Thursday, March 4, 2021

Kita Masih Gagal Dalam Perpaduan

Agak menghairankan, negara ini telah merdeka sejak enam dekad lalu tetapi masih lagi belum mencapai matlamat akhir perpaduan sehingga terpaksa membentangkan sekali lagi Rangka Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030. Sedangkan matlamat akhir perpaduan adalah mewujudkan satu identiti nasional, iaitu satu bahasa, satu bangsa dan satu budaya.

Sehingga kini, masyarakat masih berada dalam bentuk segregasi berkonsepkan integrasi. Maknanya, Dasar Sosial Negara dan Dasar Perpaduan Negara gagal melahirkan rakyat yang mempunyai sifat jati diri. Masih ramai yang tidak fasih berbahasa Melayu dan memahami budaya teras jati negara ini.

Kenapa perlu wujudkan perpaduan dalam kepelbagaian yang masih membawa naratif lama dan akhirnya rakyat masih berada di takuk lama? Kepelbagaian tidak akan menyatukan, sebaliknya melahirkan masyarakat yang lebih terbahagi mengikut kehendak naluri agenda pihak tertentu. Seterusnya membawa kepada pluralisme dan liberalisme dalam masyarakat.

Apabila membicarakan perpaduan tanpa menyentuh keutamaan ketertinggian Islam sebagai satu elemen penting dalam penerapan identiti nasional, akhirnya negara ini terjebak dalam kancah gejala sosial selama berdekad tanpa sebarang penyelesaian muktamad. Lihatlah permasalahan ketagihan dadah, arak dan judi, di manakah penyelesaiannya? Lihatlah juga kepada sekolah, berapa ramai anak-anak bukan Melayu sanggup bersekolah di sekolah kebangsaan?

Lihatlah juga aspek adab yang semakin longgar dalam kehidupan anak-anak muda. Perpaduan tidak akan dicapai tanpa ada jalan konkrit penyelesaian. Sepatutnya kewujudan satu aliran persekolahan adalah langkah utama dalam proses penyatuan perpaduan, bukan memainkan retorik satu rangka tanpa ada tindakan penyelesaian muktamad.

Lebih menyedihkan, perpaduan mengambil konteks paradigma Barat tanpa melihat untuk mewujudkan satu acuan identiti tersendiri. Negara-negara ASEAN boleh merangka satu tindakan muktamad dalam penyelesaian penyatuan dalam perpaduan tanpa mengambil konteks Barat. Kenapa negara ini masih berpemikiran penjajah untuk membahagikan masyarakat dalam kepelbagaian dalam integrasi yang amat lemah?

Pendekatan ini sememangnya disukai oleh pihak yang antidominasi Melayu dan Islam. Ini kerana isu agama dan kaum akan dimainkan setiap kali menjelang pilihan raya umum dalam pengertian demokrasi negara ini.

Jika kita masih mengamalkan takuk lama perpaduan dalam kepelbagaian, hasilnya tetap sama walaupun majoriti negara ini adalah bumiputera yang merupakan 70 atau 80 atau 90 peratus penduduk. Terlalu lemah bagi sebuah masyarakat majoriti yang sentiasa tunduk dan akur kepada kehendak minoriti supaya tidak mewujudkan identiti Islam dan Melayu sebagai teras jati diri.

JAWI
Konsep kepelbagaian hatta di Amerika dan Eropah sekalipun, kaum kulit putih masih menjadi teras identiti jati diri negara mereka. Malahan kaum minoriti di Amerika dan Eropah akur dan tunduk kepada identiti Kristian dan budaya kaum kulit putih. Cuba lihat benar atau tidak penulisan Jawi ditentang oleh kaum minoriti?

Bukankah tulisan Jawi adalah asas kepada tulisan Rumi atau Bahasa Malaysia? Lihat pula semua iklan dan tayangan drama atau filem yang berkait dengan kaum minoriti masih menggunakan bahasa bukan bahasa Melayu. Amat menyedihkan apabila warga asing Bangladesh lebih mahir dan pandai berbahasa Melayu berbanding rakyat bukan Melayu.

Di manakah konsep jati diri jika masih ada yang menafikan kewujudan hakikat Melayu dan Islam adalah budaya teras negara ini? Disebabkan penafian ini, maka tidak menghairankan terdapat sekelompok masyarakat mengasingkan diri mereka daripada aliran nasional. Mereka mencipta kehidupan dan budaya tersendiri yang menafikan budaya teras negara ini. Sebaliknya kita masih terlalu bertolak ansur sehinggakan tertolak keluar daripada agenda kelompok masyarakat yang terasing ini. Adakah masih ingin menggunakan kepelbagaian dalam konteks perpaduan?

Ramai tidak sedar, hari ini sudah wujud beberapa kelompok masyarakat yang terasing daripada aliran nasional. Malahan kelompok terasing ini turut mempunyai pengaruh dan kuasa ke atas agenda nasional. Yang akhirnya, apabila digaulkan bersama politik maka akan berlakulah ahli-ahli politik tertentu yang tunduk dengan kemahuan kelompok terasing ini.

Jika ini berterusan selama enam dekad, jawapannya ialah kita gagal dalam perpaduan. Kita gagal kerana tidak memahami ketegasan dalam konsep perpaduan. Kita masih berada dalam zon selesa apabila membicarakan perpaduan dalam kepelbagaian tanpa melihat kejadian-kejadian yang berlaku di sekeliling kita.

Isu perpaduan perlu ditegaskan dan diambil tindakan muktamad tanpa toleransi tetapi pemikiran kita masih dijajah oleh Barat. Maka kita terlalu bertolak ansur dan semakin hari tertolak sehingga akur kepada kelompok-kelompok yang ingin terasing daripada identiti budaya teras negara ini.

Maka tidak menghairankan ada bangsa yang begitu melampau dalam mempertahankan identiti etnik mereka sehingga terlupa di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Sebaliknya kita kini ingin langit, bukan bumi kita dijunjung walaupun kaki kita masih berpijak. Inilah sifat ultra kiasu yang selalu diperkatakan.

Adakah mereka mengaku anak watan dan akur pada budaya kewatanan negara ini dengan asimilasi budaya? Selagi tidak berlakunya asimilasi secara total dan masih meneruskan integrasi dalam konteks segregasi, selagi itulah tidak akan berjaya dasar perpaduan kepelbagaian negara ini. Apa yang akan berlaku seterusnya ialah ketegangan dan pertikaian konteks budaya, pemikiran dan emosi akan berterusan disebabkan wujudnya perbezaan bukan persamaan.

Justeru, sudah sampai masa kita merubah negara ini dalam konteks asimilasi, bukan terlalu berkhayal dengan perpaduan dalam kepelbagaian.

Realiti yang ada, bangsa majoriti telah mengubah untuk akur dengan kehendak minoriti dalam konteks kepelbagaian. Mungkin kita tidak sedar, kita berkulit sawo matang bukan berkulit putih!

Oleh: DR. Iskandar Hasan Tan Abdullah  

No comments:

Post a Comment