Saturday, May 1, 2021

KPN Bidas Campurtangan Hamzah Dalam Hal Polis, SPP Dicemari ‘Unsur Politik’

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador, membuat kejutan apabila mendakwa Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin, menyalahgunakan kedudukannya untuk campurtangan dalam urusan polis.

Hamid juga membayangkan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) yang dipengerusikan Hamzah dicemari “unsur politik”.

Beliau berkata demikian kepada pemberita yang memintanya mengulas pengakuan Hamzah bahawa suara dalam sebuah rakaman perbualan berkaitan pelantikan pegawai polis atasan.

Hamzah pagi tadi mengumumkan Hamid akan bersara 3 Mei sebagai Ketua Polis Negara dan jawatan itu akan diambil alih oleh timbalannya, Acryl Sani Abdullah Sani.

Petang tadi, Hamid menegaskan seseorang menteri tidak boleh mencampuri urusan kawal selia perjalanan tugas seharian polis, dan amalan itu harus dihindarkan.

Beliau ada membawa perkara ini ke perhatian Hamzah, Perdana Menteri, dan Ketua Setiausaha Negara, katanya.

Hamid menegaskan tujuan membuat pendedahan itu bukan kerana kecewa khidmatnya tidak dilanjutkan, tetapi mahu menjelaskan bahawa menteri tidak boleh sebarangan dalam urusan polis.

“Saya mohon perjelaskan di sini, peranan menteri sebagai pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) ada hadnya,” katanya.

Beliau berkata Hamzah “sejak awal lagi di mesyuarat pertama SPP” mendesak untuk mendapatkan kuasa bagi menentukan penempatan pegawai polis.

“Beliau hanya diberi mandat untuk menetapkan dasar – apakah hala tuju pasukan ini, adakah pasukan ini pincang, atau pun pasukan ini menghadapi masalah dan kenapa – itu peranan dan tanggungjawab menteri.

“Bukan untuk nak menentukan siapa jadi CPO sini, siapa jadi pengarah sini, itu bukan kerja dia.”

Hamid tidak menghadiri mesyuarat SPP yang sepatutnya dibuat hari ini sebab “niat diadakan (mesyuarat) SPP pada hari ini itu tidak betul lah”.

“Kenapa pada Jumaat baru nak diadakan (mesyuarat) SPP? Kenapa tidak seminggu, dua minggu sebelum ini supaya dapatlah kita berbincang sekiranya ada apa-apa yang pincang kita boleh perbaiki.”

Hamid mempersoalkan pencapaian Hamzah selaku pengerusi SPP, mendedahkan “berpuluh-puluh kes tatatertib masih tergantung lagi”, dan ahli suruhanjaya bermesyuarat “dua jam macam meeting minum kopi-O”.

Beliau berkata SPP bawah teraju Hamzah hanya bermesyuarat empat kali setahun dan bukan setiap bulan.

“Begitulah keadaan. Tidak ambil berat langsung. Bayangkan kalau Suruhanjaya Perkhidmatan Awam punya perjalanannya macam ini?

“Sebaik-baik sekali lah SPP tidak dipengerusikan oleh seorang menteri. Saya sarankan di sini. Sebaik-baik lah beri kepada bekas ketua hakim atau hakim untuk menjadi pengerusi. Kalau seorang menteri, masuk dia punya unsur politik ke dalamnya.”

Tengah hari tadi, Hamzah mengakui suara dalam rakaman yang tular di laman sosial, berhubung pelantikan Ketua Polis Negeri, adalah suara beliau.

Beliau berkata perbualannya itu adalah dengan Hamid sendiri, dan mendakwa dirinya tidak melakukan sebarang kesalahan.

“Kita (Hamzah dan Hamid) buat perkara yang betul sebab ia diminta oleh Istana,” katanya.

Antara yang dibualkan dalam rakaman itu mengenai kenaikan pangkat dan pertukaran jawatan dalam polis selain ada menyebut mengenai lantikan seseorang yang berasal dari Ipoh, Perak. - freemalaysiatoday.com

No comments:

Post a Comment