Friday, December 31, 2021

‘Ketagihan’ Teknologi Kini Jadi Wabak

HARI ini, kita dapat lihat di mana dan sesiapa sahaja terlalu asyik menggunakan telefon pintar tanpa mempedulikan sekeliling mereka.

Berdasarkan pengalaman saya sendiri, ketika berada di kedai makan dengan keluarga yang sepatutnya menjadi momen bermakna dan berharga untuk meluangkan masa bersama, masih ramai dalam kalangan kita tidak lekang membelek telefon pintar.

Ringkasnya, di mana-mana pun baik di rumah, dalam kereta, surau, kedai makan, setiap saat telefon pintar jadi pendamping.

Sedih melihat nilai kasih sayang yang bukan lagi tercemar tetapi terhakis teruk akibat ‘ketagihan’ terhadap teknologi.

Sebagai anak muda, sejujurnya saya terkilan dengan situasi tersebut dan mahukan kita semua mengambil langkah segera bagi menanganinya agar ketagihan menggunakan telefon pintar tidak berubah menjadi wabak baharu dalam masyarakat.

Di sinilah sebetulnya peranan institusi keluarga dalam memberikan pendidikan, bukan sahaja kepada anak-anak kecil tetapi juga orang dewasa kerana isu ini melibatkan semua peringkat umur.

Oleh itu, beberapa kaedah mungkin boleh dilakukan bagi dijadikan penawar kepada ‘penyakit’ ini termasuk setiasa sibukkan diri dengan aktiviti lain dan menahan diri daripada kerap melihat serta memegang telefon pintar.

Ibu bapa, didiklah anak-anak dari kecil agar tidak terjebak dengan masalah ini. Jika berterusan, kita akan menghadapi krisis kehidupan lebih parah pada masa akan datang.

Ingat, penyakit ketagihan telefon pintar atau media sosial tidak mungkin mampu diubati atau dicegah dengan vaksin. Sebaliknya perlu ditangani sendiri oleh kita dengan bersungguh-sungguh.

Oleh: SHARIFAH NOR SAIDATUL HUSNA SYED ANUAR
Timbalan Yang Dipertua Permata USIM

Ritual Persatuan Dukun Gagal, Indonesia Tewas 4-0

JAWA TIMUR: Indonesia akhirnya tewas di tangan Thailand selepas dibelasah 4-0, walaupun Persatuan Dukun Nusantara (Perdunu) melakukan ritual khusus agar skuad Garuda itu memenangi Piala AFF 2020, kelmarin.

Lapor Kompas.com, Perdunu yang berpusat di Pasar Kecamatan Tegalsari, Banyuwangi, Jawa Timur melakukan ritual khusus bernama Samar Wulu selepas matahari mula terbenam.

Ketua Perdunu, Abdul Fatah Hasan berkata, ritual khusus itu tidak dipertontonkan kepada khalayak melainkan hanya dilaksanakan oleh sembilan pengurus di pejabat sekretariat.

Katanya, terdapat bacaan-bacaan yang memang tidak boleh didedahkan kepada orang ramai.

“Selepas selesai ritual itu, kita melaksanakan solat Maghrib dan berdoa dengan harapan pasukan Indonesia akan menang dalam memburu kejuaraan sulung piala tersebut,” katanya.

Abdul Fattah berkata, ritual tersebut tidak mendoakan secara spesifik jumlah gol yang diharapkan kerana mereka hanya berharap pasukan Garuda memenangi perlawanan akhir itu.

Beliau malah menjelaskan, Samar Wulu merupakan ritual menolak bala dan penyakit. - www.utusan.com.my

Sekolah Vernakular Diiktiraf Sebelum Merdeka Lagi, Kata Hakim

KUALA LUMPUR: Sekolah vernakular telah lama diiktiraf dalam rangka kerja perundangan sistem pendidikan sebelum Merdeka dan wujudnya Perlembagaan Persekutuan, kata seorang hakim Mahkamah Tinggi.

Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata, ini terbukti dalam Ordinan Pelajaran 1952 dan 1957.

Beliau berkata, susulan kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957, sekolah vernakular diberi pengiktirafan sewajarnya bawah Akta Pendidikan 1961 serta 1996.

Menurut Nazlan, pelaksanaan hak perlembagaan ini oleh kerajaan bukan sahaja terhad kepada pengajian Bahasa Tamil dan Mandarin, malah diperluaskan kepada penggunaannya sebagai bahasa pengantar pengajaran.

“Menggunakan pendekatan prismatik kepada penggubalan peruntukan Perlembagaan, saya menganggap penggunaan Bahasa Mandarin atau Tamil sebagai bahasa pengantar adalah untuk mengajar mata pelajaran lain,” katanya dalam penghakimannya ketika menolak saman yang mempersoalkan keperlembagaan sekolah vernakular.

Justeru, katanya, kerajaan melalui Akta Pendidikan terus memelihara dan mengekalkan penggunaan dan pengajian bahasa komuniti di negara ini.

“Ini dilindungi bawah Perkara 152(1)(b) Perlembagaan,” katanya.

Oleh itu, katanya, “jika kerajaan persekutuan mahu, ia mempunyai kuasa untuk memelihara dan mengekalkan penggunaan dan pembelajaran Bahasa Mandarin atau Tamil di negara ini.”

Nazlan membuat kenyataan ini ketika membatalkan saman yang dikemukakan oleh tiga kumpulan Melayu-Islam yang menyatakan kewujudan sekolah vernakular dan penggunaan bahasa-bahasa ini mengenepikan penggunaan Bahasa Malaysia, bahasa rasmi negara.

Beliau berkata, tidak seperti universiti, sekolah vernakular bukanlah pihak berkuasa awam dan oleh itu, penggunaan bahasa pengantar bukan Melayu untuk pengajaran bukan untuk tujuan rasmi.

Katanya, Penyata Razak pada 1956 memperkenalkan langkah kompromi di mana sekolah vernakular dibenarkan mengekalkan penggunaan bahasa ibunda, manakala Bahasa Melayu akan menjadi bahasa pengantar utama di sekolah kebangsaan.

Oleh itu, rekod dan latar belakang sejarah menunjukkan bahawa sebelum Merdeka, penubuhan dan kewujudan sekolah vernakular telah lama diiktiraf dan diterima di negara ini.

“Kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak pernah diragui dan, pada masa sama, secara nyata dihasratkan untuk tidak menjejaskan penggunaan bahasa lain dalam sistem pendidikan,” katanya.

“Boleh dikatakan dengan adil bahawa tujuan dan niat Perkara 152 mengenai bahasa kebangsaan bukanlah untuk melarang penggunaan bahasa lain di sekolah vernakular.”

Saman itu dimulakan oleh Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) dan Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (GAPENA) pada Disember 2019.

Mereka memohon deklarasi bahawa Seksyen 2, 17 dan 28 Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), yang membenarkan penggunaan Bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar utama di sekolah vernakular adalah bercanggah dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, justeru batal dan tidak sah. - freemalaysiatoday.com

Thursday, December 30, 2021

Tiada Ruginya Jika Bina Sekolah Baharu

ISU kepadatan murid bukan baharu, cuma ia tidak didedahkan kerana ramai pihak termasuk Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), pentadbir sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bersikap acuh tak acuh tentang permasalahan ini sedangkan populasi pelajar meningkat setiap tahun.

Bilangan sekolah yang tidak seimbang dengan peningkatan populasi murid dan penerokaan kawasan penempatan baharu yang rancak akhirnya mengundang masalah kepada sekolah sehinggakan ada guru yang terpaksa mencari-cari bilik darjah yang kosong.

Apabila bilangan murid padat, maka berbangkit isu lain tentang disiplin dan keciciran kerana seorang guru agak sukar mengawal jumlah murid antara 40 hingga 50 orang dalam setiap kelas yang memiliki perangai beraneka ragam.

Masalah kepadatan murid lazimnya berlaku di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi terutamanya di bandar-bandar baharu yang mencatat pertumbuhan populasi penduduk begitu cepat sedangkan pada masa yang sama bilangan sekolah tidak berubah.

Lazimnya kawasan penempatan baharu akan ada tapak untuk pembinaan sekolah yang disediakan tetapi terbiar tanpa ada keputusan mengenainya. Akhirnya kawasan tersebut dipenuhi semak-samun untuk bertahun tahun lamanya tanpa ada perancangan lanjut.
Kadang-kala tertanya dalam minda penulis, setiap tahun PPD akan meminta data populasi murid sekolah untuk apa. Sepatutnya data tersebut adalah petunjuk sama ada wujud keperluan membina sekolah baharu di kawasan yang padat.

Dalam hal ini, pentadbir sekolah dan PPD memainkan peranan penting menyalurkan maklumat mengenai peningkatan populasi pelajar dan keperluan bilik darjah tambahan kepada kementerian berkenaan.

Jika mereka mempunyai kesedaran betapa pentingnya soal pendidikan, isu kepadatan murid sepatutnya sudah berada di meja mesyuarat dan bukannya memberi alasan. Ini kerana pendidikan merupakan agenda besar rakyat dan negara yang tidak boleh dikompromi.

Pendidikan yang kelak akan mengubah nasib generasi akan datang dan meletakkan hala tuju negara. Daripada mengenal huruf A, B, C dan seterusnya sehinggalah anak-anak ini ke menara gading semuanya bermula di sekolah. Di rumah mereka diberi pendedahan soal sahsiah diri.

Tidak rugi kerajaan meletakkan peruntukan yang besar terhadap pendidikan termasuk mengenal pasti daerah, mukim dan kawasan yang memerlukan sekolah-sekolah baharu asalkan murid-murid ini selesa belajar dan negara dapat melahirkan rakyat yang bijak pandai.

Pada masa yang sama, pembinaan sekolah baharu atau pertambahan bangunan di sekolah sedia ada memberi peluang kepada graduan guru di luar sana yang masih berharap dapat berkhidmat kepada anak bangsa.

Tiada yang mustahil untuk dilaksanakan kerana ia melibatkan soal kepentingan rakyat dan generasi baharu.

Dasar Pendidikan Kebangsaan cukup kompleks termasuk menamakan beberapa kategori sekolah di dalamnya. Sudah sampai masanya dasar ini menjadi rujukan dan panduan pada masa akan datang atau hendaklah disemak semula sekiranya keadaan memerlukannya berbuat demikian.

