Saturday, May 15, 2021

Label ‘Militan’ Bukan Provokasi Rambang, Tapi Normalisasi Rosakkan Negara

Tindakan The Star menyiarkan laporan berita yang menggelar Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) sebagai militan dianggap provokasi yang memang ditunggu-tunggu.

Ini kerana, isu ‘militan’ baru sahaja menjadi isu nasional selepas Berita Mandarin, TV2 Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) menggunakan istilah itu – merujuk kepada Hamas dalam laporan berita berkaitan serangan udara Israel terhadap Palestin.

The Star dilaporkan menggunakan istilah itu menerusi berita dunia yang disiarkan semalam bertajuk ‘Fear replaces holiday joy in Gaza as fight with Israel escalates’ – bagaimanapun laporan itu dipercayai sudah dipadam.

Berita berkenaan dipercayai merujuk pada laporan Reuters, di mana perenggan keempatnya menyatakan, “Tembakan roket dan peluru berpandu berbalas serangan sejak Isnin di antara militan Hamas di Gaza dan tentera Israel di sempadan, susulan ketegangan terbaharu berkaitan konflik pemilikan tanah di Baitulmaqdis”.

Membidas tindakan itu, Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin sekali lagi menegaskan mustahil pengamal media yang sudah bertapak lama di Malaysia tidak tahu akan sensitiviti ini.

Bukan sekadar provokasi rambang, beliau juga tidak menolak kemungkinan adanya usaha normalisasi halus melalui media-media yang majoriti audiennya bukan Melayu-Islam yang kebanyakannya ‘atas pagar’ dalam isu Palestin-Israel ini.

“Tidak mustahil, ada pihak yang ingin pendirian kolektif rakyat Malaysia dalam isu ini terpecah menjadi 50-50 sehinggakan negara perlu berkecuali pada satu ketika nanti hanya kerana mahu ‘accomodate’ mereka yang pro-Israel nanti.

“Inilah template modus operandi pada mana-mana isu yang berlaku di Malaysia, sebab itu saya rasa tidak mustahil ada usaha ke arah itu. Soal siapa dalangnya, saya tidak pasti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jika ingin kaitkan dengan lebih dalam lagi katanya, sudah ada Ahli Dewan Negara yang mencadangkan agar Malaysia membuka kedutaan di Israel.

Justeru, Haji Aminuddin yakin ini hasil dari normalisasi yang sudah bermula sejak sekian lama di segmen masyarakat tertentu.

“Tidak mustahil dari seorang Ahli Parlimen, jadi dua, jadi sepuluh dan seterusnya yang mencadangkan perkara ini pada masa hadapan.

“Oleh itu, kita perlu sangat berhati-hati dengan naratif media di semua segmen masyarakat.

“Sedikit ‘subversif’ dalam naratif, pastinya mengundang bahaya kepada masa depan negara. Kementerian Komunikasi nampaknya seperti lemah longlai dalam isu ini, sejak dari dulu lagi,” katanya kesal. - ismaweb.net

No comments:

Post a Comment