NAMA Jacinda Ardern mula menjadi bualan ramai di seluruh dunia ketika beliau mencecah usia 37 tahun. Bukan kerana kecantikan atau perkara tipikal yang dilakukan oleh seorang anak muda, sebaliknya ia cerita tentang peluang dan remaja atau belia.
Ardern mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri termuda di dunia pada usia tersebut sehingga membuka mata ramai penduduk dunia, khususnya peminat politik, pengurusan pentadbiran negara dan penganalisis ilmu.
Jika sebelum ini ramai menganggap usia penentu terpenting kepada keupayaan dan kematangan seseorang dalam memimpin atau bekerja. Pada tafsiran itu, semakin kita meningkat usia, semakin kita memiliki peluang untuk lebih berada di kedudukan tinggi.
Namun, Ardern membuktikan kepada dunia sebaliknya. Wanita muda itu mampu menampakkan kematangan dan kecerdasan beliau mengurus negara.
Isu pembunuhan beramai-ramai di dua masjid di Christchurch, tragedi letusan gunung berapi dan terkini pandemik Covid-19. Seluruh dunia memuji pemimpin muda ini dalam strategi mengurus bencana.
Di sebalik kehebatan insan ini, sebenarnya penuh duka lara dan berliku-liku. Menjadi ahli Parlimen termuda di New Zealand pada 2008. Namun, sebelum itu pernah kalah berkali-kali dalam pilihan raya.
Jika bukan kerana sokongan daripada partinya yang kembali memberi peluang untuk beliau bertanding semula, sudah tentu Ardern tidak akan mendapat jawatan Perdana Menteri New Zealand saat ini.
Itulah cerita bagaimana cara mereka di sana menilai wanita muda dan berani memberi peluang kepada golongan berkenaan untuk mengisi kedudukan sebegitu.
Jika cerita ini sampai ke Malaysia, sudah tentu masyarakat kita berasa pelik dan sukar untuk terimanya.
UNDI18
Cubalah bertanya kepada 10 ahli politik di Malaysia yang berusia 60 tahun ke atas, adakah mereka bersedia untuk memberi peluang dan mengangkat Perdana Menteri daripada golongan yang berusia bawah 40 tahun?
Oleh sebab itu, apabila segelintir pemain politik Malaysia mahu langkah membenarkan pengundi berusia 18 tahun mendaftar sebagai pemilih (Undi18) direalisasikan, ia sebuah gambaran terbaik untuk negara kita buat masa ini.
Pelaksanaan Undi18 yang menurunkan usia layak mengundi dari 21 kepada 18 tahun adalah potensi terbaik untuk perkembangan pemerkasaan anak muda di Malaysia.
Bagaimanapun, kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 25 Mac lalu bahawa Undi18 hanya boleh dilaksanakan selepas 1 September 2022 ekoran pelbagai kekangan dan isu yang menjejaskan perancangan serta persiapan awal pelaksanaannya telah menghampakan banyak pihak.
Rakyat sedikit lega apabila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menegaskan, kerajaan mahu SPR mempercepatkan pelaksanaan proses itu dan meminta semua pihak memberi sokongan supaya Undi18 dapat dilaksanakan secepat mungkin.
Ini disusuli dengan jaminan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada 2 Mei lalu bahawa Undi18 dijangka dapat dilaksanakan pada tahun ini, paling awal mungkin pada Julai.
Jika di usia 18 tahun anda sudah mampu mendirikan rumah tangga, menjadi ketua keluarga, membesarkan dan mendidik anak sendiri serta mampu bekerja dengan baik, kenapa tidak diberi hak untuk memilih pemimpin sendiri pada usia sama?
STIGMA
Tiada siapa boleh menafikan bahawa mereka yang kini berusia 18 tahun adalah bakal pelapis kepimpinan negara, pemimpin politik, pemimpin perkhidmatan awam dan sebagainya yang harus diberi peluang dan ruang untuk mula belajar tentang tanggungjawab kepada negara.
Begitu pun, bukan bermaksud kita mahu menolak semua pemimpin atasan yang ‘berusia lanjut’ baya-baya atuk dan nenek kita.
Bagi memacu sebuah negara yang maju dan ideal, sebenarnya kita tetap mengharapkan gabungan penuh epik antara kepakaran pengalaman mereka yang lama dengan sentimen yang baik daripada mereka yang masih muda.
Bukankah di Amerika Syarikat sebagai contoh, kita dapat saksikan bagaimana gabungan Barack Obama-Joe Biden mampu membawa negara Uncle Sam itu ke suatu kedudukan lebih baik daripada sebelumnya?
Justeru, pandang kembali kepada kata-kata pengulas politik England, Eric Arthur Blair: “Setiap generasi membayangkan dirinya lebih pintar daripada generasi sebelumnya dan lebih bijak daripada generasi yang muncul setelahnya.”
Ini kalilah kita harus hentikan stigma bahawa generasi muda tidak cekap, dipandang rendah, sekadar boleh jadi budak suruhan dan hanya perlu berada pada gred atau kedudukan rendah.
Sekiranya norma lama ini masih membelenggu pemikiran kita di Malaysia, maka negara ini akan menjadi ‘negara tua’ dengan lebih pantas.
No comments:
Post a Comment