Tuesday, March 30, 2021

Pinda Perlembagaan Elak Pertikaian Perundangan Syariah, Sivil

PETALING JAYA: Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan berhubung hal ehwal Islam wajar dipinda dengan membuka takrifan lebih meluas terhadap bidang kuasa mahkamah syariah sekali gus dapat mengelakkan pertindihan antara perundangan syariah dan sivil.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar perlembagaan, Datuk Salleh Buang menjelaskan, pindaan Perlembagaan Persekutuan merupakan jalan penyelesaian kemelut pertikaian kedua-dua undang-undang itu memandangkan Jadual Ke­sembilan kini terlalu sempit sehingga membataskan bidang kuasa mahkamah syariah dan membuka ruang ia dicabar.

Katanya, ekoran keputusan Mahkamah Persekutuan yang sebulat suara membenarkan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 berkaitan kesalahan hukum tabii dicabar telah memperlihatkan terdapat kelompongan undang-undang syariah negara ini.

Beliau mengambil contoh, terdapat empat seksyen dalam Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 bertindih dengan perundangan sivil iaitu Seksyen 17 (berjudi), Seksyen 27 (hubu­ngan jenis dengan sama jantina), Seksyen 28 (persetubuhan bertentangan hukum tabii) dan Seksyen 38 (penyalahgunaan tanda halal).

“Kalau ikutkan keputusan Mahkamah Persekutuan yang baharu ini, semua seksyen dalam enakmen jenayah syariah seluruh negeri boleh dicabar. Tetapi setakat ini hanya membabitkan negeri Selangor sahaja.

“Hal ini kerana mengikut hie­rarki, undang-undang negeri tidak boleh menyalahi undang-undang Persekutuan apatah lagi berlawanan dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Pada 25 Februari lalu, Mah­kamah Persekutuan membena­rkan permohonan mencabar un­dang-undang oleh seorang lelaki, Iki Putra Mubarak terhadap Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 19­95 sekali gus mengetepikan pe­rundangan itu yang mene­tapkan seks luar tabii sebagai jenayah syariah.

Iki Putra didakwa di Mah­kamah Tinggi Syariah pada 21 Ogos 2019 atas tuduhan meliwat di Bangi, Selangor.

Dia mencabar peruntukan Seksyen 28 itu dengan mendakwa negeri atau mahkamah syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk menggubal dan membi­carakan kes jenayah liwat.

Salleh juga membangkitkan persoalan sama ada seluruh ahli Parlimen senada untuk menyokong rang undang-undang pindaan Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan khususnya dalam kalangan wakil rakyat beragama Islam.

“Masalahnya kita tidak pernah cuba untuk pinda Jadual Kesembilan. Kita tidak boleh dipersalahkan jika gagal, namun boleh dipersalahkan sekiranya tidak pernah mencuba,” tegasnya.

Katanya, kerajaan negeri jus­te­ru itu perlu melakukan kajian untuk menyelamatkan Enakmen Jenayah Syariah masing-masing daripada terus dicabar dan akhirnya diketepikan.

Pensyarah Kuliah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof. Madya Dr. Khairil Azmin Mokhtar berkata, masalah pertindihan perundangan syariah dan sivil boleh ditangani sekiranya isu berkaitan diselesaikan lebih awal di pe­ringkat Jabatan Peguam Negara.

Katanya, Jabatan Peguam Negara sudah pun mempunyai Bahagian Syariah dan Pengharmonian Undang-Undang yang menangani isu berkaitan dengan undang-undang syariah yang berbangkit. – UTUSAN

No comments:

Post a Comment