Wednesday, March 24, 2021

Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) Berisiko Jadikan Malaysia `Negara Jenayah’

PETALING JAYA: Kerajaan digesa mengkaji semula program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang dilihat gagal menapis pemohon sehingga Malaysia berisiko dijadikan `negara jenayah’

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis jenayah, Shahul Hamid Abdul Rahim berpendapat, kegagalan MM2H membuat tapisan terhadap setiap pemohon menunjukkan kelemahan ketara program tersebut.

Menurut beliau, kelemahan lebih teruk apabila penguat kuasa tidak memantau aktiviti peserta MM2H sehingga ada dalam kalangan mereka menjadi perisik.

“Program MM2H ini sepatutnya untuk pesara warga asing yang mahu menjadikan Malaysia sebagai negara kedua, sekali gus menyumbang kepada ekonomi negara, tapi akhirnya ada yang bekerja di sini dan ada juga yang terlibat dengan beberapa kes jenayah.

“Justeru, MM2H wajar ditutup buat sementara. Kaji semula, perketatkan tapisan keselamatan, pastikan pemohon mempunyai rekod berkelakuan baik di negara asal supaya mereka tidak salah guna peluang untuk tinggal di Malaysia,” katanya.

Pada masa sama, Shahul Hamid meminta supaya kelebihan MM2H iaitu pemberian visa selama tempoh 10 tahun dihadkan bagi memastikan program itu tidak disalah guna untuk tujuan jenayah.

“Sukar nak kesan sama ada pemohon benar-benar bersih daripada jenayah sebelum permohonan diluluskan. Jadi visa 10 tahun perlu diubah, mungkin beri tiga tahun dan peserta MM2H perlu perbaharuinya setiap dua tahun.

“Perlu dipersoalkan, di mana keberkesanan MM2H terhadap ekonomi negara? Kita tidak mahu program ini disalah guna untuk aktiviti jenayah sehingga akhirnya mencetuskan masalah hubungan diplomatik dengan negara lain,” katanya.

Dalam pada itu, pensyarah Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Mohd. Hazmi Mohd. Rusli menganggap MM2H perlu mencontohi tahap tapisan yang dilakukan dalam program kerakyatan Australia.

“MM2H ini boleh diperbaiki dengan mewujudkan jawatankuasa menapis pemohon dengan mengadaptasi program kerakyatan di Australia yang tapis betul-betul setiap pemohon berdasarkan rekod dan latar belakang mereka.

“Program ini sepatutnya membantu Malaysia menjadi destinasi persaraan terbaik di dunia, bukannya destinasi pengubahan wang haram dunia,” katanya.

Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia berhubung kemelut diplomatik Malaysia-Korea Utara yang berpunca daripada individu bernama Mun Chol-myong sehingga mendedahkan isu kelemahan sistem keselamatan program MM2H.

Chol-myong yang diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS) untuk menghadapi tuduhan pengubahan wang haram dipercayai seorang peserta MM2H sejak program itu bermula pada 2002.

Difahamkan program MM2H dibekukan dan ada sebahagian peserta program tersebut telah pulang ke negara asal masing-masing. – UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment