Wednesday, March 24, 2021

Fakta Sejarah Perlu Ditulis Semula

KUANTAN: Yang di Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah bertitah, agar rakyat tidak menganggap remeh terhadap sejarah kerana sejarah merupakan perkara penting sebagai asas membangunkan sesebuah tamadun manusia.

Baginda bertitah, oleh sebab itu, penulisan semula sejarah tanah air amat penting bagi membetulkan penulisan sejarah yang dibuat oleh orientalis terutama ketika penjajahan British di Tanah Melayu.

Baginda bertitah, fakta-fakta yang memburukkan penduduk tempatan perlu diperbetulkan.

“Saya berpendapat, cadangan mewujudkan Pusat Kajian Sejarah Dan Tamadun Pahang Al-Sultan Abdullah ini amat bertepatan pada ketika kita mula dilalaikan dengan cara hidup moden yang melekakan.

“Saya percaya, pusat kajian ini bukan sahaja boleh menjadi entiti penting untuk melengkapkan peranan muzium sebagai pusat pendidikan dan rujukan, tetapi, juga membolehkan segala bahan sejarah dan budaya negeri Pahang khasnya dan Malaysia amnya akan dapat dikaji dengan lebih mendalam.

“Melalui pusat kajian ini juga, ruang dan peluang yang lebih besar akan dapat dimanfaatkan oleh pengkaji-pengkaji tempatan dan luar negara untuk menyelidik, menerokai dan memahami sejarah tanah air,” titah baginda sempena majlis Taklimat Cadangan Menandatangani (MOA) Penubuhan Pusat Kajian Sejarah dan Tamadun Pahang Al-Sultan Abdullah di Khutub Khanah Diraja di sini hari ini.

Yang hadir sama anakandan, Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Al-Sultan Abdullah; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan merangkap Pengerusi Perbadanan Muzium Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak dan Pengurus Besar Perbadanan Muzium Negeri Pahang, Datuk Ahmad Farid Abd. Jalal.

Al-Sultan Abdullah berharap kerajaan Pahang dapat menyokong penuh penubuhan pusat kajian itu dengan memberi geran khas tahunan bagi menggerakkan aktiviti-aktiviti yang dirancangkan seperti penganjuran seminar, kolokium dan bengkel, penyelidikan, penerbitan, penterjemahan serta latihan.

“Saya menaruh harapan yang tinggi agar pusat ini nanti bukan semata-mata akan menjadi pusat rujukan berguna untuk universiti-universiti tempatan dan luar negara tetapi juga dapat memberi manfaat kepada seluruh rakyat dalam. kalangan orang awam yang berminat untuk mengetahui sejarah tanah air mereka.

“Saya fikir ini satu bentuk pelaburan jangka panjang yang penting untuk memastikan generasi hari ini dan akan datang dapat mengenali dan menghargai sejarah serta jati diri mereka sendiri,” titah baginda.

Seri Paduka bertitah, apa yang diusahakan hari ini bukanlah untuk generasi sekarang semata mata, tetapi untuk generasi akan datang yang bakal mewarisi negara, seperti mana apa yang kita ada sekarang adalah hasil usaha yang dilakukan oleh datuk nenek beratus-ratus tahun dahulu.

“Hari ini, kita menggunakan segala tinggalan mereka dalam bentuk manuskrip, tekstil, seramik dan lain-lain yang menjadi kebanggaan dan pengenalan kita sebagai satu bangsa bertamadun di mata dunia.

“Kita harus bersyukur kerana apa yang kita makan, apa yang kita pakai, tulisan yang kita guna, bahasa yang kita pertuturkan dan peralatan yang kita gunakan untuk kegunaan seharian sebahagian besarnya adalah hasil usaha orang-orang atau cendekiawan terdahulu yang kita warisi dan kita namakannya sebagai sejarah dan budaya kita,” titah baginda.

Baginda bertitah, kita seringkali lupa siapa yang berjasa dan hanya mengenali mereka melalui tulisan atau catatan tertentu sahaja.

“Sejarah ialah iktibar. Jadi saya berharap kita tidak mengabaikan kepentingan sejarah. Jangan memandang rendah usaha-usaha dilakukan oleh ahli sejarah dan ahli muzium kerana setinggi mana pun kita terbang, kita akan tetap kena berpijak di bumi nyata. Ibarat pepatah; melihat keindahan bintang di langit, hijau rumput di taman jangan dilupa,” titah baginda. -UTUSAN ONLINE

Sejarah Malaysia ‘wajib’ diperbetulkan
PETALING JAYA: Penulisan semula sejarah perlu dilakukan supaya tidak timbul lagi fakta lain yang diselewengkan pada masa depan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Tokoh Pendidikan Sejarah Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Seri Md.Salleh Yaapar berkata, titah Yang di Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah mengenai sejarah yang perlu ditulis semula adalah tepat sekali kerana terlalu banyak fakta yang diselewengkan sejak zaman penjajahan Portugis hingga Belanda dan Inggeris.

“Malah, sekarang pun ada rakyat kita yang melakukan kejahatan yang sama,” katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, fakta terbaru yang diputar belit adalah apabila mereka mengagungkan komunis sambil mengetepikan pejuang nasionalis.

Semalam, Yang di Pertuan Agong bertitah, rakyat tidak boleh menganggap remeh terhadap sejarah kerana ia merupakan perkara penting sebagai asas membangunkan sesebuah tamadun manusia.

Tegas Md. Salleh, sejarawan serta pihak yang berwajib tidak seharusnya menyelewengkan sejarah Melayu.

Sementara itu, Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong turut menegaskan penulisan semula fakta sejarah adalah penting kerana ia merupakan sebahagian proses pembentukan negara bangsa.

“Malah ia bertujuan pembinaan jati diri golongan muda iaitu maruah negara terlalu bernilai untuk diperlekeh, apatah lagi dihina!,” tegasnya.

Menurutnya, tidak dinafikan banyak fakta sejarah tanah air sewaktu penjajahan British telah `diherotkan’ antaranya tentang pemberontakan terhadap British oleh anak watan etnik Melayu.

Tambahnya, gelaran “pemberontak” kepada Tok Bahaman, Mat Kilau, Tok Janggut, Mat Salleh dan Rosli Dhobi bukan sahaja tidak tepat hanya kerana mereka menentang British. 

No comments:

Post a Comment