Thursday, March 18, 2021

Cabaran Besar DAP Dicap Anti-Melayu, Islam

GEORGETOWN: Cabaran terbesar sepanjang perjuangan selama 55 tahun DAP adalah untuk menangani tohmahan parti itu merupakan sebuah parti politik anti-Melayu dan Islam.

Naib Pengerusi Kebangsaan DAP yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, tuduhan itu mungkin disebabkan perjuangan DAP bermula di pusat-pusat bandar yang kebanyakan masyarakatnya terdiri daripada kaum Cina dan India.

Oleh itu jelasnya, isu-isu yang dibawa oleh parti pada masa itu mungkin kebanyakannya adalah mewakili suara rakyat minoriti dalam persekitaran yang mana kerajaan ketika itu adalah terdiri daripada kelompok etnik majoriti.

Namun tambah beliau, selepas mengharungi perjuangan panjang DAP kini berkembang menjadi parti politik kebangsaan yang mewakili semua kaum serta kumpulan etnik sama ada di Semenanjung mahupun Sabah dan Sarawak.

“Tiada mana-mana parti politik sehingga kini yang boleh berbangga menyatakan ahli-ahli dan wakil rakyat parti mereka dianggotai hampir semua kaum di negara ini melainkan DAP.

“Itulah keistimewaan DAP,” katanya kepada pemberita sempena ulang tahun penubuhan DAP yang ke-55 di sini hari ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang yang menyertai DAP sejak 1986 itu menambah, apa yang penting adalah DAP kekal dengan prinsip perjuangan membentuk sebuah negara demokrasi berlandaskan keluhuran Perlembagaan serta menegakkan undang-undang. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment