputusan mengeluarkan perbelanjaan wang masjid hendaklah mendapat kelulusan mesyuarat AJK dan dibahaskan baik dan buruknya sebelum dibuat sebarang keputusan. Mesti ada kumpulan semak dan imbang dalam AJK.

Hal yang perlu juga diberi perhatian, dana yang didermakan itu hendaklah dimanfaatkan supaya pahala para penyumbang dapat digandakan. Janganlah pula wang tersebut disimpan sahaja dalam bank. Kita tak mahu melihat nazir atau AJK yang bangga dengan jumlah simpanan duit masjid tetapi tidak menggunakannya untuk manfaat para jemaah.

Jemaah yang menyumbang juga pasti gembira jika sumbangan mereka digunakan untuk membantu golongan terdesak dan memerlukan. Ini selain menampung pelbagai kuliah dan pengajian masjid.

Untuk itu, pihak masjid disaran menyediakan beberapa tabung yang menyatakan dengan jelas tujuan dana tersebut. Contohnya tabung untuk utiliti, tabung untuk asnaf, tabung untuk pembangunan masjid dan tabung umum.

Mengenai hal ini, mari kita hayati Syeikh Zakaria al-Ansari r.h yang bermaksud: Sekiranya seseorang itu memberikan beberapa dirham kepadanya dan berkata: ‘’Belilah buat diri kamu serban dengan wang ini atau bawalah serban ini ke dalam tempat mandi, atau (ucapan) seumpamanya, maka menjadi tuntutan kepadanya melakukan perkara tersebut bagi meraikan tujuan individu yang menyumbangkan (wang tersebut)”(Asna al-Mathalib, Zakariya Al-Ansari (2/479)

Beliau menambah: “Sekiranya seseorang (yang memberi duit) bertujuan untuk (orang yang diberikan wang tersebut) menutup kepalanya dengan serban dan membersihkannya, dengan cara membawanya masuk ke dalam bilik air, berdasarkan apa yang dia lihat dari orang tersebut dari sudut kepala terdedah (tidak tertutup) dan juga kekusutan serta kotoran yang terdapat pada badan orang tersebut.

“Sekiranya tidak, iaitu jika dia tidak menyertakan tujuannya (niat sedekah umum), seperti dia menyebut (gunakanlah wang) dalam bentuk penuh keluasan yang mengikut adat kebiasaan, maka tidak ditentukan wang tersebut untuk diguna pada perkara (yang ditetapkan itu). Bahkan dia (yang menerima wang) memilikinya atau boleh dia menggunakan wang tersebut sebagaimana yang dia kehendaki.” (Asna al-Mathalib, Zakariya Al-Ansari -2/480). - UTUSAN

No comments:

Post a Comment