Wednesday, March 31, 2021

Bukan Salah Sesiapa…

BERPATAH arang berkerat rotan.

Pecah lagi kesatuan parti-parti Melayu setelah UMNO membuat keputusan tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Dengan Pas, rakan strategik UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) yang tidak didaftarkan, memilih untuk bersama dengan Perikatan Nasional (PN) diterajui Bersatu, persaingan dalam PRU akan datang kembali ke tiga penjuru. Barangkali lebih – empat atau lima penjuru.

Di luar sana, bukan sahaja UMNO, Pas dan Bersatu mewakili orang Melayu. Ada PKR, Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) serta dua lagi yang belum berjaya didaftarkan, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) – kesemuanya diketuai pemimpin Melayu.

Pecah kesatuan parti-parti Melayu ini boleh saya ibaratkan bak dua rangkap pantun berikut:

Jangan disalai ciku kedondong,
Salailah ikan atas para,
Jangan disalahkan ibu mengandung,
Salahkan badan yang buruk pinta.

Banyak udang banyak garam,
Banyak orang banyak ragam,
Banyak tukang terbuang kayu,
Banyak politik negara hancur.

Dari pengamatan makro, dalam diri orang Melayu itu sendiri `kelihatan’ sudah tidak ada apapun di Tanah Melayu ini. Ekonomi sudah dikuasai orang lain. Pendidikan? Mereka juga. Kekayaan? Yang kita orang Melayu ada kini itupun `sekelumit’ yang tinggal hanyalah kuasa politik. Dari kuasa politik itulah kerajaan terbina.

Tetapi dalam perkara-perkara makro lain yang saya sebutkan tadi, berdikit-dikit telah dikuasai pihak sebelah sana. Mereka tidak merampasnya atau secara tiba-tiba hal-hal berkisar ‘ekonomi dan pendidikan’ tadi hilang dari dakapan orang Melayu. Tetapi sebaliknya mereka mengejar persaingan meritokrasi dan disiplin hidup. Maka jangan salahkan sesiapa. Salahkan badan yang buruk pinta.
Bukan salah sesiapa bila mana politik Melayu masih lagi berpecah belah. Adakah salah parti yang selalu diuar-uarkan cauvinistik itu? Tidak, kerana parti itu kini pemilik kerusi terbesar di Dewan Rakyat.

Menyingkap tabir sejarah silam, kita akan menemukan ungkapan berterima kasih dan penghargaan yang tulus daripada para pemimpin mereka pada 1960-an.

Saya petiknya:
Tun Tan Siew Sin, Presiden MCA dilaporkan dalam akhbar tempatan bertajuk Tun Tan Answers Critics on special Previleges pada 30 April 1969:
“Orang Melayu menerusi UMNO bermurah hati melonggarkan syarat-syarat dalam undang-undang negara ini sehinggakan dalam masa 12 bulan selepas kemerdekaan, 90 peratus penduduk bukan Melayu telah menjadi warganegara.

Ini berbeza dengan keadaan sebelum merdeka di mana 90 peratus daripada mereka masih tidak diiktiraf sebagai rakyat Tanah Melayu walaupun hampir 100 tahun hidup di bawah pemerintahan penjajah.

Sebagai membalas kemurahan hati orang Melayu, MCA dan MIC bersetuju meneruskan dasar memelihara dan menghormati kedudukan istimewa orang Melayu dan dalam masa yang sama mempertahankan kepentingan-kepentingan sah kaum lain.”

– Tun V.T. Sambanthan, Presiden MIC merangkap Menteri Kerjaraya, Pos dan Telekom dalam ucapan di Dewan Rakyat 1 Jun 1965:
“…Di Burma, seperti yang kita semua sedia maklum, kaum India telah diusir keluar. Di Ceylon, mereka tidak diberikan taraf warganegara seperti juga di Burma. Saya tahu dan anda juga tahu dan dalam pada itu apa yang sedang berlaku di Malaya?

Di sini kita mendapati pemimpin Melayu berkata, “Kita akan menerima mereka sebagai saudara. Kita akan berikan mereka sepenuh peluang untuk meneruskan kehidupan di negara ini. Kita akan beri mereka peluang untuk menjadi warganegara.”

Dan seterusnya pada 1957, dengan tidak mengambil kira kebolehan berbahasa (Melayu), ribuan orang India, Cina dan Ceylon menjadi warganegara.

Di manakah anda boleh berjumpa bangsa yang lebih prihatin, bersopan-santun dan tertib selain bangsa Melayu? Di manakah dalam sejarah dunia? Saya bertanya kepada anda. Ini adalah fakta. Siapakah anda untuk menjaga keselamatan kami? Saya adalah kalangan 10 peratus kaum minoriti di sini. Tetapi saya amat gembira di sini.”

Ya, bukan salah sesiapa jika sebahagian nasib orang Melayu masih sama seperti hari ini. Persaingan dalam bentuk meritokrasi kini semakin terbuka lagi dengan penyertaan imigran yang bukan alang kepalang kerajinan dan tahap disiplin hidup mereka.

Parti-parti politik Melayu harus bermuhasabah diri. Ya, parti mana yang tidak ‘angin’ apabila 13 ahli Parlimennya lompat ke parti lain? Parti kecil tiba-tiba jadi big brother?

Saya tidak mahir sepak terajang politik bak kata seorang pemimpin UMNO kepada Utusan Malaysia dalam satu pertemuan Isnin lepas: “Itu bacaan saudara, bacaan kita berbeza. Saudara adalah wartawan, kami adalah ahli politik. Pandangan ahli politik mungkin berbeza dengan penganalisis politik dan wartawan.

“Saya fikir eloklah jika penganalisis politik atau wartawan masuk ke gelanggang politik untuk bersama-sama menawarkan diri.”

Saya setuju dengan pandangan pemimpin ini tetapi saya juga berpegang kepada yang satu ini:
“Orang Melayu apabila berpolitik terlampau sangat berparti. Orang bukan Melayu pula berpolitik atas nama bangsa dan tahu sasaran mereka.”

Bukan salah sesiapa…

Siasat ‘Kartel Polis’....

SPRM enggan bertindak, RCI perlu untuk siasat ‘kartel polis’, kata Guan Eng
PETALING JAYA: DAP menyeru agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan kewujudan “kartel polis” ekoran keengganan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak atas isu itu.

Setiausaha agung parti itu, Lim Guan Eng dalam kenyataan berkata, penubuhan RCI diperlukan bagi mencari punca masalah itu dan “membersihkan pasukan polis”.

Baru-baru ini, Ketua Polis Negara (KPN) Abdul Hamid Bador mendedahkan kewujudan sekumpulan pegawai polis lebih muda yang membentuk sebuah kartel bagi mendominasi pasukan polis dan menjatuhkan beliau demi kepentingan mereka sendiri.

Susulan itu, Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dilaporkan berkata, agensi itu tidak bercadang menyiasat isu itu kerana ia masalah dalaman polis.

Lim menyifatkan rasional Azam bagi tidak membuat siasatan sebagai “aneh dan tidak masuk akal”.

“Rasuah bukanlah masalah dalaman yang harus diselesaikan secara dalaman tetapi jenayah yang mesti diselesaikan secara terbuka di mahkamah.

“Azam perlu tahu bahawa amalan terbaik antarabangsa terhadap rasuah, memerlukan badan bebas untuk menyiasat dan mengambil tindakan dan bukannya siasatan dalaman yang cenderung untuk meminimumkan atau menutup kesalahan yang berlaku,” kata beliau.

Mengikut logik Azam, kata Lim, SPRM tidak perlu menyiasat dan menahan pegawai polis atas rasuah, memandangkan ia dapat diselesaikan secara dalaman.

“Apakah keadaan yang menjadikan pelakuan rasuah satu masalah dalaman dan siapa yang memutuskan sama ada ia dapat diselesaikan secara dalaman?” soal beliau.

Lim menuduh SPRM melepaskan tanggungjawabnya seperti yang diperuntukkan bawah Seksyen 7 Akta SPRM 2009, dan berkata, keengganan suruhanjaya itu menyiasat dakwaan Hamid akan mempengaruhi kredibilitinya.  - freemalaysiatoday.com

Menanti Sedapnya Teks Khutbah Jakim

MARI kita ‘lari sedikit’ hari ini daripada berita-berita kemelut politik tanah air.

Ia tentang kandungan teks ucapan khutbah Jumaat keluaran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang dikatakan tidak ikut keadaan semasa.

Mereka yang mengadu ini daripada kalangan profesional, bekas pegawai tinggi kerajaan dan ilmuwan. Kata mereka, sayang sekali Jumaat yang hadir tidak dilengkapi intipati teks khutbah yang terkesan kepada jemaah. Sampai ada yang menguap, tertidur sementara nanti solat. Skrip yang dihidangkan ‘bosan kerana biasa-biasa sahaja isu dibawakan’.

Jumaat lepas, saya difahamkan di Perak, masjid-masjid di sana tidak gunakan skrip khutbah daripada Jakim – walaupun dikekalkan tema khutbahnya “Polis dan masyarakat berpisah tiada”. Dikatakan skrip yang disediakan oleh Jakim kitar cerita lama. Sedangkan Majlis Agama Islam Perak (MAIPk) lebih tumpu perkara semasa. Lampiran asal teks Jakim dan yang dikeluarkan MAIPk dirujuk kepada saya untuk dibuat perbandingan. Setelah diamati, nampaknya teks khutbah MAIPk lebih terkesan dengan senario masyarakat hari ini. Menusuk jiwa para jemaah.

Barangkali pegawai di Jakim kena lihat sesuatu dari perspektif semasa, kaitkan dengan isunya. Khabarnya bukan sahaja teks khutbah Jakim minggu lalu ditambah baik MAIPk, tetapi skrip khutbah Jumaat sebelum ini pun – peristiwa Israk Mikraj dan malapetaka dadah kepada ummah.

Seeloknya kandungan teks dapat kawal kombinasi khutbah. Tak harus melebihi 20 minit. Panel penulisan khutbah perlu dianggotai ahli pelbagai disiplin pengajian. Tak terbatas kepada imam-imam berlatar belakang syariah sahaja.

Suatu ketika pada Januari 2020 masjid-masjid di negara lain termasuk Singapura menutup sementara aktiviti lawatan daripada pelancong luar. Ia sebagai langkah berjaga-jaga elakkan jangkitan koronavirus. Sayangnya tajuk khutbah Jumaat dikeluarkan Jakim waktu itu adalah “Malaysia Destinasi Mesra Pelancongan Islam”.

Benar, masih tedapat sedikit peringatan diberikan kepada jemaah. Namun ‘sekadar melepaskan batuk di tangga’. Situasi ini menggambarkan ketidakpekaan dalam membantu menyebarkan maklumat dan memberi kesedaran berkaitan koronavirus.

