Tuesday, March 16, 2021

Ambil Tindakan Kumpulan Hina, Perlekeh Tulisan Jawi

KUALA LUMPUR: Seorang penyokong kerajaan menggesa tindakan tegas diambil terhadap mana-mana individu yang menghina dan memperlekeh tulisan Jawi.

Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) berkata mereka yang menghina dan memperlekehkan tulisan Jawi adalah kumpulan yang melanggar Perlembagaan Persekutuan.

"Ini kerana tulisan Jawi termaktub dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963 yang mana huruf rumi adalah tulisan rasmi dengan syarat tidak melarang penggunaan tulisan Melayu iaitu Jawi," katanya membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohd Nizar juga meminta penjelasan kerajaan berhubung usaha memberi kefahaman kepada rakyat mengenai penghayatan tulisan Jawi.

Ini kerana, katanya masih ada yang perlekeh dan menghina di media sosial usaha memartabatkan tulisan Jawi apabila kerajaan umumkan Hari Jumaat sebagai hari Jawi.

Sementara itu, Sabri Azit (Jerai-PAS) meminta kerajaan untuk tidak melayan kumpulan yang mempertikaikan usaha memartabatkan tulisan Jawi melalui Hari Jawi yang ditetapkan pada setiap Jumaat.

"Saya minta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) tidak gentar dengan kecaman itu sebaliknya meneruskan (program itu) kerana tulisan Jawi adalah warisan negara yang perlu dipertahankan," katanya.

Beliau mencadangkan supaya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya membina papan tanda dengan tulisan Jawi di tempat tumpuan pelancong sebagai usaha mempromosi seni khat melalui Jawi sebagai khazanah dan warisan negara.

"Saya ucap tahniah kepada kerajaan negeri yang menjadikan tulisan Jawi antara syarat wajib bagi pengiklanan dan papan tanda.

"Tulisan Jawi bukan satu unsur mahu menakut-nakutkan rakyat tetapi satu elemen yang melambangkan keharmonian untuk meningkatkan semangat patriotisme," katanya.

Justeru beliau mencadangkan sistem pembelajaran j-QAF (Jawi, al-Quran, Arab, Fardu Ain) diteruskan di sekolah menengah dan menjadi subjek untuk peperiksaan umum PT3 dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). 
bharian.com.my  Julai 28, 2020 @ 4:01pm
 

No comments:

Post a Comment