Wednesday, March 17, 2021

Insta Worthy Jadi Produk Baharu Pelancongan

KITA kini dalam fasa pemulihan serangan pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak tahun lalu menyebabkan sektor pelancongan terjejas akibat penurunan jumlah pelawat dari dalam dan luar negara.

Bagi merancakkan dan menggalakkan pelancongan setempat di daerah masing-masing, inisiatif yang mampu menarik pelancong perlu dibuat seperti mempromosikan premis yang menyediakan ruang atau reka bentuk dalaman yang memenuhi ciri-ciri menarik atau insta worthy (berbaloi untuk perkongsian dalam Instagram).

Tidak dinafikan, media sosial seperti Instagram menjadi gaya hidup masa kini merentasi usia dan bangsa. Lantas, memberi impak luar biasa kepada banyak sektor termasuk pelancongan.
Tinjauan oleh badan penyelidikan, One Survey mendapati, 40 peratus pengguna di bawah umur 30 tahun mengutamakan instagrammability dari sudut potensi destinasi ketika membuat penempahan mereka.

Aplikasi Instagram kini mempunyai lebih satu bilion pengguna bulanan yang aktif menyiarkan lebih 100 juta foto setiap hari Sebahagian besar daripadanya berkaitan perjalanan dan pelancongan.

Lebih daripada 97 peratus pengguna menyiarkan gambar atau video perjalanan mereka sendiri dalam media sosial yang memberi pengaruh kepada trend reka bentuk dalaman dan pemilihan lokasi pelancongan.

Oleh itu, disarankan pengusaha pelancongan tempatan bertindak bijak untuk mengetengahkan ciri-ciri reka bentuk dalaman dengan menggabungkan skema warna, kemasan dalaman dan corak.

Antara yang menarik untuk dijadikan latar belakang fotografi sekali gus menjadi insta worthy ialah skema warna ceria, pastel, kontra dan klasik.

Malahan, terdapat juga kesan reka bentuk dan seni bina yang dapat menarik minat fotografi Instagram seperti elemen ulangan yang mampu menghasilkan efek bayang menarik.

Banyak premis inap desa, restoran, hotel dan tempat awam boleh menggunakan pelbagai idea insta worthy di premis mereka untuk menggalakkan pengunjung setempat.

Tarikan terbaharu, gabungan seni reka dalaman dengan tanaman dalam bangunan juga antara daya penarik kepada pelancong yang mengejar lokasi insta worthy.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dengan kerjasama pihak-pihak berkaitan boleh membantu mempromosikan tempat-tempat pelancongan yang berbaloi untuk perkongsian dalam Instagram melalui laman sosial dan laman sesawang.

Bahkan, ini adalah masa paling baik untuk pihak berkuasa tempatan (PBT), kerajaan negeri dan pejabat daerah membaik pulih kemudahan awam di kawasan-kawasan pelancongan setempat untuk kemudahan pelancong.

Oleh : Dr. Arita Hanim Awang
           Ketua Jabatan Seni Gunaan dan Seni Reka
           Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

No comments:

Post a Comment