Jakim sebagai tempat rujukan masyarakat Islam sewajarnya sensitif terhadap hal-hal sekeliling yang berlaku. Kita tidak mahu ada perlakuan seperti burung kakak tua yang hanya bercakap mengikut kehendak pihak tertentu. Akibatnya, teladan dan hikmah khutbah Jumaat tidak dijiwai para jemaah.

Hari ini Selasa, dua hari lagi akan masuk Jumaat.

Oleh: Zulkifli Jalil

Dasar Ekonomi Baru Tidak Lagi Berfungsi, Kata Nazir

PETALING JAYA: Banyak prinsip dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) tidak lagi berfungsi, sebaliknya menjejaskan politik dan melebarkan jurang antara komuniti di negara ini, menurut tokoh korporat Nazir Razak.

Nazir, anak perdana menteri kedua Malaysia dan “arkitek” DEB, Abdul Razak Hussein, berkata status quo tidak dapat dipertahankan, dan beliau mempersoalkan sama ada pemimpin negara ada inisiatif untuk membangun dan melaksanakan sistem politik, ekonomi dan sosial baharu.

Beliau berkata, DEB bukan diwujudkan sebagai satu penyelesaian yang kekal.

Bekas pengerusi CIMB itu berkata prinsip-prinsip DEB, banyak yang tidak berubah sejak penubuhannya pada 1970, telah menampakkan diri dalam “politik kita yang tidak berfungsi, data ekonomi dan perpecahan yang semakin meningkat”.

“Ini tidak mengejutkan kerana sistem yang dilaksana dimaksudkan sebagai satu percubaan dan bersifat sementara,” kata beliau kepada FMT.

Beliau memberi amaran bahawa isu-isu yang semakin “bernanah” ini akan meluap sekiranya pemimpin-pemimpin negara gagal bertindak dengan segera untuk melaksanakan pembaharuan.

“Perlukah kita tunggu pergaduhan tercetus di jalanan atau negara gagal sebagai institusi sebelum kita menangani isu pembaharuan?” soal beliau.

Nazir berkata, keadaan darurat, ketidakstabilan politik dan kekecewaan masyarakat umum pada masa ini sepatutnya sudah cukup menjadi bukti bahawa perubahan diperlukan.

“Bukankah sepatutnya pemimpin-pemimpin kita duduk bersama, kenal pasti masalah dan kaji pembaharuan ini sekarang? Mereka tidak sepatutnya mementingkan diri dengan berkata: ‘Saya mendapat keuntungan daripada sistem ini, jadi saya tidak mahu mengubah apa-apa.’”

“Ini yang selalu menjadi masalah dengan pembaharuan. Mereka yang berkuasa lebih kurang berkata, ‘Inilah sistem yang meletakkan saya di sini. Mengapa saya mahu mengubahnya?’”

Nazir berkata, ada keperluan bagi membentuk sekumpulan pakar untuk meneliti isu yang paling mendesak dan memecahbelahkan di negara ini, satu seruan yang berulang kali dibuat Nazir.

Kata beliau, kumpulan itu mirip dengan Majlis Perundingan Negara yang ditubuhkan ekoran rusuhan 13 Mei.

“Sekolah vernakular, tindakan afirmatif, keseluruhan isu sekular vs negara Islam – semua perkara ini harus dibawa berunding dan dibincangkan,” kata beliau.

“Dapatkan pemimpin masyarakat, golongan intelektual, dan sebagainya untuk berdebat dan mencadangkan sistem baharu yang boleh meletakkan kita pada landasan yang lebih baik.

“Zaman ini, dunia tidak menunggu sesiapa pun. Dinamiknya adalah jika kita tidak menguruskan demokrasi dan masyarakat, dan bekerjasama merentasi sempadan identiti sekarang, kita akan semakin jauh ketinggalan.”

Bentuk baharu pembuatan dasar sedang diterokai di seluruh dunia, kata Nazir, dan wakil rakyat semakin jelas kelihatan tidak dapat berhubung dengan pengundi.

“Berkenaan isu struktur jangka panjang, kita tidak boleh bergantung kepada Parlimen atau parti politik, yang pada dasarnya mempunyai agenda jangka pendek.

“Individu yang kita pilih akan mengundi mengikut arahan partinya, bukan apa yang dikehendaki rakyat yang diwakilinya.

“Mereka juga sentiasa dipengaruhi kitaran pilihan raya,” kata beliau.

Merujuk kepada apa yang terjadi di Ireland, beliau berkata panel rakyat, golongan intelektual dan pemimpin masyarakat dimaklumkan oleh Ahli Parlimen bahawa masyarakat umum tidak akan menerima saranannya untuk menjadikan pengguguran itu sah di sisi undang-undang. Tetapi referendum diluluskan dengan hampir dua pertiga jumlah undi.

“Adakah ahli politik individu yang tepat untuk menangani isu struktur jangka panjang bagi menambah baik negara? Saya rasa, tidak,” kata beliau.  - freemalaysiatoday.com

Pemimpin Parti Melayu Masih Ditakuk Lama, Usang

BANGI – Perebutan beberapa penjuru antara parti-parti Melayu yang dijangka berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hanya merugikan bangsa majoriti.

Walhal sepatutnya, parti-parti Melayu memperkukuhkan kedudukan bangsa Melayu dalam persada politik negara dengan meletakkan calon yang berwibawa dan amanah.

Pemerhati politik, Ustaz Sharipudin Abdul Kadir menegaskan, calon yang terlibat dengan pelbagai krisis akhlak dan maruah tidak layak untuk berada di tampuk kepimpinan parti dan negara.

Justeru, beliau menggesa parti-parti Melayu mengetepikan sikap taksub kepartian ketika menentukan calon dalam pilihan raya nanti.

“Bangsa Melayu perlu berfikir dalam konteks bangsa, asalkan mereka calon yang layak dan berwibawa dari bangsa Melayu.

“Bangsa Melayu masih berjuang atas sentimen parti. Ini bermakna calon-calon dari kelompok kluster mahkamah akan terus mengekalkan kedudukan di kawasan masing masing dengan mendakwa bahawa ini adalah kerusi UMNO yang mereka sandang.

“Senario ini menggambarkan bahawa kepimpinan parti Melayu yang ada masih berfikiran di takuk lama yang telah usang berbanding dengan parti-parti cauvinis dan rasis,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Beliau berkata demikian dipercayai merujuk kepada kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa semua kerusi UMNO adalah milik parti itu dan tidak akan sesekali dilepaskan.

Mengulas lanjut, Ustaz Sharipudin berkata, parti cauvinis dan rasis meletakkan agenda bangsa sebagai asas perjuangan mereka.

“Parti-parti mereka hanya sebagai wasilah untuk mencapai agenda bangsa.

“Bangsa Cina menyokong semua calon dari bangsa mereka tanpa mengira parti. PRU akan datang sepatutnya parti-parti Melayu memilih calon yang berwibawa dari kalangan parti-parti Melayu.


“Tidak ada makna pemuafakatan atau persepakatan jika tidak ada titik pertemuan yang sama dengan meletakkan agenda bangsa yang perlu diutamakan,” katanya. - ismaweb.net

Tuesday, March 30, 2021

Apabila Ada Segerombolan Dari Kita Yang Bodoh Piang.....

Keling bukan panggilan perkauman
SUNGGUHPUN penggunaan ungkapan Keling kini dikaitkan dengan isu moral, iaitu penghinaan dan lain-lain, ia pada masa dahulu adalah pemerian neutral kepada mereka yang datang ke sini dari wilayah Kalinga di India. Dengan kata lain, ia langsung bukan ungkapan yang menghina pada permulaannya, tetapi menjadi menghina selepas itu.

Hal sebegini juga didapati berlaku kepada banyak ungkapan lain di seluruh dunia. Antaranya penggunaan ungkapan Wop dalam bahasa Itali untuk merujuk kepada orang Itali. Ia yang bermaksud tampan, gagah dan lawa diterima baik pada awalnya oleh orang Itali sendiri, tetapi kemudiannya dianggap sebagai menghina pula oleh mereka.

Persoalan dalam hal ini ialah bagaimana ungkapan neutral boleh bertukar menjadi negatif. Dua perkara penting perlu difahami dalam konteks ini. Pertama ialah kegunaan, iaitu tujuan ungkapan tertentu wujud sebagai rujukan kepada entiti yang dirujukinya. Sehubungan ini, Keling ialah rujukan tempatan untuk orang yang datang dari Kalinga.

Kedua ialah penggunaan, iaitu cara ungkapan berkenaan digunakan, sama ada secara betul atau salah. Untuk ini, selain digunakan secara baik, Keling ikut digunakan sebagai makian dan lain-lain yang tidak sepatutnya.

Secara perbandingan, Keling sebenarnya tidak sekeji panggilan perkauman seperti India Mabuk, Cina Tipu dan Melayu Bodoh. Ini kerana Keling wujud dalam bentuk halus sebelum berubah menjadi kasar. Tidak seperti panggilan perkauman yang memang sengaja dicipta untuk menghamun kelompok tertentu berdasarkan etnisiti mereka dengan memberi ciri buruk lagi terkutuk.

TABU
Oleh itu, kita dikehendaki berjiwa besar untuk menerima hakikat asal rujukan mengenai etnisiti kita dengan penuh kematangan. Ini bukan sahaja memperlihat kebijaksanaan kita, iaitu cekap membezakan rujukan etnik dengan panggilan perkauman, ia juga memperlihat sikap tidak mudah sensitif dan bersangka baik kita terhadap sesuatu kenyataan berkaitan etnisiti kita, yang tidak semestinya selalu berniat jahat.

Oleh itu, tidak perlu ada hasrat untuk mengambil sebarang tindakan sesama kita, termasuk yang bersifat perundangan. Juga tidak perlu ada desakan untuk digugurkan ungkapan Keling, Cina Buta dan lain-lain daripada kamus kita.

Dengan kebijaksanaan dan sikap baik, semua etnik hendaklah menerima bahawa ia sebahagian daripada sejarah sosial kita, iaitu perjalanan interaksi Melayu-Cina-India dengan urutan masa yang memperlihat Keling sebagai rujukan neutral yang kemudiannya menjadi negatif dan akhirnya terpaksa digantikan.

Sebenarnya ungkapan Keling, Cina Buta dan lain-lain dalam konteks sejarah sosial negara ini memperlihat pengalaman kehidupan kita bersama sebagai masyarakat majmuk, dengan amalan dan ritual harian yang tidak terkecuali daripada gejala salah faham sesama kita. Oleh itu, setelah disedari sesuatu itu tidak difahami dengan betul, justeru langkah tegas terus diambil untuk cepat memperbetulnya.

Inilah yang berlaku pada ungkapan Keling yang kini ditandai label tabu pada kamus kita. Sebenarnya ia tidak pernah dihuraikan ertinya dalam bentuk jelik. Lebih penting lagi ialah Keling sebagai rujukan tidak sopan kini kepada etnik India, tidak pernah sesekali digambarkan dalam apa-apa jua keadaan buruk untuk menonjolkan, apatah lagi mengabsahkan konotasi negatif yang dikaitkan dengannya.

