Wednesday, March 10, 2021

Arahan Duterte Bunuh Pemberontak Bersenjata ‘Sah’, Kata Jurucakap

Ribuan orang terbunuh dalam sebahagian perang
terkenal Rodrigo Duterte terhadap dadah
MANILA: Arahan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte untuk membunuh pemberontak bersenjata sah di sisi undang-undang, kata jurucakapnya ketika pemimpin gereja katolik menyelar pembunuhan sembilan aktivis dalam serbuan berasingan hujung minggu lalu terhadap pemberontak disyaki.

Kumpulan hak asasi manusia berang terhadap pembunuhan itu yang didakwa mereka sebagai aktivis sah atas alasan operasi memerangi pemberontakan, dua hari selepas Duterte mengarahkan pasukan keselamatan membunuh pemberontak jika mereka memegang senapang dan “mengabaikan hak asasi manusia”.

“Arahan bunuh oleh presiden adalah sah kerana ia ditujukan kepada pemberontak bersenjata,” kata jurucakapnya Harry Roque dalam taklimat, sambil menambah kerajaan masih akan menyiasat kejadian itu.

Persidangan Biskop Katolik Filipina, sebuah kumpulan gereja yang berpengaruh, dalam kenyataan menyelar penggunaan kuasa dan keganasan tidak perlu pada “Ahad penuh berdarah”.

Semalam, ketua pasukan petugas anti-pemberontak, Antonio Parlade memberitahu Reuters, serbuan itu ialah “operasi penguatkuasaan undang-undang sah” dan pihak berkuasa mempunyai waran geledah untuk senjata api serta bahan letupan.

Aktivis berkata, serbuan itu mengingatkan mereka kepada operasi polis di mana ribuan orang terbunuh dalam sebahagian perang terkenal Duterte ke atas dadah, dengan polis berkata, semua mangsa bersenjata dan menentang penahanan.

Antara mereka yang dibunuh ialah seorang penyelaras Bagong Alyansang Makabayan, kumpulan bersayap kiri yang menggesa “red-tagging”, amalan melabel penentang sebagai komunis atau pengganas untuk mewajarkan sasaran mereka, dihentikan.

Human Rights Watch berkata, kempen anti-pemberontakan kerajaan tidak membezakan pemberontak bersenjata dan aktivis bukan penempur, pemimpin buruh serta pejuang hak.

Sejak berkuasa pada 2016, usaha Duterte mencapai perdamaian dengan pemberontak Maois berulang kali gagal, menyebabkan beliau sering mengugut akan menghapuskan mereka. - freemalaysiatoday.com

No comments:

Post a Comment