Saturday, March 13, 2021

Kita Tidak Tegas Terhadap Penghina Institusi Raja

SEMAKIN lama semakin berani pula kumpulan menghina institusi raja di negara ini. Tindakan mereka amat melukakan hati rakyat Malaysia kerana penghinaan tersebut membabitkan orang Melayu dan Islam yang merupakan agama rasmi negara ini.

Penghina pula tiada sedikit pun rasa bersalah malah bermegah menghamburkan kata-kata cacian.

Lebih dikesalkan apabila tiada satu pun tindakan berkesan daripada kerajaan yang boleh menakutkan mereka.

Peruntukan undang-undang sedia ada bagi menghukum individu yang menghina institusi raja pula dilihat tidak mampu mengekang perkara ini daripada terus berlaku seterusnya mendidik orang ramai untuk menghormati sistem raja berpelembagaan.

Apabila undang-undang terlampau lemah, golongan ini semakin berani melakukan perbuatan sedemikian kerana menyedari tiada tindakan tegas yang bakal dikenakan kepada mereka.

Malah, apabila perkara ini berulang, pertubuhan bukan kerajaan Melayu hanya ‘melalak’ dalam media sosial dan tidak memberi sebarang kesan. Semoga suatu hari nanti, tindakan lebih berani bakal diambil terhadap si pelaku yang tiada rasa malu itu.

Oleh: MOHD. NASIR AMAD
          Padang Rengas, Perak

No comments:

Post a Comment