Tuesday, March 9, 2021

Keluarbiasaan Kes Zahid Hamidi

Minggu lalu, media melaporkan fakta menarik dalam kes rasuah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Presiden UMNO itu kini menghadapi pertuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi.

Dalam prosiding itu, Mahkamah Tinggi diberitahu, berlaku pengeluaran dan kemasukan wang dalam amaun besar ke akaun bank milik syarikat yang didakwa terbabit dalam kes tersebut. Paling menarik, syarikat tersebut ‘tidak melakukan apa-apa aktiviti perniagaan.’

Menurut Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM0, Mohd. Zamri Abdul Rashid, hasil siasatannya mendapati syarikat Berani & Jujur Trading yang berdaftar di sebuah unit apartmen, tidak menjalankan apa-apa perniagaan dan tidak mempunyai pekerja. “Mengikut rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia, syarikat ini terbabit dalam perniagaan pertanian dan jualan kain,” katanya.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazilee Abdul Khairi, Mohd. Zamri menyatakan, semasa beliau melakukan penggeledahan di apartmen tersebut, tidak kelihatan apa-apa aktiviti perniagaan di situ.

Prosiding minggu lalu merupakan hari ke-47 kes didengar dan beliau merupakan saksi pendakwa ke-92. Selain Berani & Jujur Trading, dua syarikat lagi yang disiasat olehnya ialah Jogabonito Jewellery & Diamonds dan Mastoro Kenny IT Consultant & Services. Yang menarik juga, kedua-dua syarikat ini tidak menjalankan apa-apa perniagaan.

Mengikut kes pendakwaan, tertuduh didakwa menerima suapan daripada Mastoro Kenny IT Consultant & Services berupa sekeping cek bernilai RM250,000 milik Jogabonito Jewellery & Diamonds. Selain itu, 13 cek bernilai RM8 juta milik Mastoro Kenny IT Consultant & Services dan 10 cek bernilai RM5 juta milik Berani & Jujur Trading. Kesemua cek diterima tertuduh sebagai dorongan untuk membantu Mastoro Kenny IT Consultant & Services mendapatkan projek-projek MyEG di bawah kendalian Kementerian Dalam Negeri.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Afif Ali, kenapa dia tidak setuju dengan cadangan peguam bagi pihak tertuduh bahawa siasatannya terhadap tiga syarikat tersebut berat sebelah, Mohd. Zamri menjelaskan: “Saya tidak setuju kerana siasatan bermula sejak Jun 2018 lagi dan saya telah mengumpul bukti serta fakta yang diperlukan sehingga pertuduhan dibuat.”

Presiden UMNO itu berdepan 47 pertuduhan, di mana 12 daripadanya membabitkan pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Bagi tuduhan pecah amanah, beliau dituduh menggunakan wang berkenaan untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

KUARANTIN
Bagi lapan tuduhan rasuah pula, beliau dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat, iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd. sebagai dorongan untuk membantu syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG.

Juga menarik dalam kes ini, prosiding telah ditangguhkan beberapa kali. Pada 22 Februari lalu, Hakim Bicara Collin Lawrence Sequerah menyatakan kepada pasukan peguam bela tertuduh supaya menasihati anak guam mereka agar tidak menghadiri sebarang mesyuarat dalam tempoh sekurang-kurangnya seminggu sebelum perbicaraan berlangsung. Prosiding ditangguhkan kerana tertuduh menjalani kuarantin selama 10 hari mulai 21 Februari.

Ketika membenarkan penangguhan, Sequerah berkata, ini bukan kali pertama perkara sedemikian berlaku.

“Boleh tak kamu nasihat anak guam (Ahmad Zahid) kamu agar tidak hadir sebarang mesyuarat seminggu sebelum kesnya. Kalau tidak, sampai bila-bila pun kes ini tidak akan selesai.”

Mengikut peguam tertuduh, Hamidi Mohd. Noh, tertuduh menghadiri dua mesyuarat UMNO di Institut Latihan Memperkasakan Ilmu di Janda Baik, Pahang. Turut hadir dalam bilik mesyuarat itu, Datuk Johan (kontak rapat tertuduh yang disahkan positif Covid-19).

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran mahu tertuduh mengemukakan bukti kehadirannya di mesyuarat itu. Menurutnya, menghadiri mesyuarat di Pahang itu menunjukkan tertuduh telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) kerana beliau merentas negeri.

Tegasnya lagi, “Ini merupakan kali ketiga kes ditangguhkan atas sebab sama. Tertuduh nampaknya macam acuh tidak acuh selain mengabaikan aspek kesejahteraan dirinya dan kita semua.

“Beliau seolah-olah menganggap perbicaraan ini tidak penting dan menggunakan alasan tersebut untuk mengelak daripada berada di mahkamah. Mahkamah harus memberi teguran keras terhadap beliau.”

Bila Hamidi berkata, mahkamah tiada kepentingan untuk meminta bukti sebarang mesyuarat parti politik daripada tertuduh, hakim bicara menjawab, mahkamah ada kepentingan dalam isu itu kerana perkara tersebut mengganggu jadual mahkamah. Tegas hakim itu lagi, “anda tidak boleh kata ini bukan urusan mahkamah. Hal ini ada impak ke atas mahkamah dari segi kita tidak boleh teruskan perbicaraan. Pembelaan perlu mengemukakan segala dokumen berkaitan berhubung mesyuarat yang dihadiri Ahmad Zahid seperti permit merentas sempadan negeri.”

Semua kes jenayah menarik perhatian umum, apatah lagi jika tertuduh adalah seorang figura awam. Kes rasuah itu menarik perhatian rakyat bukan hanya kerana tertuduh pemimpin sebuah parti politik besar, tetapi disebabkan beberapa faktor lain (disebut di atas) yang nyata luar biasa.

Sukar bagi kita rakyat biasa membuat ramalan bagaimana kes ini akan berakhir. Sama-sama kita tunggu dan lihat hingga sampai ke penghujung.

Oleh: Datuk Salleh Buang

No comments:

Post a Comment