Wednesday, May 5, 2021

Jom Ubah Sejarah Dan Identiti Negara Malaysia (Tanah Melayu).....

Lepas bidas buku teks, pertubuhan Cina mahu sejarah Yap Ah Loy diangkat
Sebanyak sembilan pertubuhan Cina menggesa supaya sejarah mengenai kapitan Cina, Yap Ah Loy dalam pembukaan ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur dipulihkan.

Naib Presiden Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), Datuk Lai Tak Kuan mendakwa, sejarah mengenai Yap Ah Loy telah dikelirukan.

Katanya, berbanding status sebagai tokoh pembukaan Kuala Lumpur sebelum ini, kini Yap Ah Loy hanya berada di tempat keempat dalam kandungan buku teks Sejarah mengenai pembukaan ibu kota Malaysia.

“Yap Ah Loy merupakan peneroka, strategis, pentadbir dan usahawan lombong yang berjaya.

“Beliau memainkan peranan penting dalam pembangunan semula KL selepas berlaku banjir besar dan kebakaran pada 1881 dan perang dalaman Selangor antara 1866 hingga 1873,” katanya seperti dilapor akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily.

Justeru, pertubuhan itu meminta Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong) memimpin kempen untuk memulihkan sejarah Yap Ah Loy termasuk menyampaikan pandangan mereka kepada Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu, Pengerusi Tanah Perkuburan Kwang Tung Kuala Lumpur, Li Zheng Guang berkata, setiap suku kaum harus diberi hak dan dilibatkan dalam menulis sejarah Malaysia.

Katanya, jawatankuasa buku teks mungkin kehilangan perspektif yang bersifat majmuk jika ia hanya diwakili satu-satu kaum.

Sebelum ini, pada 2017 tokoh sejarawan negara, mendiang Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim telah menegaskan bahawa Yap Ah Loy bukan pengasas Kuala Lumpur.

Beliau berkata, pengasas Kuala Lumpur adalah Sutan Puasa yang merupakan seorang usahawan perlombongan dan pedagang timah berketurunan Mandailing dari Sumatera, Indonesia.

“Yap Ah Loy, bagaimanapun, terlibat dalam membangunkan Kuala Lumpur setelah kejadian kebakaran di Kampung Cina pada tahun 1880,” katanya dalam Wacana Cendekiawan bertajuk ‘Adakah Kuala Lumpur dibuka oleh Yap Ah Loy’

Beliau mengatakan bahawa Yap Ah Loy adalah orang yang bertanggungjawab dalam pembinaan semula kampung Cina.

“Selama tahun 1880-an, suku Mandailing bertanggungjawab membawa klan Cina dari Sg Ujung ke Kuala Lumpur,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Institut Dunia dan Peradaban Melayu (ATMA), Prof Dr Supyan Hussein mengatakan bahawa forum tersebut telah membuat kesimpulan bahawa Yap Ah Loy bukan pengasas Kuala Lumpur, tetapi hanya terlibat dalam pengembangannya. - ismaweb.net

No comments:

Post a Comment