Wednesday, March 24, 2021

Ponteng Kerja Bertahun, Masih Terima Gaji

JAKARTA: Hampir 300 kakitangan kerajaan di Pentadbiran Daerah Mimika, wilayah Papua bakal dipecat selepas dikesan ponteng kerja dengan tidak masuk ke pejabat selama beberapa tahun.

Lapor Kompas.com, kes itu didedahkan selepas siasatan dilakukan oleh Jabatan Pemeriksa Daerah bersama Badan Pegawai dan Sumber daya Manusia Daerah Mimika.

Laporan pendedahan itu menyebut biarpun kira-kira 280 kakitangan kerajaan di Mimika tidak masuk ke pejabat selama beberapa tahun, mereka masih menerima gaji seperti biasa.

Ketua Daerah Mimika, Eltinus Omaleng berkata, beliau sudah arahkan pihak berkaitan untuk memanggil kesemua kakitangan tersebut berhubung kes berkenaan.

“Jadikan kes ini sebagai pengajaran. Mana boleh bersenang-lenang di rumah dan setiap bulan terima gaji tanpa lakukan tugas?

“Sikap ini tidak boleh dicontohi dan sebagai kelompok mewakili kerajaan, mereka seharusnya berkhidmat dengan jujur dan ikhlas,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Daerah Mimika, Michael Gomar menegaskan gaji kesemua kakitangan yang terlibat akan dihentikan serta-merta.

Jelas beliau, kesemua petugas yang terlibat akan dipanggil untuk siasatan dan juga teguran.

“Jika mereka tidak hadir selepas dipanggil sebanyak tiga kali, Ketua daerah Mimika mempunyai kuasa untuk memecat sesiapa yang ingkar,” ujar Gomar. - utusan.com.my

No comments:

Post a Comment