Oleh: Meor Harman Meor Shakri
Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Hak Minoriti Muslim Di India Wajib Dipertahankan – MHO

Pada 17 hingga 19 Disember 2021, suatu persidangan kemuncak pemimpin agama penganut Hindu yang berideologi Hindutva telah diadakan di Bandar Haridwar, India. Akan tetapi, sidang kemuncak tersebut telah menjadi suatu medan untuk beberapa pemimpin agama menyeru dan menggesa rakyat India bangkit dan menyokong pembersihan etnik dilaksanakan di India terutamanya terhadap penganut agama Islam di India.

Kenyataan terbuka yang diucapkan oleh beberapa pemimpin agama tersebut adalah untuk menanam rasa benci terhadap golongan minoriti dan juga untuk menyerang rumah-rumah ibadat di India adalah suatu perkara yang mengancam keselamatan golongan minoriti dan tidak boleh dipandang ringan. Lebih menyedihkan lagi, apabila tiada tindakan yang telah diambil oleh pihak berkuasa India yang dikuasai oleh kerajaan Narendra Modi yang berkait rapat dengan kumpulan Hindutva ini.

Kejadian ini sememangnya adalah suatu perkara yang sangat membimbangkan apabila ancaman dan seruan secara terbuka ini telah dibuat oleh beberapa pemimpin beragama Hindu di persidangan tersebut. Kerajaan India pimpinan Narendra Modi seharusnya menjadi pendokong dan pelaksana hak-hak kemanusiaan yang selama ini telah menjadi asas penubuhan negara India. Tambahan pula, India sebagai salah sebuah negara yang bukan sahaja menyokong dan menyertai Universal Declaration of Human Rights (UDHR), bahkan adalah antara negara yang menjadi penyumbang utama kepada penggubalan UDHR tersebut pada tahun 1948.

Pihak MHO dengan ini mengecam dengan sekerasnya kenyataan menyeru kebencian yang telah dikeluarkan oleh beberapa pemimpin agama di persidangan tersebut. Pihak MHO menegaskan bahawa golongan minoriti di India seharusnya dibenarkan hak untuk hidup (Article 3 UHDR) dan hak untuk beragama (Article 2 UHDR). Prinsip kemanusiaan seharusnya dan sepatutnya dipertahankan oleh pihak berkuasa di India terutamanya kepada golongan minoriti di India. Semua manusia berhak dilayan sama rata di antara satu sama lain. Suka untuk kami petik pesan pujangga oleh Mohandas Karamchand Gandhi, seorang pejuang kemanusiaan di India :-

The greatness of humanity is not in being human, but in being humane.

Oleh yang demikian, pihak MHO sebagai sebuah pertubuhan yang komited memperjuangkan hak-hak kemanusiaan mengambil kesempatan ini untuk menggesa kepada semua pihak terutamanya beberapa pemimpin agama Hindu yang telah mengeluarkan kenyataan menyeru kepada kebencian dan menggalakkan keganasan terhadap golongan minoriti di India untuk menghormati dan mematuhi prinsip-prinsip hak kemanusiaan terhadap semua golongan manusia tanpa membezakan kepercayaan, warna kulit, status dan lain-lain lagi.

Oleh: Datuk Hishamuddin Hashim,
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusian Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO).

Di Singapura, Indonesia, Thailand, Filipina Dll Tak Ada Pun Sekolah Vernakular...

Vernakular: Bola kini di tangan kerajaan, serius atau pun tidak?
KUALA LUMPUR – Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni menghormati keputusan Mahkamah Tinggi, hari ini berhubung keabsahan sekolah vernakular dan penggunaan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar utama di sekolah berkenaan.

Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya bersama beberapa pertubuhan lain tetap akan mengemukakan rayuan sebagai tindakan susulan terhadap keputusan itu.

Beliau berkata, apa yang lebih utama kini adalah sikap kerajaan terhadap kes tersebut.

“Satu perkara yang jelas, bola kini berada di tangan kerajaan. Kerajaanlah patut lebih serius, kerajaanlah patut berhati-hati dalam isu perpaduan.

“Kerajaan sepatutnya menggubal dasar dan akta di peringkat Perlembagaan untuk memastikan perpaduan dan integriti nasional berjalan dengan baik,” katanya kepada wartawan TV Pertiwi, di sini, hari ini.

Beliau turut menegaskan fakta bahawa negara ini sudah mengecapi kemerdekaan lebih 60 tahun.

“Jadi adalah suatu yang tidak masuk akal sekiranya kerajaan terus berbolak-balik dalam mengetatkan polisi dan dasar yang berkait dengan perpaduan. Isu bahasa, silibus pembelajaran di sekolah sebenarnya adalah satu isu yang cukup dasar.

“Perpaduan kita berpandu kepada banyak sudut. Mungkin kita boleh bersatu dalam sukan, perayaan, sambutan kemerdekaan dan seumpamanya.

“Tetapi dari segi pendidikan dasar, bermula daripada umur 7 tahun sampai ke peringkat universiti kita tak selaraskan dengan menggunakan bahasa yang sama, dan menggunakan silibus kefahaman, kurikulum yang sama,” katanya.

Ekoran itu, katanya, tindakan sebegini sebenarnya menjerumuskan negara ke dalam satu masalah yang tidak akan selesai.

“Jadi ISMA dan badan-badan lain akan terus mengemukakan rayuan. Tetapi di masa sama kerajaan sendiri perlu memainkan peranan lebih aktif dan lebih agresif dan bersungguh sungguh. Kesungguhan kerajaan itu perlu dilihat dengan jelas oleh rakyat,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi memutuskan kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular serta penggunaan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar utama di sekolah berkenaan tidak bercanggah Perlembagaan Persekutuan.

Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas menolak saman oleh Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM), Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).

Dalam penghakimannya, Mohd Nazlan berkata, penubuhan dan kewujudan sekolah vernakular tidak melanggar Perkara 5 (kebebasan diri), Perkara 8 (hak kesamarataan), Perkara 10 (kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan), Perkara 11 (kebebasan beragama) dan Perkara 12 (hak berkenaan pendidikan) Perlembagaan Persekutuan. - ismaweb.net

Ramai Graduan Bekerja Di Bawah Potensi Sebenar

PANDEMIK melumpuhkan banyak sektor dalam negeri sehingga pasaran buruh kini berdepan cabaran untuk terus berdaya saing bagi menyokong pertumbuhan ekonomi susulan penularan Covid-19.

Pelbagai isu sampingan yang berkait rapat dengan pengangguran, pelbagai isu struktur dan cabaran jangka pendek perlu ditangani, termasuk peningkatan berterusan kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran sejak suku ketiga 2020.

Isu struktur ini boleh dikaitkan dengan kekurangan permintaan buruh dalam kategori pekerjaan mahir. Ini menunjukkan bahawa industri berdepan kekangan untuk menyerap penawaran buruh yang berpendidikan tertiari bagi mendapatkan pekerjaan yang setara dengan latar belakang pendidikan mereka.

Menurut statistik, pasaran buruh negara mula menunjukkan tren pemulihan dengan kadar pengangguran yang lebih rendah, iaitu 4.3 peratus pada Oktober tahun ini dan bilangan penganggur seramai 705,000 orang.

Walupun statistik menunjukkan angka pengangguran terendah sejak Mac 2020, namun ia masih melebihi kedudukan sebelum pandemik, iaitu sekitar 500,000 penganggur dan kadar pengangguran sekitar 3.3 peratus, kadar ini membimbangkan kerana lebih ramai graduan muda bakal berdepan dengan penganguran. Menurut sebaran Statistik Siswazah 2020, lebih ramai siswazah dalam guna tenaga tidak penuh dan siswazah menganggur meningkat ketara sebanyak 22.5 peratus pada 2020 Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan.

Laporan ini memperihal keseluruhan penawaran buruh siswazah pada 2020 mengikut ciri-ciri demografi dan sosioekonomi. Siswazah dalam laporan ini ditakrifkan sebagai individu yang memperoleh sijil tertinggi daripada universiti, kolej, politeknik, badan yang diiktiraf atau setaraf, dengan tempoh pengajian sekurang-kurangnya dua tahun.

Menurut kajian, Institute for Research & Development of Policy (IRDP), universiti dan kolej di Malaysia menghasilkan lebih daripada 200,000 graduan tempatan dengan kelayakan diploma dan ijazah sarjana muda setiap tahun. Namun, mereka yang memasuki pasaran pekerjaan akan ditawarkan dengan gaji yang sangat rendah.

Walau bagaimanapun, mereka tidak mempunyai pilihan selain menerima tawaran tersebut supaya mereka tidak akan menganggur. Pada masa yang sama, kadar pengangguran dalam kalangan belia juga agak tinggi, iaitu pada kadar 10.8% pada tahun 2018. Isu di atas berlaku disebabkan ketidaksepadanan antara bekalan buruh dengan permintaan terhadap tenaga kerja di pasaran.

Terdapat kekurangan penciptaan pekerjaan, terutamanya pekerjaan berkemahiran tinggi yang sesuai dengan kelayakan siswazah muda ini. Ini telah menyebabkan ramai graduan muda yang menganggur di Malaysia, dan lebih utama mengakibatkan ramai yang bekerja di bawah potensi sebenar.

Malangnya, kerajaan tidak menerbitkan sebarang statistik mengenai pekerjaan di bawah kapasiti sebenar (underemployment) di Malaysia.”Peningkatan guna tenaga dalam kategori ini yang mampu dan mahu menerima masa kerja yang lebih banyak juga boleh dikaitkan dengan peralihan kepada situasi pekerjaan fleksibel dari segi masa dan lokasi tempat bekerja.

Antara golongan yang lazimnya berada dalam kategori ini adalah guna tenaga informal dan pekerja ekonomi lejang (gig economy) yang sinonim dengan bentuk pekerjaan tidak berstruktur. Pada tahun 2020, pendapatan purata isi rumah di Malaysia merosot 10.3 peratus berikutan penurunan dalam pendapatan pekerja bergaji dan bekerja sendiri yang menjadi punca utama bagi pendapatan isi rumah keseluruhan.

Campur tangan langsung kerajaan diperlukan untuk mengatasi masalah ini yang akan menjejaskan usaha dalam meningkatkan daya saing ekonomi kita untuk jangka masa panjang. Bagi menangani isu struktural ini, penulis mengesyorkan tiga cadangan dasar iaitu; meningkatkan kebolehpasaran graduan yang dihasilkan oleh universiti tempatan serta memberi ruang kepada pihak kerajaan bertindak sebagai majikan sementara untuk graduan menganggur. Ini membolehkan mereka dilatih dan dipertingkatkan kemahiran dalam bidang yang mampan dan mempunyai masa hadapan; dan kerjasama sektor awam dan swasta untuk memastikan pekerja dibayar gaji yang setanding dengan kos sara hidup.