Lagi pun Keling adalah masukan sebagai kata nama khas dengan ejaan huruf besar “K”. Dengan ini, ia merujuk kepada satu entiti tunggal sahaja dan digunakan untuk hanya merujuk kepada entiti itu sebagaimana kewujudannya. Ia tidak dimasukkan sebagai kata nama am dan kata sifat dengan ejaan huruf kecil “k”, walaupun terdapat penggunaannya sebegitu pada korpus tulen dalam sejarah sosial kita.

Sebetulnya ini menunjukkan sensitiviti etnik India sudah diambil kira sebaik-baiknya. Oleh itu, tidak benar kalau ada tuduhan bahawa Keling terus dikekalkan dalam kamus untuk mencela maruah etnik India.

JIJIK
Ini berbeza dengan kamus bahasa Inggeris yang memasukkan ungkapan “pariah” sebagai pemahaman umum bagi pergertian “orang yang tidak diterima masyarakat”. Dalam bahasa Melayu, ia hanya digunakan sebagai kata nama khas bagi merujuk golongan tertentu dalam struktur sosial etnik India. Sehubungan perbezaan penggunaannya sebagai kata nama khas dan am, ia memperlihat betapa prihatinnya kamus kita dalam menjaga perasaan etnik India.

Pada masa sama, rakyat Malaysia juga perlu lebih cakna dan sensitif sekali agar tidak sesekali menggunakan ungkapan tabu ini dan lain-lain, khususnya secara sengaja dalam komunikasi tertutup. Ini kerana ia boleh membawa kepada wujudnya keadaan bawah sedar kelak, iaitu digunakan tanpa disedari nanti.

Apabila ini berlaku, ia bukan sahaja boleh menimbulkan keadaan tegang, kita juga boleh dianggap sebagai menggunakan bentuk bahasa yang penuh dengan buruk sangka terhadap sesuatu etnik itu.

Malang sekali Keling yang sebetulnya rujukan luhur untuk etnik India, sama sekali berbeza dengan panggilan jijik bersifat perkauman, masih tetap mahu disekat penggunaannya dalam semua konteks, termasuk masa lampau.

Ini sesungguhnya akan mencacatkan pengkajian sejarah sosial tanah air untuk pemahaman generasi mendatang. Ini kerana bukan sahaja pengertian sebenar tentang masyarakat majmuk kita menjadi tidak sempurna, pencerapan tuntas kita mengenai sesuatu kelompok itu ikut menjadi tidak lengkap.

Oleh: Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong

Lelucon Politik Untuk Sedapkan Hati?

DALAM meniti usia genap 75 tahun pada 11 Mei ini, UMNO masih diterajui pimpinan yang menggunakan naratif sama apabila berada dalam keadaan tertekan.

Apabila ada ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari UMNO berhijrah menyertai parti lain, maka lazimnya keluar bermacam-macam tuduhan yang rata-rata sekadar andaian tanpa bukti kukuh disertakan.

Ada pemimpin kanan UMNO menyifatkan Perikatan Nasional (PN) sebagai pakatan parti yang tidak stabil atau berdaya maju kerana menerima penyertaan ahli Parlimen daripada parti lawan. Adakah itu sekadar lelucon, mungkin untuk menyedapkan hati sendiri?

Apa asas atau hasil kajian yang menyokong semua andaian itu? Tidakkah pemimpin itu meletakkan UMNO di depan cermin? Mempunyai ahli parti paling banyak belum menjamin akan mendapat sokongan ramai pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Pemimpin dan bekas pemimpin tertinggi UMNO sedang dibicarakan, ada tuduhan yang sudah disabitkan dan hukuman pun sudah dijatuhkan. Mana mungkin puluhan tuduhan yang dikenakan didakwa sebagai rekaan?

Jika benar ia rekaan, lalui proses perbicaraan dengan tenang tanpa perlu mengulang, merintih simpati kononnya apa yang dihadapi mereka itu adalah tindakan balas dendam melalui konspirasi parti dan pemimpin lawan.

Perlukah dihujahkan kononnya mereka diheret ke mahkamah kerana enggan bersekongkol dengan parti kerajaan atau mungkin juga semua tuduhan itu hadir kerana mereka gagal memujuk pemimpin kerajaan menggugurkan pendakwaan?

Yakinkah mereka yang majoriti rakyat akan terus memberi sokongan kepada UMNO jika parti itu masih mempertahankan pemimpin yang terpalit dengan dakwaan kes jenayah dan rasuah?
Di mana letaknya maruah Melayu jika pemimpin-pemimpin seperti ini terus disanjung dan diberi ruang dalam lingkaran kuasa di Malaysia?

Jika salah orang lain sahaja yang dicari, enggan melihat kelemahan sendiri dan kekal tidak berubah, salahkan diri sendiri andai UMNO menjadi tidak relevan dan ditolak pengundi pada PRU-15 nanti.

Oleh: ISHAK HAMID
         Johor Bahru, Johor

Pinda Perlembagaan Elak Pertikaian Perundangan Syariah, Sivil

PETALING JAYA: Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan berhubung hal ehwal Islam wajar dipinda dengan membuka takrifan lebih meluas terhadap bidang kuasa mahkamah syariah sekali gus dapat mengelakkan pertindihan antara perundangan syariah dan sivil.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar perlembagaan, Datuk Salleh Buang menjelaskan, pindaan Perlembagaan Persekutuan merupakan jalan penyelesaian kemelut pertikaian kedua-dua undang-undang itu memandangkan Jadual Ke­sembilan kini terlalu sempit sehingga membataskan bidang kuasa mahkamah syariah dan membuka ruang ia dicabar.

Katanya, ekoran keputusan Mahkamah Persekutuan yang sebulat suara membenarkan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 berkaitan kesalahan hukum tabii dicabar telah memperlihatkan terdapat kelompongan undang-undang syariah negara ini.

Beliau mengambil contoh, terdapat empat seksyen dalam Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 bertindih dengan perundangan sivil iaitu Seksyen 17 (berjudi), Seksyen 27 (hubu­ngan jenis dengan sama jantina), Seksyen 28 (persetubuhan bertentangan hukum tabii) dan Seksyen 38 (penyalahgunaan tanda halal).

“Kalau ikutkan keputusan Mahkamah Persekutuan yang baharu ini, semua seksyen dalam enakmen jenayah syariah seluruh negeri boleh dicabar. Tetapi setakat ini hanya membabitkan negeri Selangor sahaja.

“Hal ini kerana mengikut hie­rarki, undang-undang negeri tidak boleh menyalahi undang-undang Persekutuan apatah lagi berlawanan dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Pada 25 Februari lalu, Mah­kamah Persekutuan membena­rkan permohonan mencabar un­dang-undang oleh seorang lelaki, Iki Putra Mubarak terhadap Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 19­95 sekali gus mengetepikan pe­rundangan itu yang mene­tapkan seks luar tabii sebagai jenayah syariah.

Iki Putra didakwa di Mah­kamah Tinggi Syariah pada 21 Ogos 2019 atas tuduhan meliwat di Bangi, Selangor.

Dia mencabar peruntukan Seksyen 28 itu dengan mendakwa negeri atau mahkamah syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk menggubal dan membi­carakan kes jenayah liwat.

Salleh juga membangkitkan persoalan sama ada seluruh ahli Parlimen senada untuk menyokong rang undang-undang pindaan Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan khususnya dalam kalangan wakil rakyat beragama Islam.

“Masalahnya kita tidak pernah cuba untuk pinda Jadual Kesembilan. Kita tidak boleh dipersalahkan jika gagal, namun boleh dipersalahkan sekiranya tidak pernah mencuba,” tegasnya.

Katanya, kerajaan negeri jus­te­ru itu perlu melakukan kajian untuk menyelamatkan Enakmen Jenayah Syariah masing-masing daripada terus dicabar dan akhirnya diketepikan.

Pensyarah Kuliah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof. Madya Dr. Khairil Azmin Mokhtar berkata, masalah pertindihan perundangan syariah dan sivil boleh ditangani sekiranya isu berkaitan diselesaikan lebih awal di pe­ringkat Jabatan Peguam Negara.

Katanya, Jabatan Peguam Negara sudah pun mempunyai Bahagian Syariah dan Pengharmonian Undang-Undang yang menangani isu berkaitan dengan undang-undang syariah yang berbangkit. – UTUSAN

Lesen Terbang Masih Dijual

ANTARA iklan lesen terbang yang disebarkan
dalam media sosial.
SYABAS saya ucapkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang telah mengadakan kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menahan berpuluh-puluh anggota jabatan itu yang menyeleweng dalam Operasi Sukat baru-baru ini.

Langkah itu adalah bagi memastikan jabatan berkenaan sentiasa bersih daripada sebarang elemen salah guna kuasa serta gejala rasuah yang mengakibatkan ketirisan hasil negara. Ini membuktikan jabatan itu tidak berkompromi dengan sebarang kegiatan boleh menjejaskan reputasi dan nama baik JPJ berhubung aspek integriti.

Operasi secara besar-besaran di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Perlis dan Melaka itu adalah bagi menahan anggota JPJ yang disyaki melindungi pemandu lori melakukan kesalahan seperti membawa muatan lebih serta tidak memenuhi aspek teknikal kenderaan.

Dalam pada itu, saya berharap SPRM melakukan penyamaran bagi menahan anggota JPJ yang terbabit dalam pengeluaran lesen terbang yang saya dapati masih lagi berleluasa.

Turut dikenali sebagai lesen kopi-O, ia merujuk kepada lesen memandu yang diperoleh secara tidak sah dengan membayar pihak tertentu tanpa perlu menduduki ujian bertulis dan praktikal.

Iklan tawaran lesen memandu seperti ini saya lihat rancak disebarkan dalam media sosial dengan kadar bayaran dikenakan antara RM180 hingga RM700 mengikut jenis lesen.

Gejala itu mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain kerana kewujudan pemandu-pemandu tidak cekap yang dihasilkan dengan mengambil lesen terbang.

Selain rakyat Malaysia, saya juga mendapati warga asing memilih membeli lesen terbang sebagai jalan mudah untuk memiliki lesen kenderaan di negara ini.

Oleh: MAT KAPCAI
          Kuala Kangsar, Perak

Monday, March 29, 2021

‘Tiada Lagi Suara Perjuangan Agama, Bangsa Di PWTC’

BANGI – “Kira kira 18 bulan lalu, Dewan Merdeka PWTC menjadi saksi kepada himpunan penyatuan ummah dan perpaduan politik Melayu.

“Hari ini, dewan yang sama menghidangkan suasana berbeza. Tiada lagi suara perpaduan, perjuangan bangsa dan agama. Ia berganti suara perpecahan.

