Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Ibrahim berkata, meskipun beliau bukan ahli parti itu lagi, namun, jelasnya, kerjasama tersebut tidak patut ‘dihalalkan’ semata-mata ingin mengejar kuasa yang kini berada di tangan Perikatan Nasional (PN).
“Saya memang tak bersetuju masukkan DAP untuk bekerjasama. Saya tak boleh terima jika itu yang UMNO ingin lakukan.
“Saya bukan ahli UMNO tetapi sebagai penyokong kuat UMNO, kalau nak bekerjasama dengan DAP itu bukan caranya,” katanya ketika dihubungi semalam.
Tunku Aziz sebelum ini mendakwa, DAP menggunakan pemerintahan kuku besi dan diktator yang menjadikan faktor semakin ramai ahlinya meninggalkan parti.
Justeru, tegas beliau, kerjasama dua parti tersebut dilihat tidak sesuai kerana bimbang dengan cengkaman DAP terhadap UMNO jika kerjasama yang terjalin.
Dalam pada itu, bekas Naib Pengerusi DAP, Dr. Tan Seng Giaw berkata, kerjasama UMNO dan DAP bukan perkara baharu untuk dibincangkan, namun ia tidak pernah tercapai sehingga hari ini.
“Perkara ini sudah berlanjutan bertahun-tahun, bukan perkara baharu lagi pada saya, pergi tanya DAP sendiri, saya sudah tidak terlibat,” katanya ringkas.
Memetik laporan Utusan Malaysia pada 7 September 2020, Seng Giaw pernah berkata, kini ramai yang patuh dengan arahan kepimpinan tertinggi supaya karakternya dalam politik tidak dibunuh.
Maka kerjasama antara kedua-dua parti itu mungkin memerlukan UMNO ‘tunduk’ pada permintaan DAP supaya kerjasama itu boleh diadakan.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan mengenai pembentukan jajaran atau gabungan politik baharu yang dinamakan Perikatan 3.0 pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Beliau juga memberi bayangan bahawa ada usaha ke arah itu yang melibatkan gabungan bersama PKR dan DAP selepas mempertimbangkan kesesuaian dinamik politik negara yang sentiasa berubah atau mengikut perubahan semasa.
Mengukuhkan fakta tersebut, UMNO dilihat seolah-olah mula merangka program bersama DAP apabila Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad menziarahi seorang mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menghidapi kanser tahap empat bersama ahli Parlimen DAP Bangi, Ong Kian Ming.
Perkara itu menimbulkan persoalan dalam kalangan akar umbi UMNO kerana pada Perhimpunan Agung UMNO lalu, parti itu membuat pendirian jelas untuk bertanding solo pada PRU nanti dan tidak akan bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga DAP. – UTUSAN
No comments:
Post a Comment