Monday, May 31, 2021

Lebih Kepada Menyindir Kerajaan PN

BEBASKAN GLC daripada pengaruh politik
tulisan Azha Abdullah, yang tersiar di dalam Forum Utusan Malaysia pada 20 Mei lalu, umpama pepatah Melayu pukul anak, sindir menantu.

Semasa Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan, individu profesional tidak berkepentingan politik dilantik menerajui serta menganggotai lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Namun, sebaik sahaja merampas pucuk pimpinan negara, kerajaan Perikatan Nasional (PN) bertindak memecat hampir kesemua golongan profesional lantikan kerajaan PH ini.

Mereka ditamatkan kontrak serta-merta dan tempat mereka diganti ‘orang politik’ sama ada calon pilihan raya yang kalah, ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), serta pemimpin berjawatan di dalam parti menyokong kerajaan.

Tidak kurang 28 ahli Parlimen serta ADUN kerajaan PN kini menjawat pelbagai jawatan di dalam GLC.

Yang nyata lantikan-lantikan kerajaan PN ini bukan berdasarkan kebolehan profesional, tetapi untuk memuaskan tuntutan parti-parti politik, serta individu berkenaan untuk terus menerus menyokong kerajaan pintu belakang ini.

Mana tidaknya, majoriti yang terlalu sedikit akan saksikan kerajaan PN tersungkur hanya dengan tiga atau empat ahli Parlimen menarik balik sokongan.

Tidak salah kiranya diandaikan untuk kekalkan sokongan ini maka mereka ini diberi jawatan sebagai gula-gula untuk kekalkan sokongan kepada kerajaan.

Tidak ada sebab pun mengapa golongan profesional harus ditamatkan perkhidmatan dan kontrak mereka jauh lebih awal dari yang sepatutnya.

Sebenarnya pada hari ‘Tan Sri Mahiaddin Md. Yasin’ mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, sokongan kepada PH berjumlah 114 ahli Parlimen. Kerajaan yang dilantik sewaktu itu tidak punya majoriti.

Bagaimanapun, jumlah yang menyokong PH ini berkurangan setelah beberapa individu beralih sokongan kepada PN. Dan yang beralih sokongan ini diberi jawatan dalam pentadbiran.

Terdapat juga yang beralih sokongan kerana takut tindakan undang-undang terhadap rasuah dan sebagainya.

Yang tidak dapat tempat dalam pentadbiran kerajaan diberi jawatan dalam GLC, sebagai pengerusi, ahli lembaga pengarah dan sebagainya.

Penulis juga mendakwa kerajaan PH melantik ahli politik sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mungkin penulis tidak sedar Pesuruhjaya SPRM di bawah pentadbiran PH yang pertama dilantik ialah Datuk Seri Mohamad Shukri Abdull, yang juga sebelumnya merupakan Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) SPRM.

Setelah Mohamad Shukri tamat kontrak, beliau diganti oleh seorang peguam, Latheefa Koya.

Yang didakwa Saudara Azha berlaku pada waktu pemerintahan PH tidak benar sama sekali. Sebaliknya, ia lebih mirip pada apa yang diamal pentadbiran PN sekarang ini.

Amat penting perkara ini diperjelas kerana penulisan Saudara Azha lebih kepada menyindir kerajaan PN daripada mengetengahkan apa yang sebenarnya fakta yang diamalkan di zaman PH.

Oleh: DR. MAHATHIR MOHAMAD
          Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya

Bebaskan GLC Daripada Pengaruh Politik

SURUHANJAYA Sekuriti (SC) telah mengemaskini Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG) pada 28 April lalu yang bertujuan meningkatkan kepimpinan lembaga pengarah dan pemantauan ke atas kemampanan syarikat.

Terdapat beberapa pembaharuan dikemas kini dan antara perkara penting adalah tidak menggalakkan pelantikan ahli politik yang aktif sebagai ahli lembaga pengarah.

Bagaimanapun, ia hanya sekadar nasihat dan tidak bersifat punitif kepada mana-mana syarikat yang melantik ahli politik.

Dari segi realiti, hampir keseluruhan syarikat milik kerajaan (GLC) dan badan berkanun milik Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri mempunyai ahli lembaga pengarah terdiri dalam kalangan ahli politik yang aktif.

Walaupun manifesto Pakatan Harapan (PH) dengan jelas menyatakan ahli politik tidak akan dilantik sebagai ahli lembaga pengarah, namun tidak direalisasikan selepas ia menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Malah, lebih malang lagi kerajaan PH melantik ahli politik sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Lantikan tersebut ibarat memilih pengadil bola sepak tidak neutral dalam perlawanan dua pasukan yang sudah pasti mengundang persepsi pengadil berat sebelah dan berpihak kepada pasukan kesukaannya. Amalan melantik ahli politik diteruskan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Berbalik kepada saranan SC, ia amat tepat ketika iklim politik negara berada dalam keadaan tidak menentu sehingga jawatan GLC dan badan berkanun dikatakan menjadi imbuhan tawar menawar dalam menarik sokongan politik.

Isu ini pernah dibangkitkan oleh pensyarah ekonomi dari Universiti Malaya, Profesor Edmund Terence Gomez dalam buku bertajuk Minister of Finance Incorporated yang diterbitkan pada 2017.

Lazimnya, ahli politik cenderung menggunakan jentera termasuk sumber kewangan syarikat yang diwakilinya bagi menarik sokongan politik.

Projek dan program akan ditumpukan di kawasan ahli politik berkenaan. Aktiviti rent seekers iaitu memburu laba melalui hubungan dengan pihak berkepentingan akan berleluasa. Tidak sedikit kes dan skandal melibatkan GLC dan badan berkanun berlaku akibat campur tangan ahli politik berpengaruh dalam membuat keputusan.

Setiap GLC dan badan berkanun mempunyai tujuan dan matlamat tersendiri semasa penubuhannya. Kegagalan mencapai tujuan dan matlamat penubuhan bermakna wang rakyat telah dibazirkan. Ketirisan akhirnya akan menyebabkan bebanan kewangan kepada kerajaan.

Adalah sangat penting diletakkan garis sempadan yang jelas kepada ahli politik supaya tidak melepasi sempadan dalam berpolitik sehingga mengganggu-gugat masa depan anak-anak kita.

Oleh: AZHA ABDULLAH
          Ipoh, Perak

Dewasakah AnakAnak Muda Di Negara Kita....

Dengarlah suara tak didendang ini
SAMBUTAN Hari Raya Aidilfitri sudah masuk hari ke-17. Insiden anak-anak muda lingkungan umur 19 hingga 35 tahun membakar suar sambil memegang kain rentang bertulis ‘Kerajaan Gagal’ viral dalam sekelip mata pada malam lebaran lalu.

Mereka digelar berani kerana bersuara. Bahkan dipuji oleh masyarakat termasuk ahli politik. Namun, tidak kurang mengutuk, bahkan ada menggelar mereka perusuh. Tangkapan demi tangkapan dibuat, hampir 30 orang semuanya. Belia kita.

Saya mengikuti rapat insiden ini kerana saya mewakili sebahagian daripada mereka, menawarkan khidmat guaman percuma.

Bukan menyokong apa yang berlaku, cuma setiap daripada kita dipelihara haknya oleh Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan untuk diwakili peguam dalam mana-mana prosiding mahkamah. Apabila peguam dilantik, mahkamah akan dapat dibantu bukan sahaja bagi membolehkan siasatan dibuat dengan lebih rapi tetapi juga hak mereka yang ditahan terpelihara.

Sehingga artikel ini ditulis, kesemua mereka yang ditahan telah pun dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu keputusan sama ada dituduh atau tidak.

Jangan terperanjat, antara mereka yang ditangkap hanyalah kerana disyaki mengecat kain rentang dan memegangnya. Sejak bila pula mengecat dan memegang kain rentang merupakan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan?

Dari satu sudut lain, keresahan masyarakat berhubung situasi negara hari ini yang bergelut dengan pandemik Covid-19 dan ekonomi merudum telah disuarakan menerusi insiden ini. Antara mereka yang ditahan adalah peniaga dan pekerja di bazar Ramadan di Parit Raja. Mereka telah berbelanja besar untuk berniaga. Namun, peningkatan mendadak kes Covid-19 menyebabkan dua malam terakhir Ramadan yang biasanya merupakan malam meraih untung bagi peniaga kecil telah dilenyapkan dengan penetapan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ya, cara mereka mungkin tidak cukup lunak, tapi sebaiknya kerajaan perlu menyantuni ‘suara-suara yang tidak didendang’ ini semoleknya. Carilah punca dan leraikanlah sengketa.

Dengan belia jangan dijadikan seteru. Binalah jambatan agar suara belia dapat didengari.

Ya, ada kelemahan yang perlu diperbaiki. Ada kantung dan perut rakyat yang perlu diisi. Pasti ada solusi pada setiap halangan. Semoga ada manfaatnya. Binalah Malaysia yang makmur, prihatin dan progresif.

Oleh: MOHD FARED MOHD KHALID

Sunday, May 30, 2021

Kita Yang Tiada Rasa Bersalah

WALAUPUN angka positif Covid-19 mencecah 10,000 sehari, rasanya sikap orang kita dalam berhadapan dengan pandemik ini tetap tidak akan berubah. Mereka akan tetap bersikap seperti tidak ada apa yang berlaku dan terus tidak mempedulikan apa juga peraturan atau prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang wabak ini.

Kalau kita lihat kepada peningkatan kes harian pandemik ini sejak lepas sambutan Aidilfitri, semua disebabkan sikap rakyat negara ini. Sikap tidak peduli dan tidak ada rasa bersalah meletakkan situasi pandemik ini semakin meruncing hingga terpaksa diadakan lockdown di seluruh negara.

Kerana sikap ini menyebabkan munculnya 24 kluster sambutan Hari Raya Aidilfitri yang setakat ini melibatkan 850 kes positif. Sebanyak 3,309 individu telah disaring dalam kluster ini dan jumlahnya dijangka terus meningkat. Semuanya disebabkan kedegilan segelintir rakyat negara ini yang kemaruk mahu menyambut Hari Raya hingga mengancam nyawa orang lain.

Di Terengganu, hanya disebabkan 30 individu dari zon merah yang tidak dapat menahan nafsu telah pulang menyambut Aidilfitri di kampung hingga mencetuskan 90 kes positif Covid-19 di tiga daerah di negeri itu.

Padahnya, daerah Hulu Terengganu yang sebelum ini berstatus hijau bertukar kepada zon merah sekelip mata dengan 124 kes aktif Covid-19 dicatat.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Nor Azimi Yunus mengakui, tindakan orang ramai melanggar SOP menyebabkan seluruh mukim Kuala Berang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Badai Covid-19 akibat kluster raya turut menjejaskan mukim Hulu Telemong dan Tanggol menerusi lima kluster aktif yang dilaporkan. Penyumbang kepada kluster ini adalah mereka yang pulang dari Johor dua hari sebelum Aidilfitri dan hasil ziarah raya antara ahli keluarga terdekat.

