Monday, December 23, 2019

Isu Jawi: Waytha Tak Layak Jadi Menteri Perpaduan

Janggal bila ahli Kabinet keluar kenyataan canggah PM
BANGI – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy tidak layak menjadi menteri yang menjaga perpaduan, dan sepatutnya sudah lama dilucutkan jawatan, kata Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Haji Aminuddin Yahaya.

Beliau berkata, tindakan menteri perpaduan kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu kononnya mempertahankan kumpulan pendesak Cina, Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) hanya menggalakkan perpecahan kaum.

Sebagai menteri yang memegang portfolio berkenaan, Waytha Moorthy sepatutnya mempromosikan perpaduan bukan berpendirian menyebelahi Dong Zong yang menentang keras pelajaran pengenalan kepada tulisan jawi di sekolah vernakular, katanya.

“Kenyataan ini bererti Waytha Moorthy selaku menteri Kabinet telah melawan perdana menteri kerana pendirian beliau ini bercanggah dengan pendirian perdana menteri.

“Sebagai seorang menteri, ini merupakan sesuatu yang janggal apabila mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan perdana menteri. Adakah sudah tidak ada lagi persefahaman dalam Kabinet? Atau adakah mereka sedang berpecah belah?,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Waytha Moorthy mempertahankan hak Dong Zong untuk membantah pelaksanaan pelajaran pengenalan kepada tulisan jawi di sekolah vernakular.

Waytha Moorthy turut dilaporkan, tidak mempunyai masalah jika kumpulan pendesak Cina berkenaan mahu mengadakan persidangan pertubuhan Cina pada 28 Disember ini, bagi mendesak kerajaan membatalkan rancangan itu.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memuktamadkan kandungan pelajaran tiga halaman tulisan jawi yang hanya memberi tumpuan terhadap teks pada lambang negara, ringgit Malaysia dan setem.

Secara keseluruhannya, terdapat empat teks jawi yang berbunyi: ‘Bersekutu Bertambah Mutu’ dalam jata negara, ‘Bank Negara Malaysia’ dan ‘Ringgit Malaysia’ pada nota ringgit serta ‘Malaysia’ pada setem.

Namun, Dong Zong dilihat memberikan reaksi melampau dalam menentangnya sehingga merancang untuk mengheret kerajaan ke mahkamah mengenai pembelajaran itu.

Mengulas lanjut, Haji Aminuddin berkata, beliau tidak pasti sama ada Waytha Moorthy berpura-pura tidak jelas pada isu sebenar atau hanya mengikut telunjuk pihak tertentu.

“Elok beliau kaji dulu sebelum buat apa-apa kenyataan kerana beliau adalah seorang menteri. Sebenarnya beliau sudah lama patut dilucutkan jawatan sahaja. Memang tidak layak menjadi menteri perpaduan,” katanya. - www.ismaweb.net

No comments:

Post a Comment