Saturday, March 6, 2021

Tulisan Jawi Pada Iklan Dan Papan Tanda Sepatutnya Diperluaskan

Jangan sampai Jawi simpan di muzium
SEBELUM 1980, tulisan Jawi begitu luas penggunaannya. Akhbar seperti Utusan Jawi begitu popular, ditambah kegigihan insan seperti Allahyarham Mokhtar Talib atau Pak Matlob yang gigih menyebar ilmu tulisan Jawi.

Utusan Melayu juga mempunyai majalah bertulisan Jawi, Utusan Kiblat. Ketika itu, sekolah-sekolah agama dan madrasah kuat menggunakan tulisan berkenaan.

Bagaimanapun, keadaan sekarang berubah apabila tulisan Jawi semakin dilupakan. Malah ada pihak yang menentang pengajaran tulisan itu di sekolah.

Adakah kita mahu membiarkan tulisan Jawi menjadi bahan sejarah yang tersimpan di muzium? Adakah kita mahu tulisan itu sekadar menjadi bahan kajian siswazah universiti, cendekiawan ataupun tontonan zaman semata-mata?

Seksyen 9, Akta Bahasa Kebangsaan 1967 menyatakan, walaupun tulisan Rumi digunakan, ia tidak menghalang penggunaan tulisan Jawi.

Dalam pada itu, syabas kepada Kementerian Pendidikan yang memperkenalkan tulisan Jawi dalam sukatan pelajaran tahun empat di sekolah kebangsaan bermula tahun lalu. Di sekolah menengah, usaha itu perlu ditingkatkan lagi.

Namun, usaha memartabatkan Jawi tidak sepatutnya berhenti setakat itu sahaja. Galakan perlu diberikan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pengeluar barangan untuk memasukkan tulisan Jawi dalam pelbagai dimensi penggunaan. Tulisan Jawi pada iklan dan papan tanda sepatutnya diperluaskan.

Akhbar harian perlu mencontohi Utusan Malaysia yang mewujudkan ruangan tulisan Jawi pada hari tertentu. Portal rasmi dan laman web kerajaan juga perlu mewujudkan segmen Jawi dalam siaran mereka.

Oleh: MUSTAFFA SIRAJ
          Batu Pahat, Johor

No comments:

Post a Comment