Belia khususnya graduan muda, adalah salah satu tulang belakang utama untuk pembangunan negara. Belia dalam usia perdana mereka akan menjadi salah satu penyumbang utama kepada aktiviti ekonomi. Bagaimanapun, tanpa campur tangan yang tepat oleh kerajaan untuk menangani masalah pengangguran belia dan bekerja di bawah kemampuan sebenar, potensi besar generasi muda akan menjadi sia-sia.

Masalah tahap pendapatan yang rendah dalam kalangan belia hanya akan bertambah buruk jika digabungkan dengan isu-isu ekonomi lain yang juga dihadapi warga belia seperti Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kenaikan harga hartanah, peningkatan kos sara hidup, keperluan membeli kereta kerana akses terhad pengangkutan awam dan peningkatan kos penjagaan kanak-kanak. Adalah selamat untuk mengatakan bahawa salah satu daripada penyelesaian utama untuk menangani peningkatan kos ini adalah dengan meningkatkan tahap pendapatan rakyat, terutamanya warga graduan muda.

Pada masa sama, kerajaan perlu melihat kembali dasar pengambilan pekerja asing dalam negara. Memandangkan negara menghadapi pelbagai masalah akibat penularan Covid-19, penting supaya sektor pekerjaan dalam negara termasuk sektor 3D (kotor, susah, dan bahaya) diberikan keutamaan kepada warga tempatan bagi mengelak isu pengangguran membelenggu terutamanya dalam kalangan belia.

Kerajaan mesti mengambil pendekatan proaktif untuk menangani masalah ini sebelum ia menjadi masalah yang lebih besar dan tidak dapat dikawal. Pelaburan untuk belia hari ini adalah pelaburan untuk masa depan negara. Sekali lagi Majlis Pekerjaan Negara adalah medan terbaik untuk menangani isu ini. - malaysiagazette.com

Wednesday, December 29, 2021

Wujud Perbezaan Dalam Sistem Pembelajaran Kerana Sekolah Vernakular

Mahu rakyat bersatu padu tapi masih kekalkan polisi pecah belah kaum
KUALA LUMPUR – Meskipun sedikit kecewa keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung kes sekolah vernakular tidak memihak kepada empat badan bukan kerajaan (NGO), namun ia tidak mematahkan semangat mereka untuk memperjuangkan perpaduan negara.

Atas dasar itu, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) akan mengemukakan rayuan dalam tempoh 30 hari susulan keputusan berkenaan.

Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya berkata, dalam perspektif perpaduan negara, dasar dan polisi kerajaan telah menyebabkan perpecahan kaum semakin hari semakin besar retaknya – meskipun lebih 60 tahun merdeka.

Dakwanya, antara punca utama – yang telah dibuat kajian pelbagai pihak – adalah disebabkan wujudnya perbezaan di dalam sistem pembelajaran terutamanya kewujudan sekolah vernakular.

“Ini tidak diambil kira… tetapi inilah sebenarnya yang menjadi agenda utama sehingga hari ini, perkara tersebut masih lagi begitu besar jurangnya sehingga kerajaan terpaksa wujudkan menteri perpaduan,” katanya kepada pemberita di pekarangan mahkamah hari ini.

Selain itu, beliau hairan dengan tindakan kerajaan yang mengekalkan polisi yang dilihat memecah-belahkan kaum, namun pada masa sama mahu rakyat bersatu padu.

“Di mana logiknya? Ini tidak diambil kira oleh mahkamah. Bagaimanapun kita tak berputus asa dan kita telah berbincang dengan pihak peguam bahawa kita akan mengemukakan rayuan dalam masa 30 hari daripada sekarang,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi memutuskan kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular serta penggunaan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar utama di sekolah berkenaan tidak bercanggah Perlembagaan Persekutuan.

Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas menolak hujah yang dikemukakan keempat-empat plaintif.

Kesemua badan bukan kerajaan itu memohon untuk mendapatkan perisytiharan bahawa seksyen 2,17 dan 28 dalam Akta Pendidikan 1996 yang membenarkan penggunaan dua bahasa terbabit di sekolah vernakular adalah bercanggah dengan peruntukan 152(1)(a) Perlembagaan.

Mereka juga memohon perisytiharan kewujudan dan penubuhan sekolah terbabit bertentangan dengan Perlembagaan.  - ismaweb.net

Mahkamah Tolak Saman Cabar Keabsahan Sekolah Vernakular

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan saman tiga buah NGO bagi mencabar keabsahan kedudukan sekolah vernakular di sisi Perlembagaan Persekutuan.

Perkara ini disahkan oleh peguam yang mewakili plaintif-plaintif, Mohamed Haniff Khatri Abdulla sejurus pengumuman keputusan kes.

Antara alasan penolakan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur adalah, walaupun mahkamah bersetuju dengan sekolah satu aliran, namun apa yang terkandung di dalam laporan-laporan pendidikan yang ada di Malaysia tidak dipelihara oleh Perlembagaan.

“Mahkamah telah menerima pakai dan mengambil kira bahawa terdapat pelbagai laporan pendidikan yang telah disediakan sejak sebelum merdeka sehingga selepas merdeka termasuk dan tidak terhad kepada Laporan Barnes, Laporan Razak, Laporan Rahman Talib dan sebagainya dan mahkamah telah bersetuju mengatakan bahawa sepatutnya sekolah hendaklah kepada satu aliran supaya terdapat perpaduan nasional.”

“Tetapi mahkamah berpendapat bahawa apa yang terkandung di dalam laporan itu tidak dipelihara oleh Perlembagaan.”

Alasan kedua adalah, mahkamah telah membuat keputusan kerajaan perlu memberi respons yang positif demi kesejahteraan negara dan kemakmuran rakyat.

“Jadi mahkamah berpendapat bahawa sekiranya itu keputusan mahkamah, maka sekarang yang ketiganya ia berbalik kepada mana-mana kerajaan yang menerajui negara ini untuk menentukan hala tuju sama ada bahasa pendidikan persekolahan sepatutnya menjadi sumber utama perpaduan rakyat,” tambah Haniff.

Alasan ketiga penolakan permohonan saman mencabar keabsahan sekolah vernakular ini adalah kerana mahkamah berpendapat pengajaran pendidikan di sekolah-sekolah bukan satu urusan awam.

“Mahkamah berpendapat bahawa walaupun bahasa Melayu adalah bahasa nasional, yang dipelihara di bawah Perkara 152 tetapi pengajaran pendidikan di sekolah-sekolah bukannya suatu urusan awam sepertimana yang diputuskan di dalam kes Merdeka University di Mahkamah Persekutuan.”

Haniff menyatakan pihaknya telah bersetuju untuk memfailkan notis rayuan ke Mahkamah Rayuan dalam masa terdekat.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali hari ini memutuskan untuk menolak saman yang dikemukakan oleh Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA). - www.samudera.my

Politik Itu Servis, Bukan Karier

MUKADIMAH
MINGGU sudah rakyat marah apabila agensi dan jabatan kerajaan tidak cepat bertindak menyelamatkan mangsa banjir di Shah Alam, Klang dan Hulu Langat. Khabarnya, ‘kerana lambat terima arahan pihak atasan iaitu ahli politik’.

Kemarahan semakin meluap apabila ada ahli politik menyebut itu bukan bidang tugas agensi di bawahnya sehingga tular pelbagai gambar termasuk bapa dan anak kecil menebuk atap genting rumah dengan keterangan gambar: “YB tebuk atap dapat jadi menteri, rakyat tebuk atap untuk selamatkan diri”.

Berkongsi isu itu kepada wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL kelmarin, pengasas rangkaian klinik Kumpulan SP Care, DR. N. SATHIA PRAKASH, yang terlibat membantu mangsa banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam berkata, beliau memahami perasaan kecewa mangsa. Akuinya lagi, situasi di kawasan bencana tempoh hari memang huru-hara.

UTUSAN: Kelihatan ada ahli politik hanya melihat skop sempit bidang tugas diberi kerajaan dan tidak mengutamakan membantu rakyat?
SATHIA PRAKASH: Ini kerana di Malaysia mereka lihat politik adalah satu profesion (pekerjaan), sedangkan sebenarnya ia untuk memberi perkhidmatan.
Di Malaysia sekarang orang mahu masuk politik tetapi apabila ditanya apa profesion anda, mereka menjawab saya berkhidmat untuk parti selama bertahun-tahun ini. Tapi itu bukan profesion, kerja atau karier.

Politik ini adalah anda berkhidmat kepada orang ramai dan kalau anda pilih yang muda-muda (sebagai wakil rakyat)…saya bukanlah anti orang muda, ya…cuma mereka tidak melihat apa itu kehidupan.

Bagaimana mereka akan membantu orang jika tidak (pernah) menjalani kehidupan, merasai bagaimana anda bekerja untuk menyara hidup. Dan tidak benar-benar merasakan kesakitan setiap individu yang berada di bawah.

Jadi, semua orang harus mempunyai profesion terlebih dahulu sebelum anda pergi ke perkhidmatan (menjadi ahli politik). Pernah tak kita tengok di luar negara mana-mana orang menyatakan profesion mereka ialah ahli politik? Tidak ada seperti ini.

Okey, katakan ahli politik ini pengalamannya tahu politik sahaja. Dia tiada profesion dan tak ada apa-apa pun. Jadi, macam mana dia nak tolong (membantu mangsa banjir)? Apa kepakaran yang anda ada? Sekurang-kurangnya saya boleh membantu dari segi perubatan.

Tidak semua orang hanya memberi makanan. Kita memerlukan pelbagai pengkhususan. Sistem perparitan kita apa yang berlaku, kebersihan kita, sistem tandas dan pembetungan. Ahli politik juga perlu ada pengalaman menghadapi kebakaran besar dan taufan dengan pergi menolong di luar negara. Jangan ada keinginan hendak tolong tetapi jaket keselamatan dan kasut diguna pun tidak sesuai.

Mungkin mereka tidak dapat membantu kerana kereta baharu MPV tak dapat masuk kawasan banjir?
Kita lakukan sesuatu hendaklah kerana untuk beri perkhidmatan, bukan disebabkan kemewahan. Terus terang apabila saya dengar beli kereta besar-besar, beli Vellfire, beli itu beli ini, tetapi bila kecemasan macam ini, nak masuk dalam banjir, kena kenderaan mana yang boleh berguna untuk segala keadaan.

