PENULARAN Covid-19 begitu menjadi-jadi dengan angka tertinggi tercatat beberapa hari lalu melebihi 7,000 kes baharu.
Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri telah tampil secara langsung dalam Program Bicara Khas Cabaran Pandemik Covid-19 Eksklusif Bersama Perdana Menteri yang disiarkan di TV1 dan Bernama TV pada 23 Mei lalu.
Sebagai seorang penganalisis media sosial, saya lihat banyak emoji marah yang muncul ketika siaran langsung berkenaan, dengan memberikan kerajaan pelbagai label seperti kerajaan gagal.
Isu Covid-19 ini dipolitikkan dengan gesaan pembukaan Parlimen dengan segera untuk perbahasan strategi yang sesuai untuk membendung penularan wabak berkenaan dan sebagai parameter untuk mengukur sokongan terhadap Perdana Menteri.
Persoalannya adakah dengan pembukaan Parlimen, wakil rakyat terlindung daripada jangkitan Covid-19? Adakah dengan mempercepatkan pilihan raya, isu wabak ini boleh selesai?
Apakah yang terjadi pada negara-negara yang menganjurkan pilihan raya dalam tempoh terdekat seperti Amerika Syarikat dan India? Kes bertambah antara dua dan tiga kali ganda.
Di satu pihak lain, bermacam-macam cadangan diberikan untuk lockdown 21 hari atau sebulan dengan tuntutan pelbagai seperti moratorium dan I-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Sebelum ini, kita sudah mendapat manfaat dengan bantuan-bantuan ini dan mungkin kerajaan boleh membantu untuk mempertimbangkan tuntutan-tuntutan tambahan ini.
Persoalannya, adakah dengan tuntutan-tuntutan ini, kes Covid-19 akan berkurangan? Bagaimana selepas lockdown 21 hari?
Persoalannya adakah kita secara sepenuhnya dapat melumpuhkan penularan wabak ini dan bagaimana dengan gelombang-gelombang yang akan datang?
Janganlah kita menjadi masyarakat yang hanya menjadi ‘penerima bantuan kerajaan’ tetapi tidak membantu pemerintah untuk melumpuhkan penularan ini.
Tetapi jarang sangat melihat ada pihak-pihak yang boleh berbahas dan memberikan cadangan supaya rakyat duduk diam di dalam rumah. Tanggungjawab ini hanya dipikul oleh agensi yang berkaitan dan pihak media sahaja. Cuba tengok berapa kenderaan di atas jalan raya pada setiap hari?
Apabila saya pergi ke pejabat kerajaan, berdasarkan pemerhatian saya, mereka yang beratur langsung tiada penjarakan fizikal. Di mana silapnya? Adakah rakyat kita leka, degil atau tidak boleh mematuhi prosedur operasi standard (SOP)?
PERSEPSI
Jadi seberapa banyak tuntutan dibuat pun kalau sikap rakyat tidak serius mematuhi SOP, bagaimana kita hendak menghalang penularan Covid-19?
Jangan kita wujudkan atau menjanakan satu persepsi bahawa hanya bantuan kerajaan sahaja mampu memberhentikan rakyat keluar rumah dan kes penularan ini akan tamat.
Mungkin kakitangan kerajaan dan swasta ada pilihan untuk bekerja dari rumah tetapi bagaimana dengan golongan berpendapatan rendah (B40) seperti pemandu lori, pemungut sampah yang mana mereka harus bekerja untuk survival hidup?
Kita berasa marah apabila bilangan kes naik tetapi kita sendiri tidak mematuhi SOP. Dilema sekarang adalah bagaimana hendak mendidik rakyat supaya mematuhi SOP.
Sikap degil dan tidak bertanggungjawab bukan sahaja memberi kesan terhadap mereka yang benar-benar mengikuti SOP malah mengheret orang yang menjaga SOP ke arah bahaya.
Mereka bukan sahaja membahayakan orang di sekeliling kita malah menjadi parasit masyarakat yang melumpuhkan semua usaha kerajaan dan barisan hadapan yang sudah penat setelah ‘bertarung’ lebih daripada satu setengah tahun.
Dua faktor utama agak jelas kecuaian rakyat kita terhadap SOP. Pertama, mereka tidak mengemaskini diri dengan perkembangan penularan kes Covid-19 di zon masing-masing.
Kedua, kelekaan mereka sendiri untuk mematuhi SOP. Sekiranya benar kita menjaga ahli keluarga, sudah pasti kita tidak akan keluar rumah dengan anak-anak kecil dan mengelak kawasan-kawasan yang sesak. Jadi siapa yang harus dipersalahkan di sini?
Masalah di peringkat akar umbi adalah bagaimana meningkat kesedaran supaya mematuhi dan bukan seperti sekarang perlu berkali-kali diingatkan kepada orang ramai mahupun pemimpin politik. Hanya dua mekanisme utama sahaja mampu merealisasikan kesedaran ini.
INFOGRAFIK
Pertama, maksimumkan penggunaan media bagi meningkatkan kesedaran bahaya Covid-19 dengan pelbagai bentuk terbitan dan infografik secara dalam atau luar talian serta sebarkan kisah-kisah mangsa Covid-19 di dalam dan luar negara yang boleh dijadikan pengajaran.
Pemilihan medium yang mampu menyampaikan maklumat kepada ramai orang adalah digalakkan. Yang penting bilangan dan tahap penyampaian maklumat yang maksimum.
Tugas ini juga harus dipikul oleh Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) dan Jabatan Penerangan bagi memberi penerangan kepada komuniti luar bandar.
Strategi penyaluran maklumat bukan hanya tertumpu pada platform-platform media sosial sahaja malah bersemuka bagi mereka yang duduk di kawasan pedalaman. Jadi, kerahkan penyampaian maklumat ke tahap maksimum agar setiap individu mengetahui perkembangan semasa.
Gunakan pendekatan social influencer yang mempunyai pengikut ramai untuk menyampaikan mesej berkenaan, atau gunakan ikon-ikon negara dari pelbagai peringkat umur seperti atlet dan selebriti untuk menyampaikan mesej. Maklumat hendaklah disampaikan menggunakan pelbagai bahasa.
Kedua, memerlukan pakar komunikasi strategik untuk mewakili kerajaan Malaysia bagi mencantas sebarang pemberitaan asing yang bersifat negatif dan tohmahan mahupun bagi mengubah persepsi rakyat yang melabel kerajaan dengan pelbagai panggilan tidak baik.
Kita tidak memerlukan kenyataan bersifat negatif daripada semua pihak secara serentak. Ini kerana ia menimbulkan kekeliruan dan kecurigaan terhadap kerajaan dan Perdana Menteri.
Serentak dengan pengukuhan mekanisme penyampaian maklumat, sekatan jalan raya dan penalti kompaun harus diperketatkan lagi.
Rakyat sendiri harus menjadi pemerhati untuk membuat laporan polis dan tularkan mereka yang tidak mematuhi SOP seperti individu yang memakai gelang merah jambu berada di luar.
Oleh: Prof. Madya. Dr. Sara Chinnasamy
No comments:
Post a Comment