Dalam satu sidang akhbar, pengerusi sebuah persatuan Cina mendakwa sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) bukan sahaja Sekolah Wawasan (SW) sebenar, ia patut dijadikan yang utama pula ekoran enrolmen murid bukan Cina sekitar 20 peratus yang dilihat sebagai positif dalam pemupukan perpaduan negara. Dakwaan ini meleset sekali kerana etnik Cina menolak projek SW dengan sekeras-kerasnya semasa diperkenalkan pada 1997 dengan melemparkan pelbagai tohmahan. Antaranya, SW akan melunturkan jati diri Cina pada SJKC melalui pentadbirannya serta penggunaan bahasa ibunda akan sakan terkesan.
Kini SW mahu dijulang kembali etnik Cina setelah bukan sahaja kuat mencemuhnya, tetapi menggagalkan projek itu dengan tidak mahu langsung menyertainya di sebilangan lokasi. Ini tidak ubah menjilat lidah sendiri. Dalam pada itu, mereka selain tidak tahu malu kerana sanggup menerima perkara yang pernah dikeji, kini tidak semenggah pula untuk masuk bakul angkat sendiri apabila memuji SJKC sebagai juara perpaduan.
Sebenarnya enrolmen murid bukan Cina kini dijadikan dalil kuat untuk etnik Cina bukan sahaja memohon, tetapi mendesak untuk mengembangkan pendidikan aliran bahasa Mandarin. Dari satu segi, enrolmen itu yang diiringi percakapan semata-mata tidak boleh diterima pakai. Ini kerana ia tidak selari dengan tindakan yang berlaku di SJKC. Ini antaranya dapat dilihat pada penolakan pendidikan tulisan Jawi di SJKC yang ramai murid Melayu, dan sebarang unsur bukan Cina yang meskipun banyak manfaat kepada murid Cina itu sendiri. Semua ini selalu ditakbirkan sebagai ancaman kepada identiti SJKC yang mahu dipastikan wujud dalam keadaan setotok-totoknya.
Sehubungan itu, etnik Cina tidak layak melabelkan SJKC sebagai tapak perpaduan bestari dengan mahu menggunakan nama SW. Sebenarnya enrolmen itu bersifat citra luaran SJKC yang boleh mengaburi persepsi kita. Secara dalamannya, SJKC adalah sekolah etnik Cina. Sehubungan itu, keangkuhan etnisiti Cina dapat dilihat melalui cara penolakan projek SW, yang betul-betul mementingkan diri sendiri tanpa mengambil kira langsung perasaan etnik lain. Ia berkenaan ketakutan masalah sosial etnik lain akan merebak ke SJKC melalui dua jenis sekolah lain kerana berada dalam satu kompleks sama.
JAGUH
Tidak dapat dinafikan, projek SW gagal pada tahap perintisnya untuk diperluas kerana keengganan SJKC menjayakannya. Hanya satu daripada lima lokasi perintis itu berjaya, itu pun tidak sepenuhnya akibat kerjasama yang tidak selalu menggalakkan daripada SJKC. Kegagalan projek SW dahulu kerana etnik Cina dan mereka pula mahu membelanya kini dengan hanya menonjolkan SJKC adalah bukan sahaja perbuatan tidak bermaruah kerana tiada penghormatan kendiri apabila kini mahu mendakap perkara yang mereka pandang jijik dahulu. Ia juga tidak bermoral kerana sanggup mengagung-agungkan SJKC sedangkan hakikatnya sebagai tapak perpaduan utuh adalah tidak seberapa pun.
Pada masa dahulu, enrolmen murid bukan Cina di SJKC amat tidak disenangi, khususnya oleh guru Cina yang perlu bekerja lebih keras untuk memandaikan golongan murid ini yang langsung tiada latar bahasa Mandarin. Selain satu rahmat tersembunyi iaitu perkara yang dianggap malang dahulu itu kini banyak manfaatnya, faktor enrolmen ini ingin digunakan sehingga mahu disalahgunakan untuk segala macam agenda etnik Cina. Ini termasuklah membina SJKC di kawasan etnik lain, mengangkatnya sebagai jaguh hubungan etnik baik dan sebagai sekolah paling popular dalam kalangan ibu bapa kerana terbaik.
Etnik Cina hendaklah menyedari untuk diinsafi bahawa SJKC selama-lamanya adalah bukan aliran persekolahan utama dalam sistem pendidikan negara. Walau bagaimana sekalipun positif persepsi etnik Cina terhadap SJKC, ia bukan aliran terutama untuk diangkat menggantikan sekolah kebangsaan (SK) yang membekalkan pendidikan nasional. Ini kerana SJKC pertama-tamanya dan untuk selama-lamanya adalah sekolah vernakular yang menawarkan pendidikan etnik Cina yang mahu ikut dihadiri etnik lain untuk menguasai bahasa Mandarin. Walaupun ia diberikan nama jenis kebangsaan, yakni ala kebangsaan sahaja, SJKC bukan sekolah negara yang penuh sifat kebangsaannya seperti SK.
Oleh itu, bukan sahaja tidak tepat, malah tidak senonoh sekali untuk etnik Cina cuba mengangkat SJKC ke tahap mulia dalam proses pembentukan negara bangsa dari segi identiti nasional, sedangkan ia tidak pernah bersifat begitu. Ini berdasarkan kerenahnya sepanjang sejarah kewujudannya yang selalu kuat dicemuh semua pihak, sama ada British sewaktu penjajahan dan kini daripada pelbagai sisi.
Dengan ini, kita tidak boleh sesekali terperdaya dengan faktor enrolmen ini, walaupun tidak dapat dinafikan SJKC menjadi semakin popular. Ini baik dan ia harus bersifat melengkapi sahaja dan tidak sesekali menggantikan untuk mengambil alih peranan yang sepatutnya didukung SK.
Sehubungan itu, etnik Cina hendaklah berhenti daripada membuat kenyataan yang boleh menjejaskan status quo sistem pendidikan negara. Ia ibarat hanya batang kayu terapung di sungai yang tidak boleh sesekali berubah menjadi buaya. Oleh itu, SJKC harus mengetahui tarafnya, khasnya bahasa Mandarin yang menjadi tunjangnya. Ia hanya bersifat sukuan Cina di negara ini walaupun ia antara bahasa besar dunia. Dengan ini, etnik Cina hendak berpada-pada sahaja dalam hasrat mahu mengembang dan melestarikannya di negara ini.
Oleh: Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong
No comments:
Post a Comment