“Suara menakut-nakutkan, ugutan, penggantungan dan pemecatan. Saya berbangga menjadi sebahagian suara yang dulu dan bukan suara yang baru,” demikian luahan Tan Sri Annuar Musa di Facebooknya hari ini.

Beliau juga mengenang kembali dalam Dewan PWTC itulah pernah memaparkan ayat al-Quran dan surah pilihan yang memperingatkan mengenai pentingnya perpaduan dan perpecahan.

“Ucapan-ucapan sarat dengan sifat berjiwa besar, saling memaafkan serta penyataan iltizam berjuang demi agama, bangsa dan tanah air.

“Lagu muafakat digubah, piagam dimasyhur, MoU ditandatangani. Suasana di sambut rasa lega rakyat di iringi linangan air mata,” katanya.

Pada 14 September 2019 UMNO dan PAS menubuhkan Muafakat Nasional (MN) atas alasan untuk mengukuhkan semula kesatuan politik bangsa itu.

Gagasan berkenaan didakwa mahu membawa perubahan kepada kesatuan politik Melayu di Malaysia.

Namun, peranan dan fungsi Muafakat Nasional kini seolah-olah tenggelam dan hilang punca.

Hubungan kedua-dua parti dilihat masih ‘tergantung’ apabila UMNO memilih untuk memutuskan kerjasama dengan Bersatu pada PRU15 nanti, dan PAS pula kekal untuk mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN). - ismaweb.net

Friday, March 26, 2021

Penceroboh Kecil Mudah Saja Didakwa, ‘Kartel’ Musang King Terus senyap

BANGI – Belum selesai isu pencerobohan ‘kartel’ kebun durian Musang King di Pahang, timbul pula kegiatan sama membabitkan warga asing di hutan simpan di negeri berkenaan.

Kali ini seorang warga Pakistan ditahan dan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Raub kerana menceroboh Hutan Simpan Ulu Jelai, Lipis.

Tertuduh, Rawan Bakht dikenakan denda RM8,000 selepas mengaku bersalah memasuki kawasan hutan Kompartmen 600 Hutan Simpan Ulu Jelai pada 15 Mac lalu.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, persoalan sama akan ditimbulkan setiap kali kes pencerobohan tanah berlaku, namun sehingga kini tiada jawapan.

“Antaranya, mengapa pencerobohan terus berlaku di hutan-hutan daerah yang sama, seolah-olah mereka langsung tidak takut dengan undang-undang?

“Apakah masalahnya ada pada penguatkuasaan? Atau apakah ada elemen-elemen rasuah dalam kalangan penguatkuasa hutan dan tanah?,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bahkan, katanya, sehingga kini juga status siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai dakwaan salah guna kuasa dalam jabatan hutan dan berkaitannya tidak diketahui.

“Mengapakah pencerobohan-pencerobohan di fasa awal, di mana belum lagi ada penarahan besar-besaran pasti oleh warga asing?

“Apakah tiada orang tempatan yang terlibat di sebalik pencerobohan-pencerobohan di hutan yang agak ‘ceruk’ sebegini? Bagaimana warga asing begitu arif dengan geografi tempatan di ‘ceruk’ ini?,” soalnya.

Beliau turut mempersoalkan apakah warga asing yang terbabit di dalam kegiatan itu hanyalah ‘kambing hitam’ untuk menutup sesuatu lebih besar di sebalik isu berkenaan.

“Atau apakah kita akan hanya temui orang tempatan hanya apabila tanah yang diceroboh sudah menjadi ladang-ladang besar dan mereka sudah menjadi tauke besar sehingga mereka tidak perlu berselindung lagi?

“Rakyat masih belum lupa akan siri pencerobohan tanah dan hutan di negeri Pahang yang sangat menyedihkan, lebih-lebih lagi kes ‘kartel’ kebun Musang King yang akhirnya berjaya disenyapkan melalui proses rayuan di mahkamah yang ‘ditangguh’ sehingga suatu tempoh yang tidak diketahui,” katanya.

Mengulas dari sudut perspektif berbeza, Haji Aminuddin tertanya-tanya mengapa penceroboh kecil seperti itu dengan mudah sahaja didakwa dan didenda di mahkamah berbanding ‘kartel’ Musang King yang sudah lebih 40 tahun sehingga menyebabkan kerugian kepada pendapatan negeri.

“Mengapa ada ‘double standard’ begini pula? Sudahlah tidak didenda dan dijatuhkan hukuman, mereka ini disanjung lagi oleh ahli-ahli politik sebagai ‘hero’ yang kononnya petani dan peniaga berjaya.

“Sedihnya pada masa yang sama, pemimpin politik hanya sibuk menjatuh sesama sendiri walau sudah ada kuasa. Manakala apabila tibanya perhimpunan agung mereka nyanyi lagi ‘Anak Kecil Main Api’ sambil menangis-nangis,” katanya. - ismaweb.net

Thursday, March 25, 2021

Islam Dipersenda Secara Terbuka

KEPUTUSAN dua kes mahkamah syariah yang tidak menyebelahi kerajaan Pusat dan negeri wajar diberi perhatian serius terutama oleh pemimpin politik Melayu.

Impak daripada keputusan kes-kes berkenaan adalah amat jelas bahawa pelaksanaannya tidak selari dengan kehendak Perlembagaan negara.

Sebagai rujukan mudah, kes lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) melibatkan enakmen undang-undang syariah Selangor tidak sah pelaksanaannya. Begitu juga kes kalimah Allah perlu dipinda supaya tidak mudah dicabar oleh pihak-pihak tertentu.

Namun, terdapat isu berbangkit dalam usaha meminda Perlembangaan kerana ia perlu mendapat sokongan dua pertiga ahli Parlimen sedangkan kedudukan ahli Parlimen Melayu-Islam semakin mengecil akibat kiblat politik yang berteraskan kluster berlainan ragam dan sandiwara.

Kes kalimah Allah walaupun penggunaannya telah bermula sejak 1985, namun tindakan perundangan yang hanya dikuatkuasakan 13 tahun lalu tidak menjadi agenda penting dan utama sehinggalah Mahkamah Tinggi memutuskan isu berkenaan berasaskan kepada fakta, baru-baru ini.

Semua pihak perlu akur dan menerima keputusan berkenaan, malah tidak wajar ditafsir melalui sudut politik yang sempit, sebaliknya kerajaan masih berpeluang mengemukakan rayuan sehingga peringkat Mahkamah Persekutuan.

Selagi pemimpin politik Melayu-Islam tidak ikhlas sesama sendiri dan selagi wujud unsur tikam belakang, maka selagi itulah ruang terbuka luas bagi pihak tertentu untuk mempersendakan Islam secara terbuka.

Terkini, lihatlah bagaimana DAP yang bermodalkan 42 kerusi Parlimen berani mengkritik agama Islam dengan membandingkan isu lompat parti dengan murtad kerana pada pandangan parti berkenaan, kedudukan serta penyatuan kepimpinan Melayu-Islam sudah menjadi cacamarba serta tidak bersatu dan ini amat berbahaya.

Tiada satu parti pun yang berkemampuan berdiri di atas platform sendiri kerana ego. Maka menjadi tanggungjawab pemimpin parti Melayu-Islam dari UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) memastikan kekuatan ummah dijadikan keutamaan supaya anak bangsa tidak merempat di negara sendiri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Oleh: RAHMAD ISAHAK
          Aktivis politik dan bekas ahli DAP

Kartel PDRM Perlu Didedahkan, Ini soal Keselamatan, Maruah Negara

BANGI – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menggesa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk segera menyiasat isu ‘kartel’ di dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ini susulan pendedahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador baru-baru ini, berhubung wujudnya kartel di dalam PDRM yang mendapat sokongan dari pihak luar tertentu.

Beliau berkata, data-data identiti mereka yang terlibat dalam gerakan kartel itu diperoleh daripada sumber sahih, namun tidak akan mendedahkannya kerana perkara itu diyakini masih berada di dalam kawalan.

“Sejak 2019 saya sudah ingatkan kepada semua untuk putuskan hubungan dengan taukeh judi dan dadah agar kita dapat jalankan tugas dengan selesa dan tidak diugut oleh mana-mana pihak, namun dalam tempoh itu juga saya rasa sudah hampir 100 anggota dan pegawai yang memakai ‘baju jingga’,” kata Hamid.

Terkejut dan gusar dengan pendedahan itu, Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya mendesak supaya pihak berkuasa memandang serius serta menyiasat sepenuhnya perkara berkenaan.

“Jika Ketua Polis Negara pun berasa tidak selamat, mana mungkin rakyat biasa boleh selamat?

“PEMBELA menggesa Ketua Polis Negara segera membuat aduan rasmi jika benar-benar serius mahukan perkara ini diselesaikan.

“Ini supaya ia tidak menjadi polemik yang akhirnya boleh mencetuskan masalah-masalah lebih besar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Haji Aminuddin berkata, pihaknya juga menuntut supaya satu bentuk pembersihan besar-besaran dilakukan segera untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap PDRM.

“PEMBELA juga menuntut supaya semua bentuk kartel dan pihak yang membiayai mereka didedahkan dan diambil tindakan tegas.

“Ini soal keselamatan dan maruah negara! Akhir sekali, PEMBELA ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Polis yang ke-214 kepada semua anggota PDRM yang selama in bekerja keras berkhidmat untuk negara,” katanya. - ismaweb.net

Ahli Politik Gagal Satukan Rakyat Pelbagai Kaum?

TANAH Melayu sudah merdeka lebih enam dekad lalu, namun sehingga kini masih dilihat gagal menyatupadukan masyarakat pelbagai kaum.

Kegagalan tersebut berpunca daripada pemimpin Melayu yang tidak menggunakan kuasa dengan bijak.

Lihat sahaja apabila Singapura keluar dari Malaysia, kerajaan Parti Tindakan Rakyat (PAP) diterajui Lee Kuan Yew hanya membenarkan sekolah satu aliran beroperasi di republik tersebut.

Begitu juga Indonesia yang hanya menggunakan bahasa rasmi negara itu sementara di Malaysia pula jelas berpuak-puak dengan menghantar anak-anak ke sekolah jenis kebangsaan. Hal ini mungkin berpunca daripada pemimpin Melayu yang gagal menggunakan kuasa dalam membentuk jati diri rakyat yang cintakan negara.

Ketika perhimpunan agung parti diadakan, kata-kata keramat oleh pemimpin atasan melaungkan cogan kata Hidup Melayu! Namun realitinya, berapa ramai anak Melayu-Islam terlibat dalam masalah sosial seperti menagih dadah, rempit, buang anak dan pelbagai lagi?

Wahai pemimpin politik Melayu, rakyat memberi kuasa serta amanah kepada tuan-tuan. Bertegaslah dalam menyatupadukan semua kaum di negara ini sama seperti Singapura dan Indonesia.

Sekolah satu aliran dalam Perlembagaan sudah jelas menyatakan, bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu. Justeru, saya berharap rakyat yang bakal mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) agar tidak terlalu taksub kepada parti ataupun pemimpin yang merosakkan nama negara.

