Tuesday, May 18, 2021

Henti Diayah Semu SJKC

Dalam keghairahan memanfaatkan enrolmen murid bukan Cina sekitar 20 peratus di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC), sesetengah pihak dalam etnik Cina telah menyalahgunakannya untuk menonjolkan kehebatan SJKC dengan beberapa cara. Antaranya dengan mendakwa SJKC sebagai Sekolah Wawasan (SW) sebenar dan patut dijadikannya sebagai yang utama berbanding dengan dua yang lain.

Sehubungan projek SW yang diperkenal pada 1997 pada peringkat perintis untuk dikembangkan kemudian, ia gagal kerana keengganan SJKC menyertainya atas pelbagai alasan yang tidak berasas. Justeru, bukan sahaja tidak tepat, SJKC sama sekali tidak layak dikaitkan dengan SW dari sebarang segi.

Terbaharu, dakwaan SJKC adalah contoh terbaik untuk program Sekolah Amanah (SA). Ia juga tidak tepat kerana yang diutamakan pada program itu ialah peningkatan prestasi akademik murid di sekolah rendah dan pelajar di sekolah menengah yang menyertainya. Ia langsung tiada kaitan dengan perkara enrolmen dalam apa-apa jua pengiraan, seperti yang ingin ditonjolkan bahawa SJKC adalah tapak perpaduan unggul.

SA adalah pertama-tamanya tentang kerjasama awam-swasta untuk meningkatkan pencapaian akademik di sekolah terbabit. Untuk menonjolkan SJKC sebagai contoh terbaik PSA, tidak salah apabila hakikat kerjasama ini diserlahkan. Sehubungan itu, umum mengetahui semenjak sekian lama, komuniti Cina bukan sahaja kuat menyokong pendidikan aliran Cina secara moral, ia juga banyak membantunya dari segi sumbangan dana yang besar pula jumlahnya.

Dalam pada itu, enrolmen murid bukan Cina sekitar 20 peratus itu yang ingin diperguna pihak tertentu, sebenarnya langsung tiada kena mengena dengan perkongsian usaha warga pendidik dengan sektor swasta untuk tujuan pencapaian akademik sekolah yang lebih baik. Oleh itu, ia tindakan jijik kerana mengambil kesempatan untuk memperoleh kelebihan bagi SJKC melalui perkara yang tidak tepat.

Sebenarnya ia dilakukan untuk mengelirukan rakyat, dalam erti kata ia membuat kesimpulan ke atas perkara yang tidak betul, iaitu SJKC sebagai SA yang amat berjaya. Persepsi yang positif ini amat diperlukan SJKC kerana sebagai SA, ia akan diberikan autonomi yang lebih, antaranya untuk mengubah lantas membuat keputusan tentang kurikulum. Ini bermakna kurikulum nasional yang perlu diikuti SJKC seperti yang dikehendaki pada Bahagian 18 Akta Pendidikan 1996, boleh ditukar dan diubah suai.

Kebebasan ini bukan sahaja menjadi kekhuatiran banyak pihak, ia juga berbahaya. Ini kerana SJKC yang selalu terpalit dengan banyak kontroversi etnisiti Cina sepanjang kewujudannya, tidak diyakini akan selalu bersifat nasional apabila diberikan kebebasan. Sudah tentu apabila etnisiti Cina melebihi nasionaliti Malaysia, ia berbahaya kepada proses pembentukan dan pembangunan negara bangsa.

RAKUS
Persepsi buruk terhadap etnik Cina sebenarnya adalah bikinan mereka sendiri yang selama ini asyik tanpa segan silu, memperlihat sisi rakus mereka, baik dalam isu SJKC mahupun yang lain-lain. Sehubungan itu, amat ketara kebelangkangan ini, mereka bukan sahaja menggunakan tetapi menyalahgunakan hujah enrolmen sehingga memperlihat kerakusan selain kebebalan mereka dalam usaha mempromosikan pendidikan aliran Cina.

Sehubungan itu, pendidikan aliran Cina walaupun sebahagian sistem pendidikan negara, adalah bukan sektor utama yang bersifat kebangsaan sepenuhnya. Oleh itu, SJKC hendaklah sentiasa berprofil rendah, iaitu tidak mengundang kontroversi akibat mahu berperanan lebih daripada yang sepatutnya. Dengan kata lain, SJKC haruslah sedar diri untuk tidak menimbulkan pertelingkahan kerana terlalu mahu menonjolkan diri bagi tujuan pengembangannya, tanpa menghiraukan taraf sekolah kebangsaan (SK) sebagai sektor utama yang bersifat kebangsaan sepenuhnya.

Profil tinggi yang diperlihat SJKC dengan pelbagai dakwaan palsu sesungguhnya tidak membantu memperbaiki citranya yang sudah lama tercalar, ia lagi memburukkan keadaan dengan adanya tindakan licik untuk mengaburi mata khalayak bahawa SJKC unggul daripada yang lain-lain, ia juga menghantar mesej yang salah, iaitu sektor bukan utama boleh mencabar sektor utama untuk menjuarai sistem pendidikan negara.

SJKC hendaklah berhenti daripada sengaja mengambil pendekatan untuk meraikan kepopularan yang ia penting, selain publisiti yang ia luar biasa. Ini bukan sahaja tidak baik untuknya kerana dilihat sebagai pengkhianat, lebih penting lagi ia tidak baik untuk SK yang dilihat sebagai bacul. Kesemua ini sudah tentu mempunyai implikasi besar kepada sistem pendidikan negara.

Dalam pada itu, sistem pendidikan negara perlu wujud dalam keadaan harmoni dengan SJKC menyokong SK dan bukan sebaliknya, iaitu SJKC mencabar SK dengan dakwaan tertentu dan yang palsu pula. Sehubungan itu, SJKC hendaklah segera berhenti daripada menunjuk-nunjuk kehebatannya yang tidak seberapa pun, selain secara tidak terhormat dengan mengakui perkara yang tidak pun ada padanya.

Sehubungan itu, rakyat jelata hendaklah berwaspada tentang diayah yang memanipulasi enrolmen murid bukan Cina ini untuk mempengaruhi khalayak, selain mempergiat agenda tentang kehebatan SJKC untuk membentuk persepsi yang disarati emosi bahawa SJKC adalah sekolah paling unggul kini dalam sistem pendidikan negara.

Oleh: Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong

No comments:

Post a Comment