Boleh kongsi pengalaman bantu mangsa banjir di Taman Sri Muda?
Saya lihat keadaan huru-hara dan tiada kawalan apa-apa. Siapa harus disalahkan, saya tidak tahu. Saya pergi pada Ahad malam. Bila turun tolong kena buat betul-betul.

Kita kena pergi untuk melihat apa yang berlaku di sana terlebih dahulu, apa yang kita boleh tolong.

Kena buat analisis situasi terlebih dahulu kerana perlu menjaga keselamatan penduduk dan petugas-petugas yang memberi pertolongan. Saya lihat kawasan dipenuhi banjir dan ramai orang cuba membantu penduduk keluar tetapi tiada penyelarasan.

Mungkin sebab bencana itu telah berlaku dalam masa sangat singkat. Tetapi masalahnya organisasi yang besar sepatutnya sudah ada sistem amaran. Kalau kecemasan apa yang akan berlaku, selamatkan orang terlebih dahulu.

Saya sedar helikopter hanya berlegar pada hari ketiga banjir. Ke mana perginya helikopter pada hari pertama banjir? Saya dengar berita kita membeli dron bernilai berjuta-juta ringgit. Mana dron ini ketika banjir untuk mengenal pasti kawasan, masalah dan keadaan yang sedang berlaku.

Janganlah beri alasan CCTV (kamera litar tertutup) tidak berfungsi kerana tiada elektrik untuk kenal pasti apa yang berlaku di kawasan sekeliling kerana kita masih mempunyai dron. Kita belanjakan wang yang banyak untuk teknologi ini. Dengan 20 hingga 30 dron, kita sudah boleh mendapat maklumat terkini apa yang perlu dibuat.

Kenapa kita tidak gunakan pengalaman dan teknologi menangani Covid-19 bagi membantu mangsa banjir?
Macam saya katakan tadi, SMS (khidmat pesanan ringkas) itu benda yang mudah. Adakah kerajaan SMS (maklumkan) tentang banjir? Kalau kita terima pun lambat, sedangkan benda itu perlu segera dengan menyatakan banjir sedang berlaku. Ada SMS menyatakan “Warga Malaysia siap sedia menghadapi bencana banjir dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP)…” tetapi itu baru sahaja diterima.

Ada penduduk mendakwa telah menelefon agensi berkaitan tetapi bantuan tak juga tiba?
Saya diberitahu, mereka telah hubungi lima, enam agensi. Tapi tak ada orang nak tolong, kata bukan kecemasan. Tetapi ibu dekat sana dengan dua anak sudah mula menangis dan dalam keadaan keliru. Itu sebenarnya yang berlaku.

Kalau kita ada sistem, benda itu pun dah ada waktu kita melawan pandemik, jadi, tak perlu sediakan yang baharu. Cuma serapkan. Katakan nombor ini panggil, kita tahu kod nombor ini dan boleh semak untuk mengetahui apa status.

Adakah mereka tanpa makanan atau ada masalah memerlukan bantuan perubatan. Dan adakah kawasan itu perlu diletakkan dalam zon merah untuk bantuan segera? Kawasan kuning pula berwaspada supaya tidak menjadi zon merah.

Jika ada sistem seperti ini, penduduk akan puas hati kerana tahu ada prosedur perlu diikuti disebabkan tidak semua orang dapat diselamatkan secara serentak dengan pihak penyelamat masih cuba lakukan yang terbaik.

Sebagai doktor, apa kelemahan yang masih wujud dalam menangani banjir kali ini?
Kesihatan itu sangat penting. Jadi, soalan pertama saya, di mana mereka (mangsa banjir) hendak guna tandas. Kita sepatutnya menyediakan tandas bergerak di semua tempat. Saya tidak pasti sudah disediakan atau tidak. Ini kemudahan asas yang harus disediakan.

Kedua, perlu disediakan tempat untuk membuang sampah dan sampah perlu dikutip serta dibersihkan dengan segera. Saya dapati ada kawasan banjir dipenuhi minyak. Ini akan menyebabkan jangkitan penyakit kepada kulit. Saya tahu soal menjaga kebersihan bukan senang tetapi kesihatan persekitaran asas harus diutamakan. - UTUSAN

Apabila Hospital Lebih Menghargai Wang Dari Segalanya....

Jurutera dakwa perkhidmatan hospital swasta lambat faktor isteri maut
 JOHOR BAHRU: Seorang jurutera mendakwa kecuaian perkhidmatan van ambulans sebuah hospital swasta, di sini mengakibatkan isterinya yang berusia 40 tahun meninggal dunia dalam satu kejadian pada 15 Disember lalu.

Ng Chin Heng, 45, berkata, isterinya sebelum ini didiagnos menghidap kanser otak dan kanser paru-paru sejak Jun tahun lalu dan mendapatkan rawatan awal di Petaling Jaya, Selangor sebelum ini.

Katanya, pada hari kejadian, isterinya tiba-tiba muntah selepas makan malam kira-kira pukul 9 malam dan dia terus menghubungi jururawat peribadi memberitahu keadaan itu sebelum diminta menghubungi pihak hospital swasta untuk mendapatkan perkhidmatan ambulans.

“Dalam panggilan berkenaan, operator meminta butiran peribadi saya dan isteri termasuk penyakit dihidapnya dan juga alamat kediaman kami. Operator itu beberapa kali memberitahu cas ambulans adalah sebanyak RM650 dan bertanya sama ada saya mampu membayarnya. Saya beritahu saya akan bayar asalkan isteri dapat dibawa ke hospital dengan segera.

“Tetapi operator hospital itu sekali lagi bertanyakan sama ada saya mampu membayar cas tersebut, ketika itu saya sedikit kesal dan marah kerana perkara itu saya sudah jawab sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat MCA Bahagian Pasir Gudang, di sini hari ini.

Tambah Chin Heng, setelah menunggu kira-kira 10 minit, dia menerima satu lagi panggilan telefon daripada pemandu ambulans yang memaklumkan mereka sedang bersiap untuk bertolak dan meminta saya menyediakan wang RM650.

“Ketika itu saya berasa sangat sedih kerana mereka bukan sahaja kerap membangkitkan soal wang bayaran ambulans tetapi mereka juga sangat lambat bertindak ketika isteri saya sudah semakin nazak.

“Beberapa minit selepas panggilan itu, saya dapati isteri saya sudah tidak lagi bernafas dan saya terus menghubungi hospital berkenaan untuk membatalkan perkhidmatan ambulans berkenaan.

“Saya sangat kecewa dengan perkhidmatan yang disediakan pihak hospital swasta berkenaan dan berharap mereka akan melakukan penambahbaikan agar kejadian itu tidak berulang pada masa depan,” katanya.

Bapa kepada tiga orang anak itu membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut di Balai Polis Nusa Bestari, Iskandar Puteri sebelum pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) yang hadir ke rumahnya mengesahkan bahawa isterinya sudah meninggal dunia.

Sementara itu, Timbalan Ketua Biro Aduan Awam Pasir Gudang, Ang Tun Chek berkata, pihaknya berharap hospital swasta berkenaan akan lebih peka terhadap mutu perkhidmatan diberi kakitangan mereka agar kejadian sama tidak menimpa individu lain.

Dalam pada itu, pihak pengurusan hospital yang dihubungi memaklumkan mereka maklum akan kejadian tersebut dan akan melakukan siasatan berhubung perkara itu. – UTUSAN ONLINE

Tuesday, December 28, 2021

Malang Betul Malaysia Jika Ahli Politik Ibarat Boneka

BANGI – Ahli politik ibarat boneka sekiranya benar dakwaan pentadbiran negara dicatur oleh golongan kapitalis.

Ini kerana, walaupun Malaysia dikenali sebagai negara yang mengamalkan sistem demokrasi dan rakyat diberikan hak untuk menentukan masa depan negara, suara wakil rakyat seolah-olah ditenggelamkan.

Sebaliknya, ia seperti dicatur oleh satu kumpulan di belakang, dakwa Presiden Gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni sambil memberi contoh isu durian Musang King di Pahang dan isu-isu lain yang tidak mendapat pembelaan sewajarnya.

Justeru, beliau bimbang jika rakyat sudah lagi tidak percaya kepada ahli politik dan kemungkinan mereka akan melakukan suatu tindakan sendiri untuk mendapatkan pengaruh dan kuasa.

Lebih membimbangkan, sekiranya ia dilakukan luar daripada saluran ataupun batas yang dibenarkan Perlembagaan, undang-undang dan norma pengurusan yang biasa dilakukan dalam negara ini.

“Kalau itu berlaku sebenarnya negara akan berdepan suatu keadaan huru-hara.

“Ini kerana pada masa itu kita seolah-seolah tidak ada lagi pemimpin yang dihormati oleh sesiapapun dan cakapnya didengari daripada kalangan rakyat,” katanya.

Bahkan katanya, sekarang sudah ada seolah-olah suatu petanda rakyat tidak kisah siapa yang menjadi wakil rakyat.

“Dan kita juga melihat dalam sesetengah Pilihan Raya Kecil (PRK) bagaimana peratusan keluar mengundi juga menurun mungkin disebabkan faktor ini.

“Faktor di mana rakyat sudah tidak kisah siapa yang naik untuk menjadi Ahli Parlimen, ADUN dan seumpamanya,” katanya. - ismaweb.net

Banjir: Inilah Balasan Tidak Menghormati Alam

MALAYSIA berduka baru-baru ini akibat banjir besar yang julung kalinya merempuh tembok keakuan manusia moden.

Manusia ­fikirkan di balik tembok konkrit dan gagahnya batu bata, mereka dapat bersembunyi daripada arus banjir yang marah. Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang bersedih.

Tidak disangka, Lembah Klang sebagai kawasan yang paling teruk terjejas hampir lumpuh dipukul banjir kali ini. Kita Malaysia berkongsi dukacita terdalam.

Sebanyak 7.2 juta rakyat berdiam di selingkar Lembah Klang yang membawakan semangat kosmopolitan ibu negara dengan kepelbagaian kaum dari negeri berlainan.

Lembah Klang, jantung Malaysia tersakiti dipukul banjir. Arus keras merempuh bangunan batu bata dan merempuh sekali hati-hati manusia yang masih bernyawa.

Sayu melihat mereka yang tersimbah musibah ini. Lembah Klang serta bumi tanah air yang tersakiti oleh tangan-tangan penjarah dalam kalangan manusia sendiri atau kapitalis perosak yang mengganggu keseimbangan alam sekitar.