Kembalilah kita ke jalan diredai Allah SWT agar hasil pendapatan yang diterima halal.

Oleh: OMAR LOLO
          Kuala Lumpur

Bahaya Jenayah Atasi Undang-Undang, Kemungkinan Negara Diperintah Mafia?

BANGI – Negara bakal berdepan dengan malapetaka, sekiranya kedudukan kes-kes jenayah yang berlaku ketika ini mengatasi undang-undang.

Tidak mustahil jika perkara berkenaan berlaku, hala tuju pemerintah mungkin perlu mengikut telunjuk golongan berkepentingan seperti oganisasi mafia.

Amir gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, keadaan itu akhirnya akan menyebabkan nasib rakyat yang bergantung kepada kedaulatan undang-undang tidak terpelihara.

“Bahaya jenayah yang berada atas undang-undang, kemungkinan negara diperintah ikut kepentingan mafia, kes berprofil tinggi akan dilepaskan, nasib rakyat bawahan tidak akan terbela.

“Kartel Cina yang kuasai atasan Melayu mendedahkan hakikat di sebalik tabir yang tersembunyi selama ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas artikel bertajuk ‘As IGP Hamid Bador said, the Mafia runs PDRM’ tulisan blogger kontroversi Raja Petra Kamarudin yang disiarkan Malaysia Today, semalam.

Artikel tersebut mendedahkan, gerakan bawah tanah Cina dan sindiket jenayah mengawal Polis Diraja Malaysia (PDRM), bahkan memutuskan siapa yang dinaikkan pangkat dan siapa akan dipindahkan.

Sehubungan itu, Ustaz Abdullah Zaik berharap, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador terus teguh dengan tekadnya untuk membanteras gejala yang sedang membelenggu PDRM itu.

“Harap IGP dapat teruskan perjuangan dan rakyat akan menyokong usaha membersihkan PDRM dari pengaruh kartel Cina,” katanya lagi.

Ogos tahun lalu, PDRM dilaporkan memerlukan sekurang-kurangnya 16,000 anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) bagi membanteras penyalahgunaan dadah dilakukan lebih efektif di seluruh negara.

Abdul Hamid berkata, keanggotaan JSJN di seluruh negara kira-kira 5,000 orang atau hanya lima peratus berbanding anggota dan pegawai di jabatan PDRM lain.

“Sebab itu jika JSJN tidak dibekalkan dengan senjata dan keanggotaan mencukupi serta peruntukan undang-undang yang tegas, tidak mustahil kita akan berdepan dengan masalah seperti di Amerika Latin iaitu mafia atau ‘war lord’ menguasai negara kita,” katanya.

Abdul Hamid kemudian mendedahkan, kewujudan kartel pegawai muda yang didakwa cuba menjatuhkan beliau.

Beliau mendakwa gerakan itu juga merupakan kumpulan sama yang mendalangi kartel dalam PDRM dengan hasrat mendominasi pasukan keselamatan negara demi kepentingan mereka.

Pada 19 Oktober 2017, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan mendakwa, kegiatan perjudian haram dan semua aktiviti tidak bermoral di negara ini didakwa didalangi oleh sembilan ketua digelar dragon selain mengutip hasil RM5 bilion sebulan.

Beliau mendakwa, sistem sembilan dragon itu telah lama diamalkan oleh kumpulan sindiket jenayah terbabit hinggakan semuanya mempunyai kuasa di dalam agensi penguat kuasa di negara ini.

Malah, dakwanya, kumpulan itu juga berkeupayaan untuk menukarkan penguat kuasa yang dirasakan mengganggu gugat kegiatan mereka dalam tempoh 24 jam.

Kesukaran untuk mengambil tindakan terhadap kumpulan berkenaan, ujar beliau, disebabkan pihak atasan organisasi terbabit telah menjalin hubungan rapat dan saling bekerjasama dalam beberapa urusan selain turut menerima wang ‘perlindungan’.

Susulan dakwaan itu, PDRM mendedahkan terdapat dalang dan ketua sindiket perjudian di negara ini terdiri daripada kalangan orang kenamaan berpangkat Datuk, Datuk Seri serta Tan Sri.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Negara pada ketika itu, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan menyifatkan golongan orang kenamaan tersebut menggunakan pengaruh mereka untuk melindungi sindiket haram berkenaan. - ismaweb.net

Lihat disini juga: The Mafia Runs PDRM

Kebanjiran Warga Asing Jadikan Malaysia Negara Imigran

PETALING JAYA: Dasar kerajaan yang tidak jelas dan diburukkan lagi dengan kedudukan geografinya yang mudah dibolosi, menjadikan Malaysia tarikan buat warga asing sama ada memasuki secara `haram’ atau sah.

Kebanjiran migran dari pelbagai benua itu secara tidak langsung menjadikan negara ini ibarat `pusat himpunan’ pelbagai kerakyatan.

Situasi tersebut tidak `bagus’ dan tidak `selamat’ buat Malaysia kerana ia mengundang pelbagai masalah seperti jenayah dan sosial.

Presiden Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Datuk Dr. Raduan Che Rose berkata, antara faktor penyumbang kepada fenomena itu ialah ketiadaan polisi yang jelas kerajaan membabitkan pengambilan pekerja warga asing.

“Pengambilan pekerja asing yang masih berterusan itu telah memberi implikasi besar kepada struktur masyarakat, ekonomi dan sosial negara ini.

“Sepatutnya kita ambil contoh seperti Arab Saudi iaitu setiap pekerja warga asing tidak akan diberi berpeluang untuk mendapat taraf hidup sebagai penduduk tetap. Pekerja asing di Arab Saudi perlu cop pas pekerja pada setiap tahun dan status pekerja asing akan tetap dipegang sampai bila-bila,” kata beliau kepada Utusan Malaysia semalam.

Menurut beliau, memburukan lagi apabila pengambilan pekerja asing yang dikategorikan sebagai tidak mahir paling banyak memasuki Malaysia.

“Terlalu ramai pekerja asing yang ada di Malaysia dalam kalangan pekerja tidak mahir. Pekerja tidak mahir tersebut seperti buruh kontrak, pekerja ladang dan operator kilang.

“Kumpulan tidak mahir ini tidak banyak boleh menyumbang kepada pembangunan berbanding masalah sosial yang dibangkitkan,” katanya.

Katanya, antara masalah sosial tersebut ialah kumpulan tersebut akan cuba meminta taraf penduduk tetap atau warganegara, menjadi penjenayah dan bersedudukan dengan rakyat tempatan.

Menurut beliau, sebagai sebuah negara membangun Malaysia memerlukan lebih banyak tenaga kerja mahir untuk memajukan negara bukan berterusan menerima pekerja tidak mahir yang kemudian `merebut’ peluang rakyat sendiri.

“Ini boleh dilihat contoh seperti warga Bangladesh, Nepal, Vietnam dan Indonesia yang dalam katogeri pekerja tidak mahir kini ramai yang beralih cari peluang kerja lain dengan menjadi tauke kepada rakyat Malaysia dalam sektor peruncitan atau pembinaan,” jelasnya.

Raduan berkata, kehadiran kumpulan imigran secara `beramai-ramai’ itu juga menyebabkan kumpulan tersebut lebih berani membuat pelbagai tuntutan tidak berasas antaranya mahu lokasi khas buat mereka untuk bermasyarakat dalam kalangan rakan senegara.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan `buka mata’ menilai semula polisi kemasukan pekerja asing selain memperkasakan penguat kuasa menjaga laluan tikus agar tidak terus dibolosi warga asing.

Dalam pada itu, pakar Geostrategis, Prof. Dr. Azmi Hassan berkata, secara umumnya, kesan kebanjiran migran sudah nyata apabila berlaku perkahwinan antara rakyat tempatan dengan warga asing.

Menurut beliau, perkara tersebut terus berlaku dan lama-kelamaan etnik atau budaya setiap bangsa terutama Melayu, Cina dan India negara ini akan hilang.

“Lihat sahaja sekarang ini, berapa banyak sudah anak-anak yang lahir dalam kalangan kahwin antara dua negara.

“Jika kahwin Melayu dengan Bangladesh, keturunan anak tersebut sudah tidak tulen untuk bergelar Melayu lagi,” jelas beliau.

Azmi berkata, Malaysia sebagai negara migran semakin jelas apabila kebanyakan negeri sudah mempunyai kawasan yang dikuasai kelompok rakyat dari sesebuah negara.

“Malah di Lembah Klang, ada sahaja restoran atau kedai yang menjual makanan asas buat warga asing seperti kedai peruncitan khas menjual barang dari Indonesia, Vietnam, Filipina dan Arab Saudi,” kata beliau.

Jelasnya, perkembangan tersebut tidak baik untuk negara kerana kemasukan warga asing itu jika terus dibiarkan, mereka akan menguasai negara ini.

Justeru, tambahnya, kerajaan dan penguat kuasa harus melihat kebanjiran migran ini sebagai keutamaan mungkin sama keutamaan seperti kerajaan membanteras Covid-19. 
UTUSAN

Wednesday, March 24, 2021

UMNO Perlu Buat ‘Pembersihan’

BETAPA yang tinggi dan berkuasa telah jatuh! Suatu ketika dahulu UMNO memerintah, tetapi hari ini sedang berjuang untuk mendapatkan kembali kedudukannya. Dari 1957 hingga Pilihan Raya Umum 2018, UMNO adalah kuasa dominan dalam politik Malaysia. Ia dihormati, kemudian ditakuti tapi hari ini diejek.

Apabila orang bercakap mengenai rasuah, perkara pertama yang terlintas dalam fikiran ialah 1MDB, UMNO dan (Datuk Seri) Najib Tun Razak (bekas Perdana Menteri). Apabila orang bercakap mengenai politik wang, yang pertama muncul dalam fikiran ialah UMNO (seolah-olah tiada wang yang berpindah tangan dalam parti lain).

Sabitan 28 Julai 2020 oleh Mahkamah Tinggi terhadap Najib atas tujuh pertuduhan penyalahgunaan kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram berkaitan SRC International Sdn. Bhd.
Bendahari UMNO, (Datuk Seri) Tengku Adnan Tengku Mansor juga didapati bersalah melakukan rasuah melibatkan RM2 juta dan dijatuhkan hukuman penjara setahun dan denda RM2 juta. Najib dan Tengku Adnan sedang merayu terhadap keputusan mahkamah itu.

Di samping itu, presiden sedia ada, (Datuk Seri Dr.) Ahmad Zahid Hamidi dan beberapa pemimpin UMNO lain sedang menghadapi tuduhan jenayah termasuk rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Ahmad Zahid sahaja dengan 47 tuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan rasuah.

