Saturday, March 13, 2021

Adakah Ramai Di Antara Kita Tidak Pandai Hidup Berjiran....

Dipukul sebab gertak anak jiran
KLANG – Tindakan seorang pekerja perkhidmatan penghawa dingin yang menggertak mahu mengikat anak jiran selepas diejek dengan perkataan ‘bodoh dan gila’ berakhir dengan pergaduhan apabila dipukul lima lelaki dalam kejadian di Taman Suria Pendamar, Pelabuhan Klang di sini, kelmarin.

Turut dipukul adalah bapa mangsa dan pekerjanya dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam dengan kesemua mangsa berusia 30 hingga 60-an.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, sebelum kejadian mangsa berusia 39 tahun telah menegur anak jirannya berusia 10 tahun agar tidak bermain sepak botol minuman kerana telah terkena kepadanya.

Katanya, bagaimanapun teguran itu kemudiannya dibalas dengan perkataan bodoh dan gila oleh kanak-kanak lelaki itu dan mengulangi perkara sama.

“Mangsa yang berasa sakit hati telah menuju ke arah anak jirannya dan mengertak mahu mengikat tangan bagi tujuan pengajaran. Namun, kanak-kanak itu memohon maaf dan telah disuruh pulang ke rumah.

“Kemudiannya datang ibu kepada kanak-kanak tersebut bersama lima lelaki masuk ke dalam rumah mangsa sebelum memukulnya menggunakan tangan. Turut menerima nasib sama adalah bapa mangsa dan pekerjanya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Shamsul Amar memberitahu, susulan kejadian tersebut ketiga-tiga mangsa lebam di seluruh badan serta rumah mereka turut dirosakkan oleh kelima-lima suspek tersebut.

Beliau menambah, pihaknya kemudiannya berjaya menangkap tiga lelaki berusia 26 hingga 58 tahun di sekitar lokasi kejadian serta sedang memburu dua lagi suspek.

“Ketiga-tiga suspek kini direman selama dua hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment