Wednesday, March 31, 2021

Bukan Salah Sesiapa…

BERPATAH arang berkerat rotan.

Pecah lagi kesatuan parti-parti Melayu setelah UMNO membuat keputusan tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Dengan Pas, rakan strategik UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) yang tidak didaftarkan, memilih untuk bersama dengan Perikatan Nasional (PN) diterajui Bersatu, persaingan dalam PRU akan datang kembali ke tiga penjuru. Barangkali lebih – empat atau lima penjuru.

Di luar sana, bukan sahaja UMNO, Pas dan Bersatu mewakili orang Melayu. Ada PKR, Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) serta dua lagi yang belum berjaya didaftarkan, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) – kesemuanya diketuai pemimpin Melayu.

Pecah kesatuan parti-parti Melayu ini boleh saya ibaratkan bak dua rangkap pantun berikut:

Jangan disalai ciku kedondong,
Salailah ikan atas para,
Jangan disalahkan ibu mengandung,
Salahkan badan yang buruk pinta.

Banyak udang banyak garam,
Banyak orang banyak ragam,
Banyak tukang terbuang kayu,
Banyak politik negara hancur.

Dari pengamatan makro, dalam diri orang Melayu itu sendiri `kelihatan’ sudah tidak ada apapun di Tanah Melayu ini. Ekonomi sudah dikuasai orang lain. Pendidikan? Mereka juga. Kekayaan? Yang kita orang Melayu ada kini itupun `sekelumit’ yang tinggal hanyalah kuasa politik. Dari kuasa politik itulah kerajaan terbina.

Tetapi dalam perkara-perkara makro lain yang saya sebutkan tadi, berdikit-dikit telah dikuasai pihak sebelah sana. Mereka tidak merampasnya atau secara tiba-tiba hal-hal berkisar ‘ekonomi dan pendidikan’ tadi hilang dari dakapan orang Melayu. Tetapi sebaliknya mereka mengejar persaingan meritokrasi dan disiplin hidup. Maka jangan salahkan sesiapa. Salahkan badan yang buruk pinta.
Bukan salah sesiapa bila mana politik Melayu masih lagi berpecah belah. Adakah salah parti yang selalu diuar-uarkan cauvinistik itu? Tidak, kerana parti itu kini pemilik kerusi terbesar di Dewan Rakyat.

Menyingkap tabir sejarah silam, kita akan menemukan ungkapan berterima kasih dan penghargaan yang tulus daripada para pemimpin mereka pada 1960-an.

Saya petiknya:
Tun Tan Siew Sin, Presiden MCA dilaporkan dalam akhbar tempatan bertajuk Tun Tan Answers Critics on special Previleges pada 30 April 1969:
“Orang Melayu menerusi UMNO bermurah hati melonggarkan syarat-syarat dalam undang-undang negara ini sehinggakan dalam masa 12 bulan selepas kemerdekaan, 90 peratus penduduk bukan Melayu telah menjadi warganegara.

Ini berbeza dengan keadaan sebelum merdeka di mana 90 peratus daripada mereka masih tidak diiktiraf sebagai rakyat Tanah Melayu walaupun hampir 100 tahun hidup di bawah pemerintahan penjajah.

Sebagai membalas kemurahan hati orang Melayu, MCA dan MIC bersetuju meneruskan dasar memelihara dan menghormati kedudukan istimewa orang Melayu dan dalam masa yang sama mempertahankan kepentingan-kepentingan sah kaum lain.”

– Tun V.T. Sambanthan, Presiden MIC merangkap Menteri Kerjaraya, Pos dan Telekom dalam ucapan di Dewan Rakyat 1 Jun 1965:
“…Di Burma, seperti yang kita semua sedia maklum, kaum India telah diusir keluar. Di Ceylon, mereka tidak diberikan taraf warganegara seperti juga di Burma. Saya tahu dan anda juga tahu dan dalam pada itu apa yang sedang berlaku di Malaya?

Di sini kita mendapati pemimpin Melayu berkata, “Kita akan menerima mereka sebagai saudara. Kita akan berikan mereka sepenuh peluang untuk meneruskan kehidupan di negara ini. Kita akan beri mereka peluang untuk menjadi warganegara.”

Dan seterusnya pada 1957, dengan tidak mengambil kira kebolehan berbahasa (Melayu), ribuan orang India, Cina dan Ceylon menjadi warganegara.

Di manakah anda boleh berjumpa bangsa yang lebih prihatin, bersopan-santun dan tertib selain bangsa Melayu? Di manakah dalam sejarah dunia? Saya bertanya kepada anda. Ini adalah fakta. Siapakah anda untuk menjaga keselamatan kami? Saya adalah kalangan 10 peratus kaum minoriti di sini. Tetapi saya amat gembira di sini.”

Ya, bukan salah sesiapa jika sebahagian nasib orang Melayu masih sama seperti hari ini. Persaingan dalam bentuk meritokrasi kini semakin terbuka lagi dengan penyertaan imigran yang bukan alang kepalang kerajinan dan tahap disiplin hidup mereka.

Parti-parti politik Melayu harus bermuhasabah diri. Ya, parti mana yang tidak ‘angin’ apabila 13 ahli Parlimennya lompat ke parti lain? Parti kecil tiba-tiba jadi big brother?

Saya tidak mahir sepak terajang politik bak kata seorang pemimpin UMNO kepada Utusan Malaysia dalam satu pertemuan Isnin lepas: “Itu bacaan saudara, bacaan kita berbeza. Saudara adalah wartawan, kami adalah ahli politik. Pandangan ahli politik mungkin berbeza dengan penganalisis politik dan wartawan.

“Saya fikir eloklah jika penganalisis politik atau wartawan masuk ke gelanggang politik untuk bersama-sama menawarkan diri.”

Saya setuju dengan pandangan pemimpin ini tetapi saya juga berpegang kepada yang satu ini:
“Orang Melayu apabila berpolitik terlampau sangat berparti. Orang bukan Melayu pula berpolitik atas nama bangsa dan tahu sasaran mereka.”

Bukan salah sesiapa…

No comments:

Post a Comment