Tetapi UMNO tidak diheret oleh rasuah sahaja. Apabila kebanyakan orang menggunakan perkataan ‘kroni’ dalam erti mengejek, perkataan ‘UMNO’ akan dilampirkan secara automatik, seperti kata sifat. Beberapa tahun kebelakangan ini, ketika seseorang menyebut ‘ketuanan Melayu,’ UMNO akan turut diingati. Bagaimanapun, ia mempunyai pesaing apabila seseorang bercakap tentang keangkuhan kerana kedua-dua UMNO dan DAP akan terlintas dalam fikiran.

UMNO hari ini bukan parti yang ditubuhkan oleh (Datuk) Onn Jaafar pada 1946. Itu adalah UMNO yang bersemangat patriotisme, mempunyai visi dan cita-cita.

Saya masih ingat, ibu bapa saya banyak bercakap perkara baik mengenai UMNO dan Perikatan semasa zaman Tunku Abdul Rahman. Saya masih ingat, bagaimana orang berfikir perkara baik tentang UMNO ketika Tun Abdul Razak Hussein dan kemudian Tun Hussein Onn menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri.

Ini adalah tempoh ketika UMNO dihormati, bukan hanya oleh orang Melayu tetapi juga Cina dan India. Walaupun bertindak untuk kepentingan orang Melayu, ia juga mengambil pandangan praktikal mengenai keadaan orang bukan Melayu dan menampung mereka.

Itu adalah cara untuk dua, tiga dekad pertama selepas kemerdekaan tetapi kemudian dengan lonjakan pembangunan dan pembukaan peluang untuk kemajuan ekonomi orang Melayu, beberapa pemimpinnya terperangkap dalam jaring yang dicipta mereka sendiri.

UMNO terus menjadi sombong. Daripada memperlakukan sekutu dalam Barisan Nasional sebagai rakan kongsi, ia mula menguasai mereka sehingga parti-parti itu kehilangan suara. Melihat wakil masyarakat masing-masing, MCA dan MIC menjadi boneka semata-mata, orang Cina dan India mula mengundi parti lain. Malah kumpulan masyarakat madani berasa terasing ketika keangkuhan UMNO semakin meningkat.

Parti itu lupa peranannya untuk membantu orang Melayu miskin supaya dapat meningkat naik dalam kehidupan. Ramai dalam kalangan masyarakat itu berasa terpinggir. Mereka dapat melihat bagaimana pemimpin-pemimpin UMNO dan kroni mereka serta penjawat awam yang rapat dengan UMNO mengaut keuntungan ekonomi dari pasaran dan dasar tindakan afirmatif.

Juga, di suatu tempat sepanjang perjalanan, UMNO mula mengambil pendirian dan membuat kenyataan-kenyataan yang menakutkan orang bukan Melayu. Ia mula bersaing dengan Pas untuk melihat parti mana yang kedengaran lebih Islamik dan parti mana yang boleh menjerit paling kuat menyatakan orang-orang Melayu telah diancam.

Terdapat banyak orang bukan Melayu yang dengan senang hati memilih calon UMNO pada masa lampau tetapi hari ini mereka tidak mempercayai UMNO untuk menjaga kepentingan mereka.

Dan semakin banyak orang Melayu yang berpendidikan telah melihat UMNO sebagai sekumpulan kecil golongan elit yang saling menggaru belakang masing-masing untuk menikmati kuasa dan wang.

UMNO harus melakukan ‘pembersihan’ secara menyeluruh untuk keluar daripada kekusutan ini. Nampaknya ini belum dilakukan sejak kekalahannya pada 2018.

UMNO mesti kembali ke masa ketika ia bekerja keras untuk meningkatkan kehidupan golongan miskin yang tidak mempunyai pertalian saudara sambil mengakui tanah ini adalah milik semua warganegara tanpa mengira kaum atau agama.

Sebagai permulaan, ada keperluan untuk perubahan kepemimpinan. Mereka yang disabitkan kesalahan tidak boleh memegang sebarang jawatan dalam parti dan mereka yang sedang menghadapi tuduhan jenayah harus berehat sehingga kes mereka diselesaikan. Itu akan membantu membaiki persepsi masyarakat terhadap UMNO dan memberi tanggapan bahawa ia sedang berubah.

Pelbagai kumpulan dalam UMNO mesti bersetuju untuk mendahulukan kepentingan parti daripada diri sendiri. Lagipun, ini adalah parti lama yang hebat, kecuali sekarang ia tidak begitu hebat. Ia harus menyingkirkan kumpulan yang bergantung kepada ‘ketuanan Melayu’ atau menyuruh mereka tutup mulut jika mahu dihormati dan mendapat sokongan daripada orang bukan Melayu dan orang Sabah serta Sarawak. Dan UMNO harus menghilangkan keangkuhannya, perlu bersikap rendah hati dan mendengar bukan sahaja suara akar umbi tetapi juga pengundi termasuk pengundi bukan Melayu.

Yang penting, UMNO memerlukan kemasukan orang-orang baharu di semua peringkat kepimpinan. Ahli muda harus diberi peluang untuk bertanding kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada kali ini. Juga, bawa masuk lebih ramai wanita. Jangan hanya menggunakan mereka untuk menghias dewan, menyediakan makanan dan kelihatan cantik ketika majlis. Benarkan lebih banyak wanita bertanding dalam pilihan raya akan datang. Saya yakin parti ini dapat menemui beberapa Fatimah Hashim atau Rafidah Aziz dalam kalangan ahli Wanita.

Dan ya, terlalu banyak wajah lama masih ada dalam UMNO, mereka mesti berehat. Ahli lebih muda diharapkan dapat membawa perspektif segar dan membantu meremajakan parti.

Mereka juga harus memilih lebih ramai Pemuda ke Majlis Kerja Tertinggi parti dan mempromosikan anak muda yang berkebolehan.

Apabila saya menyatakan UMNO mesti berubah wajah, saya tidak bermaksud hanya mempunyai wajah baharu sebagai presiden, maksud saya dan ini lebih penting lagi bahawa ahlinya harus melakukan pembaharuan yang akan membantu UMNO berkembang semula sebagai parti rakyat Malaysia – bukan hanya Melayu yang dihormati dan berkesan.

Oleh: A. Kathirasen

Fakta Sejarah Perlu Ditulis Semula

KUANTAN: Yang di Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah bertitah, agar rakyat tidak menganggap remeh terhadap sejarah kerana sejarah merupakan perkara penting sebagai asas membangunkan sesebuah tamadun manusia.

Baginda bertitah, oleh sebab itu, penulisan semula sejarah tanah air amat penting bagi membetulkan penulisan sejarah yang dibuat oleh orientalis terutama ketika penjajahan British di Tanah Melayu.

Baginda bertitah, fakta-fakta yang memburukkan penduduk tempatan perlu diperbetulkan.

“Saya berpendapat, cadangan mewujudkan Pusat Kajian Sejarah Dan Tamadun Pahang Al-Sultan Abdullah ini amat bertepatan pada ketika kita mula dilalaikan dengan cara hidup moden yang melekakan.

“Saya percaya, pusat kajian ini bukan sahaja boleh menjadi entiti penting untuk melengkapkan peranan muzium sebagai pusat pendidikan dan rujukan, tetapi, juga membolehkan segala bahan sejarah dan budaya negeri Pahang khasnya dan Malaysia amnya akan dapat dikaji dengan lebih mendalam.

“Melalui pusat kajian ini juga, ruang dan peluang yang lebih besar akan dapat dimanfaatkan oleh pengkaji-pengkaji tempatan dan luar negara untuk menyelidik, menerokai dan memahami sejarah tanah air,” titah baginda sempena majlis Taklimat Cadangan Menandatangani (MOA) Penubuhan Pusat Kajian Sejarah dan Tamadun Pahang Al-Sultan Abdullah di Khutub Khanah Diraja di sini hari ini.

Yang hadir sama anakandan, Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Al-Sultan Abdullah; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan merangkap Pengerusi Perbadanan Muzium Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak dan Pengurus Besar Perbadanan Muzium Negeri Pahang, Datuk Ahmad Farid Abd. Jalal.

Al-Sultan Abdullah berharap kerajaan Pahang dapat menyokong penuh penubuhan pusat kajian itu dengan memberi geran khas tahunan bagi menggerakkan aktiviti-aktiviti yang dirancangkan seperti penganjuran seminar, kolokium dan bengkel, penyelidikan, penerbitan, penterjemahan serta latihan.

“Saya menaruh harapan yang tinggi agar pusat ini nanti bukan semata-mata akan menjadi pusat rujukan berguna untuk universiti-universiti tempatan dan luar negara tetapi juga dapat memberi manfaat kepada seluruh rakyat dalam. kalangan orang awam yang berminat untuk mengetahui sejarah tanah air mereka.

“Saya fikir ini satu bentuk pelaburan jangka panjang yang penting untuk memastikan generasi hari ini dan akan datang dapat mengenali dan menghargai sejarah serta jati diri mereka sendiri,” titah baginda.

Seri Paduka bertitah, apa yang diusahakan hari ini bukanlah untuk generasi sekarang semata mata, tetapi untuk generasi akan datang yang bakal mewarisi negara, seperti mana apa yang kita ada sekarang adalah hasil usaha yang dilakukan oleh datuk nenek beratus-ratus tahun dahulu.

“Hari ini, kita menggunakan segala tinggalan mereka dalam bentuk manuskrip, tekstil, seramik dan lain-lain yang menjadi kebanggaan dan pengenalan kita sebagai satu bangsa bertamadun di mata dunia.

“Kita harus bersyukur kerana apa yang kita makan, apa yang kita pakai, tulisan yang kita guna, bahasa yang kita pertuturkan dan peralatan yang kita gunakan untuk kegunaan seharian sebahagian besarnya adalah hasil usaha orang-orang atau cendekiawan terdahulu yang kita warisi dan kita namakannya sebagai sejarah dan budaya kita,” titah baginda.

Baginda bertitah, kita seringkali lupa siapa yang berjasa dan hanya mengenali mereka melalui tulisan atau catatan tertentu sahaja.

“Sejarah ialah iktibar. Jadi saya berharap kita tidak mengabaikan kepentingan sejarah. Jangan memandang rendah usaha-usaha dilakukan oleh ahli sejarah dan ahli muzium kerana setinggi mana pun kita terbang, kita akan tetap kena berpijak di bumi nyata. Ibarat pepatah; melihat keindahan bintang di langit, hijau rumput di taman jangan dilupa,” titah baginda. -UTUSAN ONLINE

Sejarah Malaysia ‘wajib’ diperbetulkan
PETALING JAYA: Penulisan semula sejarah perlu dilakukan supaya tidak timbul lagi fakta lain yang diselewengkan pada masa depan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Tokoh Pendidikan Sejarah Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Seri Md.Salleh Yaapar berkata, titah Yang di Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah mengenai sejarah yang perlu ditulis semula adalah tepat sekali kerana terlalu banyak fakta yang diselewengkan sejak zaman penjajahan Portugis hingga Belanda dan Inggeris.