Golongan ini tanpa ada ada rasa bersalah memberi pelbagai alasan untuk menghalalkan apa yang mereka buat walaupun jelas perbuatan itu menyebabkan ahli keluarga, jiran dan orang kampung dijangkiti pandemik berbahaya itu.

Untuk memerangi Covid-19 ini setiap daripada kita perlu berperang dengan diri sendiri terlebih dahulu dengan memastikan kita mematuhi apa juga arahan dan peraturan yang telah ditetapkan. Kita bukannya hidup sendirian. Di sekeliling kita ada isteri atau suami, anak-anak, ibu-bapa, adik beradik, jiran tetangga dan masyarakat setempat.

Kesilapan yang dilakukan akan memberi kesan kepada orang yang kita sayang dan masyarakat di sekeliling kita. Sejak daripada awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac tahun lalu, semua daripada kita tahu, kewujudan kebanyakan kluster baharu adalah disebabkan pergerakan manusia.

Perlis yang satu ketika adalah zon hijau dengan sifar kes positif Covid-19 tiba-tiba kembali ke zon merah. Sebabnya kenapa? Kerana terdapat individu dari zon merah terutama Selangor telah balik ke Perlis.

TIDAK HADIR SUNTIK VAKSIN
Sikap penting diri sendiri dan tiada rasa bersalah juga sangat ketara apabila 52,771 individu yang mendaftar untuk mendapat suntikan vaksin AstraZaneca fasa pertama tidak hadir pada hari yang sepatutnya mereka disuntik. Pada hari temu janji itu mereka tidak muncul menyebabkan berlaku pembaziran pada perbelanjaan negara.

Tidakkah mereka tahu bahawa vaksin ini apabila dikeluarkan dari tempatan simpanannya ia perlu terus digunakan. Kalau tidak digunakan ia tidak boleh disimpan semula. Kumpulan 52,771 orang ini merupakan mereka yang tidak bertanggungjawab yang tanpa ada rasa bersalah telah menafikan hak orang lain.

Ketika orang lain berebut-rebut mahu mendapat suntikan vaksin, mereka yang sudah ada peluang depan mata pula mensia-siakannya. Mereka ini bukan sahaja mempermain-mainkan masyarakat tetapi juga polisi dan dasar negara dalam memutuskan rantaian Covid-19.

Mereka tidak menghargai nilai vaksin tersebut kerana diberikan secara percuma dan ada juga yang terpesong dek hasutan golongan antivaksin. Ini adalah golongan yang tidak berhati perut kerana tindakan mereka bukan sahaja merugikan perbe­lanjaan negara terhadap pembelian vaksin Covid-19 yang mempunyai tempoh luput tertentu, malah turut menafikan peluang orang lain yang mahu mendapatkan vaksin.

Kalau tidak mahu disuntik dengan vaksin, dari awal tidak perlu daftar supaya slot itu boleh diambil oleh orang lain. Golongan ini tidak memikirkan kepentingan masyarakat secara keseluruhan. Mereka hanya pentingkan diri sendiri. Sebab itu kalau tengok alasan yang mereka berikan ada yang tidak logik tanpa ada rasa bersalah.

PERCAYA KEPADA MAK TEH
Di tengah-tengah kekalutan berhadapan dengan Covid-19 ini, muncul pula Mak Teh dengan dakwaan cukup sekadar minum air kelapa untuk menyembuhkan Covid-19. Peliknya, Mak Teh hanya sekadar audio. Tidak ada siapa pun yang tahu kelibatnya macam mana. Tetapi ramai yang terpengaruh dan percaya.

Sedangkan, sejak daripada tahun lepas hampir setiap hari Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah memberikan penerangan mengenai bahawa Covid-19. Ia bukan pandemik biasa-biasa. Ribuan orang sudah menjadi mangsa, dan ribuan lagi kini menghuni pusat-pusat kuarantin di seluruh negara.

Tetapi itulah orang kita. Mereka sanggup mengetepikan pandangan dan saranan seorang pakar seperti Dr. Noor Hisham dan lebih mempercayai individu yang tidak diketahui latar belakang an hujung pangkatnya seperti Mak Teh. Gara-gara terpengaruh de­ngan Mak Teh ini ada warga emas rela mempertaruhkan nyawa sendiri apabila enggan ambil vaksin Covid-19. Ini mungkin dakyah golongan antivaksin yang mahu menyesatkan pemikiran rakyat Malaysia ketika berhadapan dengan serangan pandemik yang tiada kesudahan ini.

Selagi masih ada dalam kalangan rakyat Malaysia yang bertindak sesuka hati tanpa ada rasa bersalah melanggar SOP dan peraturan, negara kita sukar untuk bebas daripada pandemik ini. Kita boleh lihat sendiri perkara ini. Cuba tengok kluster yang baru muncul setiap hari.

Apa faktor yang menyumbang kepada kemunculannya? Tanpa rasa bersalah, kita terus menerus menjadi ejen kepada penyebaran pandemik ini. - UTUSAN

Biaya Rumah 40 Tahun: Praktikal Atau Beban?

Cadangan memanjangkan tempoh pembiayaan perumahan melebihi amalan semasa 35 tahun kembali dibicarakan dalam arena perkembangan sektor hartanah semasa.

Kali ini, objektif utamanya dikatakan untuk membantu kumpulan isi rumah berpendapatan terendah 40 peratus (B40) khususnya di kawasan bandar untuk memiliki rumah mereka sendiri.

Umumnya, objektif untuk membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri ialah satu matlamat yang murni. Hal demikian kerana memiliki tempat tinggal yang selamat dan selesa merupakan salah satu daripada keperluan asasi manusia. Oleh itu, jalan untuk merealisasi matlamat murni ini harus dilakukan dengan cara yang betul, tidak mengelirukan dan tidak bertentangan dengan tujuan asal.

Sebelum ini, Bank Negara Malaysia mengehadkan tempoh maksimum pinjaman selama 35 tahun sejak 2013 bagi pembelian hartanah sebagai sebahagian daripada langkah-langkah pembiayaan bertanggungjawab. Ini termasuklah mengambil kira faktor usia persaraan dan mengelakkan rampasan rumah bila berlaku kegagalan untuk memenuhi perjanjian pembiayaan.

Agak sukar membayangkan seseorang yang mana jangka hayat ketika lahir (tahun 2020) ialah 77.6 tahun bagi perempuan dan 72.6 tahun bagi lelaki untuk terikat dengan komitmen pembiayaan yang besar bagi tempoh antara 40 hingga 60 tahun. Oleh itu, cadangan pemanjangan tempoh pembiayaan sehingga 40 tahun dan ke atas sudah pasti akan menimbulkan polemik tentang pembiayaan antara generasi bagi pemilikan hanya sebuah rumah.

Pertamanya, isu etika apabila mengalihkan beban kewangan besar kepada waris yang belum cukup umur sebelum mendapat persetujuan mereka. Jika kedua-dua pembeli ialah individu dewasa, maka ia menjadi pembiayaan secara bersama.

Kedua, pemanjangan tempoh pembiayaan tidak menggambarkan matlamat sebenar untuk mengupayakan kumpulan ini memiliki rumah sendiri. Ini kerana tempoh pembiayaan yang panjang serta pengalihan komitmen pembiayaan kepada generasi kedua menunjukkan harga rumah tersebut di luar kemampuan mereka.

Dalam Islam, individu yang belum baligh ataupun belum mencapai tahap kematangan yang dipersetujui syarak tidak boleh sewenang-wenangnya dilibatkan dalam akad seperti perkahwinan, jual beli, sewa, wakil dan lain-lain. Bagaimanapun, ia tidaklah bermaksud kanak-kanak atau individu tidak sempurna akal tiada kelayakan langsung dalam akad dan ibadah tertentu. Hak mereka untuk terlibat dalam sesuatu kontrak itu ada dan bersyarat termasuklah di bawah seliaan penjaga yang adil dan sah.

Namun, secara umumnya, kelayakan atau ahliyyah yang penuh ialah apabila seseorang itu mampu untuk memahami dan memikul hak dan tanggungjawab serta berkemampuan untuk memberi kesan undang-undang (hukum) daripada tindakannya. Dalam pembiayaan perumahan Islam berdasarkan akad jual beli misalnya, kedua-dua pihak penjual dan pembeli yang terlibat disyaratkan untuk mempunyai kelayakan mengikut syarak ini.

Terdapat dua isu syariah utama yang dikenal pasti sekiranya pemanjangan tempoh pembiayaan perumahan melibatkan antara generasi iaitu pertama, kelayakan syarak generasi kedua pada tarikh perjanjian pembiayaan dimeterai. Kedua, isu pemilik rumah yang gharar (tidak jelas) ketika proses jual beli.

Walaupun seorang penjaga seperti bapa mempunyai kuasa wali ke atas anaknya, namun ia terhad kepada perkara-perkara yang dibenarkan oleh syarak. Islam tidak membenarkan seorang wali untuk membuat keputusan yang mendatangkan kemudaratan kepada individu di bawah jagaannya.

Cadangan pembiayaan perumahan antara generasi dilihat muncul kerana pembeli pertama sebenarnya tidak mampu membuat pembelian dan memikul komitmen kewangan untuk satu tempoh yang lazim oleh masyarakat setempat. Oleh itu, penyelesaian kepada permasalahan ini bukanlah dengan memanjangkan tempoh pembiayaan sehingga menjejaskan generasi kedua, sebaliknya perlu kembali kepada akar permasalahan berkenaan.

Akar kepada masalah ini ialah harga rumah di kawasan bandar yang tinggi disebabkan oleh tanah yang terhad menyebabkan golongan berpendapatan rendah dan sederhana sukar memiliki rumah sendiri. Perkara ini tidak hanya berlaku di Malaysia bahkan turut berlaku di seluruh dunia.

Sebenarnya, memiliki tempat tinggal yang baik dan memenuhi keperluan asasi bukanlah semata-mata melalui jalan pemilikan sahaja. Masyarakat perlu menyedari bahawa memiliki manfaat tempat tinggal adalah lebih utama daripada memiliki sebuah rumah tersebut. Apatah lagi jika pemilikan rumah itu boleh mendatangkan kesusahan kerana pemilik rumah memang tidak mampu pada asalnya untuk membiayai kos memilikinya. Oleh itu, penyewaan bagi mendapatkan manfaat tempat tinggal ialah salah satu opsyen yang praktikal dan lebih selamat khususnya di bandar-bandar utama.

Dalam memperkasa aktiviti penyewaan di bandar-bandar utama, tidak dapat tidak, skim perumahan awam perlu dipertingkatkan dan diberi nafas baharu. Sebelum ini, skim perumahan awam menyasarkan kumpulan berpendapatan rendah untuk opsyen sewa atau beli dengan kadar berpatutan dan mampu milik. Justeru, pertimbangan sama juga harus diperluas kepada kelas pertengahan yang hampir kepada kumpulan berpendapatan rendah.