Banyak analisis dibentangkan oleh pakar berautoriti, mengapa fenomena kali ini luar daripada biasa? Salah satu daripada banyaknya punca banjir di kota raya kata mereka ialah permukaan tanah semakin berkurang untuk bertugas menyerap, menakung dan menyimpan limpahan air.

Banyak tanah diturap dan dikonkritkan untuk ditegakkan bangunan. Faktor berlakunya banjir kilat pula ialah masalah pembuangan sampah yang dihumban ke dalam longkang. Oleh siapa?

Tanpa menyebut kategori sosial mereka, ia tidak ditentukan oleh latar belakang pendidikan dan status, cuma boleh dikelompokkan mereka muncul daripada kategori sosial yang berminda singkat.

Analisis yang dibentangkan oleh Profesor Datuk Dr. Azizan Abu Samah dari Universiti Malaya menarik dimajukan. Curahan hujan kali ini empat kali ganda lebih banyak daripada biasa akibat tekanan rendah di tengah Semenanjung.

Tekanan rendah ini yang menjana hujan secara besar-besaran berbanding ribut petir biasa. Hujan lebat bukan turun di Lembah Klang. Hujan besar-besaran turun di Banjaran Titiwangsa.

Air hujan di Banjaran Titiwangsa inilah masuk ke sungai-sungai utama di Selangor. Kesannya, sebahagian besar sungai di paras bahaya. Lebih buruk, kawasan Klang berdepan air pasang besar.

Tidaklah tinggi daripada yang pernah direkodkan, namun memberi implikasi air dari darat tidak dapat keluar lancar seperti biasa.

Intensiti curahan air hujan dengan rekod taburannya dalam tempoh sebulan turun dalam masa 24 jam turut dijelaskan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Dr. Zaini Ujang.

“Taburan hujan 24 jam di Sentul sebanyak 363 milimeter (mm), di tempat lain seperti di kilometer 11 daerah Gombak sebanyak 247 mm, di Jinjang 258 mm dan di Jalan Tun Razak 273 mm. Berbanding keseluruhan taburan hujan di kawasan terbabit kira-kira 2,400 mm setahun,” jelasnya.

Kesudahannya, kita dapat menyaksikan foto dan video kesan yang menyebabkan kerugian daripada rakan dan kenalan melintas di dinding media sosial membawa kita kehilangan kata-kata.

Betapa dahsyat banjir kali ini. Betapa berkuasanya Allah SWT dan lemahnya manusia. Tiada yang dimiliki kekal hatta diri sendiri. Apakah puncanya?

Alam adalah ‘teknologi’ paling stabil, paling tertib dan tersistem. Apabila alam dipaksakan berubah menurut selera para pemodal, ramai masyarakat menerima kesannya.

Oleh: MUHAMAD HANAPI JAMALUDIN
Ketua Penerangan Gerakan Belia 4B Malaysia.

Terence Gomez Letak Jawatan Panel SPRM, Dakwa Dakwaan Babit Pegawai Tinggi Tak Dibincangkan

PETALING JAYA: Ahli ekonomi, Edmund Terence Gomez, meletak jawatan sebagai ahli panel Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia selepas mendakwa panel itu gagal membincangkan laporan-laporan yang membabitkan pegawai-pegawai tinggi SPRM.

Gomez dalam surat letak jawatannya berkata timbul persoalan berhubung “hubungan antara perniagaan dan pihak penguatkuasa”, dan situasi “konflik kepentingan” membabitkan pegawai tinggi SPRM dan dakwaan bahawa pegawai itu memiliki saham.

Gomez juga berkata bekas pegawai tinggi SPRM didakwa terbabit dalam situasi konflik kepentingan, sekaligus mencadangkan “ada suatu trend di institusi itu (SPRM) yang mesti disiasat segera”.

Gomez berkata beliau sudah tiga kali menulis kepada Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah, Borhan Dolah, menggesa panel membincangkan perkara itu.

FMT sedang mendapatkan respons Borhan.

Beliau juga tiga kali menulis kepada Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Abu Zahar Ujang, menyarankan perkara itu dibincangkan di lembaganya.

Gomez ketika dihubungi memaklumkan surat perletakan jawatan sudah diserahkan kepada Borhan.

Salinan surat turut diserahkan kepada media kerana beliau khuatir panel perundungan dan lembaga penasihat tidak bertindak ke atas dakwaan yang mengaitkan pegawai tinggi SPRM terbabit, katanya.

Gomez menamakan pegawai terbabit dalam suratnya bagi melindungi integriti SPRM.

Gomez berkata beliau mula sedari tentang dakwaan terhadap pegawai tinggi SPRM itu dalam artikel yang disiarkan di satu laman sesawang, dan menulis kepada Borhan tentang artikel berkenaan.

“Saya tekankan bahawa maklumat yang saya terima itu amat membimbangkan kerana ia berdasarkan penyelidikan yang ekstensif. Penulis laporan itu turut menamakan dirinya, menunjukkan panel boleh menghubunginya untuk membincangkan perkara itu,” katanya.

Gomez dukacita lembaga penasihat tidak membincangkan perkara itu meskipun isu itu timbul di Parlimen pada 14 Dis, dan mendapat liputan meluas.

Beliau menambah pegawai tinggi SPRM terbabit belum membuat sebarang kenyataan terbuka atau menjawab kenyataan wakil rakyat berhubung dakwaan-dakwaan itu.

Gomez beritahu FMT beliau sedang mendorong panel untuk respons kepada isu berbangkit.

“Surat itu dihantar kepada media untuk menguar-uarkan kengganan untuk bertindak ke atas isu penting ini.

“Media harus bantu laporkan perkara ini sehingga siasatan bebas dilakukan. Perdana Menteri juga harus bertindak bagi melindungi integriti SPRM,” katanya.

Beberapa Ahli Parlimen PKR pada 14 Dis menarik perhatian Dewan Rakyat kepada dakwaan membabitkan seorang pegawai tinggi SPRM. Ahli Parlimen Sungai Buloh, Sivara Rasiah, menyeru pihak berkuasa menjalankan siasatan bebas terhadap pegawai berkenaan.

Gomez dilantik ke panel itu bagi tempoh dua tahun bermula 1 Jun 2020, dan sepatutnya tamat pada 31 Mei tahun depan. - freemalaysiatoday.com

Monday, December 27, 2021

Peti Sejuk Kecemasan Tanpa Elektrik...

Tahukah anda, suatu ketika dahulu, seorang Muslim berwarganegara Nigeria pernah membangunkan teknologi peti sejuk tanpa elektrik.

Mohammed Bah Abba, seorang pensyarah kolej di Nigeria telah mencipta peti sejuk ini menggunakan dua periuk tanah liat; sebuah besar dan sebuah kecil lewat tahun 90-an dahulu.

Menggunakan Sistem Pemeliharaan Penyejukan Periuk Di Dalam Periuk (Pot-in-Pot Preservation Cooling System), beliau berjaya memanjangkan tempoh hayat makanan yang cepat rosak dan basi.

Bagaimana peti sejuk tanpa elektrik ini berfungsi?

Muhammad meletakkan periuk yang lebih kecil ke dalam periuk yang besar. Ruang antara kedua-dua buah periuk itu akan dimampatkan dengan tanah lembap. Setelah makanan dan minuman diisi ke dalamnya, periuk yang kecil akan ditutup dengan kain basah.

Air dari tanah yang dimampatkan akan tersejat ke udara. Proses ini membuatkan suhu periuk kecil menjadi serendah 40°F/14°C!

Makanan yang sebelum ini rosak dalam masa beberapa hari kini tahan lebih dari 20 hari.

Bukan sahaja tidak menggunakan elektrik, peti sejuk ini juga bahkan mudah alih!

Jadi, tidak hairanlah apabila beliau mendapat Anugerah Rolex Untuk Enterprise 2001 atas hasil inovasi ini.

Sebelum meninggal dunia pada tahun 2010, Mohammed Bah Abba mengupah pembuat periuk tempatan untuk menghasilkan ciptaannya sebanyak 12,000 unit dan memberikannya secara percuma kepada penduduk kampung Jigawa, Nigeria.

Semua itu menggunakan duitnya sendiri dan sistem peti sejuk tanpa eletrik yang sampai ke tangan penduduk juga telah ditambah baik sebelum itu. - www.samudera.my

Benarkah Kita Lambat Bertindak?

HUJAN lebat turun tanpa henti setelah beberapa hari. Masyarakat masih leka dengan kegiatan harian mereka. Tiada yang menjangka hujan berderu ini bakal membawa gelombang air bah begitu mengempoh dan meluap sehingga kebanyakan mangsa hanya sempat bergegas menyelamatkan nyawa mereka sehelai sepinggang. Harta mereka binasa dihanyut banjir.

Mangsa-mangsa berlindung di atap bangunan dan kawasan tinggi. Terperangkap dikepung air tanpa makanan, perubatan atau bekalan asas. Lebih memburukkan keadaan, ada mangsa terpaksa menunggu lebih dari 12 Jam sebelum bantuan tiba daripada agensi-agensi kerajaan.

Kejadian banjir bukanlah perkara baharu bagi Malaysia. Boleh dikatakan berbanding semua bencana di negara ini, banjir adalah yang paling kerap dan membawa kerosakan paling besar setiap tahun. Namun, tindakan agensi-agensi kerajaan yang kurang berdaya menunjukkan kelemahan ketara pada keupayaan dan keselarasan dalam menangani malapetaka ini.

Di negara ini, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) adalah pihak berkuasa bagi kerja-kerja penyenggaraan saliran yang diiktiraf, malah bertanggungjawab juga dalam isu pencegahan banjir. Dasar dan strategi tebatan banjir utama JPS sebahagian besarnya terdiri daripada langkah-langkah pembinaan struktur (contohnya empangan dan benteng untuk mengawal aliran banjir).

Namun, strategi pembinaan struktur ini mengambil masa lama dan kos yang tinggi. Akibatnya, peruntukan kewangan untuk projek tersebut meningkat dengan ketara dan memberi tekanan besar kepada kerajaan. Daripada insiden banjir baru-baru ini, jelas perbelanjaan tinggi ini tidak dapat mengatasi bencana banjir yang makin serius di pasca era kehangatan global kini.

JPS juga bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan ramalan dan amaran banjir kepada orang ramai. Ia menubuhkan sistem pemantauan banjir kebangsaan berasaskan internet yang dikenali sebagai Infobanjir di mana data hujan dan paras air boleh dikumpulkan untuk seluruh negara.

Malangnya, maklumat ini gagal dimanfaatkan dan disebarkan kepada penduduk di kawasan bahaya banjir agar mereka membuat perancangan dan persediaan sesuai. Kegagalan merancang adalah merancang untuk gagal, namun bagaimana perancangan hendak dibuat tanpa maklumat?

