Dengan 95 peratus etnik Cina belajar di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC), perbezaan ini didapati tidak ketara lagi kerana etnisiti Cina kini didominasi kelompok berpendidikan Cina. Bagaimanapun, dengan wujudnya polemik antara dua kumpulan yang mewakili dua aliran berlainan ini dalam sebuah parti politik Cina, ia tidak dapat dinafikan adalah hasilan daripada persekolahan pelbagai aliran di negara ini.
Secara umumnya, lepasan persekolahan Cina didapati lebih jumud pemikiran mereka yang mahu terus berpegang teguh kepada tradisi Cina dalam bentuk totoknya lagi, dan tidak mudah bertolak ansur walaupun dalam keadaan yang amat memerlukannya. Sehubungan ini, perspektif mereka didapati amat terhad dengan pandangan yang bukan sahaja tegar, tetapi tidak dapat pula diterima dalam kerangka kepelbagaian dengan etnik Cina sebagai kelompok yang mendatangi negara ini.
Ini berbeza dengan yang berpendidikan aliran bukan Cina yang didapati lebih terbuka dan tidak begitu berprasangka terhadap etnik asal untuk mempercayai mereka.
Dalam pada itu, mereka didapati bukan sahaja lebih bertoleransi, tetapi mudah bersimpati untuk mendukung banyak perkara bagi kebaikan negara, dengan fahaman baik bahawa etnik Melayu adalah kelompok yang didatangi di negara ini. Oleh itu, terdapat keperluan untuk mengutamakan nasionaliti daripada etnisiti dalam pembangunan negara bangsa.
Perbezaan pandangan ini disebabkan demografi yang didominasi etnik tertentu dalam aliran persekolahan berkenaan. Dengan ini, pengaruh kelompok dominan didapati penting dalam menentukan bahasa interaksi dan pelbagai pengawalan lain pada aliran persekolahan dalam bahasa berkaitan.
Bahasa interaksi ini, sama ada Mandarin, bahasa Melayu mahupun bahasa Inggeris yang juga dituturkan sebagai ibunda atau bahasa utama, sesungguhnya mempunyai pengaruh kuat dalam membentuk pemikiran kita. Ini kerana terdapat perkaitan rapat antara bahasa dan cara kita berfikir yang dinaungi bahasa yang dituturkan sebagai bahasa penting itu. Penaungan ini antaranya wujud dalam bentuk perkataan dan istilah dengan konsep sosiobudaya khusus selain peribahasa dengan bermacam-macam falsafah padanya.
POLITIK
Sehubungan ini, selagi kita mempunyai persekolahan pelbagai aliran bahasa, selama itulah kita akan berhadapan dengan persoalan pendukungan jati diri kebangsaan yang tidak sama pada anak bangsa kita. Ini kerana bahasa yang berbeza akan membentuk pemikiran yang tidak sama.
Berbalik kepada polemik antara dua kumpulan dalam parti politik Cina berkenaan pendukungan jati diri kebangsaan berbeza ekoran dua aliran persekolahan berlainan, ia tidak dapat disangkal lagi adalah kesan negatif sistem pendidikan negara yang perlu dikaji semula. Sehubungan ini, wujud kelompok Cina yang pemikirannya dipengaruhi bahasa Cina sepenuhnya kerana mengetahuinya sahaja. Mereka ini rata-ratanya didapati mahu terus mempertahan etnisiti Cina yang totok dalam pembangunan negara bangsa. Dengan ini, memang tidak salah lagi apabila dikatakan sekolah vernakular Cina adalah tempat terbiaknya sikap perkauman cauvinis Cina.
Untuk ini, kelompok tertentu yang mati-matian menafikan sekolah vernalukar Cina adalah penghalang perpaduan, perlu mula bermuhasabah. Ini kerana dengan munculnya kelompok tradisionalis Cina yang rata-ratanya merupakan lepasan aliran persekolahan Cina, yang berhabis-habisan mahu menolak dasar kepelbagaian dalam konteks kemestian mendukung etnisiti Melayu sebagai unsur penting lagi utama dalam pembangunan negara bangsa, ia kebenaran nyata lagi hakiki yang memperlihat resmi cauvinisme Cina selama ini yang mahu dinafikan. Seperti yang diperlihat, tidak dapat disembunyikan lagi bahawa sekolah vernakular Cina punca perpecahan di negara ini.
AFDAL
Polemik antara dua kumpulan ini bukan semata-mata cerminan perwatakan umum lepasan dua aliran persekolahan berbeza, ia manifestasi sebenar dua corak pendidikan yang menggunakan dua bahasa berbeza, walaupun mengikuti kurikulum sama. Ini antara lain bukan sahaja memperlihat, malah menegaskan penggunaan satu bahasa sahaja sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan adalah afdal sekali untuk tujuan perpaduan. Ini kerana penggunaan satu bahasa sahaja adalah satu-satu caranya yang bestari.
Dalam hal ini, sebuah negara yang terpisah-pisah oleh beberapa bahasa dalam sistem pendidikannya akan menemui kesukaran untuk menyatupadukan rakyatnya, khususnya dalam memastikan semua etnik sama-sama mendukung jati diri kebangsaan yang satu sahaja. Sehubungan ini, dua bahasa berbeza daripada dua aliran persekolahan berlainan yang dilalui etnik Cina adalah bukti jelas lagi kukuh bahawa hasilan nasionalistiknya bukan sahaja tidak sama, ia amat bercanggah sekali.
Oleh itu, sudah tiba masanya etnik Cina, khususnya aktivis pendidikan Cina, berhenti daripada berhujah sekolah vernakular Cina bukan penghalang perpaduan. Ia sememangnya penghalang perpaduan, malah bersifat antinasional apabila terus-terusan menghasilkan lepasan yang rata-ratanya tidak mampu memahami negara ini sebagai tempat bertandang yang sudah bertuan setibanya etnik Cina dan bukan tempat terokaan tanpa tuan. Justeru, harus ada mentaliti berdagang ke tempat orang dan bukannya tuan punya tempat.
Oleh: Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong
No comments:
Post a Comment