Sunday, March 7, 2021

Perpaduan Rakyat Pelbagai Kaum Di Televisyen Hanya ‘Drama’

PERPADUAN rakyat yang dipertontonkan di kaca televisyen dengan mengetengahkan masyarakat pelbagai kaum berpakaian tradisional sambil menyanyi dan menari hanyalah ‘drama’ yang dibuat-buat untuk menarik penonton.

Realitinya, perkara tersebut tidak berlaku, malah perpaduan tidak boleh dibentuk hanya dengan iklan di televisyen, sebaliknya perlu bermula dari usia muda.

Untuk menjayakannya, kanak-kanak perlu dididik dengan semangat perpaduan di peringkat sekolah rendah satu aliran iaitu menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam pengajaran dan pembelajaran.

Ini bermakna semua murid pelbagai kaum ditempatkan di bawah bumbung yang sama untuk menimba ilmu.

Mereka akan berkawan, berkomunikasi dan melakukan aktiviti secara bersama tanpa mengira agama dan bangsa.

Di sekolah, mereka akan turut diajar bahasa Inggeris bagi membolehkan murid berkomunikasi dengan masyarakat antarabangsa.

Ini sekali gus dapat mengelakkan perpecahan dan sentimen perkauman dalam kalangan pelajar. Sifat saling menghormati itu akan membentuk masyarakat yang harmoni.

Sekiranya berminat untuk belajar bahasa asing selain yang diajar di sekolah, mereka boleh mengikuti kelas-kelas bahasa di sekolah swasta.

Oleh: OMAR LOLO
Kuala Lumpur

No comments:

Post a Comment