NADMA
Jentera bantuan bencana banjir adalah di bawah Jawatankuasa Bantuan Bencana Alam (NDRC) dengan sekretariatnya dalam Majlis Keselamatan Negara (MKN), Bahagian Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri mempunyai objektif utama untuk menyelaraskan operasi bantuan dalam menyediakan bantuan kewangan daripada negara di bawah Tabung Bantuan Bencana yang disasarkan kepada mangsa bencana. Pun begitu, harus ditekankan, jentera bantuan ini hanya bertindak secara reaktif (reactionary), iaitu selepas terjadinya sesuatu peristiwa banjir.

Pada Oktober 2015, Kerajaan Persekutuan menubuhkan sebuah agensi khas, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), khusus untuk pengurusan risiko bencana dan perkara lain berkaitan dengannya. NADMA dikawal selia di bawah Arahan No. 20 MKN dan semua perkara berkaitan bencana diuruskan oleh jawatankuasa tiga peringkat, iaitu Jawatankuasa Pusat Pengurusan dan Bantuan Bencana (CDMRC) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri di peringkat Persekutuan, Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Negeri (SDMRC) yang dipengerusikan oleh setiausaha negeri dan Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Daerah yang dipengerusikan oleh pegawai daerah.

NADMA secara teorinya bertanggungjawab ke atas semua operasi pascabanjir di peringkat kebangsaan, negeri, daerah, mukim dan kampung. Bagaimanapun, kebanyakan operasi di setiap negeri dibiarkan dikendalikan oleh pihak berkuasa negeri masing-masing. Kegagalan keselerasan ini dapat dilihat apabila pihak yang mempunyai kemampuan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terpaksa menjalankan kegiatan menyelamat dan membantu mangsa banjir tanpa menunggu arahan daripada NADMA mahupun kerajaan negeri.

Ini adalah kegagalan institusi yang jelas dan nyata sehingga memberikan kesan kepada mangsa banjir yang terpaksa menunggu sehingga tiga hari sebelum bantuan sewajarnya tiba. Terdapat juga kekurangan dari segi penyertaan pihak berkepentingan walaupun pihak berkuasa mengiktiraf peranan penting pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terutama Mercy, Palang Merah, Bulan Sabit Merah dan lain-lain.

Namun, terdapat kekurangan dalam melatih kemahiran ahli bukan kerajaan dan membekalkan mereka dengan peralatan-peralatan seperti sampan dan bot. Ini berkemungkinan disebabkan oleh kebergantungan besar masyarakat kepada kerajaan dan keengganan kerajaan untuk melepaskan tanggungjawab kepada orang awam.

Ini adalah satu kegagalan ketara kerana dalam insiden banjir di Lembah Klang baru-baru ini, ahli-ahli NGO dan masyarakat prihatin tiba jauh lebih awal sebelum agensi kerajaan yang dibiayai. Namun, mereka hanya mampu berputih mata kerana tidak mempunyai alatan sesuai bagi melaksanakan operasi menyelamatkan mangsa-mangsa yang terperangkap.

Apa guna kerajaan membelanjakan wang yang besar daripada jumlah terkumpul cukai yang dibayar rakyat jika manfaat tidak dirasai semasa bencana melanda kami?

Oleh: Megat Syazlee Mokhtarom

Bencana: Kembalikan Tugas Kepada PDRM & ATM Sebelum Terlambat

KUALA LUMPUR – Keadaan kelam kabut pengurusan bencana banjir yang tidak cekap di Malaysia hari ini mendapat perhatian banyak pihak termasuk mantan Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Hanif Omar yang turut menasihatkan semua pihak agar pulang ke pangkal jalan, sebelum terlambat.

“Nasihat saya, balik ke pangkal jalan dan serah kembali tugas kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menerajui agensi-agensi awam di bawah POMAN atau Public Order Manual yang ditandatangani oleh Inspector General of Police (IGP) dan Panglima Angkatan Tentera (PAT),” tegas Tun Mohammed Hanif Omar.

Beliau berkata, jika dahulu kita ada Pusat Kawalan Malaysia, (MCC-Malaysian Control Centre), Suruhanjaya Aduan Khas (SCC-Special Complaints Commission) dan Pusat Kawalan Daerah (DCC-District Control Center) di 3 peringkat PDRM ini dan di situlah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta wakil agensi-agensi kerajaan berpusat.

“Tetapi, ada lain pihak hendakkan kuasa dan kejar kemasyhuran atau populariti agaknya dan merampas peranan dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara NADMA (National Disaster Management Agency), malangnya mereka ini tak tahu buat kerja kerana tidak terlatih dan tak pernah berlatih.”

Ia amat berbeza dengan polis, tentera serta Palang Merah waktu dahulu yang diberi latihan secukupnya.

“Mereka dahulu menjalani latihan paper moves dan physical moves tiga atau empat bulan sekali sehingga petugas-petugas sangat terlatih, cekap dan cukup mahir untuk menghadapi sebarang kemungkinan seperti bencana banjir yang sedang berlaku di negara kita hari ini dan sebagainya,” tambah Tun Mohammed Hanif.

Menyentuh persoalan mengenai apakah banjir yang sedang melanda Malaysia sekarang ini permulaaan kepada krisis iklim, beliau berkata, perkara ini tiada permulaan yang mendadak kerana ia telah bermula lama dahulu sedikit demi sedikit.

“Kemungkinan banjir yang sedang melanda Malaysia sekarang tidaklah seteruk yang diramal akan berlaku kerana Monsun (Timur Laut) belum sampai di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor. Jadi bersedialah menghadapi sebarang kemungkinan yang lebih besar mengenai bencana alam ini.”

Justeru, beliau menegaskan dan menasihatkan agar semua pihak menyerahkan kembali tugas menguruskan bencana kepada PDRM dan ATM.

“Sekali lagi saya nasihatkan semua pihak agar pulang ke pangkal jalan, serah kembali tugas kepada PDRM dan ATM untuk menerajui agensi-agensi awam di bawah POMAN yang ditandatangani oleh IGP dan Panglima PAT, sebelum terlambat,” kata beliau mengakhiri kenyataan. - www.samudera.my

Demokrasi Atau Sebenarnya..Plutokrasi?

PILIH saja mana-mana rakyat di negara ini dan jika ditanya apakah bentuk sistem politik di negara ini? Nescaya tanpa berfikir panjang mereka akan menjawab ‘demokrasi’.

Hujahnya mudah saja iaitu setiap lima tahun rakyat akan memilih di peti undi untuk pemimpin yang mereka percaya. Tidak ada sesiapa yang boleh memaksa untuk mana-mana pengundi memilih siapa yang mereka fikirkan layak untuk memimpin. Sistem politik ini telah berjalan lebih dari 60 tahun dan masyarakat sudah menerimanya sebagai sistem yang terbaik.

Kebebasan untuk memilih inilah yang dianggap ‘demokrasi’ kerana pemimpin boleh ditukar sekiranya mereka gagal menjalankan tugas di kawasan masing-masing. Akhirnya parti mana yang mendapat majoriti kerusi di dalam Parlimen maka merekalah yang akan memerintah negara.

Semua kita tahu bahawa demokrasi membawa konsep dari rakyat, kepada rakyat dan untuk rakyat. Namun realitinya tidak sebegitu kerana walaupun rakyat diberikan ‘kebebasan’ untuk memilih pemimpin setiap lima tahun tetapi keadaan rakyat masih tidak berubah. Malah kalau dilihat dari segi ekonomi keadaan rakyat semakin menuju jurang kefakiran. Sebaliknya yang terus mengaut keuntungan adalah golongan taikun dan jutawan yang semakin meratah segala khazanah negara.

Ada yang mengatakan polisi-polisi negara dibuat hasil dari suara dan pandangan rakyat. Desakan rakyat sama ada dari NGO mahupun orang perseorangan boleh menentukan dasar kerajaan.

Adakah ini benar atau hanya sekadar retorik politik untuk mengaburi mata rakyat? Jika benar begitu maka kenapakah nasib rakyat tidak berubah?

Kenapakah golongan B40 semakin tertekan?

Mengapa jurang pendapatan semakin melebar antara kaum?

Kenapa perpaduan kaum masih menjadi dogma yang tidak selesai sehingga hari ini?

Mengapakah projek-projek mega masih dikaut oleh kroni?

Walaupun agensi-agensi kawalan telah banyak ditubuhkan tetapi kenapa rasuah masih berleluasa?

Pelbagai persoalan lain yang boleh dinyatakan tanpa mempunyai jawapan yang konklusif.

Sebenarnya negara kita bukan lagi mengamalkan demokrasi tetapi plutokrasi. Ertinya polisi dan dasar kerajaan ditentukan bukan dengan melihat nasib rakyat tetapi ditentukan oleh golongan taikun dan jutawan.

Merekalah yang memainkan peranan di belakang tabir menarik hidung para politikus yang bergantung harap kepada ‘funding’ dari mereka. Setiap kali PRU diadakan, kita akan mendengar berbilion duit dihabiskan untuk berkempen, mengumpan petugas dan pengundi.

Sering juga akhbar-akhbar melaporkan bagaimana rumah-rumah pemimpin dipenuhi jutaan wang tunai. Baru-baru ini kita dikejutkan bagaimana taikun-taikun ini mempunyai akaun persisiran yang berjumlah berbilion ringgit. Dari manakah pemimpin-pemimpin ini mengaut hasil mahsul yang begitu banyak walhal gaji menteri tidak seberapa kalau bukan dari taikun-taikun?

Berapa banyak kes-kes rasuah yang dilaporkan tetapi dipadam begitu sahaja? Kenapa ini berlaku? Kerosakan kepada alam sekitar sama ada hutan dan sungai sudah acap kali dilaporkan sehingga berlaku pencemaran yang dahsyat dan mengakibatkan kematian tetapi masih tidak ada tindakan yang tegas. Malah taikun-taikun ini diberikan pelbagai pilihan dan ruang untuk terus mengaut keuntungan pula.

Apakah ini semua berlaku begitu saja tanpa ada imbuhan yang perlu dibayar kepada ‘penderma’ ini? Mustahil tidak ada pulangan yang diberikan kepada penderma ini bak kata sesetengah orang tidak ada ‘free lunch’ dalam hidup ini, maka sebab itu kita dengar bagaimana perompak dan pengganas diberikan pelbagai anugerah walaupun dalam usia yang sangat muda.