“Malah, sekarang pun ada rakyat kita yang melakukan kejahatan yang sama,” katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, fakta terbaru yang diputar belit adalah apabila mereka mengagungkan komunis sambil mengetepikan pejuang nasionalis.

Semalam, Yang di Pertuan Agong bertitah, rakyat tidak boleh menganggap remeh terhadap sejarah kerana ia merupakan perkara penting sebagai asas membangunkan sesebuah tamadun manusia.

Tegas Md. Salleh, sejarawan serta pihak yang berwajib tidak seharusnya menyelewengkan sejarah Melayu.

Sementara itu, Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong turut menegaskan penulisan semula fakta sejarah adalah penting kerana ia merupakan sebahagian proses pembentukan negara bangsa.

“Malah ia bertujuan pembinaan jati diri golongan muda iaitu maruah negara terlalu bernilai untuk diperlekeh, apatah lagi dihina!,” tegasnya.

Menurutnya, tidak dinafikan banyak fakta sejarah tanah air sewaktu penjajahan British telah `diherotkan’ antaranya tentang pemberontakan terhadap British oleh anak watan etnik Melayu.

Tambahnya, gelaran “pemberontak” kepada Tok Bahaman, Mat Kilau, Tok Janggut, Mat Salleh dan Rosli Dhobi bukan sahaja tidak tepat hanya kerana mereka menentang British. 

Dahulu Perkataan ‘Keling’ Tidak Membawa Sebarang Maksud Negatif, Tetapi Sekarang.....

Mana permohonan maaf, Ramasamy hentam DBP atas isu ‘keling’ dalam kamus
GEORGE TOWN: Pemimpin DAP, P Ramasamy, menghentam Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kerana tidak memohon maaf atau sesal berhubung perkataan “keling” dalam kamus.

Perkataan itu, yang digunakan bagi menggambarkan seseorang yang berketurunan India, amat menyinggung masyarakat itu.

Isu itu muncul selepas tangkap layar halaman kamus dalam talian DBP tular baru-baru ini. Halaman itu memaparkan perkataan “keling” dalam takrif bagi perkataan “tambi”.

“Daripada meminta maaf atau menyesal kerana menyinggung perasaan masyarakat India, DBP sekadar berkata ia akan mengemaskini Kamus Pelajar.

“Kemas kini bukanlah pengakuan bersalah atau permohonan maaf. Apa DBP fikir orang India boleh dihina dan digelar kerana orang ramai tidak peka?

“Mana rasa sesal dan tanggungjawab DBP?” katanya dalam kenyataan.

Semalam, DBP menjelaskan bahawa versi terbaru kamus fizikal Kamus Dewan Perdana ada menyatakan larangan penggunaan perkataan “keling”.

Badan bahasa itu juga berkata kamusnya bersifat “kamus hidup” yang merekodkan sejarah, namun turut dikemas kini mengikut peredaran masa.

Katanya, pada 2003, terdapat tindakan undang-undang untuk membuang perkataan “keling” daripada Kamus Dewan, namun mahkamah memutuskan ia boleh dikekalkan kerana “tiada mala fide”. - freemalaysiatoday.com

Tak perlu maaf, takrif “keling” DBP tak hina kaum India, KP jawab pemimpin DAP

PETALING JAYA: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak akan memohon maaf kepada masyarakat India berhubung takrif “keling” dalam kamusnya, kerana ia tidak membawa sebarang maksud menghina.

Ketua Pengarah Abang Salehuddin Abang Shokeran berkata ada larangan mengenai perkataan itu dalam kamus edisi terbaharunya, manakala penakrifan “keling” merujuk kepada nilai sejarah perkataan itu.

“Kamus ini tidak ada niat sama sekali bertujuan menghina rakan-rakan kita yang berketurunan India. Seperti yang saya tegaskan sebelum ini, DBP dan masyarakat sepatutnya menggelakkan diri daripada menggunakan kata ‘keling’ ini dalam ayat pada masa sekarang,” katanya kepada FMT.

Abang Salehuddin berkata setiap kata ada nilai sejarah, sosial, dan budaya; dan kamus merakam sejarah itu walaupun nilai sosial dan budaya berubah.

Namun, kata-kata yang boleh mencetuskan kontroversi perlu dilabelkan sebagai peringatan kepada kesan penggunaannya.

Abang Salehuddin menambah kewujudan perkataan “keling” dalam kamus DBP tidak bererti ia boleh digunakan oleh mana-mana pihak kerana ia menyinggung perasaan.

“Ubahlah kata ‘keling’ itu kepada kata ‘India’. Untuk apa kita menggunakan kata yang menyakitkan hati orang lain.

“Dalam Islam, kita juga dianjurkan untuk memanggil nama seseorang dengan nama yang baik-baik dan yang disukainya,” katanya.

Beliau memberikan contoh “keling” dalam hikayat Melayu lama kebanyakannya merujuk kepada kebesaran dan kegagahan bangsa itu.

“Dahulu kata ini (keling) tidak membawa sebarang maksud negatif, tetapi sekarang, dalam masyarakat kita, nilai itu telah berubah. Apabila nilai itu berubah, DBP memberikan perhatian terhadap isu ini,” tambahnya.

FMT hari ini melaporkan, pemimpin DAP, P Ramasamy, menghentam DBP kerana tidak memohon maaf atau sesal berhubung perkataan “keling” dalam kamus.

Perkataan itu, yang digunakan bagi menggambarkan seseorang yang berketurunan India, amat menyinggung masyarakat itu.

Isu itu muncul selepas tangkap layar halaman kamus dalam talian DBP tular baru-baru ini. Halaman itu memaparkan perkataan “keling” dalam takrif bagi perkataan “tambi”. - freemalaysiatoday.com

Orang Melayu Tak Percaya DAP Lagi

BANGI – Dakwaan Anthony Loke bahawa DAP bukan parti yang anti-Melayu adalah seperti menafikan kewujudan bangunan KLCC, demikian sinis Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni.

Sebelum ini, Anthony yang juga Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP berkata, perlembagaan serta asas perjuangan parti itu tidak sama sekali mencerminkan yang DAP anti terhadap orang Melayu atau mana-mana kaum.

Ahli Parlimen Seremban itu berkata, sentimen atau pandangan berkenaan hanya sekadar tohmahan yang dilempar bagi memburukkan imej DAP kepada masyarakat.

Membidas dakwaan itu, Ustaz Fauzi menegaskan, dengan keadaan DAP yang telah terpalit dengan pelbagai sejarah menentang hak-hak Melayu dan Islam dalam Perlembagaan, adalah lebih baik parti itu diam serta biarkan sejarah sahaja yang bercakap berkenaan diri mereka.

Dakwanya, DAP sebelum ini pernah terlibat di dalam Jawatankuasa Pemandu Suruhanjaya Antara Agama (IFC) dan menuntut murtad dibenarkan, serta tiada pengenalan diri di dalam kad pengenalan berasaskan agama.

“DAP juga aktif di dalam Comango yang antaranya menuntut dihapuskan hak-hak istimewa orang Melayu.

“DAP juga beberapa kali sebelum ini menggertak jabatan agama, jabatan mufti dan mempertikai kewujudan Jakim. Jangan lupa juga isu pimpinan DAP dengan Sultan Perak dan Sultan Selangor yang pernah berlaku beberapa tahun lepas,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Dalam pada itu, Ustaz Fauzi yakin DAP akan kehilangan undi Melayu Islam – kecuali hanya segelintir yang masih percaya kepada mereka.

Bahkan Presiden ISMA itu yakin bilangan orang Melayu Islam yang percaya kepada DAP akan semakin berkurangan.

“DAP juga akan kehilangan undi orang bukan Melayu yang lain dalam tempoh yang panjang. Kegagalan mereka mentadbir negara sebagai salah satu parti utama dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah sejarah hitam mereka yang tidak akan dilupakan.

“Ini dinilai oleh orang Melayu dan bukan Melayu. Pilihan terbaik buat DAP adalah mengubah sikap dan pendiriannya terhadap Melayu Islam dan menjadi warganegara yang baik,” katanya. - ismaweb.net

Kata Nak Bincang Politik, Tapi ADUN P Pinang Raba Saya, Dakwa Wanita

GEORGE TOWN: Seorang pembantu kedai menuduh seorang ADUN Pulau Pinang mencabul kehormatannya, ketika mereka berjumpa untuk berbincang hal politik semasa, dua minggu lalu.

Menurut laporan polis yang dilihat FMT, wanita itu, yang juga terlibat dalam parti, mendakwa diraba dan dipeluk wakil rakyat itu semasa mereka dalam perjalanan ke restoran di Lembah Klang.

Katanya lagi, ahli politik itu juga melakukan perkara yang tidak diingini dan perjalanan menjadi agak panjang ke restoran itu.

Walaupun ahli politik itu mengetahui dia tidak senang dengan situasi itu, namun beliau tetap berkelakuan seperti itu, menurut laporan itu.

Beliau juga mengingatkannya supaya tidak memberitahu sesiapa, dakwanya lagi.

Menurut wanita itu, mereka berjumpa sebelum kejadian kerana wakil rakyat itu ingin berbincang tentang hal politik semasa.

Wanita itu berkata ADUN itu juga ingin membeli hadiah sempena ulang tahun kelahirannya, dan rasa berbesar hati untuk bertemu beliau.

Ketika mereka keluar ahli politik itu menunjukkan perbuatan yang kurang menyenangkan, menurut laporan itu, dan menambah di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, dia dapat melihat beliau cuba mendekatinya bukan seperti ahli politik.

Sementara itu, polis ketika dihubungi FMT mengesahkan laporan itu.

Ketua Polis Subang Jaya, Khalid Othman, berkata kes dikelaskan bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan, iaitu menggunakan kekerasan jenayah kepada seseorang dengan niat hendak mencabul kehormatan. - freemalaysiatoday.com

Ponteng Kerja Bertahun, Masih Terima Gaji

JAKARTA: Hampir 300 kakitangan kerajaan di Pentadbiran Daerah Mimika, wilayah Papua bakal dipecat selepas dikesan ponteng kerja dengan tidak masuk ke pejabat selama beberapa tahun.

Lapor Kompas.com, kes itu didedahkan selepas siasatan dilakukan oleh Jabatan Pemeriksa Daerah bersama Badan Pegawai dan Sumber daya Manusia Daerah Mimika.

Laporan pendedahan itu menyebut biarpun kira-kira 280 kakitangan kerajaan di Mimika tidak masuk ke pejabat selama beberapa tahun, mereka masih menerima gaji seperti biasa.

Ketua Daerah Mimika, Eltinus Omaleng berkata, beliau sudah arahkan pihak berkaitan untuk memanggil kesemua kakitangan tersebut berhubung kes berkenaan.

“Jadikan kes ini sebagai pengajaran. Mana boleh bersenang-lenang di rumah dan setiap bulan terima gaji tanpa lakukan tugas?

