Orang Melayu seolah-olah rela kuasa hilang asalkan wang digenggam
BANGI – Semua Ahli Parlimen Melayu sejati mesti sedar dengan strategi parti tamak haloba DAP yang mahu mengecilkan kuasa Melayu dengan membuat tuntutan mengembalikan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Tuntutan itu adalah antara lapan resolusi yang diluluskan pada Konvensyen Tahunan Negeri DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2019 8 Disember lalu.
Semua lapan resolusi itu diluluskan sebulat suara oleh 107 anggota perwakilan yang hadir. Ia diumumkan oleh speaker Wong Shu Qi.
Pilihan raya PBT itu dituntut bagi membolehkan demokrasi diamalkan di peringkat akar umbi dan memastikan akauntabiliti PBT kepada rakyat.
Mengulas perkata itu, Pengerusi Badan Perhubungan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) Negeri Sembilan, Ustaz Haji Zamani Ibrahim berkata, Ahli Parlimen dari blok pembangkang mahupun kerajaan perlu sedar bahawa kuasa bangsa Melayu sedang dihakis oleh agenda DAP melalui agenda tuntutan berkenaan.
“Setelah kuasa ekonomi semakin kukuh dalam genggaman Cina, kini DAP ingin melangkah setapak lagi untuk menguasai tanah kita. Kepuasan melalui kekuatan ekonomi di tangan Cina belum lagi nampak, maka sebab itu DAP semakin rakus dan buat apa sahaja demi agenda bangsa mereka di tanah kita.
“MP Melayu pula tidak terasa tidak bermaruah apabila masih terhegeh-hegeh mengharapkan sokongan dan dukungan bukan Melayu untuk kelangsungan periuk nasi politik mereka. Tidak kiralah sama ada MP di pihak kerajaan mahupun pembangkang,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Ustaz Haji Zamani menyifatkan, keinginan orang Melayu untuk menjual tanah kepada Cina semakin tinggi seolah-olah mereka membiarkan kuasa hilang asalkan wang dapat digenggam.
“Tanah adalah kuasa, justeru tergadainya tanah maka tergadailah kuasa. Kini kuasa membeli tanah adalah sangat tinggi oleh bangsa Cina, ditambah lagi kecenderungan yang tinggi dari bangsa Melayu untuk menjual tanah kepada bukan Melayu.
“Akhirnya, kuasa ekonomi bukan dalam tangan orang Melayu, semua bandar dikuasai nanti oleh bukan Melayu,” katanya.
Di Malaysia, pilihan raya PBT tidak pernah dilaksanakan sejak kerajaan Persekutuan menggantung pelaksanaannya melalui undang-undang darurat pada 1965.
Usaha untuk menghidupkan pilihan raya PBT banyak digerakkan oleh DAP sejak sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lagi. - www.ismaweb.net
No comments:
Post a Comment