Tuesday, March 2, 2021

Pertama Kali Takzir Tidak Sah

IBU pejabat Jabatan Kehakiman Syariah
Selangor di Shah Alam.
PADA Ogos 2019, seorang lelaki Muslim berusia 35 tahun didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor atas kesalahan cuba melakukan seks luar tabii (gay sex) dengan seorang lelaki lain pada November 2018 di sebuah rumah di Bandar Baru Bangi, Selangor. Tertuduh mengaku tidak bersalah.

Pertuduhan itu dibuat di bawah Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang berbunyi:

“Mana-mana orang yang melakukan persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii dengan mana-mana lelaki, perempuan atau binatang adalah melakukan suatu kesalahan, dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.”

Pada 28 November 2019, tertuduh memohon izin untuk merujuk kesnya kepada Mahkamah Persekutuan untuk mencabar kuasa legislatif kerajaan negeri Selangor. Tertuduh mahu Seksyen 28 itu diisytiharkan tidak sah kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Setahun kemudian, pada 14 Disember 2020, panel sembilan Hakim Mahkamah Persekutuan menyatakan kesediaan mendengar hujah undang-undang daripada semua pihak sebelum membuat keputusan.

Pada 25 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan sebulat suara mengisytiharkan Seksyen 28 itu tidak sah kerana badan legislatif negeri Selangor tidak ada kuasa membuat undang-undang mengenai perkara yang disebutkan dalam Senarai Persekutuan (Senarai Satu) Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Mengikut Mahkamah Persekutuan, kesalahan yang disebutkan dalam Seksyen 28 itu wujud dalam Seksyen 377 dan 377A Kanun Keseksaan. Seksyen 377 adalah kesalahan buggery with an animal (persetubuhan luar tabii dengan binatang) manakala Seksyen 377A adalah kesalahan carnal intercourse against the order of nature (persetubuhan luar tabii dengan manusia).

Hukuman di bawah dua peruntukan Kanun Keseksaan itu adalah jauh lebih berat (bersifat penyeksaan) daripada hukuman yang disebutkan dalam Seksyen 28 (yang hanya bersifat mengajar dan menginsafkan, bukan menyeksa).

Hujah dikemukakan bagi pihak kerajaan negeri Selangor bahawa Seksyen 28 itu adalah sah kerana Senarai 2 Jadual Kesembilan menyatakan, badan legislatif negeri boleh membuat undang-undang mengenai kesalahan terhadap the precepts of Islam.

Oleh itu, mengikut hujah tersebut lagi, kedua-dua kesalahan (di bawah Enakmen Jenayah Syariah Selangor dan di bawah Kanun Keseksaan) boleh co-exist (wujud bersama).

MERIT
Pada hemat saya, hujah ini ada merit tetapi malangnya ia ditolak oleh Mahkamah Persekutuan yang menyatakan kuasa legislatif yang ada pada negeri itu terbatas (dihadkan) oleh ayat except in regard to matters included in the Federal List (kecuali mengenai perkara-perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan).

Kesan ayat preclusion clause (fasal pengecualian) ini, badan legislatif negeri tidak dibenarkan mewujudkan apa-apa undang-undang mengenai perkara yang ada dalam Senarai Persekutuan. Criminal law and procedure adalah Item 4 dalam Senarai 1 (Senarai Persekutuan).

Satu hujah lagi dikemukakan iaitu Seksyen 28 berbeza dengan Seksyen 377 dan 377A dalam Kanun Keseksaan. Hujah ini juga ditolak sebagai tidak relevan kerana apa yang penting adalah jenayah yang disebutkan dalam Seksyen 28 termasuk dalam Senarai Persekutuan.

Mahkamah Persekutuan menegaskan, sekalipun kesalahan di bawah undang-undang negeri itu satu kesalahan terhadap precepts of Islam, ia tetap tidak boleh wujud bersama dengan kesalahan di bawah undang-undang Persekutuan.

Apakah keputusan Mahkamah Persekutuan minggu lalu itu merupakan satu penafian kepada kuasa legislatif kerajaan negeri Selangor, sekali gus memberi tempias negatif kepada bidang kuasa Mahkamah Syariah negeri? Nampaknya begitulah.

Hendaknya masyarakat Islam di negara ini tidak terlepas pandang bahawa bidang kuasa Mahkamah Syariah negeri selama ini adalah pada tahap yang amat rendah sekali, iaitu tidak boleh melampaui hukuman maksimum 3:5:6 (tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam sebatan).

Walaupun Mahkamah Persekutuan pada minggu lalu mengakui jenis-jenis kesalahan jenayah yang disebut dalam Enakmen Jenayah Syariah Selangor adalah luas, hakikatnya ia tetap terhad dan terbatas, tidak boleh bertentangan atau mengatasi Senarai Satu Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Apabila kita teliti enakmen itu, kita akan dapati empat jenis kesalahan iaitu pertama, kesalahan berhubung akidah (pemujaan salah, takfir, doktrin palsu).

Kedua, kesalahan berhubung kesucian agama Islam dan institusinya (mempersendakan ayat al-Quran dan hadis, menghina atau menyebabkan dipandang hina agama Islam, mencemarkan tempat ibadat, menghina pihak berkuasa agama, mengeluarkan pendapat yang bertentangan dengan fatwa, mengingkari perintah mahkamah, berjudi, minum bahan memabukkan, tidak menghormati Ramadan, tidak solat Jumaat, tidak bayar zakat atau fitrah).

Ketiga, kesalahan berhubung kesusilaan (perbuatan sumbang mahram, pelacuran, muncikari, persetubuhan luar nikah, hubungan jenis antara orang yang sama jantina, persetubuhan luar tabii, khalwat, lelaki berlagak seperti perempuan, dan perbuatan tidak sopan di tempat awam) dan keempat, kesalahan yang dikategorikan sebagai ‘Kesalahan Pelbagai’ (memujuk lari perempuan bersuami, qazaf, penyalahgunaan tanda halal).

Setelah wujud selama 25 tahun, inilah kali pertama kesalahan takzir di bawah Seksyen 28 diisytiharkan tidak sah. Tidak hairanlah kenapa ramai yang terkejut dengan keputusan ini. Barangkali yang gembira adalah komuniti gay Islam.

Soalnya kini, apakah Pendakwa Syarie Selangor akan menyerahkan fail kes ini kepada Pendakwa Raya? Apakah tertuduh, pada suatu hari nanti akan diheret ke Mahkamah Tinggi Sivil dan dituduh di bawah Kanun Keseksaan?

Sama-samalah kita tunggu.

Oleh: DATUK Salleh Buang

No comments:

Post a Comment