Patung lembu yang turut “memegang” ketupat, di bulatan Hill Railway, Air Itam itu mencetuskan kemarahan aktivis Melayu menyebabkan pihak berkuasa memohon maaf sebelum segera membuang elemen yang dilihat menyinggung perasaan itu.
Patung itu didirikan di lokasi berkenaan sempena sambutan tahun lembu bagi perayaan Tahun Baharu Cina awal tahun ini, malah sebelum ini dipakaikan topi serta memegang lambang hati.
Susulan kemarahan aktivis hak asasi Melayu dan ahli PAS sejak semalam, patung itu telah dikembalikan ke asalnya, dan Ahli Dewan Undangan Negeri Air Itam Joseph Ng terus memohon maaf atas “kesilapan dan kecuaian itu”, yang katanya langsung tidak disengajakan.
Katanya, bulatan berkenaan memang menjadi tempat hiasan sempena perayaan didirikan dari semasa ke semasa.
“Saya memohon maaf atas kesilapan itu dan bertanggungjawab sepenuhnya bagi isu ini,” katanya dalam kenyataan media ringkas.
Ahli akademik Ahmad Murad Mohd Noor Merican berkata, patung itu umpama simbol sinis menghina orang Melayu dan Islam.
Profesor Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu di Universiti Islam Antarabangsa itu berkata di Facebook, kejadian itu menunjukkan sikap “kurang bertamadun” pihak berkuasa.
“Ini menunjukkan pihak berkuasa tiada adab. Jika kita boleh memprotes, orang Melayu dan Muslim mesti bangkit memprotes, asalkan pihak berkuasa bertindak seperti orang yang baru tiba di Pulau Pinang,” katanya di Facebook.
Setiausaha PAS Pulau Pinang Iszuree Ibrahim turut menyuarakan rasa tidak puas hati di Facebook dengan mempertikai sama ada adil untuk menggunakan lembu berbaju Melayu bagi melambangkan sambutan Aidilfitri.
Aktivis hak asasi Melayu Muhsin Latheef juga mempertikaikan perkara itu di Facebooknya kerana mendakwa ia hanya menggambarkan orang Islam sebagai “lembu” malah jelas tiada orang Melayu yang dirunding sebelum hiasan itu diubah suai. - freemalaysiatoday
No comments:
Post a Comment