Monday, March 8, 2021

Islam Kembangkan Alam Melayu

ISMAIL al-Faruqi menulis tradisi bangsa Arab berkembang dari 'Urubah ke Ummatik' dengan melihat sejarah bangsa Arab bermula Nabi Ibrahim AS. Urubah merujuk kepada Ur, iaitu ibu negeri Mesopotamia atau tempat asal Baginda sebelum membawa haluan bersama Siti Hajar ke Semenanjung Arab.

Tiga tahap terbesar sejarah Urubah ialah munculnya agama Yahudi dan Nasrani serta Islam yang menjadi fasa baharu membawa tradisi ummatik.

Wacana antropologis al-Faruqi menjelaskan setiap bangsa membina tradisi daripada perkembangan dibentuk faktor kesedaran agama, lebih daripada faktor genetik yang bersifat kosmetik.

Tradisi bangsa Melayu berkembang dalam tiga fasa perkembangan kepercayaan dan agama, iaitu animisme, Hindu-Buddha dan Islam. Walaupun animisme mungkin ditolak sebagai kesedaran agama dan Hindu-Buddha bukan bersifat monotheisme, ia tidak boleh disingkirkan dalam konteks kebudayaan, sekali gus tradisi Melayu akhirnya berkembang pada lapisan Ummatik, iaitu kesedaran Islam melapisi kesedaran awal yang lebih nipis dan lemah.

Menurut Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas, Islam memunculkan zaman baharu bagi alam Melayu, sekali gus memaknakan pengertian Melayu sebagai pencirian tamadun Islam yang bersifat religio-sentrik dan bukannya etnik-sentrik.

Cerita hikayat adalah pemula tradisi sastera alam Melayu, sekali gus memperlihatkan pencirian tradisi sastera Melayu dibentuk ciri religio-sentrik. Walaupun ada pengaruh pra-Islam dalam penulisan hikayat, ia lebih dilihat sebagai pengaruh lingkungan budaya. Teras sebenar tradisi itu terarah kepada lingkungan tradisi Ummatik, yakni penulisan daripada penulis yang hidup dalam tamadun Islam Asia Tenggara.

Islam bentuk zaman baharu
Penulisan hikayat menggunakan bahasa Melayu dengan huruf jawi, manakala pencirian zaman baharu alam Melayu oleh kedatangan Islam jelas dengan kemunculan bahasa Melayu. Sebelum kedatangan Islam di wilayah ini, tidak terdapat suatu bahasa umum yang dapat digelar bahasa Melayu.

Karya sastera Melayu yang ditulis pada zaman moden membawa perkembangan sastera moden, masih membayangkan kesinambungan hubungan tradisi sastera Melayu. Walaupun dibanjiri karya realisme sosial, masih ada karya moden membawa ciri penulisan hikayat baik dari segi cerita mahupun lenggok bahasa seperti Zaman Gerhana oleh A Samad Ahmad, selain Zainal Rashid Ahmad pada era mutakhir ini.

Antara novel yang setia mempamerkan wajah tradisi sastera Melayu ialah Di Hujung Negeri (DHN) karya Ariff Mohamad yang memenangi Hadiah Karya Darul Ridzuan 2016. Ia mengangkat latar negeri alam Melayu dengan sistem pemerintahan kesultanan dan meletakkan sifat ketamadunan Islam dalam pemerintahan dan kehidupan rakyat jelata.

Kewujudan kitab Darul Fansuri dikarang Bendahara Paduka Tun Rajuna menjadi punca kepada krisis dalam novel itu, menjelaskan ciri hikayatnya. Ia membahagikan cerita seperti hikayat, iaitu permulaan, pengembaraan dan penamat gembira.

Permulaan memberikan latar negeri Raloka dan Umpaja serta asal usul protagonis Balqis Qistina cucu Tun Rajuna yang dibunuh Raja Umpaja dan Nun Alam Damiri putera Sultan Raloka. Bahagian pengembaraan diisi perkembangan cerita Balqis Qistina dan Nun Damiri, manakala penamatnya penyudah gembira membawa kejayaan kepada wira dan wirawati.

Kembali tradisi sastera Melayu
Apa yang penting untuk dilihat dalam novel ini selain ciri hikayat ialah matlamat penulisannya meletakkan Islam dalam pewajahan sistem politik, sosial dan budaya alam Melayu. Pemerintahan dan kehidupan rakyat alam Melayu tertakluk sepenuhnya di bawah rukun dan syariat Islam. Novel ini membawa kembali tradisi sastera Melayu religio-sentrik ke dalam tubuh sastera moden.

Selain penceritaan, ia menampilkan lenggok bahasa yang meletakkan ciri tradisi sastera Melayu dan menggambarkan lingkungan ketamadunan Islam alam Melayu berkait rapat dengan perkembangan intelektual seperti digambarkan kewujudan kitab agung itu.

Darul Fansuri memperlihatkan ketinggian intelektual yang menunjangi ketamadunan alam Melayu, sekali gus bertepatan dengan kenyataan sebenar mengenai kewujudan tradisi intelektual yang kukuh melalui penulisan kitab dan hikayat serta acuan Islam dalam perkembangan fikiran.

Sejarah kesultanan secara fiksyen
Novel ini memperlihatkan tradisi Ummatik yakni norma dan nilai ummah yang dibangunkan oleh Islam. Ariff mungkin menulis kisah pengembaraan dan percintaan mudah pada zaman dahulu tetapi penting untuk dilihat betapa novel ini cuba mengangkat serta menampilkan tradisi sastera Melayu yang bersifat tradisi Ummatik.

Novel ini tetap fiksyen yang tidak berkait dengan mana-mana sejarah kesultanan Melayu tetapi melengkapkan tradisi hikayat yang jernih dalam membawa tradisi Ummatik yang bukan saja pada tatacara dan sistem sosio-politik, bahkan penghargaan besar terhadap nilai intelektual.

Melalui DHN, Ariff menemukan kembali keperibadian tradisi sastera Melayu yang semakin hilang sendi sejarah Islamnya. Menurut Al-Attas, "bahawa kehilangan sejarah Islam inilah yang mengakibatkan kehilangan sifat persendirian bangsa kita (keperibadian) yang dicari-cari sekarang ini. Sebab Islamlah yang menyempurnakan faham keperibadian sendiri, faham kebangsaan terhadap masyarakat Melayu-Indonesia." - www.bharian.com.my

No comments:

Post a Comment