Saturday, March 20, 2021

Mahkamah Jadi Gelanggang Tegakkan Benang Basah – Sultan Nazrin

IPOH: Keadaan masa kini memperlihatkan ramai pihak menjadikan mahkamah sebagai gelanggang untuk menegakkan benang basah dengan menggunakan pelbagai hujah menafikan perbuatan jenayah mereka.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, kerana menjadikan Islam hanya sebagai pakaian luaran, mereka tergamak terus berbohong walaupun telah melafazkan sumpah dengan nama Allah untuk bercakap benar ketika bersoal jawab di kandang saksi.

Titah baginda, mereka juga bersedia membayar yuran guaman tinggi hasil dariada wang yang diperoleh melalui sumber jenayah atau perlakuan dosa.

“Perbuatan menipu, mencuri, menyeludup, pecah amanah, rasuah dan lari daripada membayar cukai turut memberikan implikasi terhadap individu lain serta rakyat sesebuah negara.

“Malangnya ketika ini, oleh sebab Islam lebih dijadikan pakaian luaran, ramai insan tidak berasa takut melakukan dosa dan tidak berasa gentar menghadapi seksa kubur dan azab neraka.

“Hinggakan insan yang telah melakukan pelbagai jenayah dan dosa, memilih menjadikan mahkamah gelanggang untuk menegakkan benang basah, tergamak terus berbohong walaupun telah melafazkan sumpah dengan nama Allah untuk bercakap benar ketika bersoal jawab di kandang saksi.

“Sering terjadi ketika dihadapkan ke muka pengadilan, insan yang telah melakukan dosa, mencari pelbagai alasan dan menggunakan pelbagai hujah mahu menafikan perbuatan mereka yang telah melakukan dosa,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Hakim-Hakim Syariah Negeri Perak dan Anggota Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) di Kompleks Islam Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Sultan Nazrin bertitah, perbuatan jenayah tidak dapat dikurangkan melalui penambahan pegawai penguat kuasa, mahkamah dan penjara.

Titah baginda, jenayah lebih berkesan ditangani melalui pendekatan menyemaikan nilai-nilai Islam secara berkesan sehingga meresap dan benar-benar dihayati dalam jiwa setiap insan.

“Menerusi penghayatan nilai Islam, insan menyedari bahawa pada setiap masa malaikat Raqib dan Atid yang juga disebut Kiraman-Katibin ditugaskan untuk mencatat setiap perbuatan insan.

“Setiap insan yang melakukan dosa boleh menipu hakim, mahkamah, peguam, masyarakat dan orang ramai tetapi mereka tidak boleh menipu dirinya dan tidak boleh menipu Allah,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, baginda memperkenankan pelantikan Hakim-hakim Syariah Mahkamah Utama, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi Negeri Perak berpandukan Enakmen Mahkamah Syariah (Perak) 2018.

Titah baginda, mengambil iktibar daripada pelbagai sumber akan peranan penting golongan remaja mencipta sejarah, baginda memperkenankan buat pertama kalinya melantik dua orang mewakili belia iaitu seorang lelaki dan seorang wanita sebagai anggota MAIPk.

“Dengan pelantikan seorang lagi anggota wanita, MAIPk kini memiliki tiga orang anggota wanita,” titah baginda. – UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment