PUTRAJAYA: DAP akan membuli UMNO dengan lebih teruk berbanding ketika bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sekarang ini jika parti Melayu itu memilih untuk bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di bawah pembentukan jajaran baharu.
Ketua UMNO Bahagian Seremban, Mustafa Salim berkata, UMNO tidak akan menjadi lebih kukuh dan selamat kerana DAP sudah sekian lama berdendam dan hanya akan mempergunakan Melayu untuk kepentingan bangsanya.
Menurut beliau, DAP dengan apa cara sekali pun tidak akan boleh menerima parti Melayu khususnya UMNO kerana parti ini kuat mempertahankan raja-raja Melayu dan lebih mempertahankan ketuanan Melayu walaupun itu dinafikan sesetengah pihak khususnya orang Melayu yang berada dalam DAP.
“Jika UMNO mengambil tindakan membuat pilihan bersama DAP, saya nampak DAP akan lebih teruk lagi atau akan lebih membuli UMNO mengikut kehendak dia.
“Ini kita sudah nampak walaupun macam mana hebat sekali pun Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa beliau menerajui Malaysia di bawah kerajaan PH ketika itu, tetapi Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menuntut jawatan tertentu yang khusus kepada DAP,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam hal itu, Mustafa berkata, sebilangan besar orang Melayu tidak akan menerima UMNO bersama-sama DAP walaupun selepas PRU-15.
Beliau berkata, walaupun UMNO parti paling banyak kerusi, namun jika ditakdirkan UMNO bersama PH, DAP akan lebih patuh kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tidak hormat kepada UMNO.
“Bagaimanapun dalam kedudukan UMNO hari ini dengan parti masih lagi tidak boleh menerima dalam apa keadaan sekali pun DAP ini termasuk menukar Perlembagaan parti mereka, tetapi rata-rata orang Melayu khususnya tidak boleh menerima DAP.
“Ia hanyalah (kemahuan) sebilangan kecil pihak yang ada kepentingan tertentu,” katanya.
Baru-baru ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad membayangkan tidak akan ada mana-mana parti yang memenangi kerusi pada PRU-15 boleh membentuk sebuah kerajaan yang stabil.
Beliau berkata, ini kerana pada masa ini terlalu banyak parti yang mahu bertanding, namun tidak ada satu pun parti dominan dan gabungan parti-parti politik yang berlaku selepas PRU-15 tidak akan menjadi sebuah kerajaan yang stabil serta kuat kerana mereka akan saling mengugut jika tuntutan mereka tidak dilayan. – UTUSAN
No comments:
Post a Comment