Skim perumahan awam khusus untuk penyewaan ini lebih ditekankan untuk dilaksanakan dan diperkasa di bandar-bandar utama kerana lebih menjamin kebajikan masyarakat berbanding keuntungan. Tambahan lagi, aspek kesediaan tanah dan penguatkuasaan berpusat lebih menyebelahi pihak berkuasa tempatan. Pada masa sama, aktiviti penyewaan swasta di bandar-bandar utama hendaklah diselia secara berpusat menggunakan akta bersesuaian bagi melindungi kedua-dua pemilik rumah dan penyewa.

Bagi memenuhi objektif umum pemilikan rumah pula, pilihan untuk membeli rumah kepada kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana hendaklah tidak dihadkan di kawasan bandar-bandar utama sahaja, sementelah skim perumahan awam boleh diperkasa. Matlamat ini boleh diusahakan dengan menawarkan skim dan kempen-kempen khusus seperti skim perumahan awam di kawasan ekonomi baharu, kempen Rumahku Kampung Halamanku, insentif pecah geran kongsi dan lain-lain yang bersesuaian.

Oleh: Nur Syahidah Abdul Jalil
          Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Kajian Ekonomi & Kemasyarakatan
          Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

‘Bebalisme’ Dalam Kalangan Pemimpin Malaysia Perlu Dihapuskan

Pemerhati politik, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah berkata, saban hari, negara semakin menampakkan pemimpin politik yang bersifat bebal dan ‘pandir’, terutama selepas berlakunya insiden perlanggaran tren transit aliran ringan (LRT), baru-baru ini.

Beliau berkata, tanda-tanda masalah ini dapat dilihat melalui ketidakmampuan menganalisa masalah dalam menyelesaikan sesuatu perkara, selain gagal mempelajari apa yang difikirkan perlu.

“Bebal dan pandir bukan hanya dalam kalangan orang biasa, tetapi tersembunyi dalam kalangan Ahli Parlimen, pemimpin politik, ahli akademik dan pelbagai peringkat masyarakat.

“Dalam kalangan pemimpin, ia bermula dengan ahli politik, diangkat menjadi Ahli Parlimen, kemudian diangkat menjadi ahli Kabinet.

“Bebal dan kepandiran ini sukar diukur melalui statistik, tetapi kenyataan mereka, seperti ucapan-ucapan di Parlimen dan sebagainya,” katanya sinis dalam tulisan di laman Facebook.

Menurutnya, ‘bebalisme’ ini merupakan parasit dalam fikiran secara tidak sedar.

Tegas beliau, ia mesti dihapuskan dalam kalangan pemimpin daripada puncak birokrasi jika sesebuah masyarakat ingin maju.

“Dalam kata lain, kegagalan masyarakat membangun untuk maju adalah disebabkan oleh adanya orang bebal dan pandir.

“Budaya berfikir mesti digerakkan. Jika tidak, rakyat akan terikut-ikut bebal dan pandir sehingga rosak,” kata Prof Ridhuan Tee.

Beliau berkata, jika dibiarkan senario ini, maka dengan ‘orang bebal’ ini yang akan membawa budaya nepotisme, pandangan kolot dan politik parti kedaerahan yang menentukan pemilihan serta kenaikan dalam tatatingkat kekuasaan pentadbiran.

“Orang-orang bebal tidak dapat menguasai keadaan. Rasuah menjadi ciri-ciri naiknya kekuasaan orang-orang bebal.

“Di mana orang-orang bebal berkuasa, maka nilai-nilai merekalah yang menjadi nilai-nilai masyarakat, kesedaran mereka menjadi kesedaran masyarakat. Dengan demikian runtuhlah akhlak masyarakat kita,” dakwanya. - ismaweb.net

UMNO Jangan Buat Hal Dengan DAP

UMNO dinasihatkan agar tidak bermain api dengan DAP dalam membentuk jajaran politik baharu. Ini kerana UMNO perlu berhati-hati dengan matlamat dan perjuangan DAP. Sejarah kewujudan DAP sudah diketahui umum. Tidakkah pemimpin-pemimpin UMNO menyelami dan mempelajari rekod buruk parti itu sebelum ini?

Oleh itu, untuk kebaikan orang Melayu, diharap UMNO tidak mengambil risiko besar dengan menjalin kerjasama dengan DAP. Sejarah mereka ternyata cukup mengguris hati rakyat, terutama dalam kalangan orang Melayu yang menjadi tentera dan polis kerana mereka lebih terkesan serta membenci pengaruh komunis.

Pemimpin UMNO perlu bertegas dan berpasak pada perjuangan parti dengan tidak menjalin sebarang hubungan dengan DAP. Biarlah UMNO memperjuangkan kehidupan sebenar anak bangsanya daripada berkompromi dengan mana-mana parti yang mementingkan agenda tersembunyi.

Pemimpin-pemimpin UMNO perlu berjuang ke arah kebaikan dan realiti sebenar seperti mana terkandung dalam Perlembagaan UMNO dan Perlembagaan Persekutuan.

Barisan pimpinan sedia ada jangan cuba menidakkan ketulusan dan kepentingan parti terhadap perjuangannya. Jika ada parasit-parasit parti, maka singkirkan sahaja kerana mereka tidak lagi setia.

Akar umbi dan rakyat sentiasa mengharapkan UMNO memelihara keutuhan perjuangan dengan membela orang Melayu dalam apa jua keadaan sekali pun.

Melayu dan UMNO saling berpaut. Mahukah anak bangsa Melayu melihat kehancuran bangsa sendiri akibat perbuatan khianat para pemimpin yang merosakkan kejatian UMNO itu sendiri?

Oleh: WARIS PANGLIMA
          Perlis

Saturday, May 29, 2021

Vaksin Covid-19 Boleh Tingkatkan Nafsu Seks?

BOGOR: Sejumlah penerima vaksin Covid-19 di Indonesia mendakwa vaksin itu dapat menjadikan stamina mereka lebih kuat, sekali gus meningkatkan nafsu seks.

Lapor Fajar.co.id, kenyataan itu berdasarkan pengalaman beberapa penduduk selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 di Dewan Puri Begawan, Bandar Bogor, Jawa Barat pada Mac lalu.

“Stamina saya jadi lebih kuat selepas divaksin. Isteri saya juga terkejut, dia sangka saya mengambil ubat kuat,” kata seorang penerima vaksin yang dipetik portal tersebut.

Lelaki yang enggan mendedahkan identitinya mengakui badannya berasa lebih sihat setelah menerima suntikan vaksin Covid-19.

“Badan terasa segar dan senang juga berpeluh,” kata lelaki berusia 50 tahun itu.

Pengakuan lelaki itu turut disahkan oleh beberapa teman pejabatnya yang juga mengambil suntikan vaksin.

“Saya juga merasakan perkara yang sama (kuat dan tahan lama) tetapi saya tidak pasti sama ada ia disebabkan kesan vaksin atau sebaliknya,” ujarnya.

Setakat ini, tiada penjelasan saintifik daripada pakar mahupun doktor mengenai dakwaan kononnya suntikan vaksin Covid-19 mampu meningkatkan stamina dan nafsu seks.

Kisah ini mula tular dalam aplikasi Whatsapp sejak beberapa hari lalu. - UTUSAN

Duterte Arah Individu Langgar Covid-19 Diberkas

MANILA: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte mengumumkan perintah penangkapan mandatori kepada individu yang melanggar perintah kesihatan bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Menurut beliau, menyebarkan virus kepada orang lain merupakan satu jenayah di negara ini.

Katanya, beliau sudah hilang sabar dengan laporan orang ramai yang kerap berkumpul semasa pandemik melanda dan memberi kuasa kepada pihak polis menggunakan sebarang tindakan undang-undang munasabah bagi menahan individu yang mengabaikan protokol kesihatan.

“Kebanyakan daripada kalian terlibat jenayah kerana anda sendiri tahu selepas berkumpul, berenang, ramai yang disahkan positif.

“Anda mengabaikan perintah daripada kerajaan dan adalah satu jenayah apabila dijangkiti Covid-19 dan merebak kepada individu lain yang tidak bersalah. Ia jelas adalah jenayah,” tegasnya.

Pengumuman terbaharu itu berikutan beberapa acara berskala besar di ibu negara, Manila dan wilayah berdekatan yang menyaksikan berpuluh-puluh individu dijangkiti Covid-19, awal bulan lalu.

Kes pertama dilaporkan di Resort Ciudad sa Gubat di bandar Caloocan selepas sebuah parti yang dihadiri 500 tetamu dianjurkan dengan 20 orang disahkan positif.

Insiden kedua melibatkan parti di kolam renang selama tiga hari di Barangay Nagkaisang Nayon apabila 54 peserta menerima jangkitan virus tersebut.

Acara lain yang dianjurkan minggu lalu apabila seramai 2,000 individu berkelah di Sungai Bakas di Barangay, Norzagaray. - AGENSI

Friday, May 28, 2021

Jangan Tuding Jari Pada PM, Kerajaan

PENULARAN Covid-19 begitu menjadi-jadi dengan angka tertinggi tercatat beberapa hari lalu melebihi 7,000 kes baharu.

Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri telah tampil secara langsung dalam Program Bicara Khas Cabaran Pandemik Covid-19 Eksklusif Bersama Perdana Menteri yang disiarkan di TV1 dan Bernama TV pada 23 Mei lalu.

Sebagai seorang penganalisis media sosial, saya lihat banyak emoji marah yang muncul ketika siaran langsung berkenaan, dengan memberikan kerajaan pelbagai label seperti kerajaan gagal.

Isu Covid-19 ini dipolitikkan dengan gesaan pembukaan Parlimen dengan segera untuk perbahasan strategi yang sesuai untuk membendung penularan wabak berkenaan dan sebagai parameter untuk mengukur sokongan terhadap Perdana Menteri.

Persoalannya adakah dengan pembukaan Parlimen, wakil rakyat terlindung daripada jangkitan Covid-19? Adakah dengan mempercepatkan pilihan raya, isu wabak ini boleh selesai?

Apakah yang terjadi pada negara-negara yang menganjurkan pilihan raya dalam tempoh terdekat seperti Amerika Syarikat dan India? Kes bertambah antara dua dan tiga kali ganda.

Di satu pihak lain, bermacam-macam cadangan diberikan untuk lockdown 21 hari atau sebulan dengan tuntutan pelbagai seperti moratorium dan I-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Sebelum ini, kita sudah mendapat manfaat dengan bantuan-bantuan ini dan mungkin kerajaan boleh membantu untuk mempertimbangkan tuntutan-tuntutan tambahan ini.

Persoalannya, adakah dengan tuntutan-tuntutan ini, kes Covid-19 akan berkurangan? Bagaimana selepas lockdown 21 hari?

Persoalannya adakah kita secara sepenuhnya dapat melumpuhkan penularan wabak ini dan bagaimana dengan gelombang-gelombang yang akan datang?

Janganlah kita menjadi masyarakat yang hanya menjadi ‘penerima bantuan kerajaan’ tetapi tidak membantu pemerintah untuk melumpuhkan penularan ini.

Tetapi jarang sangat melihat ada pihak-pihak yang boleh berbahas dan memberikan cadangan supaya rakyat duduk diam di dalam rumah. Tanggungjawab ini hanya dipikul oleh agensi yang berkaitan dan pihak media sahaja. Cuba tengok berapa kenderaan di atas jalan raya pada setiap hari?