Apakah dengan keadaan begini kita yakin polisi dan dasar kerajaan akan mengutamakan nasib rakyat atau terpaksa mengikut selera taikun-taikun? Apa yang jelas kita lihat nasib rakyat terus dirundung malang. Mana mungkin negara akan mencapai ke mercu kegemilangan jika sistem plutokrasi ini terus berjalan.

Tidakkah sudah sampai masa untuk rakyat memikirkan sistem politik baru untuk negara kita?

Fikir-fikirkan.

Oleh: Haji Aminuddin Yahaya
Pengerusi PEMBELA

Thursday, December 23, 2021

Perihal Kontroversi Penyepit

WALAUPUN kiasannya tidak tepat, kontroversi mengenai penggunaan penyepit dan bukannya tangan untuk makan oleh etnik Cina, walaupun sudah sekian lama tinggal di negara ini, adalah sebenarnya persoalan tentang integrasi, yang merupakan asas penubuhan negara dan pembentukan negara bangsa kita.

Ia didapati tidak terhasil seperti yang diingini, khususnya dalam kalangan etnik Cina. Sehubungan ini, mereka ditanggap sebagai belum bersedia waima sudah lama berada di negara ini, malah ikut didakwa enggan berintegrasi seperti yang sepatutnya sebagai warganegara yang baik.

Integrasi adalah proses kemasyarakatan untuk kelompok minoriti bergaul mesra dengan kelompok majoriti bagi diserapkan ke dalam komuniti utama yang dipimpin kelompok majoriti. Ia penting agar kelompok minoriti bukan sahaja dapat diterapkan ke dalam komuniti nasional, tetapi juga dihubungkaitkan dengan kelompok majoriti selaku kelompok dominan.

Dengan kata lain, integrasi adalah proses pergaulan formal antara kelompok minoriti dengan majoriti untuk membentuk unit lebih besar lagi utuh.

Di Malaysia, ia memang formal kerana prosesnya berasaskan Perjanjian Etnik yang dipersetujui bersama antara Melayu-Cina-India, yang kini lebih dikenali secara longgarnya sebagai Kontrak Sosial.

Pada perjanjian ini, bukan sahaja persefahaman, tetapi pemeteraian sistem yang perlu dikongsi bersama-sama, disepakati sepenuhnya. Antaranya ialah penggunaan lambang dan proses sosiobudaya Melayu untuk identiti nasional negara dan identiti budaya rakyat.

Sebenarnya kiasan penyepit itu ingin menyentuh dua persoalan penting. Pertama ialah sejauh manakah etnik Cina menyanjungi selain menghormati perjanjian ini. Inilah yang sebenarnya mahu dibangkitkan setelah etnik Cina didapati tidak sudi menjalani kehidupan nasional seperti yang dipersetuju pada perjanjian itu, khususnya dalam bidang sosiobudaya.

Kedua ialah adakah etnik Cina telah berusaha dan bersungguh-sungguh pula, untuk ikut mengangkat aspirasi negara? Antaranya kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa negara, dengan betul-betul mahu mengetahuinya untuk benar-benar menguasainya.

Berkenaan dua persoalan ini, sama sekali tidak salah jika dikatakan secara umumnya etnik Cina gagal memperlihat nilai kebersamaan pada diri mereka, untuk sama-sama memenuhi aspirasi nasional yang ada pada perjanjian itu.

Sebenarnya kebersamaan ini bersifat wajib kerana ia berupa kewajipan etnik Cina melangsaikan bahagian mereka pada perjanjian itu, antaranya melalui bahasa Melayu.

Dengan kelakuan kebahasaan yang langsung tidak mahu menitikberatkan bahasa Melayu yang merupakan bahasa negara, walaupun diakui sedia menerimanya dalam peranan kenegaraan itu, etnik Cina didapati bukan ahli yang baik dalam gabungan komuniti nasional.

SERAKAH
Ini kerana integrasi adalah juga proses perkumpulan, yakni kerjasama antara semua kumpulan yang terlibat bukan sahaja penting, tetapi wajib untuk memupuk dan melestarikan hubungan yang baik.

Selain ini, integrasi juga penting untuk menggiatkan hubungan aktif antara semua kumpulan untuk membentuk satu kesatuan, bagi mengelak keadaan semua kumpulan itu hanya wujud sebelah-menyebelah tanpa bersatu pun.

Sebetulnya, integrasi bertujuan menyatukan pelbagai etnik yang tidak sama, tanpa adanya sebarang keperluan untuk setiap etnik itu meleburkan identitinya. Yang diperlukan hanyalah penyesuaian dengan etnik lain, khususnya yang majoriti.

Oleh itu, etnik Cina tidak seharusnya cuba melawan untuk menolak integrasi dengan cara, antaranya tidak mahu mengetahui untuk menguasai bahasa Melayu pada tahap integratif, iaitu untuk berintegrasi dengan etnik Melayu dalam gabungan komuniti nasional.

Malangnya, hal yang sebaliknya berlaku. Ini dapat dilihat apabila etnik Cina rata-ratanya mempelajari bahasa Melayu atas hanya orientasi instrumental, iaitu untuk memenuhi syarat penting kerana bahasa Melayu adalah mata pelajaran wajib lulus.

Oleh sebab sikap beginilah, yakni tiada usaha integratif langsung, dan yang ada pula merupakan sifat materialistik sahaja, etnik Cina ditanggapi bukan sahaja sebagai tiada perwatakan baik untuk disukai, melainkan dibenci kerana sikap buruk yang diperlihat oleh mereka sendiri.

Ia juga dipersepsikan sebagai mereka tidak ada rasa kebanggaan, kecintaan, apatah lagi kesetiaan kepada negara ini, meskipun ikut mengakuinya sebagai tanah air mereka.

Sudah tiba masanya etnik Cina berubah daripada perangai hanya mementingkan diri sendiri kepada watak bekerjasama, khususnya dengan etnik Melayu selaku kelompok majoriti dan dominan, untuk disukai.

Dalam hal ini, etnik Cina harus bekerja keras untuk menukar imej rakus bagi diri sendiri sahaja yang selama ini dikaitkan dengan mereka, kepada imej sebaliknya kini, iaitu tidak serakah lagi.

Apabila perubahan ini terjadi, akan lahirlah ikatan sosial yang sangat diperlukan untuk menjana integrasi sebagai kesatuan semua etnik, dan bukannya integrasi yang hanya terdiri daripada semua etnik, tetapi tiada kesatuan di dalamnya.

Dengan ini, integrasi di negara ini bukan lagi sekadar nama sahaja, tetapi betul-betul yang berjaya mewujudkan keadaan perpaduan dalam kalangan semua etnik, yang bukan sahaja sama-sama berkongsi kehidupan nasional yang satu, baik dari segi sosiopolitik, sosioekonomi mahupun sosiobudaya.

Tetapi lebih penting lagi ialah semua etnik sama-sama menjaga keharmonian negara agar Malaysia dapat terus maju dan berjaya.

Oleh: Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong

Banjir Dan Kegagalan Urus Sungai

Tragedi di Lembah Klang. Hujan lebat berterusan sejak Jumaat menyebabkan banjir paling buruk di kawasan paling padat penduduk di negara ini. Kira-kira lapan juta penduduk di Lembah Klang bangun pada hari Ahad hanya untuk menyaksikan kemusnahan akibat banjir yang tidak dijangka.

Video air naik, jalan dan rumah tenggelam, ribuan pemandu dan penumpang tersekat di lebuh raya dan ramai yang tidur di dalam kereta, air sungai melimpah, dan penduduk terperangkap di rumah masing-masing.

Kebanyakan sungai di Lembah Klang terus tidak surut ketika Minda Pengarang ini ditulis. Beberapa lebuh raya masih terus tidak boleh dilalui.

Penduduk di kawasan rendah terus tidak tidur lena. Kerajaan membantu dengan mengarahkan semua aset tetapi ramai tidak tidur lena. Ada yang sibuk mengalihkan kereta ke kawasan tinggi maka rakyat yang prihatin membantu seboleh mungkin.

Berbanding di Pantai Timur yang sentiasa bersedia menghadapi ujian alam ini, penduduk dan pihak berkuasa Lembah Klang jelas tidak bersedia. Ada mengatakan bahawa ia kerana jumlah hujan yang tinggi yang tidak dijangka atau air pasang laut. Setiap kali berlaku banjir, hujan luar biasa tinggi menjadi alasan.

Memang manusia tidak mampu mengalahkan kekuatan alam. Kuasa alam lebih kuat daripada teknologi. Tetapi cuba beri alasan sama kepada mangsa yang kehilangan semuanya. Secara keseluruhan banjir di Lembah Klang telah menyebabkan kerugian bernilai ratusan jutaan ringgit.

Memang hujan tidak dapat dielak tetapi apa yang nyata kegagalan manusia memburukkan kejadian banjir ini. Kenapa tiada amaran awal bahawa jumlah hujan “luar biasa” akan dialami di kawasan terbabit?

Bukankah ada banyak aplikasi menunjukkan pergerakan awan dan hujan, kenapa tiada usaha memberi amaran awal?
Kedua paling nyata sistem pengairan dan perparitan di Lembah Klang. Pembangunan di Lembah Klang menyebabkan ada lapan juta penduduk menjadikannya rumah mereka.

Apa yang nyata kelemahan sistem sungai di Lembah Klang. Daerah Klang terjejas teruk selepas Sungai Binjai, Sungai Klang, dan Sungai Rasau melimpah. Sungai Bernam di Hulu Selangor, Sungai Langat, Kuala Langat; Sungai Selangor, dan Sungai Buloh, Kuala Selangor; Sungai Klang, Sungai Damansara, Sungai Semenyih, Sungai Jijan, dan Sungai Kuang semua memecah tebing.

Mungkin ramai lupa kejadian banjir berpunca dari Sungai Damansara dengan lebih 9,000 orang dipindahkan pada 26 Februari 2006. Penduduk yang trauma kemudian berpindah ke tempat lain. Tiada siapa inginkan kawasan itu sehingga nilai hartanah di kawasan itu merudum. Perkara sama akan berlaku.

Sememangnya banjir adalah kuasa alam. Tetapi apa yang perlu kita tanya berapa kali semua sungai ini didalamkan atau dibesarkan.

Berapa kali operasi meningkatkan kedalaman sungai dilakukan sejak dua dekad lalu di semua sungai. Pergerakan air membawa mendapan. Ia mengurangkan kedalaman sungai sekali gus mengurang keupayaan menampung air. Tiba masanya pihak berkuasa memberi tumpuan memperbaiki semua sungai di Lembah Klang atau membina sistem tadahan sementara.

