Thursday, March 25, 2021

Ahli Politik Gagal Satukan Rakyat Pelbagai Kaum?

TANAH Melayu sudah merdeka lebih enam dekad lalu, namun sehingga kini masih dilihat gagal menyatupadukan masyarakat pelbagai kaum.

Kegagalan tersebut berpunca daripada pemimpin Melayu yang tidak menggunakan kuasa dengan bijak.

Lihat sahaja apabila Singapura keluar dari Malaysia, kerajaan Parti Tindakan Rakyat (PAP) diterajui Lee Kuan Yew hanya membenarkan sekolah satu aliran beroperasi di republik tersebut.

Begitu juga Indonesia yang hanya menggunakan bahasa rasmi negara itu sementara di Malaysia pula jelas berpuak-puak dengan menghantar anak-anak ke sekolah jenis kebangsaan. Hal ini mungkin berpunca daripada pemimpin Melayu yang gagal menggunakan kuasa dalam membentuk jati diri rakyat yang cintakan negara.

Ketika perhimpunan agung parti diadakan, kata-kata keramat oleh pemimpin atasan melaungkan cogan kata Hidup Melayu! Namun realitinya, berapa ramai anak Melayu-Islam terlibat dalam masalah sosial seperti menagih dadah, rempit, buang anak dan pelbagai lagi?

Wahai pemimpin politik Melayu, rakyat memberi kuasa serta amanah kepada tuan-tuan. Bertegaslah dalam menyatupadukan semua kaum di negara ini sama seperti Singapura dan Indonesia.

Sekolah satu aliran dalam Perlembagaan sudah jelas menyatakan, bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu. Justeru, saya berharap rakyat yang bakal mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) agar tidak terlalu taksub kepada parti ataupun pemimpin yang merosakkan nama negara.

Kembalilah kita ke jalan diredai Allah SWT agar hasil pendapatan yang diterima halal.

Oleh: OMAR LOLO
          Kuala Lumpur

No comments:

Post a Comment