Sunday, March 21, 2021

MyKad Bakal Dinaik Taraf

PUTRAJAYA: Selepas 20 tahun diperkenalkan, MyKad bakal dinaik taraf dengan teknologi digital terkini lebih canggih, sekali gus tidak mudah dipalsukan pihak tidak bertanggungjawab.

Perkara tersebut diumumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin sambil memberi amaran kepada pemegang kad palsu itu bahawa mereka akan mudah dikesan selepas ini.

“Insya-Allah, JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) memang sudah ada perancangan untuk beralih kepada penggunaan program pendigitalan ID (dokumen diri) lebih canggih,” katanya.

Beliau berkata dalam sidang akhbar selepas melancarkan tiga buah bas mobile JPN generasi baharu di pekarangan ibu pejabat jabatan tersebut di sini, semalam.

Walaupun tidak disebut secara spesifik, beliau merujuk pelbagai laporan media sebelum ini mengenai Mykad palsu bebas dibeli warga asing untuk me­nyamar sebagai rakyat Malaysia.

Utusan Malaysia semalam melaporkan serbuan mengejut pihak Jabatan Imigresen di perkampungan Bukit Malut, Langkawi, Kedah.

Dalam operasi itu, ramai pendatang asing tanpa izin (PATI) dikesan memiliki MyKad tulen yang dibeli de­ngan harga ribuan ringgit daripada sindiket haram di pulau peranginan tersebut.

Hamzah berkata, proses pendigitalan MyKad itu akan membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti terus kesahihan kad berkenaan dengan lebih mudah dan pantas.

“Lepas ini, jika individu itu pergi ke bank untuk urusan tertentu, dia letak tangan di pengimbas dengan MyKad, pegawai di situ boleh tahu ia kad palsu kerana tiada rekod diri,” tegasnya.

Beliau menjangka pelaksanaan MyKad versi baharu itu akan diumum pada tahun ini. – UTUSAN

No comments:

Post a Comment