Apabila saya pergi ke pejabat kerajaan, berdasarkan pemerhatian saya, mereka yang beratur langsung tiada penjarakan fizikal. Di mana silapnya? Adakah rakyat kita leka, degil atau tidak boleh mematuhi prosedur operasi standard (SOP)?

PERSEPSI
Jadi seberapa banyak tuntutan dibuat pun kalau sikap rakyat tidak serius mematuhi SOP, bagaimana kita hendak menghalang penularan Covid-19?

Jangan kita wujudkan atau menjanakan satu persepsi bahawa hanya bantuan kerajaan sahaja mampu memberhentikan rakyat keluar rumah dan kes penularan ini akan tamat.

Mungkin kakitangan kerajaan dan swasta ada pilihan untuk bekerja dari rumah tetapi bagaimana dengan golongan berpendapatan rendah (B40) seperti pemandu lori, pemungut sampah yang mana mereka harus bekerja untuk survival hidup?

Kita berasa marah apabila bilangan kes naik tetapi kita sendiri tidak mematuhi SOP. Dilema sekarang adalah bagaimana hendak mendidik rakyat supaya mematuhi SOP.

Sikap degil dan tidak bertanggungjawab bukan sahaja memberi kesan terhadap mereka yang benar-benar mengikuti SOP malah mengheret orang yang menjaga SOP ke arah bahaya.

Mereka bukan sahaja membahayakan orang di sekeliling kita malah menjadi parasit masyarakat yang melumpuhkan semua usaha kerajaan dan barisan hadapan yang sudah penat setelah ‘bertarung’ lebih daripada satu setengah tahun.

Dua faktor utama agak jelas kecuaian rakyat kita terhadap SOP. Pertama, mereka tidak mengemaskini diri dengan perkembangan penularan kes Covid-19 di zon masing-masing.

Kedua, kelekaan mereka sendiri untuk mematuhi SOP. Sekiranya benar kita menjaga ahli keluarga, sudah pasti kita tidak akan keluar rumah dengan anak-anak kecil dan mengelak kawasan-kawasan yang sesak. Jadi siapa yang harus dipersalahkan di sini?

Masalah di peringkat akar umbi adalah bagaimana meningkat kesedaran supaya mematuhi dan bukan seperti sekarang perlu berkali-kali diingatkan kepada orang ramai mahupun pemimpin politik. Hanya dua mekanisme utama sahaja mampu merealisasikan kesedaran ini.

INFOGRAFIK
Pertama, maksimumkan penggunaan media bagi meningkatkan kesedaran bahaya Covid-19 dengan pelbagai bentuk terbitan dan infografik secara dalam atau luar talian serta sebarkan kisah-kisah mangsa Covid-19 di dalam dan luar negara yang boleh dijadikan pengajaran.

Pemilihan medium yang mampu menyampaikan maklumat kepada ramai orang adalah digalakkan. Yang penting bilangan dan tahap penyampaian maklumat yang maksimum.

Tugas ini juga harus dipikul oleh Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) dan Jabatan Penerangan bagi memberi penerangan kepada komuniti luar bandar.

Strategi penyaluran maklumat bukan hanya tertumpu pada platform-platform media sosial sahaja malah bersemuka bagi mereka yang duduk di kawasan pedalaman. Jadi, kerahkan penyampaian maklumat ke tahap maksimum agar setiap individu mengetahui perkembangan semasa.

Gunakan pendekatan social influencer yang mempunyai pengikut ramai untuk menyampaikan mesej berkenaan, atau gunakan ikon-ikon negara dari pelbagai peringkat umur seperti atlet dan selebriti untuk menyampaikan mesej. Maklumat hendaklah disampaikan menggunakan pelbagai bahasa.

Kedua, memerlukan pakar komunikasi strategik untuk mewakili kerajaan Malaysia bagi mencantas sebarang pemberitaan asing yang bersifat negatif dan tohmahan mahupun bagi mengubah persepsi rakyat yang melabel kerajaan dengan pelbagai panggilan tidak baik.

Kita tidak memerlukan kenyataan bersifat negatif daripada semua pihak secara serentak. Ini kerana ia menimbulkan kekeliruan dan kecurigaan terhadap kerajaan dan Perdana Menteri.

Serentak dengan pengukuhan mekanisme penyampaian maklumat, sekatan jalan raya dan penalti kompaun harus diperketatkan lagi.

Rakyat sendiri harus menjadi pemerhati untuk membuat laporan polis dan tularkan mereka yang tidak mematuhi SOP seperti individu yang memakai gelang merah jambu berada di luar.

Oleh: Prof. Madya. Dr. Sara Chinnasamy

Masa Ialah Nyawa Kehidupan

KERAJAAN merangka pelbagai agenda pembangunan selaras dengan tuntutan Islam melalui pendekatan seimbang dalam aspek-aspek spiritual, ekonomi, pendidikan, kemasyarakatan dan undang-undang.

Kerajaan menyedari, Islam bukanlah suatu agama bersifat ritual semata-mata tetapi juga bersifat praktikal iaitu diturunkan untuk mengatur kehidupan masyarakat secara realistik.

Islam juga memberi tumpuan yang penting kepada pencapaian kehidupan masyarakat secara berkualiti.

Kehidupan berkualiti akan dicapai melalui kejayaan negara memenuhi keperluan asasi seperti memelihara amalan beragama, kemampuan memajukan taraf pendidikan, menghadapi kehidupan yang aman dan hak memiliki harta.

Sesungguhnya untuk membentuk sebuah kehidupan berkualiti, pengurusan masa amat penting. Dalam Islam, sebenarnya masa bukan emas tetapi nyawa dan kehidupan.

Apabila masa terbuang ataupun hilang seperti nyawa dan kehidupan, ia tidak dapat digantikan. Justeru, manusia yang tidak mahir dalam aspek pengurusan masa akan mensia-siakan masa mereka.

Manusia seperti itu sebenarnya tidak menghargai hidup dan nyawanya. Orang yang suka membuang masa seolah-olahnya sedang membuang modal yang sepatutnya digunakan bagi mengembangkan perniagaannya.

Di dalam kitab Ihya Ulumuddin, Imam Ghazali menulis, “Modal bagi seseorang hamba Allah ialah waktunya. Jika dia gunakan waktu itu pada perkara tidak diperlukan dan tidak digunakannya untuk mencari pahala akhirat, dia telah mensia-siakan modalnya.”

Oleh: DR. NUR NAJWA HANANI ABD. RAHMAN
          Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor

Fungsi Masjid: Contohi Zaman Kegemilangan Islam

DI kebanyakan bandar-bandar besar di Malaysia, masjid adalah satu-satunya institusi umat Islam di tengah-tengah pusat bandar. Dengan nilai tanah yang begitu tinggi mengakibatkan harga jualan hartanah yang dibangunkan melambung serta kadar sewa di luar kemampuan ramai masjid dapat menzahirkan kehadiran umat Islam di bandar-bandar yang pesat membangun.

Oleh yang demikian peranan masjid perlu diperkukuh dan diperluaskan bukan sekadar untuk solat berjemaah dan majlis-majlis ilmu sahaja. Masjid tidak dibina semata-mata untuk mempamerkan kehebatan senibina tetapi perlu menjadi teras kepada masyarakat.

Di antara masjid yang terkenal di dalam sejarah Islam adalah Masjid Suleymaniye di Istanbul yang siap dibina dalam tahun 1557 pada zaman kegemilangan Daulah Uthmaniyah. Ketika zaman pemerintahan mereka, selain dari menjadi tempat solat berjemaah terdapat juga hospital (darusyifa), empat madrasah untuk mempelajari Al-Quran, tempat pengajian hadis yang khusus, kolej perubatan, sekolah rendah, tempat mandi awam (hamam), dapur untuk memasak makanan untuk orang-orang miskin (imaret) dan tempat musafir untuk bermalam dan berehat (caravanserai).

Bukan sahaja di masjid ini tetapi di kebanyakan masjid di zaman kegemilangan Islam mempunyai fungsi yang pelbagai. Mungkin hari ini terdapat fungsi-fungsi tersebut yang telah diambil alih oleh institusi-institusi lain namun ada yang masih relevan.

Berikut adalah fungsi-fungsi yang relevan untuk sebuah masjid yang moden selain dari fungsi-fungsi tradisi:

1) Peluang perniagaan
Kempen Buy Muslim First (BMF) yang dilancarkan dua tahun lepas kelihatan telah hilang momentumnya. Masjid boleh menyemarakkan semula kempen ini dengan menyediakan ruang-ruang niaga. Selain dari memberi peluang kepada peniaga-peniaga pada hari Jumaat, kiosk-kiosk tetap boleh diwujudkan. Masjid sendiri boleh menubuhkan koperasi untuk membekalkan keperluan harian kepada ahli kariah. Mereka juga boleh menganjurkan carboot sale atau pasar tani di hari-hari cuti secara tetap.

2) Dapur rakyat
Kebanyakan masjid akan menyediakan makanan untuk berbuka puasa pada bulan Ramadan atau paling kurang mengedarkan bubur lambuk. Kegiatan seperti ini boleh dijadikan kegiatan tetap dan bukan sekadar bermusim. Justeru itu masjid memerlukan kemudahan yang khusus dan bukan dapur yang diwujudkan secara ad hoc.

3) Penginapan kecemasan dan homestay
Sejak akhir-akhir ini terdapat mereka yang terpaksa tidur di kaki lima kerana tidak mampu menyewa rumah. Terdapat juga kes-kes lain seperti itu tetapi dengaj sebab-sebab yang berbeza. Masjid boleh membantu menyediakan tempat penginapan sementara. Terdapat masjid yang telah menyediakannya malah ada masjid yang lengkap dengan homestay untuk para musafir.

4) Perpustakaan, kafe siber dan study room
Masjid juga perlu mewujudkan perpustakaan yang bukan sahaja menyediakan buku-buku agama tetapi yang merangkumi pelbagai jenis tajuk. Perpustakaan ini perlu dilengkapkan dengan komputer-komputer dengan capaian internet sepertimana kafe siber (cybercafe). Ruang yang diperuntukkan juga boleh menjadi tempat pelajar-pelajar membuat kerja rumah atau mengulang kaji kerana terdapat mereka yang mengadu kediaman mereka terlalu sempit atau terlalu bising. Wifi percuma adalah satu keperluan kerana lebih baik anak-anak muda melepak di masjid dari di tempat lain.

5) Pusat pengumpulan dan pengagihan bantuan
Masjid boleh dijadikan tempat pengumpulan makanan, pakaian atau barang-barang kegunaan harian untuk diedarkan atau diambil oleh mereka yang memerlukan. Terdapat masjid yang menyediakan almari khas untuk orang ramai meletakkan bahan-bahan makanan seperti beras, gula, tepung, minyak masak dan makanan dalam tin untuk diambil. Ada juga yang menyediakan almari untuk makanan yang telah siap dimasak. Terdapat juga almari pakaian terpakai di sesetengah masjid. Tetapi pastikan masjid tidak menjadi tong sampah bagi barang-barang yang tidak berguna. Ketika saya di UK seorang pelajar Arab pernah memberitahu pelajar Malaysia jika hendak menyumbang pakaian untuk jumble sale maka sumbanglah pakaian yang kita suka dan bukan yang kita tidak mahu.