“Sikap ini tidak boleh dicontohi dan sebagai kelompok mewakili kerajaan, mereka seharusnya berkhidmat dengan jujur dan ikhlas,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Daerah Mimika, Michael Gomar menegaskan gaji kesemua kakitangan yang terlibat akan dihentikan serta-merta.

Jelas beliau, kesemua petugas yang terlibat akan dipanggil untuk siasatan dan juga teguran.

“Jika mereka tidak hadir selepas dipanggil sebanyak tiga kali, Ketua daerah Mimika mempunyai kuasa untuk memecat sesiapa yang ingkar,” ujar Gomar. - utusan.com.my

Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) Berisiko Jadikan Malaysia `Negara Jenayah’

PETALING JAYA: Kerajaan digesa mengkaji semula program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang dilihat gagal menapis pemohon sehingga Malaysia berisiko dijadikan `negara jenayah’

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis jenayah, Shahul Hamid Abdul Rahim berpendapat, kegagalan MM2H membuat tapisan terhadap setiap pemohon menunjukkan kelemahan ketara program tersebut.

Menurut beliau, kelemahan lebih teruk apabila penguat kuasa tidak memantau aktiviti peserta MM2H sehingga ada dalam kalangan mereka menjadi perisik.

“Program MM2H ini sepatutnya untuk pesara warga asing yang mahu menjadikan Malaysia sebagai negara kedua, sekali gus menyumbang kepada ekonomi negara, tapi akhirnya ada yang bekerja di sini dan ada juga yang terlibat dengan beberapa kes jenayah.

“Justeru, MM2H wajar ditutup buat sementara. Kaji semula, perketatkan tapisan keselamatan, pastikan pemohon mempunyai rekod berkelakuan baik di negara asal supaya mereka tidak salah guna peluang untuk tinggal di Malaysia,” katanya.

Pada masa sama, Shahul Hamid meminta supaya kelebihan MM2H iaitu pemberian visa selama tempoh 10 tahun dihadkan bagi memastikan program itu tidak disalah guna untuk tujuan jenayah.

“Sukar nak kesan sama ada pemohon benar-benar bersih daripada jenayah sebelum permohonan diluluskan. Jadi visa 10 tahun perlu diubah, mungkin beri tiga tahun dan peserta MM2H perlu perbaharuinya setiap dua tahun.

“Perlu dipersoalkan, di mana keberkesanan MM2H terhadap ekonomi negara? Kita tidak mahu program ini disalah guna untuk aktiviti jenayah sehingga akhirnya mencetuskan masalah hubungan diplomatik dengan negara lain,” katanya.

Dalam pada itu, pensyarah Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Mohd. Hazmi Mohd. Rusli menganggap MM2H perlu mencontohi tahap tapisan yang dilakukan dalam program kerakyatan Australia.

“MM2H ini boleh diperbaiki dengan mewujudkan jawatankuasa menapis pemohon dengan mengadaptasi program kerakyatan di Australia yang tapis betul-betul setiap pemohon berdasarkan rekod dan latar belakang mereka.

“Program ini sepatutnya membantu Malaysia menjadi destinasi persaraan terbaik di dunia, bukannya destinasi pengubahan wang haram dunia,” katanya.

Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia berhubung kemelut diplomatik Malaysia-Korea Utara yang berpunca daripada individu bernama Mun Chol-myong sehingga mendedahkan isu kelemahan sistem keselamatan program MM2H.

Chol-myong yang diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS) untuk menghadapi tuduhan pengubahan wang haram dipercayai seorang peserta MM2H sejak program itu bermula pada 2002.

Difahamkan program MM2H dibekukan dan ada sebahagian peserta program tersebut telah pulang ke negara asal masing-masing. – UTUSAN ONLINE

Diam DAP Berisi

BERKESEMPATAN singgah melepaskan dahaga di warung ‘Air Jagung Ketagih’ di jalan lama Dengkil baru-baru dapat juga berkongsi rungutan rakyat bawahan mengenai situasi politik negara sekarang.

Sambil menanti bekas yang dipesan diisi dengan air jagung ketagih itu, peniaga yang mahu dipanggil Arif itu pada mulanya berkongsi kelegaan apabila kerajaan membenarkan rentas daerah dan melonggarkan perintah pergerakan.

Katanya, peniaga tepi jalan seperti mereka amat bergantung kepada pergerakan orang ramai. Apabila rentas daerah dibenarkan, secara tidak langsung pelanggan bertambah. Walaupun tidak banyak seperti dahulu, tetapi sekurang-kurangnya ada rezeki untuk mereka.

Cuaca yang panas turut membantu perniagaannya, walaupun hujan pada sebelah petang sedikit merencatkan pendapatan.

Katanya, hujan dan panas itu memang perkara biasa dan sukar diramal, sama seperti politik negara. Sukar untuk diramal siapa akan sokong siapa kerana ia boleh berubah pada bila-bila masa.

Kata Arif, sekarang ini dia sudah tidak ambil kisah soal siapa jadi kerajaan dan siapa bergabung dengan siapa, yang penting rezekinya tidak terjejas. Apabila tiba pilihan raya dia akan memilih calon yang diyakini tanpa mengira parti.

Secara spontan Arif melontarkan pandangan bahawa perpecahan dalam kalangan parti Melayu sekarang amat mengecewakan. Hingga sukar untuk dipastikan parti mana yang benar-benar mewakili Melayu-Islam.

Itu merupakan pandangan jujur seorang penjual air di tepi jalan yang latar belakangnya kita pun tidak pasti. Era pandemik Covid-19 ini, ramai juga golongan profesional hilang kerja dan menjadi peniaga tepi jalan. Mungkin Arif salah seorang daripada mereka.

Apa yang mahu dikongsikan di sini adalah bagaimana seorang peniaga air jagung seperti Arif yang bergelut untuk hidup kesan daripada Covid-19 turut tersentuh dengan situasi politik masa kini.
Sebagai orang Melayu sudah tentu keprihatinannya adalah kepada perpecahan dan perbalahan yang berlaku dalam kalangan komponen-komponen politik Melayu Islam.

Dengan jumlah parti yang semakin bertambah, kedudukan politik Melayu kini tidak kuat, malah jika secara sendirian mereka tidak mampu untuk membentuk kerajaan. Perpecahan dalam kalangan politik Melayu-Islam juga cukup jelas.

Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Pas berpecah dengan satu kelompok membentuk parti Amanah. Perpecahan dalam UMNO melahirkan Bersatu dan daripada Bersatu kini lahir parti Pejuang dan Muda.

UMNO yang dianggap sebagai parti Melayu terbesar ketika ini secara dalamannya tidak stabil. UMNO ibarat hidup dalam kekeliruan terutama berhubung kerjasama mereka Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Walaupun mengambil pendirian menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika ini, tetapi pada masa sama awal-awal lagi sudah mengisytihar perang dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Dalam UMNO itu sendiri berlaku perpecahan dengan setiap pemimpin mempunyai agenda dan haluan masing-masing meninggalkan penyokong terkapai-kapai ke mana arah hendak dituju dan siapa yang sepatutnya hendak diikut?

Walaupun PRU-15 entah bila akan diadakan, tetapi dalam kalangan parti Melayu sudah riuh rendah bercakap tentang muafakat, tentang pakatan serta mengenai agihan kerusi (sebenarnya lebih kepada perebutan kerusi). Masing-masing sudah mencanang di mana mereka akan bertanding dan kawasan mana mereka akan ambil.

Insiden lompat parti merancakkan lagi iklim politik ini, yang mana majoriti yang terlibat adalah ahli-ahli Parlimen dari parti Melayu. UMNO/BN yang satu ketika dahulu mempunyai kerusi Parlimen paling banyak kini sudah tidak ada kelebihan itu.

Dalam diam-diam kini DAP muncul sebagai parti tunggal yang mempunyai wakil rakyat paling banyak di Parlimen. UMNO/BN yang sebelum ini mempunyai kerusi Parlimen paling banyak kini semakin lemah ekoran budaya lompat. UMNO sendiri yang menang 54 kerusi Parlimen pada PRU-14, kini hanya tinggal 39.

Yang nyata DAP membuktikan kesepaduan mereka dalam gelanggang politik kebangsaan dengan memastikan mereka kekal dominan di kawasan-kawasan tradisi selain cuba menguasai beberapa kerusi yang majoriti Melayu. Dengan jumlah wakil rakyat yang dimilikinya di Parlimen, DAP berpotensi mengetuai satu pakatan politik terkuat di negara ini.

Krisis kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) sehingga tumbangnya Kerajaan Persekutuan dan negeri termasuk beberapa siri ahli Parlimen melompat parti langsung tidak menjejaskan kedudukan DAP.
Kekuatan akar umbi tidak tergugat yang mana ia mula memberi keyakinan kepada mereka untuk mengembangkan pengaruh ke kawasan-kawasan baharu termasuk yang mempunyai majoriti pengundi Melayu-Islam.

Ketika parti-parti politik Melayu-Islam masih berkisar dalam kalangan pemimpin yang sudah berumur, DAP pula tidak pernah ketandusan pemimpin muda. Malah strategi mereka meletakkan lebih 50 peratus calon muda sedikit sebanyak menunjukkan ia sebagai sebuah parti dinamik yang tidak pernah ketandusan pemimpin muda berkelayakan.

“Sehingga kini, DAP masih dilihat sebagai satu parti siasah terkuat di negara ini. Parti ini tetap kekal dan tidak tergugat kerana kerusi yang ditandingi bukan sekadar jumlah, tetapi bilangan berupaya dimenangi,” kata Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. P. Sivamurugan.

Ketika parti-parti Melayu bertelagah tentang agihan kerusi, DAP tidak perlu bising kerana di mana mereka akan meletakkan calon sudah pasti. Malah mereka tidak ada masalah untuk menampilkan muka baharu seperti mana yang dilakukan pada PRU-14 dengan sebahagian besar ahli parlimen dan Ahli Dewan Undang Negeri (ADUN) mereka berusia bawah 40 tahun.

Perkara itu sukar dilakukan oleh UMNO. Hiraki dan kekananan perlu dijaga. Jika berlaku sekalipun ia pasti akan berakhir dengan perang sabotaj mensabotaj, bilik gerakan ditutup dan sebagainya.

Seperti kata Naib Ketua Kebangsaan DAPSY, Muhammad Shahkir Ammer Mohideen, semua itu menjadikan DAP kukuh walaupun ditawarkan pelbagai habuan untuk melompat parti. Dan tidak mustahil hal ini akan menjadi DAP idealisme rak­yat pada pilihan raya akan datang.

Seperti mana yang dikatakan oleh sepenjual air jagung ketagih tadi, dia sudah tidak ambil hal mengenai siapa lompat ke mana ketika ini. Namun apabila masanya dia tahu calon mana akan dipilih.

Mungkin calon DAP mampu mendapatkan undi dari Arif? Yang pasti diam DAP memang diam berisi. - UTUSAN