Friday, March 12, 2021

Jangan Cabar Kehakiman Syariah

‘PEMOHON-PEMOHON yang telah mengaku sebagai Islam dan masih mengamalkan nilai Islam tidak berhak untuk mempertikaikan undang-undang dan peraturan yang dibuat untuk penganut agama Islam yang mana undang-undang tersebut digubal berdasarkan Perlembagaan dan berlandaskan hukum Islam yang bersandarkan al-Quran dan hadis.’ – Yang Arif Siti Mariah Ahmad.

Pernyataan di atas merupakan kesimpulan diberikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Seremban dalam kes Muhamad Juzaili Mohd. Khamis & Yang Lain lwn. Kerajaan Negeri Sembilan & Yang Lain.

Permohonan semakan kehakiman ini dibuat untuk mendapatkan deklarasi Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 adalah tidak konsisten dengan peruntukan Perkara 8(2), Perkara 10(1) (a), Perkara 9(2) dan Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan.

Perlembagaan Persekutuan secara jelas memperuntukkan Wilayah Persekutuan, Dewan Undangan Negeri mempunyai bidang kuasa terhadap perihal agama. Antara lainnya melingkupi hal kesalahan terhadap perintah agama Islam, kecuali kesalahan termasuk dalam senarai Persekutuan.

Selanjutnya, merujuk kepada Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah, secara jelas memperuntukkan mana-mana lelaki yang berpakaian perempuan atau berlagak seperti perempuan di tempat awam adalah melakukan satu kesalahan, sekiranya disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1,000.00 atau penjara tidak lebihi enam bulan atau kedua-duanya.

IJMAK

Maka, persoalan perlu ditentukan oleh Mahkamah Tinggi Seremban ketika itu berkisar dua isu utama yang harus dipertimbangkan. Pertama, sama ada Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah digubal menurut Perlembagaan Persekutuan. Kedua, sama ada peruntukan undang-undang berkenaan bercanggah dengan al-Quran, hadis, ijmak dan ijtihad. Justeru, mahkamah berpendapat, Seksyen 66 yang dipertikaikan telah digubal mengikut Perlembagaan dan tidak bercanggah dengan al-Quran, hadis, ijmak dan ijtihad.

Mahkamah juga mengambil kira pandangan Mufti Negeri Sembilan, Datuk Yusof Ahmad dalam afidavit beliau bahawa Seksyen 66 adalah sebahagian daripada ajaran Islam. Beliau merujuk hadis Rasulullah SAW berkenaan lelaki berpakaian wanita dan wanita berpakaian lelaki.

Dalam kes ini, Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman. Namun, pemohon-pemohon merayu ke Mahkamah Rayuan yang memutuskan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah tidak konsisten dengan Perkara 5(1), Perkara 8(1), (2), Perkara 9(2) dan Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan atas alasan Seksyen 66 mendiskriminasi lelaki Islam yang menghidap masalah identiti gender dari segi perubatan.

Kerajaan Negeri Sembilan seterusnya merayu keputusan Mahkamah Rayuan ke Mahkamah Persekutuan. Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan atas alasan prosedur atau tatacara semakan kehakiman yang dimulakan adalah tidak tertib. Mahkamah Persekutuan memutuskan cabaran terhadap Seksyen 66 mestilah dibuat mengikut Perkara 4(3) dan (4). Memandangkan responden gagal mematuhi prosedur yang ditetapkan dalam klausa (3) dan (4) Perkara 4, prosiding yang didengar di Mahkamah-Mahkamah Tinggi dan Rayuan adalah tidak sah dan terbatal.

Bagaimanapun, cabaran-cabaran terhadap peruntukan dalam Enakmen Jenayah Syariah bukanlah baharu. Telah banyak cabaran yang dilakukan di Mahkamah Sivil berkenaan keabsahan undang-undang syariah yang dikatakan bercanggah dengan Perlembagaan.

Saya tidak menafikan hak mana-mana orang untuk mencabar keabsahan undang-undang, namun hakikat yang perlu kita akui, Perlembagaan Persekutuan secara jelas memisahkan bidang kuasa Parlimen di peringkat Persekutuan dan bidang kuasa Dewan Undangan Negeri dalam kuasa menggubal sesuatu undang-undang. Perkara ini perlu dipertahankan dan dihormati lebih-lebih lagi melibatkan prinsip dan pegangan Islam.

Oleh: Ku Amirul Faiz Ku Seman

No comments:

Post a Comment