DALAM seminggu ini, bilangan kes harian baharu Covid-19 melonjak melebihi 4,000 dengan kes tertinggi mencecah lebih 6,000 sejak 19 Mei lalu.
Mengapakah peningkatan kes harian masih berlaku sedangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan? Hal ini disebabkan oleh ketidakpatuhan segelintir rakyat terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.
Apakah punca ketidakpatuhan ini? Secara asasnya, ia berpunca dari rasa tidak bertanggungjawab segelintir masyarakat terhadap kewajipan untuk mematuhi SOP.
Segelintir masyarakat bersikap acuh tidak acuh malah tidak ambil peduli tentang risiko dijangkiti Covid-19 serta menjangkitinya kepada orang lain akibat aktiviti ziarah hari raya serta rentas sempadan yang dilakukan.
Kadangkala sikap ‘orang lain buat, kita pun boleh buatlah’ perlu dihindari lebih-lebih lagi sekiranya melibatkan perbuatan yang boleh mengundang bahaya.
Bahaya jangkitan ini bukan sahaja terhadap individu yang melanggar SOP malah tempiasnya boleh terkena ahli keluarga, sanak saudara, jiran tetangga, rakan malah menjangkau ke komuniti setempat. Kita perlu mengubah mentaliti, elakkan diri daripada mengikut tindakan yang tidak baik atau salah yang boleh membahayakan diri serta ahli keluarga dan orang sekeliling.
Oleh itu, menjadi tanggungjawab setiap rakyat bersama-sama memutuskan rantaian jangkitan Covid-19. Malah, Kementerian Kesihatan turut menggalakkan rakyat untuk self lockdown dengan mengurangkan pergerakan seperti keluar ke pasar membeli barang keperluan seminggu sekali, mengisi minyak kenderaan tangki penuh, solat berjemaah lima waktu bersama ahli keluarga, mengoptimumkan pembelian secara dalam talian serta sifar tetamu.
Rasa tanggungjawab ini perlu ada pada diri setiap rakyat dan nilai ini amat perlu dititikberatkan dalam kehidupan pada masa kini.
Rakyat adalah barisan hadapan yang amat penting pada ketika ini dan diharap bertanggungjawab untuk terus patuh duduk di rumah sekiranya tiada urusan penting di luar.
Covid-19 adalah benar! Kita tiada pilihan lagi, untuk menang. Kita mesti jaga kita.
Oleh: ISMAR LIZA MAHANI ISMAIL
No comments:
Post a Comment