6) Kemudahan bersukan
Kemudahan bersukan boleh menarik generasi muda. Banyak masjid yang menyediakan gelanggang bersukan seperti untuk sepak takraw dan ada yang menyediakan meja ping pong. Tempat letak kereta boleh dijadikan padang futsal ketika tidak digunakan. Gelanggang untuk mengajar seni pertahankan diri seperti silat yang penting di dalam dunia yang semakin ganas dan tidak menentu juga boleh disediakan. Mungkin setiap masjid perlu ada gelanggang silat.

7) Ruang untuk majlis-majlis
Mungkin untuk membina satu dewan serbaguna memerlukan kos yang tinggi tetapi masjid boleh menyediakan kawasan lapang yang boleh disewa untuk majlis-majlis seperti majlis perkahwinan atau acara-acara seperti ekspo perniagaan. Masjid juga perlu ada bilik-bilik serbaguna kecil yang boleh disewa untuk majlis-majlis yang lebih kecil atau untuk menganjurkan kursus-kursus.

Mungkin ada yang berkata cadangan-cadangan ini payah untuk dilaksanakan tetapi sebenarnya rumah-rumah ibadat agama-agama lain telah bergerak lebih jauh ke hadapan. Terdapat tokong di Ampang, Selangor yang dilengkapi dengan pusat dialisis.

Tetapi cadangan-cadangan ini bukan perkara yang baharu kerana ia mengembalikan peranan masjid yang wujud ketika zaman kegemilangan Islam. Islam adalah agama yang syumul yang merangkumi semua aspek kehidupan justeru itu masjid juga perlu merangkumi semua aspek kehidupan.

Dengan mempelbagaikan fungsi maka masjid akan menarik lebih ramai anggota masyarakat kepadanya dan yang paling penting sekali menarik kepada semua peringkat umur.

Sebagai instrumen dakwah ia dapat membuka mata masyarakat bukan Islam kepada keindahan Islam apabila apabila mereka hadir di program-program yang dianjurkan di masjid dan dapat melihat peranan masjid di dalam masyarakat.

Justeru itu para pentadbir, arkitek dan perancang bandar perlu melihat masjid sebagai sebuah pusat komuniti yang dinamik bukan sekadar tempat bersolat jemaah, menadah kitab atau mengkafan jenazah sahaja.

Oleh: DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
          Ketua Penyelaras
          Pusat Sumber Untuk Memajukan Masyarakat Dan Perumahan (REACH)

Thursday, May 27, 2021

Adakah GLC Malaysia Tiada Polisi ICV Untuk Bantu Pengeluar Tempatan?

BARU-BARU ini penulis bertemu dengan seorang rakan yang merupakan seorang ahli teknologi yang terlibat sebagai pengilang dan pembekal satu produk industri yang diperlukan dalam pengeluaran bagi sebuah industri melibatkan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) besar negara.

Beliau meluahkan kepada penulis terhadap masalah yang dihadapi oleh perniagaannya yang tidak mendapat sokongan dan dukungan selayaknya daripada GLC sebagai pengilang tempatan.

Syarikatnya mengeluarkan komponen untuk pengeluaran bagi satu industri. Cuma penulis tidak boleh menyatakan di sini industri apakah itu. Ini adalah kerana jika penulis nyatakan industri tersebut kita semua akan tahu apakah GLC yang dimaksudkan itu.

Demi untuk mengelakkan kesulitan kepada rakan penulis itu, maka penulis tidak akan mendedahkan GLC dan industri yang terlibat itu di dalam rencana ini.

Prinsip mengutamakan pengilang tempatan dalam perolehan kerajaan atau GLC ini dipanggil sebagai In Country Value (ICV). Ia bermaksud negara yang mempunyai polisi seperti ini akan memberi keutamaan kepada pengilang-pengilang tempatan dalam pembelian atau perolehan kerajaan atau GLC.

Penulis ada membuat sedikit carian untuk memastikan samada ada prinsip ini terpakai untuk polisi perbekalan kerajaan Malaysia. Daripada carian penulis memang ada. Namun itu untuk perbekalan kerajaan.

Barangkali untuk untuk GLC ia tidak tertakluk kepada polisi ini. Menurut rakan penulis itu yang sudah 30 tahun terlibat dalam bidang ini memang tiada polisi ICV untuk GLC di Malaysia.

Menurut beliau, ini sangat berbeza dengan negara seperti Korea, Jepun, Arab Saudi, malah negara jiran Indonesia sendiri yang sangat mementingkan pengilang tempatan dalam industri tempatan dalam perolehan kerajaan dan GLC mereka.

Malah Indonesia katanya lebih toleran terhadap pengeluar tempatan dengan tetap memilih pengeluar tempatan walau pun harganya lebih tinggi tetapi tidak melebihi 10 peratus.

Tiada masalah harga dan kualiti
Pada mulanya penulis fikir bahawa GLC Malaysia menolak komponen yang dikeluarkan oleh rakan penulis ini kerana masalah kualiti dan harga. Ini adalah satu situasi yang sinonim apabila kita bercakap tentang produk tempatan terutama dalam bidang teknologi. Ini persepsi yang banyak terpasak dalam kepala kita rakyat Malaysia.

Biasanya syarikat tempatan yang masih baharu tidak mempunyai ekonomi skala dan kurang efisien menjadikan harga produk mereka lebih mahal. Atau pun kepakaran mereka tidak mampu menandingi pengeluar antarabangsa sedia ada yang mampu mengeluarkan produk mereka dengan kualiti yang sepatutnya. Jadi mereka ditolak GLC. Namun terbukti sangkaan penulis silap.

Menurut rakan penulis itu syarikat beliau merupakan salah daripada tiga syarikat yang diiktiraf oleh MOSTI dengan anugerah kecemerlangan teknologi bersama dua syarikat lagi dari bidang berbeza.

Tambah beliau lagi, syarikat beliau adalah satu-satunya syarikat yang mampu mengeluarkan produk tersebut di AsiaTenggara. Sementara di peringkat Asia pula selain syarikat beliau, hanya negara China dan India sahaja yang mempunyai syarikat yang membuat produk tersebut.

Dari segi kualiti, beliau mendakwa bahawa syarikat beliau memang diiktiraf oleh sebuah badan dunia sebagai salah satu daripada lima syarikat di dunia yang mendapat pengiktirafan itu. Dua syarikat dari Amerika Syarikat, satu syarikat dari Ivory Coast, satu syarikat dari Jepun dan satu lagi adalah syarikat beliau milik anak Malaysia, anak Melayu!

Dari segi harga pula beliau memberi satu peristiwa di mana pada satu ketika GLC tersebut membuat perancangan untuk membeli empat unit produk seperti yang dikeluarkan oleh syarikat rakan penulis itu. GLC tersebut melantik satu syarikat kontraktor utama untuk mendapatkan pembekal-pembekal yang sesuai.

Menurut rakan penulis itu, syarikatnya memberikan sebut harga seunit produk tersebut ialah pada harga RM1 juta. Jadi untuk empat unit yang bakal dibeli GLC tersebut jumlahnya ialah RM4 juta. Namun, dipendekkan cerita GLC tersebut akhirnya membuat keputusan membeli daripada satu syarikat pengeluar dari luar negara dengan harga RM3 juta seunit dan kos keseluruhan ialah RM12 juta.

Terbukti kualiti dan harga bukan isu terhadap penolakan GLC Malaysia kepada produk keluaran syarikat rakan penulis ini.

Beliau mendedahkan antara sebab pengurus-pengurus GLC tersebut tidak berminat untuk membeli daripada syarikat tempatan adalah kerana mereka akan kehilangan peluang untuk makan angin ke luar negara. Ini adalah kerana apabila mereka membeli daripada pembekal di luar negara mereka perlu membiayai perjalanan lawatan ke kilang pembuatan.

Dengan kualiti yang tinggi dan diiktiraf dan harga yang jauh lebih rendah maka tidak masuk akal untuk syarikat mereka tidak diberi peluang sekali pun untuk mendapat ‘inquiry’ untuk sebut harga daripada GLC tersebut. Bahkan beliau mendakwa syarikat beliau seolah-olah diboikot.

Namun beliau tidak pasti samada polisi syarikat beliau yang tidak mahu terlibat untuk memberi apa-apa ‘imbuhan peribadi’ kepada pengurus-pengurus GLC ini menyebabkan urusniaga kelihatan tidak menarik kepada mereka.

Banyak yang kecewa lari ke luar negara
Beliau juga menceritakan kepada penulis bahawa bukan beliau sahaja pernah melalui kekecewaan ini. Ramai lagi. Seorang rakan beliau yang turut terlibat sebagai pengeluar satu produk lain untuk industri yang sama juga pernah melalui penolakan daripada GLC ini.

Menurut beliau, rakannya itu akhirnya membawa diri, kepakaran dan syarikatnya ke Oman. Dan akhirnya rakannya itu berjaya membina perniagaan di Oman. Syarikat rakannya itu pada masa ini menguasai 80 peratus daripada pasaran produk tersebut di Oman.

Dan yang lucunya kini ada syarikat dari Malaysia pula yang berminat untuk menjadi agen syarikat ini untuk memasarkannya di Malaysia. Barangkali kena keluar negara baru produk itu diterima oleh GLC di negara ini!

Pada masa ini pun rakan penulis itu dalam peringkat perbincangan dengan bakal rakan strategiknya di Indonesia untuk membekalkan produk ini di Indonesia kerana tiada pengilang tempatan yang mengeluarkan produk ini di sana.

Menurut beliau memang sekiranya tiada rezeki beliau di tanah airnya sendiri beliau juga terpaksa berhijrah ke negara lain untuk mencari rezeki. Hujan emas itu terpaksa dicari di tanah air orang lain.

Sebenarnya beliau sangat berharap supaya kerajaan dapat membuat satu polisi ICV untuk negara Malaysia. Sekiranya anak Melayu yang bersusah payah berusaha untuk menjadi ahli teknologi dan mampu mengeluarkan produk yang boleh bersaing dengan syarikat luar maka sia-sia sahaja segala galakan yang kerajaan lakukan selama ini.

Menjadi satu kerugian apabila sebuah syarikat milik seorang anak Melayu dengan kakitangan-kakitangan yang mempunyai kepakaran, ada PHD yang semuanya Melayu, namun tidak dapat sokongan daripada GLC kerajaan.

Penulis melihat bahawa mereka ini mempunyai semangat patriotisme yang tinggi untuk membuktikan kemampuan anak Melayu dan orang Malaysia dalam menandingi kemampuan negara-negara maju seperti yang dihasratkan kerajaan. Namun ia dilihat habis di situ sahaja.

Tapi setelah mereka membuktikan dan menguasainya hasilnya mereka tidak dapat tuai di bumi mereka sendiri.

