Wednesday, March 31, 2021

Pemimpin Parti Melayu Masih Ditakuk Lama, Usang

BANGI – Perebutan beberapa penjuru antara parti-parti Melayu yang dijangka berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hanya merugikan bangsa majoriti.

Walhal sepatutnya, parti-parti Melayu memperkukuhkan kedudukan bangsa Melayu dalam persada politik negara dengan meletakkan calon yang berwibawa dan amanah.

Pemerhati politik, Ustaz Sharipudin Abdul Kadir menegaskan, calon yang terlibat dengan pelbagai krisis akhlak dan maruah tidak layak untuk berada di tampuk kepimpinan parti dan negara.

Justeru, beliau menggesa parti-parti Melayu mengetepikan sikap taksub kepartian ketika menentukan calon dalam pilihan raya nanti.

“Bangsa Melayu perlu berfikir dalam konteks bangsa, asalkan mereka calon yang layak dan berwibawa dari bangsa Melayu.

“Bangsa Melayu masih berjuang atas sentimen parti. Ini bermakna calon-calon dari kelompok kluster mahkamah akan terus mengekalkan kedudukan di kawasan masing masing dengan mendakwa bahawa ini adalah kerusi UMNO yang mereka sandang.

“Senario ini menggambarkan bahawa kepimpinan parti Melayu yang ada masih berfikiran di takuk lama yang telah usang berbanding dengan parti-parti cauvinis dan rasis,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Beliau berkata demikian dipercayai merujuk kepada kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa semua kerusi UMNO adalah milik parti itu dan tidak akan sesekali dilepaskan.

Mengulas lanjut, Ustaz Sharipudin berkata, parti cauvinis dan rasis meletakkan agenda bangsa sebagai asas perjuangan mereka.

“Parti-parti mereka hanya sebagai wasilah untuk mencapai agenda bangsa.

“Bangsa Cina menyokong semua calon dari bangsa mereka tanpa mengira parti. PRU akan datang sepatutnya parti-parti Melayu memilih calon yang berwibawa dari kalangan parti-parti Melayu.


“Tidak ada makna pemuafakatan atau persepakatan jika tidak ada titik pertemuan yang sama dengan meletakkan agenda bangsa yang perlu diutamakan,” katanya. - ismaweb.net

No comments:

Post a Comment