Kajian harus dilakukan untuk mengetahui keupayaan sebenar setiap sungai menampung jumlah air supaya malapetaka sama dapat dikurangkan. Ini Lembah Klang yang menyumbang kira-kira 60 peratus kepada ekonomi negara. Air hujan luar biasa mungkin menyebabkan banjir. Mungkin bukan kebijaksanaan luar biasa diperlukan bagi mengurangkan kesan banjir.

Oleh: Mohamad Azlan Jaafar

Memang Tidak Wajar Memberi Laluan Pada Singapura Untuk Mengawal Operasi

Utamakan rakyat kita dahulu
PROJEK Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) – pelan mesti dipinda dan pelaksanaannya mesti dibikin sampai jadi. Namun, kali ini kerajaan perlu lebih berhati-hati.

Letakkan kepentingan nasional dan strategik sejajar dengan manfaat perniagaan, penghubungan, industri tempatan serta hubungan sosial yang dijana.

Tanpa emosi atau sentimen, kerajaan perlu meneliti punca, logik atau alasan kerajaan Pakatan Harapan (PH) membatalkan pelaksanaan projek HSR pada 2018. Ini memerlukan semakan dan penjajaran semula keseluruhan koridor termasuk trek laluan, struktur dan reka bina, lokaliti, penjimatan kos serta impak dalam pelbagai sudut mahupun bidang.

Dengan separuh daripada kira-kira 335 kilometer landasan berada di atas bumi Johor, saya terpanggil untuk sama-sama mengambil tahu mengenai idea dan hala tuju projek HSR yang sangat signifikan serta relevan ini. Apatah lagi, saya hendak mengaitkan pelaksanaan HSR dengan usaha merangsang dan memacu pertumbuhan ekonomi di semua peringkat dalam fasa pemulihan negara sekarang.

Bagi projek ini, kerajaan perlu mempertimbangkan di mana daya maju dan kemampanan kewangan negara yang sedia terbeban dengan pelbagai komitmen. Sebaliknya dengan trend pertumbuhan ekonomi di seluruh dunia yang rata-rata dipacu pelabur swasta, justeru wajar bagi kerajaan melihat pelaksanaan HSR 2.0 menerusi pendekatan sama. Pihak swasta mesti digembleng dan dilibatkan dengan pelaburan projek pembangunan infrastruktur strategik negara seperti HSR yang boleh menjana impak serta pulangan ekonomi besar kepada negara.

Lagipun, dengan melihat trend pasca Covid-19, penting bagi kerajaan meninjau pelaksanaan HSR 2.0 ini dengan lebih ekonomik dan mengoptimumkan manfaatnya.

Antaranya, projek HSR mesti dilihat dari sudut impak membina semula perniagaan dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana selain mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk penduduk setempat.

Dan tidak kurang pentingnya, kerajaan mesti bersikap ‘rakyat dahulu’ dan ‘pelabur tempatan dahulu.’ Sebelum ini ada kritikan HSR akan memberi manfaat kepada kepentingan perniagaan besar, pelabur dan pembiaya asing. Jangan sekali-kali mengutamakan pihak asing kerana penyertaan mereka dalam projek nasional dan strategik mungkin datang bersama kepentingan atau agenda tersembunyi tertentu yang boleh memerangkap, membelenggu atau merugikan negara.

Saya tertarik saranan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Persidangan Agung Tahunan Keempat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), 20 Disember lalu.

Beliau berkata: “Kita tidak perlu menunggu pihak Singapura untuk terlibat semula dalam projek ini. Semasa saya menjadi Perdana Menteri, kita telah batalkan perjanjian dengan Singapura untuk pembinaan HSR atas faktor kedaulatan negara.

“Perjanjian HSR yang ditandatangani oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini mempunyai terma-terma berat sebelah yang boleh dikatakan mencabuli hak kedaulatan negara kita. Ini termasuk kawalan Singapura ke atas Assets Co. yang akan mengendalikan operasi HSR di Malaysia.”

KECUAIAN
Jadi, untuk ‘kecuaian’ kerajaan BN lalu, negara perlu membayar pampasan kepada Singapura kerana pembatalan projek tersebut. Namun, nilai menebus kedaulatan ternyata sangat mahal. Lagipun, hakikatnya 96 peratus pengurusan HSR dilakukan di sebelah Malaysia kerana lebih 300 kilometer laluan berada di atas bumi kita dan memang tidak wajar memberi laluan pada Singapura untuk mengawal operasi serta nilai kepentingan HSR.

Muhyiddin dalam ucapan tersebut berkata, dengan pembatalan perjanjian HSR dengan Singapura, kita telah mengembalikan semula kedaulatan negara ini. Beliau menegaskan, tanpa penglibatan Singapura, kita mempunyai kawalan sepenuhnya dalam pelaksanaan projek infrastruktur strategik dan boleh buat keputusan yang melindungi kepentingan negara tanpa campur tangan pihak asing. Ringkasnya, kedaulatan negara terpelihara daripada diganggu-gugat.

Berdasarkan saranan bekas Perdana Menteri itu, kerajaan boleh menggerakkan penubuhan sebuah syarikat tujuan khas (SPV) atau konsortium swasta untuk membina projek mega HSR. Ia bukan setakat dari Kuala Lumpur ke selatan boleh dipanjangkan hingga ke utara Semenanjung. Ini dilakukan menerusi pembiayaan pihak swasta sepenuhnya termasuk menanggung kos pengambilan tanah dan apa juga pampasan berkaitan.

Justeru, HSR 2.0 adalah satu inisiatif dan komitmen pelabur swasta tempatan untuk menjayakan projek nasional!

Lagipun, kereta api laju menjadi kunci utama menarik pelaburan pada masa depan. Ia ada nilai strategik kepada setiap negara. Yang penting, HSR 2.0 bakal memberi impak ekonomi di sepanjang laluan serta memecut struktur ekonomi negara ke arah perkhidmatan.

Pelaksanaan projek HSR 2.0 juga bermakna kerajaan ‘menyediakan satu projek sedia dilaksanakan oleh pihak swasta’ dengan hanya melakukan penjajaran semula laluan khususnya di bahagian selatan (Johor). Ini termasuk memendekkan jajaran dan mengelakkan pembinaan laluan di kawasan tanah gambut terutama di daerah Batu Pahat kerana akan meningkatkan kos pembaikan tanah.

Perancangan koridor projek HSR 2.0 mesti melibatkan lebih banyak agensi kerajaan untuk menyatukan semua aspek kepentingan. Pelan pembangunan koridor ini mesti bersifat jangka panjang, inklusif dan mengoptimumkan semua stesen sebagai pintu masuk ke zon pertumbuhan baharu melibatkan kawasan perindustrian, pelancongan, pendidikan mahupun penempatan.

Oleh itu, pemaju dengan input pihak kerajaan perlu ada kreativiti, inovasi dan visi jauh bagaimana pembangunan dan pertumbuhan ekonomi boleh dilaksanakan pada setiap inci di sepanjang laluan HSR serta koridornya.

Secara ringkasnya, koridor projek HSR 2.0 sedia ada perlu disemak semula, dipinda reka bentuk dan dijajarkan semula laluannya seiring matlamat melakukan penjimatan kos, selain memastikan kepentingan nasional serta pelbagai peringkat rakyat dalam projek penghubungan dan pengangkutan mega ini terpelihara.

Oleh: Mohd. Solihan Badri
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor.

Wednesday, December 22, 2021

Cara Mudah Buat Duit Juta-Juta

Ketika ramai memikirkan cara berhemah menguruskan perbelanjaan atau menambah pendapatan, bank komersial dan syarikat korporat ada cara mudah membuat jutaan ringgit untuk dimasukkan ke kantung mereka.

Dengan jumlah pelanggan berjuta, mereka hanya perlu mengenakan caj RM1 sekiranya pemegang akaun menggunakan perkhidmatan mesin pengeluaran automatik (ATM) yang berlainan bank.

Memanglah RM1 sahaja setiap transaksi terlibat, tak banyak pun untuk dibayar oleh pengguna tetapi kalau sehari berjuta yang membayar caj itu, berapa banyak yang bank dapat?

Mungkin bagi bank caj itu bagi menampung kos transaksi berkenaan tetapi mengambil kira sistem yang sudah lama diperkenalkan dan untung bank mencecah bilion ringgit setahun, apalah sangat kos tersebut kepada mereka.

Jika bank mampu menawarkan perkhidmatan itu percuma sejak April tahun lalu ekoran pandemik Covid-19 yang melanda negara dan masih mampu mencatat keuntungan besar, sewajarnya bank melihat semula keputusan mengenakan kembali caj berkenaan.

Jika bank memikirkan caj RM1 itu dapat menambah keuntungan, syarikat korporat lain pun sentiasa memikirkan bagaimana orang ramai boleh membantu menambah laba mereka. Syarikat konsesi jalan dan rakan strategik pelaburan misalnya, mulai tahun depan akan secara agresif melaksanakan pembayaran tol menerusi Pengenalan Frekuensi Radio (RFID).

Atas nama kemudahan untuk pengguna dan mengelak kesesakan di plaza tol, RFID akan menjadi cara baharu membayar tol menggantikan kad Touch ‘n Go dan Smart Tag yang bakal dikurangkan penggunaannya secara berperingkat.

Namun perkhidmatan itu tidak percuma kerana orang ramai yang mahu mendapatkan pelekat RFID perlu membayar yuran RM35.

Kalau pengguna sanggup membayar, sudah pasti syarikat berkenaan akan beralih kepada sistem tersebut sepenuhnya pada masa depan daripada mengenakan caj hanya beberapa ringgit untuk penggunaan kad Touch ‘n Go.

Agensi kerajaan juga suka mengambil untung mudah daripada pengguna. Majlis perbandaran misalnya akan menggunakan Seksyen 148 Akta Kerajaan Tempatan 1976 untuk mengutip denda daripada orang rami yang terlepas tarikh akhir membayar cukai taksiran setiap tahun.

Notis E bernilai RM20 jika lewat dan meningkat RM100 pula untuk penalti seterusnya sebelum tindakan sita, lelong diambil terhadap mereka yang ingkar.

Sudah pasti ramai pemilik kediaman terlepas pandang tarikh akhir membayar cukai taksiran kerana tiada lagi notis dihantar ke rumah dan kealpaan pengguna itu bernilai jutaan ringgit kepada majlis perbandaran.

Oleh: Nizam Abdul Hamid
Pengarang Berita Utusan Malaysia