Beliau juga berharap agar slogan untuk membantu Melayu dan Bumiputera yang sering dilaungkan kerajaan mestilah benar-benar dilaksanakan dan bukan sekadar retorik.

Oleh: IBNU JANIE

Pesawat Israel Sedang Laksana Ujian Produk, Kata Firma Singapura

Syarikat kejuruteraan berpusat di Singapura hari ini berkata pesawat yang dikatakan dilengkapi teknologi perisikan yang mendarat di pangkalan tentera Singapura pada Isnin lalu adalah Boeing 737 yang digunakan bagi ujian produk komersial.

Dalam sebuah laporan Bernama, ST Engineering berkata pesawat tersebut beroperasi dari kemudahan ST Engineering Aerospace di Paya Lebar dan ujian tersebut hanya dijalankan di ruang udara Singapura dan perairan wilayahnya.

“Ujian ST Engineering Aerospace oleh Israel Aerospace Industries (IAI) diselesaikan dan pesawat tersebut sedang bersiap sedia untuk berlepas dari Singapura,” kata laporan tersebut memetik jurucakap ST.

Terdahulu, MalaysiaNow memetik sebuah jurnal pertahanan dan jejak penerbangan pesawat itu yang menunjukkan Boeing 737-400 yang dimiliki Israel Aerospace Industries-Elta (IAI-Elta), sebuah firma kontraktor pertahanan Tel Aviv berlegar-legar di ruang udara Singapura selama empat jam pada 24 Mei lalu sebelum mendarat di Lapangan Terbang Paya Lebar, bekas pangkalan tentera Amerika Syarikat.

Pemeriksaan di laman sesawang jejak trafik penerbangan Flightradar24 menunjukkan pesawat yang bernombor 4X-AOO itu berada di Israel pada 18 Mei lalu.

Sehari kemudian, pesawat tersebut terbang melintasi Lembah Klang pada ketinggian 29,000 kaki, melepasi 15,000 kaki yang merupakan ruang udara yang dikawal pihak berkuasa Malaysia sebelum menuju ke Singapura.

Jurnal berita pertahanan, Defence Security Asia berspekulasi pesawat tersebut mungkin membawa radar sensitif dan kelengkapan pengintipan selain berkemungkinan sedang menguji “sistem baru”.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) hari ini berkata pihaknya sedang berbincang dengan kementerian pengangkutan dan sedang mengkali semua data teknikal berhubung perkara itu.

Laporan kehadiran pesawat tersebut di wilayah ini menimbulkan kebimbangan di Malaysia selepas sentimen anti-Israel semakin memuncak ketika serangan ganas negara Yahudi itu terhadap Gaza.

Malaysia merupakan negara yang kuat mendukung perjuangan Palestin, dan tidak seperti Singapura, negara ini tidak memiliki apa-apa hubungan diplomatik dengan negara Yahudi tersebut. - malaysianow

Penjarakan Sahaja Pesalah Tegar

PADA 15 Mei lalu, dilaporkan jenazah dan mayat pesakit Covid-19 di Hospital Sungai Buloh terpaksa disimpan di dalam kontena kerana peningkatan kes kematian dan kekurangan ruang simpanan mayat.

Terkini, jumlah kes harian yang disahkan positif melebihi 7,000 orang dan dijangka terus meningkat dan berkemungkinan mencecah 10,000 kes sehari.

Namun, saat barisan hadapan bertarung nyawa berkorban jiwa raga menyelamatkan keadaan, sedaya upaya mengekang penularan jangkitan, masih ada segelintir masyarakat kita yang tidak bertanggungjawab tegar melanggar undang-undang.

Tanpa segan silu berkongsi cerita di media sosial, seolah-olah bangga dapat melanggar undang-undang negara. Gesaan dan amaran akan bahana yang mungkin melanda saat kita melanggar prosedur operasi standard (SOP) dipandang enteng malah diperlekehkan.

Natijahnya, seluruh negara bungkam berhadapan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekali lagi. Bagi mereka yang dapat menikmati hidangan penuh dengan lauk-pauk, wang mengalir dalam akaun tanpa henti, bisa pula tidur lena berbantal empuk, PKP mungkin bukan satu masalah.

Kehidupan mereka masih diteruskan seperti biasa, masih selesa dan galak berkongsi senyum tawa di media sosial.

Namun, ini bukan keadaan bagi semua orang. PKP adalah tamparan maha hebat. Ia pastinya mengundang resah. Ia bererti kehidupan dalam segala kepayahan. Mungkin juga tidur dalam kelaparan. Kais pagi makan pagi, kais petang belum tentu ada rezeki.

Malangnya pihak berkuasa seakan mengamalkan layanan bersifat pilih kasih. Pak menteri dan selebriti sewenangnya ke sana ke sini sedang rakyat marhaen dengan pantas dikenakan tindakan.

Saman dahulu, rayu kemudian. Namun, untuk golongan kayangan, acap kali ada laporan, yang kita dengar adalah siasatan akan dibuat, kenyataan akan diambil, pertuduhan akan dibuat. Bukan serta-merta.

Lebih mengguris hati rakyat kebanyakan, golongan kayangan yang melanggar SOP ini walaupun telah dikenakan hukuman, terus menerus menguji kesabaran semua dengan menayang aksi melanggar peraturan tanpa alasan munasabah. Pada mereka, undang-undang tiada nilai dan boleh dibayar dengan kekayaan serta populariti.

PENJARA SEBAGAI PENGAJARAN
Dalam sistem keadilan sesebuah negara, hampir setiap peraturan didatangkan bersamanya hukuman bagi mereka yang didapati bersalah melanggar undang-undang.

Dalam konteks undang-undang jenayah, hukuman dikenakan untuk mencapai beberapa tujuan antara lain, menghukum, mencegah, memulih dan menidakupaya. Hukuman denda umpamanya lebih bersifat menghukum manakala hukuman penjara lebih bersifat mencegah.

Mutakhir ini terdapat gesaan dibuat agar hukuman lebih tegas dikenakan terhadap ikon Muslimah negara, Noor Neelofa dan suami, Pencetus Ummah, Haris Ismail susulan tindakan mereka yang beberapa kali melanggar arahan pergerakan rentas negeri.

Terdahulu, dia dan suami telah pun dikenakan denda berjumlah RM60,000 kerana melanggar SOP majlis perkahwinan. Tindakannya merentas negeri ke Pulau Langkawi dan tidak lama kemudian ke Nilai, Negeri Sembilan mengundang kecaman hebat di media sosial. Terkini, sambutan Hari Raya Aidilfitri pula.

Mungkin ada yang bertanya, kenapa Neelofa sahaja yang dikecam sedangkan ada individu lain yang melakukan kesalahan serupa? Pasti banyak bezanya.

Neelofa, walaupun tiada kuasa politik, mempunyai kuasa dan pengaruh media sosial yang sangat kuat. Tindak-tanduknya mampu mempengaruhi 8.6 juta pengikut Instagram dan 2.9 juta komuniti Twitter.

Lebih menyedihkan, dia tampil dengan imej wanita berniqab. Imej yang sepatutnya menonjolkan ketertiban dan kesopanan, bukan culas melanggar peraturan.

Maka wajarkah dia dipenjarakan kerana merentas negeri untuk membeli karpet? Saya katakan ada kewajaran. Tindakannya merentas negeri sekadar untuk membeli karpet bukan hanya salah di sisi undang-undang, tetapi juga moral. Ia seolah-olah mencabar kedaulatan undang-undang.

Sudahlah karpet itu bukan satu keperluan mendesak untuk meneruskan kehidupan. Jauh sekali penentu hidup mati. Jika diperlukan untuk tujuan amal sekalipun, pembelian boleh sahaja dilakukan di hujung jari.

Selayaknya hukuman yang lebih berat dikenakan. Bukan sekadar bertujuan menghukum tetapi juga pengajaran kepada pesalah berulang dan masyarakat umum. Lebih-lebih lagi ke atas tokoh masyarakat. Hukuman denda seakan sangat ringan untuk mereka yang mempunyai keupayaan harta.

Keupayaan yang bukan rahsia saat dia sendiri menawarkan diri untuk membayar bagi pihak penjual burger yang didenda RM100,000 kerana melanggar SOP.

Dalam kes ini, yang diperlukan adalah ketegasan undang-undang dan hukuman yang bukan sahaja bersifat menghukum tetapi mempunyai nilai teladan yang jelas dan tegas.

POPULARITI BUKAN PERCUMA
Pak Cik Ben pernah berpesan kepada Peter Parker: “With great power comes great responsibility.” Begitu juga populariti, ia hadir dengan tanggungjawab.

Apatah lagi jika populariti yang diraih adalah hasil sumbangan masyarakat umum yang tidak jemu mengangkat nama individu tersebut, menyokong perjalanan karier malah tidak keterlaluan jika saya katakan kekayaan yang dimiliki juga separuhnya hasil kemasyhuran yang dijulang para pengikut tegar.

Lebih berat tanggungjawab yang harus dipikul saat keterampilan individu itu dikaitkan dengan imej agama. Bertutup litup, berjubah dan berkopiah bermakna tanggungjawab sosial yang lebih berat.

Harus dijaga dan ditutup bukan sekadar kulit yang terlihat dek mata kasar, tetapi juga tatatertib dan tingkah laku di mata umum. Kerana setiap langkah adalah contoh, setiap ucapan adalah teladan.

Suka atau tidak, setiap gerak geri akan diperhatikan. Jangan kerana kelalaian seketika, seluruh imej agama ditohmah dan menjadi fitnah kepada umat Islam.

Oleh: Mizan Muhammad

Siapa Peduli Pencuci Pinggan?

KRISHNA, seorang balu berumur 38 tahun, menelefon saya baru-baru ini kerana Lembaga Air Perak (LAP) telah memotong bekalan airnya. Bil air yang tidak dibayar mencecah RM400. Suaminya meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya, lima tahun lalu.

Dia meminta bantuan bagi memohon pencen penakat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). Oleh sebab perkahwinan mereka tidak didaftarkan, Perkeso hanya meluluskan RM500 sebulan kepadanya kerana dia mempunyai seorang anak berumur enam tahun.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi kesan buruk kepadanya. Krishna bekerja sebagai pencuci pinggan di sebuah restoran di Sungai Siput, Perak.

Kadar bayaran gaji adalah RM35 sehari dari pukul 8 pagi hingga 5 petang. Tiada kerja, bermakna tiada gaji. Setiap kali PKP dikuatkuasakan, pendapatan wanita ini akan menurun kerana restoran tidak memerlukan pencuci pinggan apabila hanya menyediakan perkhidmatan bawa pulang.

Krishna cuba mendapatkan kerja sebagai pekerja pembersihan hospital tetapi tiada jawatan kosong.

Adalah tidak berguna kita hanya sekadar melaungkan ‘kita jaga kita’ sekiranya kita tidak menangani realiti bahawa PKP mempengaruhi lapisan masyarakat yang berbeza dengan kesan berbeza.

Pesara berpencen seperti saya tidak selesa dengan sekatan pergerakan tetapi pendapatan kami terjamin. Kakitangan kerajaan juga lebih kurang sama, dilindungi.

