Thursday, May 13, 2021

Apa Nak Dibangga, Kalau Ada Kuasa Pun Gagal Cegah Kemungkaran

Tauke kartel haram terus beri dedak dan makan saban hari
Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (PERKID), Ustaz Masridzi Sat kesal permohonan untuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam bergabung bersama pihak berkuasa bagi membanteras kegiatan haram di bandaraya ditolak.

Biarpun sudah dua kali perbincangan dengan Menteri Wilayah Persekutuan berhubung perkara tersebut, namun usaha bersepadu yang dimohon itu ditolak atas alasan penasihat undang-undang tidak membenarkan NGO terlibat walaupun sebagai pemerhati.

Ustaz Masridzi menjelaskan cadangan itu bukan untuk menganggu tugas pihak berkuasa, sebaliknya tidak berpuas hati kerana pihak terbabit masih gagal menghentikan operasi maksiat dan mungkar yang dilihat masih terus berlaku – walaupun dalam keadaan wabak COVID-19 semakin tenat.

“Kami juga tidak berpuas hati dengan gejala rasuah dan salah guna kuasa yang terus mencengkam dalam kerajaan kita sehingga integriti penguatkuasa kita dah berada di tahap kritikal.

“Siapa yang nak baiki dan bertindak mengatasi perkara ini jika hanya diserah kepada pihak kerajaan semata-mata,” soalnya menerusi catatan di Facebook hari ini.

Pada masa sama, beliau yang juga Naib Pengerusi PEMBELA memberi peringatan bahawa segala bala yang diturunkan Allah kerana perkara berkaitan maksiat dan kemungkaran masih gagal dihapuskan.

“Gagal hapuskan musuh dari luar apatah musuh dalam selimut yang bersarang di dalam. Tak ramai yang berani menjadi pemimpin yang tegas dan berprinsip.

“Selalu terjadi hari ini cakap lain, esok dah bertukar menjadi lain. Budaya payung memayung sesama sendiri takkan berjaya tingkatkan integriti dan kualiti kerja. Tauke-tauke kartel haram terus beri dedak dan makan saban hari.

“Ingat, sekali dah terjebak memang sukar untuk berpatah kembali ke pangkal jalan. Apalah nak dibanggakan dengan kuasa dan jawatan yang besar itu jika tugas untuk cegah dan hapuskan kemungkaran masih gagal dilaksanakan,” katanya.  - ismaweb.net

No comments:

Post a Comment