Friday, May 28, 2021

Fungsi Masjid: Contohi Zaman Kegemilangan Islam

DI kebanyakan bandar-bandar besar di Malaysia, masjid adalah satu-satunya institusi umat Islam di tengah-tengah pusat bandar. Dengan nilai tanah yang begitu tinggi mengakibatkan harga jualan hartanah yang dibangunkan melambung serta kadar sewa di luar kemampuan ramai masjid dapat menzahirkan kehadiran umat Islam di bandar-bandar yang pesat membangun.

Oleh yang demikian peranan masjid perlu diperkukuh dan diperluaskan bukan sekadar untuk solat berjemaah dan majlis-majlis ilmu sahaja. Masjid tidak dibina semata-mata untuk mempamerkan kehebatan senibina tetapi perlu menjadi teras kepada masyarakat.

Di antara masjid yang terkenal di dalam sejarah Islam adalah Masjid Suleymaniye di Istanbul yang siap dibina dalam tahun 1557 pada zaman kegemilangan Daulah Uthmaniyah. Ketika zaman pemerintahan mereka, selain dari menjadi tempat solat berjemaah terdapat juga hospital (darusyifa), empat madrasah untuk mempelajari Al-Quran, tempat pengajian hadis yang khusus, kolej perubatan, sekolah rendah, tempat mandi awam (hamam), dapur untuk memasak makanan untuk orang-orang miskin (imaret) dan tempat musafir untuk bermalam dan berehat (caravanserai).

Bukan sahaja di masjid ini tetapi di kebanyakan masjid di zaman kegemilangan Islam mempunyai fungsi yang pelbagai. Mungkin hari ini terdapat fungsi-fungsi tersebut yang telah diambil alih oleh institusi-institusi lain namun ada yang masih relevan.

Berikut adalah fungsi-fungsi yang relevan untuk sebuah masjid yang moden selain dari fungsi-fungsi tradisi:

1) Peluang perniagaan
Kempen Buy Muslim First (BMF) yang dilancarkan dua tahun lepas kelihatan telah hilang momentumnya. Masjid boleh menyemarakkan semula kempen ini dengan menyediakan ruang-ruang niaga. Selain dari memberi peluang kepada peniaga-peniaga pada hari Jumaat, kiosk-kiosk tetap boleh diwujudkan. Masjid sendiri boleh menubuhkan koperasi untuk membekalkan keperluan harian kepada ahli kariah. Mereka juga boleh menganjurkan carboot sale atau pasar tani di hari-hari cuti secara tetap.

2) Dapur rakyat
Kebanyakan masjid akan menyediakan makanan untuk berbuka puasa pada bulan Ramadan atau paling kurang mengedarkan bubur lambuk. Kegiatan seperti ini boleh dijadikan kegiatan tetap dan bukan sekadar bermusim. Justeru itu masjid memerlukan kemudahan yang khusus dan bukan dapur yang diwujudkan secara ad hoc.

3) Penginapan kecemasan dan homestay
Sejak akhir-akhir ini terdapat mereka yang terpaksa tidur di kaki lima kerana tidak mampu menyewa rumah. Terdapat juga kes-kes lain seperti itu tetapi dengaj sebab-sebab yang berbeza. Masjid boleh membantu menyediakan tempat penginapan sementara. Terdapat masjid yang telah menyediakannya malah ada masjid yang lengkap dengan homestay untuk para musafir.

4) Perpustakaan, kafe siber dan study room
Masjid juga perlu mewujudkan perpustakaan yang bukan sahaja menyediakan buku-buku agama tetapi yang merangkumi pelbagai jenis tajuk. Perpustakaan ini perlu dilengkapkan dengan komputer-komputer dengan capaian internet sepertimana kafe siber (cybercafe). Ruang yang diperuntukkan juga boleh menjadi tempat pelajar-pelajar membuat kerja rumah atau mengulang kaji kerana terdapat mereka yang mengadu kediaman mereka terlalu sempit atau terlalu bising. Wifi percuma adalah satu keperluan kerana lebih baik anak-anak muda melepak di masjid dari di tempat lain.

5) Pusat pengumpulan dan pengagihan bantuan
Masjid boleh dijadikan tempat pengumpulan makanan, pakaian atau barang-barang kegunaan harian untuk diedarkan atau diambil oleh mereka yang memerlukan. Terdapat masjid yang menyediakan almari khas untuk orang ramai meletakkan bahan-bahan makanan seperti beras, gula, tepung, minyak masak dan makanan dalam tin untuk diambil. Ada juga yang menyediakan almari untuk makanan yang telah siap dimasak. Terdapat juga almari pakaian terpakai di sesetengah masjid. Tetapi pastikan masjid tidak menjadi tong sampah bagi barang-barang yang tidak berguna. Ketika saya di UK seorang pelajar Arab pernah memberitahu pelajar Malaysia jika hendak menyumbang pakaian untuk jumble sale maka sumbanglah pakaian yang kita suka dan bukan yang kita tidak mahu.

6) Kemudahan bersukan
Kemudahan bersukan boleh menarik generasi muda. Banyak masjid yang menyediakan gelanggang bersukan seperti untuk sepak takraw dan ada yang menyediakan meja ping pong. Tempat letak kereta boleh dijadikan padang futsal ketika tidak digunakan. Gelanggang untuk mengajar seni pertahankan diri seperti silat yang penting di dalam dunia yang semakin ganas dan tidak menentu juga boleh disediakan. Mungkin setiap masjid perlu ada gelanggang silat.

7) Ruang untuk majlis-majlis
Mungkin untuk membina satu dewan serbaguna memerlukan kos yang tinggi tetapi masjid boleh menyediakan kawasan lapang yang boleh disewa untuk majlis-majlis seperti majlis perkahwinan atau acara-acara seperti ekspo perniagaan. Masjid juga perlu ada bilik-bilik serbaguna kecil yang boleh disewa untuk majlis-majlis yang lebih kecil atau untuk menganjurkan kursus-kursus.

Mungkin ada yang berkata cadangan-cadangan ini payah untuk dilaksanakan tetapi sebenarnya rumah-rumah ibadat agama-agama lain telah bergerak lebih jauh ke hadapan. Terdapat tokong di Ampang, Selangor yang dilengkapi dengan pusat dialisis.

Tetapi cadangan-cadangan ini bukan perkara yang baharu kerana ia mengembalikan peranan masjid yang wujud ketika zaman kegemilangan Islam. Islam adalah agama yang syumul yang merangkumi semua aspek kehidupan justeru itu masjid juga perlu merangkumi semua aspek kehidupan.

Dengan mempelbagaikan fungsi maka masjid akan menarik lebih ramai anggota masyarakat kepadanya dan yang paling penting sekali menarik kepada semua peringkat umur.

Sebagai instrumen dakwah ia dapat membuka mata masyarakat bukan Islam kepada keindahan Islam apabila apabila mereka hadir di program-program yang dianjurkan di masjid dan dapat melihat peranan masjid di dalam masyarakat.

Justeru itu para pentadbir, arkitek dan perancang bandar perlu melihat masjid sebagai sebuah pusat komuniti yang dinamik bukan sekadar tempat bersolat jemaah, menadah kitab atau mengkafan jenazah sahaja.

Oleh: DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
          Ketua Penyelaras
          Pusat Sumber Untuk Memajukan Masyarakat Dan Perumahan (REACH)

No comments:

Post a Comment