Pekerja-pekerja formal dalam sektor swasta secara keseluruhannya mendapat bantuan daripada skim subsidi pekerjaan dan mempunyai pilihan untuk mengeluarkan sebahagian simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka.

Namun, ramai pekerja dalam sektor informal seperti Krishna mengalami penurunan yang signifikan dalam pendapatan mereka.

Satu kajian oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) di Kuala Lumpur mendapati, separuh daripada 500 keluarga berpendapatan rendah (B20) yang ditinjau mengalami penurunan pendapatan sebanyak 30 peratus atau lebih besar lagi semasa PKP 1.0 dengan separuh daripada mereka mempunyai pendapatan isi rumah kurang daripada RM1,000 sebulan.

Pekerja bergaji harian seperti Krishna, pengusaha-pengusaha gerai kecil dan lain-lain dalam sektor informal adalah paling teruk terjejas oleh PKP dan wujud keperluan untuk memberikan bantuan kewangan bersasar kepada mereka.

Memberi Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dua kali setahun adalah tidak mencukupi. Mereka akan terus tenggelam dalam hutang dan terpaksa mengurangkan perbelanjaan keperluan asas seperti makanan dan kesihatan.

Dijangkakan terdapat kira-kira 750,000 keluarga berada dalam kategori ini. Penyaluran wang sebanyak RM500 sebulan kepada ketua keluarga akan melibatkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM375 juta sebulan atau RM4.5 bilion setahun.

Ini adalah satu jumlah besar tetapi jauh lebih rendah berbanding RM10 bilion yang telah digunakan setiap kali BPR dibayar kepada lebih kurang 10 juta penerima.

Ada pesara berpencen, kakitangan kerajaan dan pekerja sektor formal menerima bayaran BPR ini walaupun ramai dalam kalangan mereka tidak mengalami penurunan dalam pendapatan.

Oleh: DR. JEYAKUMAR DEVARAJ
          Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM)

Wednesday, May 26, 2021

Facebook Mohon Maaf Sekat Kandungan Pro Palestin

LONDON: Pegawai Eksekutif Kanan Facebook membuat permohonan maaf kepada Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh menerusi mesyuarat dalam talian berhubung aduan yang dibuat terhadap syarikat itu yang menyekat sebarang kandungan pro Palestin.

Ketua Misi Palestin ke United Kingdom, Husam Zomlot berkata, Facebook sudah mengakui terdapat isu yang timbul dengan algoritmanya dan pihaknya berjanji untuk menangani perkara itu.

Jelasnya, pasukan Facebook yang diketuai oleh Naib Presiden bagi Hal Ehwal Global, Nick Clegg memaklumkan pihaknya secara tidak tepat melabelkan perkataan tertentu yang kerap digunakan oleh penduduk Palestin termasuk ‘martyr’ (syahid) dan ‘resistance’ (pertempuran) sebagai hasutan melakukan kekerasan.

“Mereka berjanji akan menilai dan menyemak semula kerangka kerja tersebut,” katanya.

Mesyuarat secara maya pada minggu lalu turut dihadiri oleh Naib Presiden Facebook bagi Polisi Awam Global, Joel Kaplan dan Ketua Polisi Asia Barat dan Afrika Utara, Azzam Alameddin.

Pengguna media sosial dari Palestin dan seluruh dunia memuat naik gambar dan berkongsi video mengenai keganasan tentera Israel dan penduduk Yahudi di Sheikh Jaraah, Baitulmuqaddis dan Semenanjung Gaza.

Mereka menggunakan tanda pagar #SaveSheikhJarrah dan #GazaUnderAttack dalam bahasa Inggeris dan Arab.

Bagaimanapun, saluran media sosial lain termasuk Twitter dan Instagram menyekat, mengenakan had, menutup suara mereka dan memadam akaun tersebut ketika penduduk Palestin menyuarakan penindasan yang berlaku. - AGENSI

Rogue State: Binasakah Israel Nanti?

Kali pertama saya bersua istilah rogue state pada 2001 setelah membaca buku Rogue State tulisan William Blum. Negara yang dimaksudkan pengarang itu adalah Amerika Syarikat (AS) dan jika anda ada membaca buku itu, saya yakin anda setuju dengan pendapat beliau.

Mengikut kamus, rogue state bererti negara penjahat, negara penyangak, negara liar. Dari sudut undang-undang, ia bermakna negara yang sering tidak mematuhi undang-undang antarabangsa dan menjadi ancaman kepada keselamatan negara-negara lain. AS biasa menggelar Korea Utara, Iran, Libya, Sudan dan Afghanistan sebagai rogue states tetapi tidak pernah menggunakan istilah itu kepada sekutunya, Israel.

Hakikatnya, berasaskan fakta yang akan dihuraikan selepas ini, Israel adalah satu rogue state, sama seperti AS. Bapa borek, anak rintik. Di bawah pentadbiran Donald Trump, Israel besar kepala lagi apabila pada 6 Disember 2017, Presiden AS itu mengiktiraf Jerusalem sebagai ibu negara baharu Israel dan bersedia memindahkan Kedutaan AS dari Tel Aviv ke bandar itu.

Dalam satu rencananya di portal https://www.middleeasteye.net bertarikh 29 November 2019, Dr. Alian Gabon (seorang profesor di Universiti Virgina Wesleyan, AS) menyatakan adalah sukar baginya untuk menemui satu rogue state yang lebih teruk daripada Israel.

Rakyat negara ini pastinya masih lagi ingat apa yang berlaku pada awal 2009 dalam Operasi Cast Lead tentera Israel di bumi Gaza yang mengorbankan 1,400 nyawa rakyat Palestin dan memusnahkan banyak infrastruktur, di mana sekolah dibom dan kawasan penempatan dihujani fosferus putih yang membahayakan nyawa.

Serangan tidak berperikemanusiaan inilah yang menyebabkan David Morrison dari pertubuhan SADAKA (The Ireland Palestine Alliance) membuat kesimpulan bahawa tidak ragu-ragu lagi Israel adalah satu rogue state. (https://sadaka.ie/Articles/Briefings/BRIEFING-Israel-is-a-rogue-state.pdf).

Praful Bidwai dari Transnational Institute menyatakan dalam artikelnya, Israel as a rogue state (https://www.tni.org) bahawa Israel telah melakukan pembunuhan ke atas pemimpin Hamas, Mahmoud al-Mabhough di Dubai pada 20 Januari 2020. Mengikut London Sunday Times, operasi ini direstui oleh Perdana Menteri Israel, Binyamin Netanyahu dan melibatkan puluhan ahli pasukan pembunuh dipanggil Kidon.

Bidwai Hezbollah antara mangsa pembunuhan itu termasuklah Setiausaha Agung Hizbullah, Abbas al-Masawi (1992) dan Sheikh Yassin (2004). Sheikh Yassin dibunuh sewaktu keluar dari masjid selepas menunaikan solat subuh oleh tentera Israel menggunakan peluru berpandu Hellfire dari helikopter Apache.

Mengikut BBC, pembunuhan Fadi Al-Batsh (warga Palestin berusia 35 tahun) di Kuala Lumpur pada April 2018 lalu adalah angkara perbuatan Mossad. Bapa mangsa dilaporkan berkata: “Saya 100 peratus yakin ini perbuatan Mossad.” Bagaimanapun, tuduhan itu dinafikan oleh menteri pertahanan Israel.

Antara kekejaman Israel yang kekal hingga kini adalah menjadikan seluruh Gaza sebagai sebuah penjara terbuka. Akibatnya, pergerakan penduduk di Tebing Barat amat terhad sekali, disekat oleh hampir 900 tempat pemeriksaan dan halangan.

PENDUDUKAN HARAM

Israel menduduki secara haram Tebing Barat, Jerusalem Timur, Gaza dan Golan Heights selama beberapa dekad. Ia membawa masuk secara salah lebih 500,000 Jewish settlers untuk menduduki (merampas) tempat itu yang pada asalnya milik rakyat Palestin.

Israel telah mengabaikan lebih 30 resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Sebagai occupying power, Israel telah mencabuli Konvensyen Geneva Keempat. Di bawah Artikel 49(6) konvensyen itu, Israel dilarang memindahkan rakyatnya ke kawasan yang didudukinya. Andainya Israel mematuhinya, tidak akan wujud penempatan Yahudi di Tebing Barat, termasuklah Jerusalem Timur.

Pada Julai 2004, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan pembinaan tembok di Tebing Barat adalah bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan memerintahkan Israel meruntuhkannya. Israel terus berdegil dan tidak mempedulikan perintah ICJ itu.

ANGKUH, RASA KEBAL
Kenapakah Israel begitu angkuh dan berani tidak mempedulikan perintah ICJ serta kutukan masyarakat seluruh dunia? Jawabnya kerana ia berasa kebal, tidak ada sesiapa pun yang berani mengajarnya kerana sekutunya, AS sentiasa melindunginya di PBB dan di mana-mana sahaja.

Hingga kini, AS terus menghantar bantuan ekonomi dan ketenteraan setiap tahun kepada Israel bernilai berbilion dolar. Beberapa negara lain (termasuk Britain) turut memberi sokongan.

Presiden Amerika yang baharu, Joseph Biden terus menyanyikan lagu lama negara itu, yang pastinya menggembirakan Netanyahu – “Israel berhak mempertahankan dirinya.”

Dalam insiden berdarah baru-baru ini, di penghujung tempoh serangan berbalas selama 11 hari antara pejuang Hamas dan tentera Israel, pegawai perubatan di Gaza melaporkan 248 orang terbunuh, ramai di antaranya wanita dan kanak-kanak.

MENCEROBOH MASJID AL-AQSA
Apakah punca pertempuran terbaharu ini? Pada April 13 lau, hari pertama umat Islam menunaikan puasa Ramadan, pasukan polis Israel menceroboh kawasan Masjid Al-Aqsa dan memotong kabel pembesar suara empat menara masjid tersebut. Ketegangan antara kedua-dua pihak berterusan dan memuncak pada Jumaat terakhir

Ramadan apabila polis Israel menceroboh lagi kawasan masjid pada pukul 8 malam sambil menggunakan gas pemedih mata, bom tangan dan peluru getah. Perbuatan ini diulang lagi tiga hari kemudian, dan sehari selepas itu roket yang pertama dilancarkan oleh pejuang Hamas dari Gaza.

Ada penganalisis bertanya, apakah pencerobohan Masjid Al-Aqsa pada Ramadan baru-baru ini satu kesilapan terbesar Israel, yang menyalakan api kemarahan masyarakat antarabangsa di seluruh dunia terhadapnya? Apakah api kemarahan ini nanti akan membara, menyebabkan kekalahan dan kebinasaan rogue state ini? Atau seperti masa lalu, ia akan sejuk dan padam sendiri akhirnya?

Sama-samalah kita tunggu dan lihat.

Oleh: Datuk Salleh Buang

Sokong Yahudi Jadi Presiden AS

PENDERITAAN yang dialami rakyat Palestin berikutan pengeboman tanpa henti di Semenanjung Gaza walaupun kini diadakan gencatan senjata, menuntut kita semua berfikir di luar kotak untuk menyelesaikannya.

