Sunday, May 16, 2021

Jangan Tindas Golongan Pekerja

SAMBUTAN Hari Pekerja pada 1 Mei lalu telah berlalu. Rata-rata dalam kalangan kita tidak menyedari apakah tuntutan yang telah dibuat oleh golongan pekerja?

Sebenarnya terdapat 15 tuntutan terkandung dalam satu memorandum digelar Deklarasi 1 Mei 2021 dibentangkan oleh sekumpulan 97 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili pekerja.

Antara tuntutan itu adalah mewujudkan Skim Jaminan Pekerjaan. Antara strategi yang boleh dilaksana adalah memperkenalkan skim pendapatan asas RM1,000 sebulan kepada isi rumah yang langsung tiada pekerjaan.

Pada masa sama, sistem kontrak hendaklah digantikan dengan pekerjaan tetap manakala undang-undang buruh perlu dipinda bagi memberi perlindungan kepada pekerja ekonomi gig.

Pembaharuan terhadap Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) juga harus dibuat dengan menghapuskan syarat-syarat yang membebankan supaya semua pekerja dapat menikmati faedah pada waktu kehilangan pekerjaan.

Tuntutan lain adalah dibatalkan proklamasi darurat dan dipulihkan Parlimen kerana golongan pekerja perlu diberi hak untuk hidup di sebuah negara yang mengamalkan demokrasi sepenuhnya yang tiada sekatan terhadap kebebasan dan hak rakyat.

Ini kerana undang-undang kawalan kesihatan sedia ada sudah memadai untuk menjamin pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang pandemik Covid-19.

Tuntutan dari segi kesihatan pula adalah supaya lebih banyak peruntukan disalurkan kepada hospital kerajaan bagi membolehkannya mengekalkan perkhidmatan yang terbaik dan percuma kepada orang ramai.

Kerajaan juga perlu mengambil langkah mengawal dan memiliknegarakan hospital swasta untuk mencapai aspirasi kesihatan terbaik bagi semua tanpa diskriminasi.

Oleh: PEKERJA MUDA
          Seberang Perai, Pulau Pinang

No comments:

Post a Comment