Wednesday, May 12, 2021

Jangan Sesekali Lupakan 13 Mei 1969

ESOK, genap 52 tahun peristiwa berdarah 13 Mei 1969 yang menggoncang jambatan perpaduan negara ini. Sesungguhnya insiden yang berlaku itu perlu terus dijadikan iktibar dan pedoman dalam kita mengatur langkah meniti kecemerlangan masa hadapan. Ringkasnya, kita perlu melupakan segera insiden pahit itu, sekali gus mencipta memori baharu untuk terus menyuburkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Jujurnya, apa yang berlaku pada 13 Mei itu akan terus terpahat kemas dalam lipatan sejarah negara ini. Namun, itu bukan alasan untuk kita terus meratapi detik tersebut, sebaliknya perlu bangkit membuktikan kita dapat membina semangat perpaduan yang lebih jitu. Tetapi untuk sampai ke tahap perpaduan yang diidamkan, ia memerlukan banyak lagi pengorbanan daripada masyarakat. Hal ini kerana tahap perpaduan yang ada pada hari ini masih tidak begitu meyakinkan, malah boleh dikatakan lebih bersifat kosmetik atau sekadar senipis kulit bawang sahaja.

Walaupun sudah lebih 50 tahun insiden berdarah ini berlaku, banyak sebenarnya pengajaran dan iktibar yang boleh diambil oleh generasi yang ada pada hari ini. Antara iktibar paling penting ialah amalan politik perkauman yang sempit sangat, tidak berbaloi jika dibandingkan dengan kepentingan perpaduan antara kaum. Tragedi 13 Mei menjadi manifestasi penting untuk kita sedar betapa tindakan para pemimpin politik yang mengapi-apikan provokasi politik perkauman cukup berbahaya untuk masyarakat majmuk negara ini.

Apa yang dirisaukan ialah amalan ini sebenarnya masih berlarutan sehingga kini. Masih ada segelintir pemimpin politik yang terus mengamalkan politik perkauman sekali gus sentiasa mencetuskan perbalahan dalam kalangan masyarakat. Bagi kelompok ini, cita-cita peribadi dilihat sentiasa mengatasi kepentingan rakyat dan negara. Jadi, jika kita mahu terus maju ke hadapan sebagai sebuah negara yang bersatu padu, ambil iktibar daripada peristiwa 13 Mei dan hentikanlah amalan politik perkauman yang jelas mengancam perpaduan rakyat dan keselamatan negara.

Tragedi berdarah ini juga mengingatkan semua pihak agar perpaduan dalam kalangan rakyat tiada galang gantinya. Ringkasnya, konflik perkauman adalah umpama yang kalah jadi abu, yang menang menjadi arang. Justeru, sebagai masyarakat majmuk kita tidak mempunyai banyak pilihan selain sentiasa berpaut erat kepada jambatan perpaduan yang telah diwariskan kepada kita oleh generasi terdahulu. Kegagalan kita menghayati kepentingan perpaduan antara kaum boleh menyebabkan peristiwa seperti ini berulang kembali.

SENSITIF
Anggota masyarakat juga perlu sentiasa beringat agar jangan sesekali menyentuh isu-isu sensitif dan mempertikai hak setiap kaum terutamanya hak keistimewaan orang Melayu seperti terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan dengan jelas memperincikan hak setiap kaum, jadi jangan sewenang-wenangnya kita mempersoal apa yang telah dipersetujui oleh para pengasas negara ini. Misalnya, tindakan sesetengah pihak yang secara berterusan dan terang-terangan mempertikai hak keistimewaan orang Melayu, kedudukan agama Islam dan bahasa Melayu serta raja-raja Melayu tidak sepatutnya berlaku lagi. Sedarlah tindakan seperti ini boleh mencetuskan perbalahan antara kaum.

Dalam konteks ini, kontrak sosial yang dipersetujui oleh generasi terdahulu perlu terus dipertahankan. Generasi hari ini perlu ambil iktibar betapa aspek persefahaman, penerimaan, pengorbanan dan tolak ansur setiap kaum yang ada di negara ini menjadi asas kepada pembentukan kontrak sosial yang kemudiannya menjadi faktor penting pencapaian kemerdekaan negara pada 1957.

Justeru, menjadi tanggungjawab kita untuk terus mempertahankan kontrak sosial ini yang telah dipersetujui oleh bapa-bapa kemerdekaan seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan Tun V.T. Sambanthan. Janganlah kita sia-siakan segala jasa, usaha dan pengorbanan mereka.

MUNDUR
Walaupun pada hari ini kita dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah di pentas dunia bersama-sama negara lain, namun harus diingat segala kejayaan yang ada termasuklah kebebasan dan kemerdekaan ini bukanlah sesuatu yang tetap dan kekal. Kita boleh menjadi negara mundur dan dijajah semula dalam sekelip mata andai kita leka, alpa dan gagal untuk ambil iktibar. Tuntasnya, merdeka sekali tidak bermaksud akan kekal merdeka selamanya, sebaliknya kita perlu sentiasa berusaha untuk mempertahankannya. Dalam hal ini, perpaduan antara kaum perlu terus menjadi senjata ampuh yang mempertahankan kedaulatan rakyat dan negara. Jadi, berpegang eratlah kepada tali silaturrahim antara kaum yang ada.

Sebagai sebuah negara yang sedang membangun dengan pesat dan menuju cita-cita menjadi negara maju berpendapatan tinggi, tragedi pahit seperti penjajahan oleh kuasa luar lebih 400 tahun serta peristiwa berdarah 13 Mei 1969 perlu terus dijadikan iktibar dan pengajaran. Adalah menjadi tanggungjawab setiap warganegara untuk terus mempertahankan kemerdekaan dan jambatan perpaduan yang ada dengan berpaksikan pematuhan kepada Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Jika gagal, tidak mustahil negara ini kembali dijajah atau peristiwa 13 Mei berulang semula.

Sama-samalah kita berdoa agar rakyat dan negara ini terus dijauhi daripada segala jenis ancaman baik dari anasir dalam mahupun luar.

Oleh: Noor Mohamad Shakil Hameed

No comments:

Post a Comment