Antaranya memastikan tidak lagi wujud hubungan erat antara Amerika Syarikat (AS) dengan Israel. Baru-baru ini, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menempelak Presiden AS, Joe Biden sebagai ‘menulis sejarah dengan tangan berdarah’ kerana sokongannya terhadap rejim Zionis dalam konflik di Semenanjung Gaza.

Antara langkah terbaharu AS adalah meluluskan rancangan penjualan senjata bernilai AS$735 juta (RM3.03 bilion) kepada Israel termasuk peluru berpandu yang digunakan Zionis untuk membedil Semenanjung Gaza, wilayah miskin dan padat yang dikepung Israel sejak ia memilih menyokong Hamas pada 2007.

Untuk mengubah dasar luar negara itu supaya tidak pro-Israel, kita memerlukan Presiden AS yang berfikiran rasional dan tidak berpihak seperti Senator dari Vermont, Bernie Sanders, 79. Beliau gagal menjadi calon Presiden bagi mewakili parti Demokrat pada tahun lalu selepas tewas kepada Biden.

Sanders berketurunan Yahudi. Bapanya berhijrah dari Poland dan terdapat dalam kalangan ahli keluarganya terkorban ketika holocaust yang merujuk kepada pembunuhan beramai-ramai enam juta orang Yahudi dan etnik lain secara sistematik oleh tentera Nazi Jerman dari 1941 hingga 1945.

Sebagai respons kepada konflik terbaharu itu, Sanders membawa usul ke Senat AS mendesak diadakan gencatan senjata antara Israel dan Palestin.

Beliau juga menempelak usaha senator Republikan yang meminta ‘sokongan penuh kepada Israel,’ dengan mempersoalkan: “Kematian 12 orang Israel yang tidak bersalah benar-benar tragedi. Tetapi bukankah tragedi bahawa 227 orang Palestin, 64 daripadanya adalah kanak-kanak dan 38 adalah wanita?”

Jika di AS terdapat pelobi pro-Israel, Jawatankuasa Tindakan Politik (PAC) dan Jawatankuasa Hal Ehwal Awam Amerika-Israel (AIPAC), maka kita memerlukan pelobi pro-Palestin yang dapat melobi memastikan calon yang menang pada Pemilihan Presiden AS 2024 tidak berpihak kepada Israel.

Untuk berjaya, kita perlu bekerja keras bagi ‘melawan’ pelobi pro-Israel. Terdapat laporan, PAC membelanjakan lebih AS$1 juta untuk membeli iklan bagi menghalang Sanders menang sebagai calon parti Demokrat pada pilihan raya Presiden AS sebelum ini.

Untuk mengetahui pendirian Sanders lebih mendalam, sukalah saya memetik kembali ucapan beliau ketika berkempen bagi menjadi calon Presiden mewakili parti Demokrat pada 2019.

Dalam ucapan itu, beliau berikrar akan memberi tumpuan kepada penyelesaian aman yang membawa kepada pembentukan negara Palestin, bertentangan dengan pendirian bekas Presiden, Donald Trump dan Biden yang mesra Israel.

Sanders yang jarang bercakap mengenai kepercayaan Yahudi dianutinya, menjelaskan bagaimana pembunuhan anggota keluarga bapanya dalam holocaust membentuk pandangan beliau.

“Jika ada sesiapa di muka bumi itu memahami bahaya perkauman dan nasionalisme kulit putih, ia pasti orang Yahudi,” katanya.

Sanders turut menuduh Presiden AS dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mencipta perpecahan dan ia bukan antisemitik (anti-Yahudi) untuk beliau menyatakan kerajaan Netanyahu adalah rasis.

Beliau juga menggesa sebahagian daripada bantuan ketenteraan tahunan AS berjumlah AS$3.8 bilion (RM16 bilion) kepada Israel ditukar menjadi bantuan kemanusiaan di Semenanjung Gaza.

Oleh: HAJI SALIM
          Rawang, Selangor

Selat Melaka Dalam Bahaya

Hampir 2 minggu banyak ruang di media sosial memberitakan perkembangan serangan tentera Yahudi ke atas umat Islam di Masjidil Al Aqsa, begitu ramai netizen melahirkan emosi simpati terhadap rakyat Palastine serta kemarahan dan kebencian terhadap tentera Yahudi yang sememangnya terlalu extreme menyerang umat Islam Palastine.

Rasanya jika Palastine itu duduk nya seberang Selat Melaka, mungkin pejuang jihad kita telah turut sama berjuang, kita pernah lakukan di Bosnia atas permintaan Bangsa Bangsa Bersatu atau PBB, malang sekali ini di Palastine, PBB tidak bersuara! Kita tahu kenapa kan??

Kajian yang aku buat mengapa Palastine di serang pada waktu ini, membuatkan aku menulis catatan ini!

1. Apakah ianya satu diversion operation bagi mengcamoflage satu gerakan ketenteraan yang lebih besar? Perhatikan aktiviti berikut:-

   a. Satu kumpulan perang atau battle group dari UK dengan sebuah Floattilla yang diketuai oleh kapal induk HMS QE 2, sedang dalam pelayaran ke Timur Jauh atau Far East.

   b. Satu lagi battle groups dari Australia yang diketuai juga oleh kapal induk HMAS MELBOURNE juga sedang dalam pegerakan ke Laut China Selatan.

   c. 2 Kumpulan battle group America sudah berada diperairan Filipina.

   d. Satu lagi battle group America bersiap siaga di Okinawa Jepun.

   e. Seluruh angkatan perang Taiwan kini didalam keadaan full battle readiness.

   f. Kumpulan submarine dari Sekutu America termasuk France kini di perairan Filipina dan Taiwan.

   g. Pihak UK dan Australia sedang menekan Malaysia supaya segera mengadakan latihan perang 5 negara dan meminta untuk mereka diberi kebenaran menggunakan BUTTERWORTH airbase!

    h. Terdapat kehadiran beberapa DRONES penyerang America kini di TENGAH AIRBASE SINGAPORE. Juga di Taiwan dan Filipina.

2. Kajian juga mendapati terdapat banyak battle indication yang sedang aktif di kawasan Korea Selatan, Jepun, Taiwan DAN ASEAN.

3. Apakah ini satu grand master plan oleh NEW WORLD ORDER? Perlu juga diambil kira NWO grand master adalah kumpulan Yahudi.

4. Kami amat perihatin dengan Palastine, kami juga concerned dengan perkembangan yang dinyatakan, too close to our home.

Memang rancangan NWO selepas menjatuhkan kerajaan MELAYU ISLAM Malaysia, mereka juga hendak menjatuhkan kerajaan Turkey dan mereka akan menguasai Indonesia, jadi tidak hairan mengapa USA mengarahkan hampir semua Syarikat mereka ke Indonesia! Begitu juga dengan Syarikat syarikat Allied mereka seperti Korean, Jepun dan Taiwan.

Jika mengambil kira analogi analisa ini, perlu kita fikirkan dimana kah future MAIN BATTLE ZONE sasaran NWO!

Fikir fikirkan!

Sumber: Paria Jalanan

Kehadiran Pesawat Pengintip Protaip Israel Timbul Tanda Tanya

SHAH ALAM - Kehadiran pesawat pengintip prototaip Israel yang dilaporkan sedang menjalankan penerbangan ujian merentas ruang udara Putrajaya sebelum mendarat di Singapura mengundang pelbagai tanda tanya.

Penganalisis pertahanan Zaki Salleh berkata, walaupun pada dasarnya ia adalah penerbangan biasa tetapi kehadiran pesawat tersebut yang dilengkapi dengan perkakasan perisikan elektronik menarik perhatian ramai.

Menurut beliau, berkemungkinan pesawat berkenaan sedang melakukan ujian sistem terbaharu dan penerbangan jarak jauh yang dilaksanakan adalah bagi melihat keberkesanan perkakas yang diuji.

“Sekiranya benar sepertimana dilaporkan, pesawat Boeing 732-400 dengan bernombor pendaftaran 4X-AOO milik syarikat IAI-Elta merupakan pesawat perisikan elektronik.

“Pesawat ini digunakan sebagai platform ujian peralatan radar dan elektronik.

"Ia direka untuk menampung sistem perisikan semboyan rondaan maritim, perisikan imej, sistem amaran awal udara (AEW) dan sistem perlindungan misil pesawat komersil,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Jelas Zaki, dengan pelbagai sistem penderiaan dan sensor yang amat sensitif, maka sebab itu kehadiran pesawat tersebut di Singapura menarik perhatian selain boleh menimbulkan kemusykilan berhubung tujuannya.

Sebelum ini, sebuah portal media melaporkan sebuah pesawat pengintip prototaip Israel dilaporkan sedang menjalankan penerbangan ujian di Singapura.

Ujian penerbangan selama 4 jam itu telah melibatkan sebuah pesawat Boeing 737-400 yang bernombor pendaftaran 4X-AOO milik syarikat IAI-Elta. - sinarharian

Hukum Pemberi, Penerima, Orang Bersubahat Rasuah

SUDAH dua tahun Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 dilancarkan. Menjadi visi besar Malaysia untuk bebas rasuah menjelang 2023. Ini kerana kita mahu Malaysia dikenali kerana integriti dan bukan rasuah.

Sehubungan itu, negara memerlukan komitmen semua pihak untuk menghentikan sebarang bentuk rasuah daripada berkembang. Semua rakyat perlu ditekankan mengenai kepentingan memerangi rasuah demi survival negara kita kini dan masa hadapan.

Para pemimpin negara mesti bersih dan menunjukkan komitmen mereka menentang rasuah seterusnya diikuti pelbagai sektor, organisasi dan setiap unit keluarga dalam masyarakat.

Perlu semua ketua jabatan, sama ada sektor awam atau swasta, entiti kepentingan awam, syarikat milik kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan untuk bersama-sama dalam usaha memerangi rasuah.

Perlu diletakkan tahap yang tertinggi dalam kedaulatan undang-undang dan integriti serta tadbir urus yang baik apabila menjalankan tugas. Ini akan menjadi asas dalam usaha untuk membentuk ekosistem bebas rasuah.

Semua pemimpin dan masyarakat hendaklah dengan segala daya menolak perbuatan yang mengundang ke jalan rasuah.

Rakyat memerhati, mendengar dan mengikuti apa yang berlaku dalam negara ketika ini. Sedarlah wahai pemimpin, bersifat jujurlah jika diamanahkan dengan tanggungjawab. Junjung amanah secara luhur serta tidak akan menodai kepercayaan yang telah diberikan rakyat.

Dalam pada itu, sukar untuk kita merealisasikan negara sifar rasuah serta mencapai status negara maju jika amalan salah guna kuasa dan rasuah masih berleluasa.

Setiap yang melakukan rasuah sama ada pemberi, penerima atau yang bersubahat perlu dihukum, barulah kita dapat memerangi rasuah secara holistik.

Oleh: MOHD. YAKOP IKRAM
          Ipoh, Perak